Wednesday, December 24, 2008

ANAK; ANTARA ANUGERAH DAN AMANAH

AWALNYA ANUGERAH…

Tidak ada hari yang lebih bahagia setelah berumahtangga lebih dari hari yang doktor sahkan isteri ku mengandung. Walaupun aku kahwin ketika berusia 22 tahun, tapi aku rasa sudah mampu untuk menerima kehadiran orang baru dalam rumahtangga kami. Penyeri ikatan cinta antara kami. Aku tahu hanya rumahtanggalah medan sebenar untuk mengotakan janji dan membuktikan kebenaran cinta sejati. Kalau nak berkorban…di sinilah tempatnya. Bukan seperti kebanyakan pasangan, sanggup bergolok bergadai, mengorbankan segalanya termasuk maruah dan kesucian diri sebelum berumahtangga demi memikat hati buah hati…bila dah kahwin, lain pula jadinya. Almaklumlah…segala modal cinta dah habis sebelum kahwin dan bila dah kahwin yang berbaki cuma hampasnya yang terus diperah untuk menyuburkan cinta tersebut pada baki usia perkahwinan.

Aku dan isteri amat mengharapkan agar kehadiran orang baru kelak menyuburkan semangat kami untuk terus membina rumahtangga ini di atas jalan dakwah seperti perjanjian bertulis kami sebelum bertunang lagi. Aku mengharapkan biarlah anak pertama yang lahir nanti, perempuan. Kenapa aku suka anak perempuan…entahlah, mungkin aku suka kelembutan dan comelnya anak perempuan disamping hadith nabi yang menjanjikan syafaat kepada ibubapa yang memiliki ramai anak perempuan.

Tak sabarnya aku menunggu kelahiran bayi. Berbekalkan buku persiapan menyambut kelahiran orang baru keluaran majalah NONA…aku siapkan kelengkapan anakku. Tak lah lengkap sangat, maklumlah aku dan isteri masih belajar. Tinggal pula di luar negara. Sumberpun Cuma wang biasiswa aku. Tapi Allah itu maha adil, niat yang baik dan yakin dengan rezeki setiap yang lahir bernyawa..ada je rezeki anak aku. Yang tak mampu dibeli…aku try jahit sendiri. Nak suruh isteri jahit, kakak angkatku kata, tak boleh…wanita hamil 8 bulan ke atas tak boleh menjahit sebab bergegar kandungan. Hurmm…dalam hati aku, banyaknya pantang larang orang mengandung. Dulu waktu isteri aku mula mengandung, kakak angkat ku kata tak boleh isteri buat kerja berat…nanti boleh keguguran. Takutnya aku…so, faham-fahamlah…waktu tu kerja rumah, suamilah yang kena buat. Apa jer yang jauzah nak makan aku belajar masak. Pelik-pelik pulak tu citarasa orang mengandung. Nak makan sataylah, roti canailah, mee kuninglah…kalau kat dalam negara memang tak jadi masalah. Tiap hari nak makan pun boleh, singgah jer mana-mana kedai boleh tapau. Kat negara Arab nak cari kat mana?. Tu yang aku terpaksa belajar buat. Sekarang kalau setakat nak tebar roti canai…boleh la orang ambik aku kerja part time kat kedai mamak.

Pernah dulu jauzah waktu mengandung anak kedua nak makan ABC…pening kepala aku mencari. Akhirnya jumpa satu tempat jual ‘macam ABC’. Restoran Filipina…dalam menu tu tertulis ‘halu-halu’. Nak pergi kesitu kena lah aku sewa kereta. Jauh dari tempat tinggal kami dan di bahagian lain bandar Amman Jordan. Mujurlah kawan aku sudi drivekan kereta sewa tu. Maklumlah aku belum ada lesen lagi waktu tu. Tempat tu ula bukan ada bas. Sampai kat sana, terus aku tempah ‘benda’ tu…isteri aku minum sikit jer…abis gak segelas. Tapi perbelanjaan untuk dapat segelas ‘adik kembar ABC’ tu mencecah ratusan ringgit !!!. Tapi ‘cinta’ perlukan pengorbanan….he he.

Setelah 9 bulan menunggu, akhirnya lahirlah anak pertama kami pada 26 Julai 1992 di Hospital Amir, Roksy, Mesir berbidankan doktor wanita (Dr. Mukarim). Comel dan montel. Apa tidaknya lahir saja dah 4 kg…mak datuk, bulatnya. Apa tak beratnya, umminya selera betul waktu mengandung. Aku pulak kerja masak jer apa yang dia suka...



Aku azankan sendiri dan tak sabar nak bawa balik rumah. Aku namakan ia dengan Syifa’, mudahan menjadi penawar kami dalam melayari baki kehidupan dan penawar kepada kelesuan ummah ini.

