Saturday, October 22, 2011

KEBAIKANMU UNTUK SIAPA?

TERTARIK dengan kata-kata seorang sahabatku baru-baru ni bila dia menegur seorang penceramah yang dalam mukadimah ceramahnya menyebut; sebenarnya kalau bukan kerana tuan-tuan saya tak datang ke sini. Nada yang seakan-akan terpaksa...kebetulan penceramah itu kawan baik sahabatku, ia pun memberi teguran dengan katanya: "sebenarnya awak ini agak ego bila berkata begitu. Sebenarnya awak datang bukan kerana orang ramai tapi kerana diri awak sendiri. Tapi awak terlupa hakikat tu. Awak perlu datang berceramah hari ini kerana ia merupakan amal soleh yang akan membuahkan pahala dan dengan pahala itu kau layak terima redha Allah dan balasan syurganya. Orang ramai yang datang ini pula sekadar membantu dan memudahkan awak melaksanakan program ceramah yang awak akhirnya dapat pahala, mustahil awak dapat berceramah kalau mereka semua tak datang". Benar juga kata-kata sahabatku. Aku juga kadangkala terasa terpaksa bila dipanggil berceramah. Kalau ada rasa redhapun kerana ingin orang lain dapat ilmu atau orang lain dapat kesedaran atau tentatif program tidak terbengkalai kerana aku tak hadir...Bagiku memang tidak salah apapun alasan duniawi selagi ia baik. Dunia adalah laluan ke akhirat. Tapi hakikat sebenarnya, apapun kebaikan yang kita buat, kebaikannya kembali pada kita. Kita yang sangat perlukannya di hari yang kita akan cuba mengorek segala kebaikan yang pernah kita buat walau sekecil zarah untuk memohon redha Allah dan syurganya.


Lantaran itu Islam tidak mengukur keberhasilan duniawi dalam melaksanakan apapun amal kebaikan. Firman Allah " dan bekerjalah, maka Allah akan melihat apa yang kamu kerjakan, begitu juga rasulNya dan orang beriman". Rasulullah juga menasihatkan umatnya agar tidak memandang enteng amal-amal kebaikan walaupun ia nampak kercil di hadapan manusia. Sabdanya:"jangan kamu meremehkan dari kebaikan itu walaupun ia engkau sekadar menemui sahabatmu dengan wajah yg ceria".

seorang isteri yang melayan suaminya dengan baik sebenarnya tidak melakukan semua itu untuk suaminya walaupun suaminya pasti suka, tapi untuk dirinya sendiri.Bahkan dengan kebaikan itu ia pasti dapat pahala walaupun kebaikannya itu tidak dihargaipun oleh suaminya. Alangkah senangnya menghimpunkan kebaikan andainya berilmu dan tahu caranya.

Bahkan pada setiap helai rambut suami yang berkelemumur, isteri akan dapat pahala kebaikan kerana mengaru kepala atau menyikat rambut suaminya. Pahala kebaikan itu sangat isteri perlukan untuk memasuki syurga tuhannya ketika mana si suami sendiri belum pasti memasukinya. Rahsia inilah membuatkan Asiah isteri firaun tetap berkhidmat pada suaminya walaupun suaminya sejahat-jahat manusia pada zamannya. Kewujudan suami dan kewajipan mentaati dan berbuat baik padanya sebenarnya alasan untuk memudahkan isteri buat amal kebaikan dan dapat pahala. Andainya tidak ada suami, mungkin ia sekadar mampu mengaru kelemumur kepalanya, mungkin berpahala tapi pasti tidak sebesar pahala mengaru kelemumur suami. Hidangan sedap yang ia masak dan di makan oleh suami pasti tak sama pahalanya dengan yangbia masak untuk makanan sendiri. Justeru itu para isteri kena hargai kewujudan suami walaupun suaminya itu seteruk-terus specis suami.

Seorang suami yang bekerja berhempas pulas memberi makan anak isteri sebenarnya bekerja untuk dirinya. Duit yang ia perolehi kemudian dinafkahkan pada isteri dan anak-anaknya akan melayakkan suami dapat pahala. Isteri pula gembira berbelanja, dapat beli makanan, masuk perut dan esoknya menjadi bahan buangan. Lantaran itu suami kena hargai orang-orang yang berada di bawah tanggungannya, lagi ramai lagi besar peluangnya melakukan kebaikan.

Lantaran itu seorang yang kenal keperluan hakikiki dirinya akan amat menghargai kewujudan orang sekelilingnya...ibubapanya, pasangannya, anak-anaknya, anak-anak yatim, sahabat handai dan sesiapapun disekelilingnya.

