Tuesday, September 8, 2009

KEPELBAGAIAN



Membelek-belek buku lama karangan Prof. Dr. Yusuf al-Qaradawi bertajuk ‘al-Tarbiah al-Islamiyyah wa Madrasah Hassan al-Banna’ menyedarkan diri mengenai satu hakikat besar dalam proses tarbiah yang panjang.


Kata beliau dipenghujung bukunya: “Janganlah kamu mengira wahai pembaca bahawa aku menyangka yang IM adalah Malaikat yang suci atau nabi-nabi yang ma’sum. IM sama seperti manusia yang lain, merupakan manusia biasa, silap dan betul, gugur dan bangun, dan mereka seperti anak-anak ummah ini yang terpilih untuk mewarisi al-Quran (dan mereka seperti yang difirmankan:

ثُمَّ أَوْرَثْنَا الْكِتَابَ الَّذِينَ اصْطَفَيْنَا مِنْ عِبَادِنَا فَمِنْهُمْ ظَالِمٌ لِنَفْسِهِ وَمِنْهُمْ مُقْتَصِدٌ وَمِنْهُمْ سَابِقٌ بِالْخَيْرَاتِ بِإِذْنِ اللَّهِ ذَلِكَ هُوَ الْفَضْلُ الْكَبِيرُ

(Kemudian Kitab itu Kami wariskan kepada orang-orang yang Kami pilih di antara hamba-hamba Kami, lalu di antara mereka ada yang menganiaya diri mereka sendiri dan di antara mereka ada yang pertengahan dan diantara mereka ada (pula) yang lebih dahulu berbuat kebaikan dengan izin Allah. Yang demikian itu adalah karunia yang amat besar). Faatir:32

Janganlah engkau rasa pelik selepas ini (proses tarbiah yang panjang) engkau dapati di kalangan IM yang tidak dikenali Islamnya kecuali pada namanya sahaja, atau dikenali al-Quran pada rasamnya’’. (al-Qaradawi. Al-Tarbiah al-Islamiah wa Madrasah Hassan al-Banna. Maktabah Wahbah. 1982. Hal. 99)

Itulah lumrah tarbiah, dalam berinteraksi dengan pelbagai jenis manusia, pelbagai sikap, pelbagai cara berfikir dan pelbagai budaya pasti hasilnya tidak sama. Penyudahnya juga berbeza. Kuat manapun manhaj tarbiah yang diguna pakai, pasti tidak mampu menjadikan manusia serupa dengan acuan yang diguna. Apatah lagi kalau manhajnya sangat lemah.

Akhirnya kita terpaksa akur dengan hakikat bahawa manusia pelbagai dan kesan tarbiah juga pelbagai. Tidak semua mampu sampai ke kemuncak objektif yang telah diletakkan. Namun sekurang-kurang kesan tarbiah ialah lahirnya rasa mas’uliah untuk berkhidmat dengan Islam dan berusaha bekerja untuk Islam. Kalau tak mampu melaksanakan projek dakwah yang besar, sepatutnya ia mampu melaksanakan dakwah fardiah atau sekurang-kurangnya membentuk keluarga dan menempatkan keluarganya di atas plan dakwah.

Pernah seorang Akh berkata yang ia tak mahu menyerahkan anak didik tarbiahnya dengan Akh lain kerana ia takut nanti rentak tarbiah mereka jadi lambat. Katanya, ia nakkan anak-anak buah dia laju macam dia. Mungkin niatnya baik, adapun untuk melaksanakan semua itu di alam realiti tidak semudah yang diucapkan. Anak sendiri, yang lahir dari benih sendiri, tetap tidak sama perangai dan sikap mereka. Inikan pula dalam mendidik anak orang. Kesudahannya apa yang diharapkan tidak kesampaian dan kita merasakan diri gagal dalam tarbiah dan tidak mustahil bersikap dingin kerana telah penat berusaha. Kepelbagaian murabbi juga kadangkala diperlukan kerana di situlah ia belajar ilmu kehidupan. Setiap orang memiliki pengalaman yang berbeza. Untuk menjadikan Imam Syafie hebat, ia berguru dengan pelbagai ulama yang sezaman dengannya termasuk Imam Malik, Muslim bin Khalid az-Zanji, Syaikhul Muhaddisin Sufyan bin Uyaynah.

Sebenarnya kepelbagaian inilah yang mencantikkan gerak kerja amal Islami. Asalkan berpegang pada asas dan manhaj yang satu dan meyakininya dengan bersungguh-sungguh. Kewujudan Abu Bakar , Umar, Uthman, Ali dan Sahabat ridwanullah alaihim dengan kepelbagaian sifat dan sikap telah mampu menjulang Islam menjadi hebat dan berjaya menjadi tuan di atas mukabumi .

Namun pastinya, tarbiah perlu berterusan. Selagi manusia bernafsu, selagi itu manusia perlu ditarbiah. Mungkin kerana itulah, sudah tua beginipun kita masih perlu berusrah.

Read more »