Bulan pertama anak aku lahir, tidurpun mesti sebelah aku, kadangkala atas badan...sedap dapat peluk anak sendiri. Wangi dan denyutan nadinya terasa bersatu dengan denyutan nadiku. Seringkali aku terbangun tengah malam sebab terasa ada cecair hangat mengalir di badanku...kencing rupanya. Kebetulan pulak waktu tu kakak angkat ku pesan supaya jangan pakaikan budak kecil dengan diapers, nanti kengkang. So, aku pakaikan ia barut yang dibuat dari kain...bila kencing sure tembus. Tapi anak-anak aku yang lain...maafkan abi sebab pakaikan kalian diapers dari hari pertama lahir lagi. Abi dah sibuk dan tak byk masa nak cuci barut dan badan abi. Kalau kengkang nanti, masuklah mana-mana pasukan berpakaian seragam, mereka akan ajar kawad dan jalan tegak...

Paling lucu, bila first time nak mandikan anak setelah balik dari hospital. Ermm…nak suruh isteri, dia tak sihat lagi…separuh mati nak keluarkan manusia seberat 4 kg. Berbekalkan majalah nona, aku urus bayi ikut step yang diajarkan…berjam mandikan dia. Menjerit-jerit ia kesejukan walaupun asalnya air tu suam. Tapi bila dah lama, suam pun jadi sejuk. Mujurlah Mesir waktu tu musim bunga...tak sejuk sangat.

Kalau orang datang ziarah anak aku, aku tak bagi mereka pegang lama-lama. Sayang rasanya nak lepaskan dan nak kasi mereka pegang walaupun selalunya bila mereka balik, bawah badan/bantal dia selalunya adalah ‘ole-ole’…rezeki anak dan adat orang melayu..he he.

Itu sikit cerita tentang anak pertama. Jadi bahan uji kebapaan aku. Anak-anak yang berikutnya, takde masalah sebab aku dah agak expert menguruskan kehadiran mereka hasil bahan uji yang pertama. Bahkan kerap kali juga aku dijemput jadi temporary coach untuk ajar member-member aku yang baru dapat bayi diluar negara.

Pengalaman itu amat berharga buat aku dan jauzah...syukur hingga anak yang ke 6 pun kami masih mampu berdikari mengurus kelahiran bayi tanpa perlu privatisekan pada mak atau mak mertua...puas rasanya jaga anak sendiri dari kecil. Hingga kini, kalau aku susah tidur, aku arahkan anak-anak aku panjat badan aku (yg kecik-kecik je) dan urut-urut kepala dan badan aku...itu jer caranya aku mudah tidur.

Itulah hebatnya ‘hadiah’ anak dari Ilahi (lepas tu ‘amanah’ paling berat yang terpaksa aku pikul). Tak kiralah lelaki ke perempuan…anak- anak merupakan anugerah iIahi yang amat berharga. Jantung kehidupan dan buah hati penyeri rumahtangga. Sesuai dengan firman Allah swt :

الْمَالُ وَالْبَنُونَ زِينَةُ الْحَيَاةِ الدُّنْيَا وَالْبَاقِيَاتُ الصَّالِحَاتُ خَيْرٌ عِنْدَ رَبِّكَ ثَوَابًا وَخَيْرٌ أَمَلًا(46) الْمَالُ وَالْبَنُونَ زِينَةُ الْحَيَاةِ الدُّنْيَا وَالْبَاقِيَاتُ الصَّالِحَاتُ خَيْرٌ عِندَ رَبِّكَ ثَوَاباً وَخَيْرٌ أَمَلاً

(Harta benda dan anak pinak itu, ialah perhiasan hidup di dunia; dan amal-amal soleh yang kekal faedahnya itu lebih baik pada sisi Tuhanmu sebagai pahala balasan, dan lebih baik sebagai asas yang memberi harapan)(1).

Rasulullah s.a.w. bersabda:

إِنَّ لِكُلِّ شَجَرَةٍ ثَمَرَةٌ، وَثَمَرَةَ الْقَلْبِ الوَلَدُ، إِنَّ اللهَ لا يَرْحَم مَنْ لا يَرْحَم وَلَدَهُ

Sesungguhnya bagi setiap pohon itu ada buahnya, dan buah hati seorang insan itu ialah anaknya)(2).

Justeru itulah setiap pasangan mengharapkan agar sampai ketikanya rumahtangga yang mereka bina akan didatangi tetamu kecil, penyambung zuriat pengikat kasih, mewarisi segala kebaikan siibu dan kehebatan si ayah.

Anak-anak kecil ini kelak diharapkan apabila dewasa menjadi kebanggaan kepada ibubapanya….kebanggaan kepada seluruh ahli keluarga. Berbangga dengan kurniaan anak merupakan naluri manusia dan diiktiraf oleh agama. Rasulullah saw bersabda:

مَا وُلِدَ فِي أَهْلِ بَيْتٍ غُلامٌ إِلا أَصْبَحَ فِيهِمْ عِزٌّ لَمْ يَكُنْ

(Tidak lahir seorang anak dalam satu-satu keluarga melainkan kehadirannya itu di sisi mereka mendatangkan kemuliaan yang tidak pernah wujud sebelum itu)(3).

