Tuesday, March 31, 2009

PEJUANG CINTA


Baru-baru ni seorang pemuda minta pandanganku tentang sahabatnya seorang lelaki yang tengah frust menungging kerana ditinggalkan oleh girfriendnya. ‘Kesian’ dia sampai merasakan yang hidupnya telah musnah. Dia dah tak nak buat apa-apa untuk masa depannya . Baginya masa depan adalah untuk wanita itu. Kini impian itu berkubur bersama pemergiannya. Bagi wanita itu, apa yang dibuat oleh lelaki itu membenarkan lagi tindakannya meninggalkan lelaki itu. Benar, bahawa lelaki itu tak layak memimpin hidupnya kerana ia tak mampupun memimpin emosi dan fikirannya.


Dulu waktu aku mengajar di KL, ada seorang pelajarku tak masuk kelas berkali-kali. Bila aku tanya apa masalahnya? Ia berkata, akhir-akhir ini ia terpaksa menunggu girlfriendnya di depan bilik kuliah kerana ada lelaki lain yang meminati girlfriendnya dan akan bawa girlfriendnya makan setiap kali habis kelas. Untuk memastikan lelaki tu tak ‘ganggu’ GF dia, dia tunggu sampai 3 jam di luar kelas. Ajaib…kelas aku langsung tak masuk…

Ini cuma beberapa kisah 'hebat' lelaki yang belum berumahtangga lagi telah memperhambakan dirinya kepada cinta. Pada seorang wanita yang belum menjadi isterinya. Ironinya, ia bersikap sedemikian ketika di kelilingnya masih ada jutaan wanita yang terpaksa memburu lelaki soleh dan berebut untuk mendapatkannya lantaran makin kurang lelaki dalam spesis begitu.

Aku tahulah kalau putus cinta memang kecewa. Tapi tak usahlah sampai berbulan-bulan kecewa. Seminggu dua dahlah. Hentuk kepala tu puas-puas, menanggis puas-puas. Tahajjud puas-puas, mengadu dengan Allah sebanyak mungkin…pasti lega perasaan tu. Yang penting anda telah buat yang terbaik, tapi dia tak nak!! Biarlah, pasti Allah akan gantikan ia dengan wanita yang lebih mulia di hadapan sana. Syaratnya andapun kenalah memperbaiki diri. Bukan memperbodohkan diri.

Nasib perempuan tu pun tak pasti lagi di masa hadapan. Panjang lagi masa. Banyak lagi sejarah akan tercipta. Andai ia bahagia…syukurlah. Andai derita…ia tanggunglah sendiri. Anda sudah pernah memberi ruang dan peluang. Jangan berdendam tapi tunggu dan lihat…

Ramai lagi wanita kat dunia ni Bro! pilihlah yang terbaik buat menjadi ibu pada zuriatmu. Kebaikan mewariskan kebaikan. Begitu juga sebaliknya. Rasulullah SAW pun pernah berpesan pada kita orang lelaki:
اخْتَارُوا لِنُطَفِكُمُ الْمَوَاضِعَ الصَّالِحَةَ
(Pilihlah tempat tumpahnya benih kamu tempat yang baik). (al-Dar Qatni, Ali bin Umar al-Dar Qatni, (1966), Sunan al-Dar Qatni, Beirut; Dar al-Makrifah, Jil. 3 Hal. 298 No. 196).

Alah Bro, nanggis sikit-sikit udahlah. Takde gunanya menitiskan airmata lama-lama hanya untuk seorang wanita sedangkan jutaan wanita sekeliling anda berebut mencari lelaki mulia.

Apatah lagi ramai lelaki sekarang sudah menanggalkan kelakiannya dan bertukar menjadi ‘separuh wanita’. Yang sempurna kelakiannya pula ada yang lebih meminati rakan sejenis dan bila melihat wanita ia tak merasa apa-apa yang istimewa. Dunia dah nak kiamat….

Pejuang cinta begini sebenarnya telah menyempitkan dunianya, impiannya dan peranannya dalam hidup. Mereka lelaki yang kelakiannya tak mampu mengangkat seketul batu kecilpun dari atas kepalanya, apatah lagi untuk mengangkat beban penjajahan dari kepala ummah.

Perjuangan hidup mereka hanya untuk nafsu dan keseronokan diri. Mereka pemburu romantis dan hamba wanita.