Bahkan kewujudan orang kafir dan ahli maksiat pun perlu ia rasakan satu anugerah kerana kewujudan mereka menyebabkan ia dapat melaksanakan dakwah, amar makruf nahi mungkar dan jihad fi sabilillah yang dijanjikan pahala paling banyak dan syurga paling tinggi. Andai semuanya dah jadi baik mana mungkin ia dapat kelebihan tersebut? Sebab itu seorang daie hakiki tidak akan mudah menghina apapun kejahatan dan keaiban orang lain, walaupun ia sedih melihatnya. Ia umpama peniaga insuran yang akan mencari sesiapapun yang belum ada perlindungan insuran untuk menjadi pelanggan dan meraih keuntungan bagi dirinya.

Inilah yang membezakan orang yang beramal kerana orang dengan yang beramal kerana diri. Orang yang beramal kerana kepentingan dirinya, akhiratnya, redha dan syurga tuhannya tidak akan henti-henti berbuat kebaikan walaupun manusia sekeliling tidak mengiktirafnya.

Ayuh sahabatku, teruskan perjuangan kita di saat masa makin suntuk untuk kepentingan diri kita, akhirat kita dan redha tuhan kita. Kita sangat perlukan baki usia ini untuk kepentingan kita di hari yang kita akan bertemu Allah bersendirian dan dihadapkan seorang-seorang. Hari yang tidak bermanfaat harta dan anak pinak kecuali yang menemui tuhannya dengan hati yang sejahtera.

Ya Allah mudahan engkau jadikan aku hambamu yang sentiasa redha dengan apapun kekurangan dan kelebihan, kebaikan dan keburukan, redha dengan pemberian dan pembahagian takdirmu. Mudahan di alam sana aku dapat redhamu dan layak menduduki syurgamu walaupun ditingkat paling bawah. Ketika itu..cukuplah engkau bagiku...

Read more »

Thursday, October 13, 2011

BILA JAWATAN MENJADI MATLAMAT DAN BUKAN LAGI ALAT




Cabaran paling besar bagi anak-anak muda yang ditarbiah ialah apabila berada di alam pekerjaan. Waktu ini akan ramai yang jatuh atau sekurang-kurangnya futur. Walau telah diusrahkan dengan pelbagai bahan tentang kelebihan berada di atas jalan dakwah dan tingginya martabat pejuang di sisi Allah namun bila keluar Universiti dan dapat segulung ijazah ramai yang mula alpa. Bahkan diperingkat mencari kerja pun sudah ada yang mula ‘mendiamkan’ diri padahal ada kemungkinan rakan-rakan seperjuangan mampu membantu.



Bila sudah memegang jawatan, kefuturan akan bertambah tebal dan ia sudah memiliki senjata utama yang boleh dijadikan alat untuk menangkis andaian kawan-kawan.

“Sorry akhi ana baru dapat kerja…belum boleh menyesuaikan diri lagi”. “Sorry akhi, ana out station, over time…every time….”. “Sorry akhi, ana kena bersaing dengan orang lain sebab bila dapat jawatan tu nanti lebih senang ana nak gunakan untuk meluaskan dakwah kita…”. “Sorry akhi, berikan keutamaan pada ikhwah yang dah stabil dulu”.

Kadang kala jawatan yang ia sandang taklah sesibuk mana. Ada je orang lain menjawat jawatan yang sama tapi boleh pun meneruskan amal dan perjuangannya. Bahkan ada orang lebih berjaya dari dia dengan memegang gred dan gaji yang tinggi tapi masihpun ada masa untuk bergerak dan mengerakkan dakwahnya. Sesetengahnya belum berhadapan dengan cabaran berkeluarga dan beranak pinak..

Seorang Murabbi pastinya sukar untuk menjawab alasan-alasan tersebut kerana ia tak ada duit untuk menunjukkan bahawa jalan ini jauh lebih berharga dari kehidupan yang lainnya. Jalan ini dari awal diperkenalkan oleh Rasulullah S.A.W memang tidak menjanjikan habuan. Merekapun tahu. Tapi jalan inilah yang telah membawa Para Rasul dan Sahabat Rasulullah ke syurga. Ini kerana, upahnya cuma akan dibayar di sana.

Berjuang bukanlah bererti kena tinggalkan kerja dan gaji yang lumayan. Itu pemikiran yang salah. Bahkan, bekerjalah, kejarlah pangkat dan gaji yang besar…tapi…kesudahannya jadikan semua itu wasilah/alat untuk perjuanganmu. Jangan sebaliknya…

..Bila jawatan dan kerjaya sudah jadi matlamat dan bukan lagi alat…

yakinilah, akhi akan dapat habuan duniawi tapi belum tentu habuan ukhrawi. Bahkan akhi juga akan terpaksa menjawab soalan yang panjang di hadapan rabul alamin atas amanah fikrah yang diterima. Pasti waktu itu penyesalan akan tiba…

Read more »