Justeru itulah Rasulullah saw menggalakkan umatnya supaya berusaha memperolehi anak yang ramai untuk meramaikan lagi umat Muhammad. Dalam satu kisah yang diceritakan oleh Ma’qal bin Yasaar, seorang lelaki telah datang bertemu Rasulullah bertanyakan pandangan baginda. Katanya; wahai Rasulullah aku ini berkenan dengan seorang wanita yang baik lagi cantik, Cuma kekurangannya ia tidak boleh beranak, apakah harus aku berkahwin dengannya? Rasulullah menjawab: jangan, lelaki itu datang dan bertanya perkara yang sama dan Rasulullah menjawab dengan jawapan yang sama dan kali ketiganya Rasulullah berkata kepadanya:

(تزوجوا الولود فإني مكاثر بكم الأمم)

(Kahwinilah wanita yang boleh beranak, kerana aku berbangga dengan ramainya bilangan umatku)(4)

Rasulullah saw juga menasihati pasangan yang belum dikurniakan cahayamata supaya berterusan berusaha dan jangan mudah berputus asa. Rasulullah saw bersabda:
(لا يدع أحدكم طلب الولد، فإن الرجل إذا مات وليس له ولد انقطع اسمه)
(Janganlah salah seorang di kalangan kamu berputus asa untuk memperolehi anak, kerana seorang lelaki itu apabila mati dan tidak ada anak maka pupuslah namanya). Hadis riwayat al-Tabrani dengan sanad yang hasan.

LEPAS TU AMANAH…



Setelah Allah menganugerahkan kepada kita anak-anak, putera-puteri kecil itu memerlukan kasih sayang untuk mengharungi hidupnya. Anak-anak itu umpama kain putih yang menanti kita untuk mewarnakannya. Rasanya semua kita sedar bahawa Cuma anak yang soleh dan solehah sahaja yang akan memberuntungkan kedua ibubapanya di dunia dan akhirat. Tanggungjawab kitalah menbentuk mereka menjadi anak-anak yang baik, soleh untuk dirinya, kedua ibubapa, keluarga dan masyarakatnya. Justeru itulah kita digalakkan setiap kali melakukan hubungan dengan pasangan kita supaya memulakannya dengan doa dan berharap akan lahir nanti anak-anak yang baik hasil dari perhubungan tersebut. Iman Abu al-hassan al-Mawardi menyebut dalam kitabnya ‘Nasihat al-Muluk’: ‘Hendaklah setiap kali melakukan hubungan, berniat untuk memperolehi anak. Minta dihindarkan dari Syaitan yang direjam, dan berdoa semoga anak itu nanti, mudah-mudahan Allah menjadikannya hamba yang taat beribadah kepadanya, mengesakannya, dan mendatangkan kebaikan kepada makhluk, memperjuangkan yang hak, menyokong kebenaran, bermanfaat kepada hamba yang lain dan memakmurkan negara’.

(Kepada pasangan yang baru nak kahwin kena hafallah doa-doa tersebut. Jangan dok sibuk menguruskan kenduri, hantaran dan menguatkan otot sahaja. Malu nanti depan isteri kalau malam pertama terpaksa buka buku dulu baru boleh ingat…senyum menjeling pasangan nanti. Bukan jelingan manja tapi perli…)

Juteru itulah tanggungjawab mendidik dan membesarkan anak, tanggungjawab bersama. Baik si ibu maupun si ayah, mempunyai peranan masing-masing dalam membina pekerti, penampilan diri, sikap, sifat dan masa depan anaknya. Mendidik mereka, tidak cukup hanya dengan menyerahkan kepada satu pihak atau bila berlaku sesuatu menyalahkan pihak yang lain. Kalau dulunya kita sama-sama berdoa agar dikurniakan anak yang soleh, maka sekarang kita juga mesti bersama membina dan membesarkan anak tersebut agar ia menjadi anak yang soleh.

Berilah perhatian yang sewajarnya pada anak-anak. Jangan sampai kita menyesal kemudian hari. Berilah perhatian dan masa yang mencukupi buat mereka dan jangan sesekali mengabai atau lalai dalam memberi pendidikan dan kasih sayang kepada mereka. Rasulullah bersabda:
(كفى بالمرء اثما أن يضيع من يقوت)
(Cukuplah seseorang itu jadi berdosa, apabila ia mengabaikan mereka Yang ia beri makan)

Sesetengah Ibubapa, dalam memberikan kasih sayang, membezakan antara anak lelaki dan perempuan. Sifat begini merupakan amalan arab Jahiliyyah di zaman Rasulullah saw. Islam tidak pernah membeza-bezakan antara anak lelaki dengan yang perempuan. Setiap ibu bapa perlu berlaku adil. Kerana lelakikah ia atau perempuan, semuanya anugerah Allah yang tiada bezanya Firman Allah dalam surah al-Syura ayat 49 dan 50:

لِلَّهِ مُلْكُ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ يَخْلُقُ مَا يَشَاءُ يَهَبُ لِمَنْ يَشَاءُ إِنَاثًا وَيَهَبُ لِمَنْ يَشَاءُ الذُّكُورَ(49)أَوْ يُزَوِّجُهُمْ ذُكْرَانًا وَإِنَاثًا وَيَجْعَلُ مَنْ يَشَاءُ عَقِيمًا إِنَّهُ عَلِيمٌ قَدِيرٌ(50)
(Bagi Allah jualah hak milik segala yang ada di langit dan di bumi; Ia menciptakan apa yang dikehendakiNya; Ia mengurniakan anak-anak perempuan kepada sesiapa yang dikehendakiNya, dan mengurniakan anak-anak lelaki kepada sesiapa yang dikehendakiNya. Atau Ia mengurniakan mereka kedua-duanya - anak-anak lelaki dan perempuan, dan Ia juga menjadikan sesiapa yang dikehendakiNya: mandul. Sesungguhnya Ia Maha Mengetahui, lagi Maha Kuasa).