Berbeza dengan pemuda di zaman Rasulullah SAW. Seluruh umur mereka hanya untuk orang lain…untuk ummah…untuk menegakkan agama Allah di atas muka bumi. Wawasan mereka amat jauh, dari dunia hingga akhirat. Lihat saja pengorbanan Mus’ab bin Umair, menghabiskan waktu mudanya untuk perjuangan. Anak orang kaya ini akhirnya meninggalkan kota Mekah untuk melaksanakan misi dakwah di kota Yathrib. Melaksanakan arahan Rasulullah SAW. Hingga hampir semua rumah di Madinah telah menerima seruannya. Ini berlaku sebelum Rasulullah berhijrah ke Yathrib (selepas tu Madinah) lagi.

Mus’ab bin Umair akhirnya syahid di Uhud ketika usia muda dan harta milik terakhirnya Cuma sehelai kain…tapi syahidnya ia membuatkan air mata Rasulullah SAW menitis. Ia mati sebagai pejuang di usia mudanya.

Selain Mus’ab, ramai lagi pemuda Islam yang menghabiskan usia mudanya unuk mengejar cinta Allah melalui perjuangan. Mereka korbankan usia, harta dan nyawanya untuk agama Allah. Mereka mendambakan syurga yang dipenuhi bidadari jelita yang tiada tolok bandingnya dengan secantik-cantik wanita dunia.

Pejuang cinta di kalangan wanita juga tak banyak bezanya. Ramai yang sanggup meninggalkan perjuangannya yang membolehkannya memperolehi cinta Ilahi kerana mengikut kemahuan seorang lelaki. Setelah Allah membuka pintu cinta kepada pencipta, ia akhirnya menutup semua itu hanya kerana ingin memiliki kasih seorang lelaki. Lelaki yang tak pasti akan menjadi jodohnya atau tidak.

Sayang sekali, hidup pejuang cinta begini tak semuanya berakhir dengan syurga dunia…ramai dunianya telah menjadi neraka sebelum dunia dikiamatkan lagi. Ia telah merasai kiamat kecil dalam hidupnya. Hilang maruah dan harga diri walau baginya dia makin bermaruah dan harga dirinya makin bertambah mahal. Maklumlah kini ia sudah berpunya, sudah ada pasangan untuk berfikir masa depan yang tak pasti…ramai lagi kawan-kawannya yang tak laku. Bila rakan baiknya memberi teguran, ia anggap membernya itu cemburu. Padahal mata-mata yang melihat sebenarnya meluat kerana mereka menjadikan dunia ini hak milik berdua….

Dalam dakwah, pejuang cinta begini agak sukar untuk ditarbiah. Apatah lagi untuk memikul amanah berat bagi menegakkan agama dalam diri, keluarga dan daulah. Awal-awal lagi ia kalah. Menjual cinta Ilahi dengan cinta seorang lelaki. Ia telah memiliki seorang naqib hidup yang akan mengatur mazhab hidupnya sebelum waktunya. Lantaran itu pejuang cinta begini akan tidak merasa bersalah meninggalkan hidayah.

Sangat bahaya pemburu cinta begini. Rapuh benar impiannya. Apabila manusia menjadi targetnya, ia memburu cinta yang rapuh. Serapuh hidup dan mati.

Lucunya, bila sudah berjuang memburu cinta manusia. Biasanya halaqah mereka dari 10 tinggal lagi berdua. Silibusnya semakin berbeza. Bahkan kadangkala sahabat lama pun terlupa sudah namanya. Ini kerana syahadahnya hanya kenal satu nama…kekasih pujaannya.

Bagaimana kesudahannya perjuangan cinta begini…untung sabut timbul, untung batu tenggelam. Kalau timbulpun sabut itu, selalunya ia akan belayar tanpa haluan dan tak mampu digunakan walau untuk mengosok badan.

Sayangilah usia muda, itu usia perjuangan. Usia mencari kemuliaan. Usia mempertahan kehormatan. Membuat keputusan dan menentu hala tuju kehidupan. Sepatutnya tidak dihabiskan pada agenda yang langsung tidak mendatangkan manfaat pada keturunan akan datang.