Malah Rasulullah menegaskan bahawa pahala yang diberikan kepada sesiapa yang memiliki anak perempuan dan berjaya mendidik nya dengan tarbiah yang sempurna. Pahala yang akan diperolehi oleh kedua ibubapanya amatlah besar. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Tabrani Rasulullah bersabda:
)من كانت له ابنة فأدبها وأحسن أدبها وعلمها وأحسن تعليمها وأوسع عليها من نعم الله التي أوسع عليه كانت له منعة وسترا من النار( رواه الطبراني
(Sesiapa yang memiliki anak perempuan, membentuk adab pekertinya hingga sempurna adab pekertinya dan mendidiknya hingga sempurna pendidikannya dan memberi kemudahan kepadanya dari apa yang dipermudahkan oleh Allah kepadanya, semua itu akan menjadi penghalang dan dinding antaranya dengan api neraka).

Justeru itu usahlah kita membeza-bezakan antara anak-anak kita, kerana sebenarnya lelaki atau wanita, yang menjadi ukuran di sisi Allah ialah cerdik dan pandainya kita mendidik mereka menjadi insan berguna dan taat pada tuhannya.

Kita berharap semoga Allah menganugerahkan kita putera yang soleh dan puteri yang solehah menemani hidup kita melayari hari tua, kerana itulah kemuncak kehidupan yang paling indah dan bermakna. Hanya kerananya kita mampu menutup mata dengan sempurna dan meninggalkan alam ini dengan penuh senyuman dan bekalan.

رَبَّنَا وَاجْعَلْنَا مُسْلِمَيْنِ لَكَ وَمِنْ ذُرِّيَّتِنَا أُمَّةً مُسْلِمَةً لَكَ وَأَرِنَا مَنَاسِكَنَا وَتُبْ عَلَيْنَا إِنَّكَ أَنْتَ التَّوَّابُ الرَّحِيمُ(128) سورة البقرة

)Wahai Tuhan kami! Jadikanlah kami berdua: orang-orang Islam (yang berserah diri) kepadaMu, dan jadikanlah daripada zuriat kami: umat Islam (yang berserah diri) kepadamu, dan tunjukkanlah kepada kami syariat dan cara-cara ibadat kami, dan terimalah taubat kami; sesungguhnya Engkaulah Maha Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani(

_________________________________

(1)Surah al-Kahfi : ayat 46
(2)al-Haithami, Nur al-Deen Ali bin Abi Bakr (1412H) Maj'ma' al-Zawaid. Beirut; Dar al-Fikr.
(3) Riwayat al-Tabarani. al-Tabarani, Sulaiman bin Ahmad (1415H) al-Mu'jam al-Ausath. Kaherah; Dar al-Haramain. Jil. 7 Hal. 244 No. 7395. Kata al-Haithami dan al-Albani: dhaif
(3) Riwayat Abu Daud danAhmad. Sunan Abi Daud, Jil. 1 Hal. 529 No. 1692. Musnad
(4) Hadis ini diriwayatkan oleh Abu Daud dan Nasaie.

Read more »

Monday, December 15, 2008

BUAT BAIK DAN BUAT JAHAT ADALAH BERJANGKIT

Bacalah tulisan abang angkat ku ini...menarik. Beliau adalah guruku semenjak form 1 di Sarawak...dan keluarganya menjadi keluargaku semenjak form 4 di KIK hinggalah kini. Mereka sebahagian ahli keluarga besarku. Kini beliau pensyarah Komunikasi di UPM..terkenal dgn panggilan pak Ngah...tapi aku panggil dia abang setelah bertahun2 dia ku panggil cikgu...bahkan dia cikgu dan abangku..dunia akhirat. banyak jasa dan pengaruhnya padaku... kebaikannya mengadik angkatkan aku dan membiayai aku sekolah ke KIK, satu tradisi yang berjangkit kini padaku...terima kasih abang sekeluarga..Banyak sangat yang aku nak cerita pasal dia...kerana dia dan keluarganya sangat istimewa...dulu aku tak reti tumbuk cili, tapi kini aku dah boleh masak untuk kenduri kahwin di kpg. Mudahan adik-adik angkat dan anak-anak angkatku belajar menghargai kebaikan orang dengan memanjangkan kebaikan tersebut pada orang lain...'sayang' lebih berharga dari 'wang'.

baca disini: http://visualvivid.blogspot.com/2008/11/empati.html

Moga Allah rahmati AlMarhum Haji Abdul Hamid dan Almarhumah Hajjah Juwairiah dan menempatkan mereka bersama-sama para Nabi dan Rasul di sana....

Read more »

RESIPI KEKAL DALAM DAKWAH????