Dalam aspek tarbiah dan dakwah, kewujudan orang begini mewjudkan banyak kontradaksi. Memandangkan ia ada 2 naqib, maka ia biasanya membawa 2 watak dan 2 wajah. Malamnya berbeza dari siang. Selalunya pandangan buah hati lebih utama dari sang murabbi. Ini kerana hatinya telah dimiliki. Sukar untuk ditembusi cinta ilahi. Akhirnya sang Murabbi terpaksa menerima hakikat yang ia telah kalah. Ia terpaksa membiarkan mutarabbi begini pergi. Gembiralah si buah hati kerana kini kekasih hatinya milik ia seorang. Ia boleh mengusungnya didaratan dan lautan.

Lantaran itu membersihkan cinta begini pada peringkat awal amat perlu dalam tarbiah. Bila ia kosong barulah boleh di isi dengan cinta ilahi. Cinta jihadi dan syurgawi. Ia akan mencintai manusia setelah yakin benar manusia itu mencintai tuhannya. Ia akan berjuang mempertahankan cintanya apabila meyakini bahawa manusia itu mampu memperkukuhkan perjuangannya. Cinta yang terjaga dalam pagar rumahtangga dakwah.

Adapun membunuh diri dan impian hanya kerana lelaki dan wanita begini, perjuangan yang kurang cerdik. Hanya yang lembab IIQnya dan rendah maruahnya sanggup mati untuk sesuatu yang tak pasti.

Tapi tak mustahil kisah begini akan menimpa diri kita sendiri, termasuk penulis ini. Lantaran itu dalam mencari cinta sejati pastikan rumahtangga tempatnya dan banyakkan berdoa:

اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ حُبَّكَ وَحُبَّ مَنْ يُحِبُّكَ وَالْعَمَلَ الَّذِي يُبَلِّغُنِي حُبَّكَ اللَّهُمَّ اجْعَلْ حُبَّكَ أَحَبَّ إِلَيَّ مِنْ نَفْسِي وَأَهْلِي وَمِنْ الْمَاءِ الْبَارِدِ

(Ya Allah, sesungguhnya aku memohon cintamu dan cinta orang yang mencintaimu, dan amalan yang menyampaikan aku kepada cintamu. Ya Allah, jadikanlah cintamu lebih aku cintai dari diriku, keluargaku dan daripada air yang sejuk (ketika panas terik). (Riwayat al-Tarmizi. al-Tarmizi, Muhammad bin Isa. al-Sahih Sunan al-Tarmizi. Beirut; Dar Ihya al-Turath al Arabi. Jil. 5 Hal. 522 No 3490).

Read more »

2 KATEGORI PEMUDA



Akhir-akhir ini aku sering didatangi oleh ramai anak-anak muridku dan golongan belia yang merasakan hidup mereka tiada hala tujuan. Bila ku ajukan pelbagai persoalan hidup, sedikit sangat yang boleh di jawab.

Aku tidak ingin menyalahkan mereka tapi itulah wabak yang menimpa ummah apabila Islam tidak lagi tertegak seperti sepatutnya. Islam dianggap sekadar agama peribadi. Upacara-upacara ibadah ketika berhadapan waktu susah. Lebih kepada simbol-simbol pakaian atau aspek luaran.



Memang Islam ada aturan yang perlu diikuti dalam semua perkara termasuklah hal luaran. Tapi Islam lebih dari itu. Islam adalah kecemerlangan dalam semua aspek kehidupan. manapun sudut yang menerima haruman Islam pasti cemerlang. Lantas, ribuan tahun ia mampu menjadi satu tamadun yang cukup hebat dalam sejarah peradaban dunia.

Pemuda hari ini membesar dalam suasana Islam jatuh. Mereka menatap wajah Islam yang pucat setiap hari. Akhirnya wajah mereka juga pucat. Yang mereka lihat berseri adalah barat. Kosmetik metarialistik barat telah mewarnai wajah mereka. Semua yang ada di barat hebat dan yangada pada Islam malap.

Tapi ada sebahagian pemuda yang masih waras akalnya, bersih jiwanya dan sempurna kemahuannya. Mereka memandang kehidupan ini diluar kefahaman majoriti bangsanya. Bahkan jauh dari kebiasaan keluarganya. Bagi mereka usia muda, sangat berharga. Pemberian Allah dan perlu digunakan untuk Allah. Untuk memperjuangkan kebenaran, membangun insan dan alam. Mereka tidak hidup hanya untuk perut sendiri.

Hidup pemuda ini tampak sedikit berbeza dari rakan-rakannya. Ini kerana priority mereka dalam hidup ialah ummah. Mereka ada perjuangan dan mereka merasa diri mereka pejuang.

Benarlah kata Imam Hassan al-Banna dalam risalahnya 'wahai pemuda':
"pemuda yang lahir serta membesar di tengah-tengah umat yang keadaannya senang lenang kerana kekuasaannya sudah kukuh dan kemakmuran hidupnya cukup mewah. Maka ia pun lebih banyak menumpukan tenaga untuk dirinya sendiri dari kepentingan umatnya, malah mungkin dia bermain-main dan berfoya dengan senang hati dan tidak berfikir apa-apa.

Di samping itu ada pula pemuda yang lahir membesar di tengah-tengah umat yang terpaksa berjuang dan bertindak kerana mereka dijajah dan dikuasai oleh musuh; oleh itu umat tersebut terpaksa berjuang sedaya upaya untuk mengembalikan hak mereka yang dirampas, harta kekayaan yang disamun. Begitu juga segala kebebasan juga telah hilang. Pada ketika itulah kewajipan utama lagi pertama bagi pemuda tersebut supaya menumpukan segala perhatian demi untuk kepentingan umat lebih banyak dari faedah dirinya sendiri.

Ketika bertindak sedemikian itu, pemuda tersebut akan memperolehi kemenangan dan pelbagai kebaikan serta mencapai ganjaran dari Allah dalam bentuk kebajikan dan pahala di akhirat kelak.

Wahai anak-anak dan adik-adikku…anda ingin hidup dan mati dikategori mana??

Hakikatnya usia muda anda tidak kekal lama. Anda berjuang atau tidak pasti akan mati juga. Cuma, pasti berbeza orang yang berjuang untuk tuhannya dengan yang berjuang untuk membesarkan perutnya

Tentukanlah langkah anda…itulah corak yang akan mewarnai hidup anda dan penentu nasib akhirat anda

Jangan bazirkan usia muda anda...sertailah para pejuang. Kita corakkan semula alam ini dengan keagungan sistem dan aturan kehidupan Islam. Pasti anda tidak akan menyesal di saat menghembuskan nafas terakhir.



PESAN ORANG DULU

Pesanan Imam Hassan al Banna pada kumpulan Dr.
Salim ketika mereka berumur 16
tahun…

“Jadilah Lelaki Sejati …”

Masa remajamu pendek, kamu
mesti menjadi lebih baik dari
generasi kami…

HAKIKAT UMAT ISLAM SEKARANG?? RAMAI!!! TAPI TAK BERKUALITI

Dari Tsauban r.a, katanya Rasulullah saw pernah bersabda:Hampir tiba satu masa dimana bangsa-bangsa dan seluruh dunia akan datang mengerumuni (membinasakan) kamu bagaikan orang-orang yang mengerumuni hidangan. Lalu sahabat bertanya, apakah ketika itu bilangan kami kecil Ya Rasulullah. Jawab Rasullah saw, bahkan ketika itu bilangan kamu ramai namun cuma umpama buih-buih di lautan yang dibawa arus. Allah swt akan mencabut rasa gerun terhadap kamu dari hati musuh-musuh kamu dan Allah swt akan mencampakkan penyakit wahn ke dalam hati-hati kamu. Lalu sahabat bertanya, apakah penyakit wahn itu wahai Rasulullah. Kata Rasulullah saw, iaitu cintakan dunia dan takut mati. (HR Al-Bukhari & Muslim)

TARBIAH SAHAJA YANG MAMPU MENGANGKAT KUALITI MUSLIM. BERMULALAH DENGAN DIRI SENDIRI, JANGAN JADI ANGKA KOSONG!!!


Kata Syakib Arsalan
Banyak surat sampai kepadaku sama ada dari Morocco, Jawa,
Mesir, Syria, Iraq dan negara kamu (palestin). Penulis-penulisnya
mencadangkan satu Muktamar Islam, atau melantik seorang
khalifah atau perkara-perkara yang seumpa dengannya. Namun
:seperti biasa aku akan menjawab
Kita WAJIB memulakan usaha Islam ini dari bawah; iaitu
melalui TARBIYAH INDIVIDU. Apalah gunanya
mengadakan muktamar yang menghimpunkan orang-orang yang
lemah, tidak mempunyai keinginan sendiri dan tidak mampu
melaksanakan satu keputusan atau resolusi. Apa faedahnya
berbuat demikian? Adakah kamu mahu mengumpulkan angka-angka
kosong?”