(Tulisan ini ku dedikasikan khusus buat abang Pantai Merdeka yang pernah ajar aku naik Vespa, Abu Muslim yang pernah jadi guru Ilmu Maqasid dan guru cintaku, Abang Kubur Panjang dan Abang Iparnya…dan Abu Nidal yang mungkin aku seorang sahaja yang tahu…Salam sayang untuk kalian dan terima kasih kerana mengajar aku untuk menjadi aku)


Tadi sempat bertemu dengan seorang akh yang baru memuliakan karier kerja dan dakwahnya di tanah air setelah ditarbiyyah bertahun-tahun lamanya di luar negeri. Bertemu dengan ikhwah begini satu anugerah ilahi kerana mampu mengambil sedikit semangat berkobar-kobar yang ia bawa balik…masih fresh, masih original…

Akupun sebenarnya tak pernah kenal akh ini, tapi di atas jalan ini aku dipertemukan dengan pelbagai jenis bangsa yang langsung tak pernah bersua sebelum ini walaupun dalam mimpi…tapi disaat minit pertama bersua, hati sudah bertaut rapat, bicara terus rancak,…seakan-akan dikandung bersama di alam rahim. Apa tidaknya…kami membaca buku yang sama, diberi hadam manhaj yang sama dan mengimpikan impian yang sama. Tajuk perbincangan seperti telah lama dirancang dan ditentatifkan. Itulah mungkin yang dinamakan 'dating ukhuwwah di dalam restoran dakwah'…jangan salah faham maksudnya.

Akh muda itu bertanya: Bagaimana nak terus kekal berada di atas landasan dakwah ini? Soalan yang mudah tapi berat jawapannya. Ini kerana, aku bukanlah orang yang paling cemerlang dalam melaksanakan tugas dan posisi yang diberikan kepadaku di atas jalan ini. Sebenarnya aku tak layak menjawabnya. Abang-abang yang pernah mentarbiah akupun tahu siapa aku… sering juga buat mereka pening kepala. Kekadang terfikir aku betapa sabarnya mereka mendidik aku. Dan kekadang aku merasakan betapa ‘tersilapnya’ mereka memilih aku. Apapun, kerana abang-abang ku itulah yang jadikan aku seperti sekarang. Walau tak sebaik mana…tapi masih boleh dikategorikan sebagai ‘orang’.

Cuma sebagai pensyarah...aku dah terbiasa memberi jawapan walau kekadang jawapannya terpaksa ditangguhkan dahulu kerana kurang bahan rujukan.

Dulupun aku ingin bertanya soalan yang sama ketika mula-mula balik ke Malaysia. Tapi sayang aku tak tahu nak ajukan soalan itu kepada siapa. Ini kerana, semua yang ku harap mampu memberi jawapan ramai yang telah kecundang…sesetengahnya bukan sekadar bau badan, bayang-bayangnya pun sudah hilang. Mujurlah aku tak dididik untuk ikut semua budaya ‘orang’.

Aku berkata kepada akh yang bertanya. Prinsip aku senang saja. Bila aku terima ‘perjuangan’ ini. Aku telah suntik ia dalam darahku, ku jadikan batu asas rumahtanggaku dan aku tak nampak lagi jalan ke syurga kecuali dengan melaluinya. Ia bagiku radar yang sering menunjukkan aku jalan pulang ketika aku tersesat dalam rimba kehidupan. Kerana itu aku amat ‘taassub’ dengannya…’taassub’ yang tidaklah menyebabkan aku menidakkan jalan orang lain…Aku hormati semua orang yang buat kerja atas kefahaman dan jalan yang ia yakini kerana tak ada faedahnya disediakan jalan dan kenderaan…tapi tak mahu berjalan…

Aku kata lagi pada akh yang bertanya: buat je kerja yang mampu kita buat sesuai dengan kefahaman dan kemampuan kita. Jangan banyak sangat menoleh kebelakang atau mengomen kerja orang. Jalankan tugas pada bahagian yang diamanahkan pada kita, biar Allah tentukan seterusnya. Terlalu memikir muqaddimah dan khatimah dalam kerja-kerja dakwah membuat orang mengambil masa yang cukup panjang untuk berfikir…berfikir terlalu lama kadangkala membuang banyak masa sedang orang lain sudah sampai ke-mana-mana. Sekurang-kurangnya: bawalah satu halaqah…kalau tak mampu himpunkan orang hebat-hebat, bawalah 'budak tadika 'dan ajarkan ia buku Asas-Asas Islam karangan Maududi. Kalau lebih kemampuan gerakkanlah cuaca dan udara dimanapun kamu berada. Adapun menunggu hari dimana kita diisytiharkan telah ‘sempurna’ dalam tarbiah dan baru boleh mula bekerja…takut tak sempat usia. Sedang yang Allah kira adalah amal dan kerja, bukannya natijah dan jaya…apatah lagi angan-angan dan azam kosong.

Ada orang menunggu hari sempurna. Berpuluh tahun berusrah, berdaurah, bermukhayyam dan berehlah untuk memahami fiqh al-Dakwah. Tapi nak bawa halaqah keluarga dan anak-anakpun tak sempat nak mula lagi…pelik bagi aku. Kalau dalam perahu orang begini memberatkan muatan. Setelah diajar berdayung bertahun-tahun masih duduk sebagai penumpang. Kalau terpaksa, tolak saja orang begini ke dasar lautan kerana dari badannya kurus, kini telah tua dan gemuk...masih tak pandai berdayung? wujud orang begini hanya memberatkan muatan. Kecualilah…dakwah ini menjadi rumah kebajikan atau organisasi yang berbangga dengan ramainya bilangan. Rasanya kitab Muntalaq bahagian akhir...tak ajar kita begitu..