Read more »

Wednesday, March 25, 2009

Ceramah balu Asy-Syahid Dr Aziz Ar-Rantisy HAMAS di Dewan MPS, Seremban (Rabu 25/3/2009) anjuran ISMA NS

Jihad untuk Palestin!!!

Baca seterusnya di:

http://inijalanku.wordpress.com/

Read more »

Monday, March 16, 2009

BURUNG BESI


Aku menulis ni ketika masih berada dalam perut burung besi Boeing 373 menuju ke KLIA. Sepanjang hidup ku ini entah untuk kali ke berapa aku naik burung besi. Dulu waktu belajar di luar negara, memang terpaksa naik burung besi untuk sampai ke destinasi.

Pertama kali aku naik dulu, ketika nak masuk form 1 di Kuching. Itupun setelah dua kali naik bot. Dari kampung ke Lawas dan dari Lawas ke Brunei. Dari Brunei baru naik burung besi ke Kuching.


Satu persamaan yang sering membawa aku naik burung besi dalam negeri atau luar negeri ialah kerana menuntut ilmu dan menyebarkan ilmu. Atas keperluan ilmu itulah aku habiskan sebahagian besar umur mudaku diperantauan dan 8 tahun di luar negara. Hingga kini aku kemana-manapun kerana alasan yang sama. Ada pihak yang sanggup memberi aku tiket percuma untuk naik burung besi dan menyediakan hotel yang serba lengkap sekadar untuk share ilmu walau cuma sejam. Rupanya ilmu itu sangat berharga dan bernilai bagi sesiapa yang memahaminya. Aku yakin burung besi ini tak akan terbang tanpa ilmu. Bermula dari melakar rajahnya, membuatnnya dan hinggalah menerbangkannya, perlukan ilmu. Pramugari ketika menuang air dan menghidangkannya...juga dengan ilmu, sebab itu cara mereka berbeza kalau dibandingkan pelayan di warung kopi. Gaji mereka juga lebih mahal. Ini kerana ilmu menuang kopi mereka lebih profesional dari pelayan tersebut.

Berbicara tentang ilmu, tidak ramai yang bersungguh-sungguh mengutipnya. Ramai yang memperolehinya secara kebetulan atau terpaksa. Ini kerana tidak ramai yang merancang untuk memperolehinya. Tak tahu mengukur tahap perolehannya. Malah tak pandai menilai antara priority dan secondary.

Dah masuk 13 tahun aku jadi pensyarah. Aku perhatikan anak bangsaku yang belajar di Universiti tak bersungguh-sungguh cari ilmu. Banyak masa habis dengan kerja lain. Sebab tu tiap kali konvo, anak bangsaku tersenarai dalam class terakhir. Yang first class, ramai bangsa lain. Menyedihkan. Kalau ketika menuntut ilmu, menguasai teori kemajuanpun tak maju? Bagaimana di alam praktikal, alam pekerjaan? Pasti kesannya sama!. Ertinya tak ada gunanya berbicara soal wawasan dan kemajuan? Lagilah tamadun yang aku sering ajar pelajarku dalam kelas. Akan berakhir sebagai cerita dongeng dahulukala yang tak mampu direalisasikan di alam nyata.

Ilmu sangat penting untuk perjuangan. Tanpa ilmu perjuangan tidak akan ke mana-mana. Sekadar tong kosong yang boleh dicanang ke mana-mana. Tapi setitik air pun tiada untuk menyelamatkan orang yang dahaga.


Aku sering berbicara dengan pelajar yang seagama denganku soal perjuangan. Mereka ini terdiri dari pemuda pemudi yang bersemangat untuk berjuang. Sering ulang alik ke masjid dan surau. Aku kagum dengan pemuda pemudi seperti ini. Mereka mampu 'berbeza' dari rakan seusia yang lebih gemar lepak di cafe atau di panggung wayang. Cuma...kadangkala aku tegur sedikit salah faham mereka dalam menilai antara dakwah dan ilmu. Bagi mereka kena banyak habiskan masa untuk dakwah dan terpaksa korbankan masa study. Sebab itu sebahagian mereka kandas dalam pelajaran dan ada yang extand pengajian. Ada sebahagian yang berjayapun CGPAnya paras hidung sahaja. Padahal mereka inilah satu-satunya generasi yang masih boleh diharap memimpin ummah dan negara. Tapi awal-awal lagi mereka liking.