Aku berkata: Allah telah kurniakan aku kemampuan berpidato dan berbicara. Dari budak tadika hinggalah pembesar negeri. Dari kelompok kecil, hinggalah puluhan ribu pendengar atau mungkin juga jutaan penonton. Tapi aku tak nampak perubahan mereka walaupun mungkin mereka telah berubah. Yang aku selalu aku nampak dan perolehi hasill...selepas program begitu, kocekku sedikit berisi dan cukup membayar minyak kereta dan makanan anak-anakku yang sering ku bawa setiap kali ada program.

Tapi mereka yang mendengar celoteh, muhassabah dan perkongsian fikrah dalam kelompok kecil, setiap minggu… Walaupun kadangkala aku nampak keterpaksaan mereka dan mereka tahu aku juga terpaksa…bukan sebulan bahkan bertahun…aku nampak muka mereka makin berseri, jiwa mereka makin terisi, cakap mereka semakin berkualiti dan semangat makin segar…mereka ini jauh lebih berharga, harapan agama dan negara… walaupun setiap kali program, kocekku sering bocor…Maklumlah Allah cuma jualkan syurganya untuk orang yang sanggup belinya dengan nyawa dan harta. (Lihat Surah al-Taubah: 115)…Tapi ramai ‘pejuang’ sekarang masa pun dah tak ada…kesian, mereka sangat miskin walau pendapatan mencecah puluhan ribu/montly…Benarlah kata sesetengah pejuang silam…dakwah itu sebenarnya tarbiyyah dan aku belum temui wasilah terbaik dalam tarbiah selain usrah…dan atasnyalah aku dibesarkan. Atasnya juga aku ingin besarkan anak-anakku dan anak-anak orang yang merasakan aku bapanya. Lagipun tak sama anak yang dibesarkan dalam rahim ibu dan tabung uji…

Buatlah kerja sesuai dengan kefahaman dan kemampuan kita, kalau asasnya betul pasti akan datang orang lain yang lebih hebat menyempurnakannya. Tiada gelaran yang lebih hebat dari gelaran ‘pendakwah’…walau nama kita tak sempat untuk dimuatkan dalam katalog orang hebat-hebat.

Satu lagi aku berpesan…hormati dan sayangilah rakan sefikrah walaupun ia naik kereta yang jenamanya berlainan dari kereta kita. Kalau dengan kucing dirumah pun kita boleh bertolak ansur dan bermesra, takkan dengan mereka tak boleh?. Bekerjasamalah dengan setiap muslim yang memiliki semangat perjuangan untuk memenangkan agama Allah dan mengimpikan syurga. InsyaAllah bumi manapun kita berada, pasti tuhan sediakan ruang untuk kita berjuang dan bahagia. (Kalau dah tak tahu nak buat apa...datanglah ke Sabah. Kita ada hampir 14,000 orang yg masuk Islam antara 2000-2007...maybe boleh ajar mereka macam mana nak berwudhu'..)

Dakwah ini tidak semudah mensilibuskannya dalam catatan tarbiah. Bahkan dengan amal dan kerja baru kita tahu mempraktikkannya. Bahkan baru teruji benar silapnya. Ini kerana manusia bukan robot yang tetap remotenya….

Satu lagi, belajarlah ikhlas dalam perjuangan walaupun yang dibuat itu cuma kecil. Bawalah anak-anak buah pada agamanya, bukan untuk menambah penyokong diri dan membuat club baru…jangan kita rasa kita saja yang hebat walau mungkin kita memang hebat. Ini kerana Allah akan hargai amal kebaikan yang dilakukan oleh saudara kita walaupun nilainya kecil tapi ikhlas. Tak semua orang macam kita, bahkan yang kita tarbiyyahpun tak semuanya jadi macam kita…mungkin lebih baik, mungkin juga lebih buruk…mungkin lebih cergas, mungkin lebih lembab… ertinya jangan mudah terpesona dengan kerja diri sendiri. Anak-anak yang dibin dan dibintikan dengan nama kita, mewarisi genetik dan DNA kita pun tak semua jadi macam kita, inikan pula anak orang…

Kesudahannya …buatlah kerja semampu yang mungkin. Kalau tak sepanjang masapun, tapi time rajin buatlah…kecualilah anda seorang yang memang pemalas dan tak bertenaga sepanjang masa, eloklah minum tongkat Ali banyak-banyak atau telan saja tongkatnya… memang dakwah ini takkan menang kalau kita cuma beri baki masa kita (al-Muntalaq)…tapi kalau tak mampu juga, berilah baki masa tu..jangan pulun semuanya untuk mengejar dunia. Kerana kita tidak ditarbiah bersilibuskan usrah Hamman dan Firaun.

Bekerjalah…jangan takut tersilap, try and error!! kalau tersilap, trylah perbetulkan. Guru terbaik adalah pengalaman dan pengalaman cuma diperolehi melalui amalan dan percubaan. Allah pun dah janjikan dengan amalan yang disertai dengan niat yang ikhlas…Allah janji berikan pahala. Jadi bekerjalah dimanapun berada…kita ramai atau bersendirian.