Apabila pemuda-pemudi ini diajak berbicara soal perjuangan menegakkan negara dan tamadun, mereka sangat bersemangat. Bagi mereka itulah target utama perjuangan. Kadangkala kalah ahli politik dalam bab mengupas isu semasa. Tapi...sedarkah kita bahawa negara yang nak dibina perlukan hospital, jalanraya, masjid, universiti, tentera, polis dan pelbagai institusi berorientasikan Islam secara menyeluruh. Siapa yang akan mengisi semua itu bila tertegaknya daulah? Dan dalam tempoh itu, alangkah indahnya kalau institusi itu diisi oleh orang-orang yang faham perjuangan. Akhirnya ia menjadi medan dakwah dan perjuangan?. Tapi akhirnya, yang mengisi posisi penting...orang biasa yang tiada perjuangan apa-apa kecuali dirinya.

Satu lagi yang pelik, anak-anak muda yang bersemangat untuk berdakwah ini sepatutnya menumpukan aspek keilmuan yang ada kaitan dengan pembinaan kefahaman agama. Tapi setakat pengalaman yang ada, majlis-majlis ilmu agama yang diadakan dimasjid, surau dan tempat-tempat lain...masih kurang diisi termasuklah di kalangan anak-anak muda yang bersemangat ini. Kadangkala tertanya-tanya juga, dekat manakah anak-anak ini belajar untuk jadi pejuang dan mampukah mereka berjuang? akademikpun tidak cemerlang, ilmu agamanyapun tidak juga berkembang. Mahu jadi apa akhirnya mereka ini. Sayang sekali semangat itu tidak berisi dengan isi yang sepatutnya. Akhirnya apabila terjun ke tengah medan yang sebenarnya, mereka lemas dan hilang.

Gerakan Islam perlu melihat perkara ini sebagai agenda utama dalam tarbiah. Andainya mereka ingin membentuk barisan pelapis yang mantap. Strategi tarbiah dan kefahaman terhadap priority mesti jelas dan diperjelaskan kepada anak-anak muda yang belayar bersama mereka. Usia muda mereka sangat berharga. Mereka boleh dibentuk sebagai pendukung dakwah. Kecualilah gerakkan itu berbangga dengan ramainya penyokong. Pasti tarbiah menghasilkan pendukung berbeza dari meramaikan penyokong.

Benarlah kata Imam Hassan al-Banna: antara punca kejatuhan tamadun Islam ialah apabila umat Islam mula mengabaikan ilmu berbentuk praktikal (sains dan teknologi) dan lebih menumpukan aspek falsafah.

Pembinaan tamadun Islam akan datang amat memerlukan ilmuan yang memahami agamanya melalui 2 aspek keilmuan. Membina dunia berteraskan takwa. Semakin bertambah kemajuan fizikal semakin murni spritual. Islam pernah membuktikannya berabad-abad lamanya. Majoriti sahabat nabi yang dijanjikan masuk syurga juga adalah jutawan di kalangan mereka. Mereka meneroka lautan dan daratan untuk menyebarkan Islam. Islam yang mereka sebarkan berjaya membuka kota dan mengkayakan manusia. Tapi Islam itu juga menjadikan mereka sangat cinta kepada tuhan, manusia dan kedamaian.

Burung besi ini dah hampir sampai ke destinasinya. Hebat sekali...ketika ia bergerak, aku sempat berehat. Bila ia berehat aku pula yang kena bergerak....kalau tak...tak sampai rumahlah aku. Adapun dakwah ini, ia cuma akan bergerak bila para daie bergerak. Andainya para daie berehat, dakwah ini juga akan berehat. Kalau terlalu ramai yang sudah berehat sebelum tiba masanya, pasti Islam ini akan hancur. Ini kerena pengerak kehancuran tak pernah berehat. Ditanya kepada Hassan al-Basri: Bilakah seorang hamba mampu merasai nikmatnya rehat. Jawabnya: Ketika pertama kali kakinya melangkah ke syurga. Mudahan kita diberi ruang untuk berterusan melakukan kebaikan yang memungkinkan kita berehat di syurga. Allahhumma AMIN.