Panjangnya aku tulis…sedangkan jawapan ku tadi tidaklah sepanjang ini. Bahasanya pun tidaklah sesedap ini…ha ha… tapi bila balik baru aku terfikir…bahawa beginilah sepatutnya jawapanku. Kalau akh itu membaca…anggap ini jawapan terbaikku dan yang kita bincang tadi cuma sinopsisnya. Kerana tadi, aku tak larat bercakap panjang-panjang. Setiap hari, berjam-jam, selama 5 minggu tanpa henti, aku memberi kuliah kepada kelas khas yang majoritinya lebih tua usianya dari aku. Sekarang baru rehat sedikit…

Apapun, aku ucapkan jutaan terima kasih pada abang-abang ku di KIK, Mesir dan beberapa masaikh arabku di Jordan yang memperkenalkan aku pada produk dakwah ini. Wajah kalian sering bermain difantasiku ketika doa rabithah ku ucapkan... yang lain aku tak mampu bayar, kerana untuk pengetahuan kalian sehingga kini aku belum bergelar jutawan…kalian pun tak sempat didik aku jadi begitu.

Read more »

HAI ISTERI MENGALAHLAH...BAGIMU SYURGA

Suami anda buat hal hari ini?
Dia marah-marah?
Dia menyakitkan hati?
Dia yang salah? Tapi tak nak mengalah?
Memang...dah perangai lelaki ego...
Tapi puan masih sayang keluarga yang dibina?
Tapi tak jumpa 'panadol' yang boleh mengurangkan demamnya?
Apa kata cuba 'resepi' ubat Nabi...yg terkandung pada pil berjenama 'maaf'...

(1) Rasulullah s.a.w. bersabda kepada para sahabat: “Nak tak aku khabarkan kepadamu tentang siapakah wanita-wanita kamu yang akan memasuki syurga?”. Kami menjawab: "Bahkan, kami ingin sekali mengetahuinya wahai Rasulullah". Lalu Rasulullah s.a.w. berkata:
الْوَلُودُ الْوَدُودُ الَّتِي إِذَا غَضِبَتْ أَوْ أُسِيُّء إِلَيْهَا أو غَضِبَ قَالَتْ: يَدِي فِي يَدَكِ لا أَكْتَحِلُ بِغُمْضٍ حَتَّى تَرْضَى
(Iaitu setiap wanita yang pengasih kepada anak-anaknya dan banyak anak, dan wanita yang apabila ia marah kepada suaminya atau suaminya melakukan kesilapan kepadanya atau suaminya memarahinya ia akan berkata kepada suaminya: Tanganku ini aku serahkan ke tanganmu (untuk menerima hukuman), kerana aku tak mungkin mampu menutup mataku (untuk tidur dan rehat) sehinggalah engkau meredhai dan memaafkanku).(1)

(2) Rasulullah s.a.w. bersabda:
(فإن كان هو أظلم، فلتأته حتى ترضيه، فإن قبل منها فبها ونعمت، وقبل الله عذرها، وأفلج حجتها، ولا أثم عليها، وإن هو لم يرض، قد أبلغت عند الله عذرها)
(Maka andainya si suami menzalimi isterinya (memarahinya), hendaklah isteri datang meminta maaf sehingga suami memaafkannya, andainya suami memberi kemaafan, maka yang demikian itu nikmat bagi dirinya dan Allah akan menerima kesilapannya dan terpancar kehebatan isteri dan dosa-dosanya akan diampunkan oleh Allah. Adapun sekiranya suaminya tidak memaafkannya, tidak mengapa, kerana permohonannya telah sampai kepada Allah S.W.T.). (2)
______________________________________________________
(1) Riwayat al-Tabarani. al-Tabarani, Abu al-Qasim Sulaiman bin Ahmad (1415H) al-Mu'jam al-Ausath. Kaherah; Dar al-Haramain. Jil. 2 hal. 206 No. 1743.
(2)Riwayat al-Hakim dan al-Baihaqi. al-Hakim, al-Mustadrak. Jil. 2 Hal. 206 No. 2770. al-Baihaqi, Sunan al-Baihaqi al-Kubra. Jil. 7 Hal. 293 No. 14492.

(Bahan: dari buku Sarip Adul. Panduan Membina Keluarga Bahagia. bakal diterbitkan oleh Universiti Malaysia Sabah.)

Read more »

Saturday, December 13, 2008

HEBAT LELAKI PADA MEMBERI....


Ramai lelaki bujang apabila merancang untuk berumahtangga sering memikirkan pulangan yang bakal ia perolehi. Bukan hanya kepuasan seksual yang halal, bahkan juga kebahagiaan yang akan diberikan oleh isterinya kelak dalam rumahtangga. Pastinya ia inginkan seorang wanita yang sempurna, mampu berkhidmat kepadanya dengan baik, mengurus rumah dengan teratur atau juga mampu memasak masakan kegemarannya.

Lelaki yang berfikiran begitu kurang hebat sebenarnya….