Read more »

PELUANG KEDUA


Adikku….
Dulu kau pernah merasai nikmatnya iman,
Indahnya perjuangan…tapi akhirnya kau tinggalkan…
Kerana hati mudamu gemarkan kenikmatan jangka pendek,
Sedang sebenarnya kealpaan…


Adikku …
Kau sebenarnya tahu…bahawa kau tersilap
Kau tersesat….
Tapi nafsu mudamu dan usia mentahmu..
Membuat kau sering tertipu…antara permata dan kaca..
Kau terus-terusan lena dan leka…dalam buaian cinta dunia..lelaki dan wanita.

Cinta yang kau kejar adikku…
Telah banyak membunuh semangat jihadmu
Mengekang imanmu..
Melumpuhkan potensimu..
Hingga kami dan ummah kehilanganmu..
Perjuanganmu kini…sekadar untuk dirimu…
Untuk perut dan jasadmu…
Sedang dulu…semangatmu berkobar, jiwamu segar…

Kini kau bersendiri…
Ditinggalkan oleh dunia yang selama ini kau daki
Semua memandangmu tanpa nilai
Kau rasa dunia ini sangat sempit
Sudah tiada tempat bertandang
Tiada tempat kembali…

Kau datang kepadaku dan bertanya…
Masih adakah peluang kedua untuk kembali?
Memperbaiki dan mentarbiah diri?
Menyertai semula rombongan pejuang?

Siapalah aku untuk menjawab:..”tidak”
Sedang Yang Maha Esa memberi peluang kedua, ketiga dan berkali-kali..
Tak pernah jemu sehingga hambanya jemu…

Aku berkata…kembalilah..ambillah peluang usia yang ada..
Kembalilah ke titik paling cemerlang…dan…bermulalah di situ…
Jangan pandang ke belakang lagi…
Bukankah tuhan telah bagimu pengajaran dan ingatan?
Kenapa masih berlengah lagi…masa makin pendek..
Kenapa kau masih termenung di situ?
Mendongak ke langit yang jauh?
Sedang orang lain sudah jauh berlari…menukar mimpi menjadi realiti..
Kembalilah kepada Allah.

قال الله تعالى: وَالَّذِينَ إِذَا فَعَلُواْ فَاحِشَةً أَوْ ظَلَمُواْ أَنْفُسَهُمْ ذَكَرُواْ اللّهَ فَاسْتَغْفَرُواْ لِذُنُوبِهِمْ وَمَن يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إِلاَّ اللّهُ وَلَمْ يُصِرُّواْ عَلَى مَا فَعَلُواْ وَهُمْ يَعْلَمُونَ {آل عمران:135}

((Dan orang-orang yang apabila mengerjakan perbuatan keji atau menganiaya diri sendiri mereka ingat akan Allah, lalu memohon ampun terhadap dosa-dosa mereka dan siapa lagi yang dapat mengampuni dosa selain dari pada Allah? Dan mereka tidak meneruskan perbuatan kejinya itu, sedang mereka mengetahui)).

وعن أبي موسى عبد الله بن قيس الأشعرى رضي الله عنه عن النبي صلى الله عليه وسلم قال:" إن الله تعالى يبسط يده بالليل ليتوب مسيء النهار، ويبسط يده بالنهار ليتوب مسيء الليل حتىتطلع الشمس من مغربها

Dari Abu Musa Abdullah bin Qais al-Asy'ari r.a., dari Nabi s.a.w., sabdanya: "Sesungguhnya Allah Ta'ala itu membeberkan tanganNya - yakni kerahmatanNya -di
waktu malam untuk menerima taubatnya orang yang berbuat kesalahan di waktu siang dan juga membeberkan tanganNya di waktu siang untuk menerima taubatnya orang yang
berbuat kesalahan di waktu malam. Demikian ini terus menerus sampai terbitnya matahari dari arah barat - yakni di saat hamper tibanya hari kiamat, kerana setelah ini terjadi, tidak diterima lagi taubatnya seseorang." (Riwayat Muslim)

Read more »