Allah SWT tatkala menciptakan lelaki dan wanita, ia meletakkan lelaki berada satu darjat mengatasi wanita.

Bukan darjat kemuliaan tetapi darjat bebanan dan tanggungjawab. Lelaki dikehendaki ‘memberi’ sebelum ‘menerima’. Sebelum perkahwinan dan hingggalah selepas berkahwin. Tanggungjawab ini perlu dilaksanakan dengan sempurna sebelum layak dibalas dengan ketaatan dan penghormatan dari seorang wanita bergelar isteri

ولهن مثل الذي عليهن بالمعروف وللرجال عليهن درجة والله عزيز حكيم

(Dan isteri-isteri itu mempunyai hak yang sama seperti kewajipan yang ditanggung oleh mereka (terhadap suami) dengan cara yang sepatutnya (dan tidak dilarang oleh syarak); dalam pada itu orang-orang lelaki (suami-suami itu) mempunyai satu darjat kelebihan atas orang-orang perempuan (isterinya). Dan (ingatlah), Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.) al-Baqarah:228


Dipermulaan perkahwinan, lelaki wajib memberi mahar kepada isterinya. Lelaki juga yang menerima akad nikah dari wali atau wakilnya, isteri Cuma memerhati. Akad nikah juga bermaksud akad amanah. Amanah untuk mengambil alih tanggungjawab menjaga isteri yang dulunya menjadi beban si wali. Wanita pula sekadar menunggu janji dipenuhi. Lelaki kena isytiharkan azam dan cintanya dihadapan wali dan bersaksikan dua saksi sebagai tanda kesungguhannya. Kesungguhan untuk membahagiakan wanita idamannya sebagai tanda cinta sejati yang bersulamkan syariat Ilahi. (Tidak seperti kebanyakan ‘couple’ zaman sekarang…belum kahwin dah berkorban jiwa raga, tergadai maruah dan harga diri. Selalu yang berkorban dan terkorban adalah wanita. Sebab tu ada rumah perlindungan wanita yang terlanjur dan takde rumah perlindungan lelaki yang terlanjur. Walaupun bila buat tu atas nama suka sama suka…cinta dan pengorbanan…kah kah kah.. Bila tak jadi…wanita menanggis dan lelaki ketawa sendiri…disitulah bodohnya sesetengah wanita...jahatnya lelaki).


Bila dah kahwin…lelaki kena mencari nafkah, membahagiakan keluarga dan anak-anak. Nafkah makan minum, pakaian, kediaman, rawatan dan sebagainya. Wanita terima je…

Lelaki kena mentarbiyyah isteri dan anak-anak hingga mampu terselamat dari neraka dunia dan akhirat. Lelaki lagi yang memberi…

( يَا أَيُّهَا الَّذِينَ أَمَنُو قُوا أَنفُسَكُمْ وَ أَهْلِيكُمْ نَارًا وَقُودُهَا النَّاسُ وَالْحِجَارَة عَلَيْهَا مَلَائِكَةُ غِلاَظُ ُ شِدَادٌُ لَّا يَعْصُونَ اللهَ مَا أَمَرَهُمْ وَ يَفْعَلُونَ مَا يُؤْمَرُونَ:)

(Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan-bahan bakarannya: manusia dan batu (berhala); ) al-Tahrim:6


Lelaki sebagai ketua keluarga juga bertanggungjawab memastikan rumahtangganya berada di atas landasan agama sepanjang masa, dibudayakan dengan budaya syura dan mampu melahirkan zuriat yang menjadi ummah terbilang…lelaki yang perlu dipersalahkan terlebih dahulu kalau rumahtangga kucar kacir kerana kuasa kepimpinan berada ditangannya…isteri Cuma sebagai pembantu.


Suami juga akan dipersoalkan oleh Allah atas kelemahan dan kelalaian isteri dan anak-anak, kerana itu dia perlu menjadi qudwah dan murabbi kepada keluarga dalam merealisasikan ajaran agama dalam kehidupan.

والرجل راع في أهل بيته ومسئول عن رعتيه

(Lelaki itu pemimpin untuk ahli rumahnya dan akan dipersoalkan terhadap orang yang dibawah tanggungannya). Riwayat al-Bukhari


Itulah sedikit gambaran betapa besarnya peranan lelaki dalam memberi kebahagiaan pada isteri dan keluarganya. Jadi BILA masanya lelaki layak memperolehi balasan kebahagiaan?


Bahkan dalam urusan dalaman rumah seperti memasak, mencuci pakaian dan menjahit…walaupun bukan kerja asasi suami, tetapi Rasulullah SAW membuktikan bahawa menjadi tanggungjawab lelaki membantu meringankan beban kerja isteri seperti yang disebut oleh Aisyah RA: “adalah Rasulullah SAW melakukan kerja-kerja rumah seperti orang lain melakukan kerja-kerja rumah, menampal kasut, menjahit pakaian…”.


Anak-anak yang dibesarkan hasil dari titik peluh suamipun dikehendaki melebihkan ibunya dalam kasih sayang dan penghormatan melebihi bapanya. Harta milik isteri haram dicuit oleh suami walaupun satu sen tanpa izin isteri…sedangkan isteri berkongsi harta suaminya dan layak mengambilnya walau tanpa izin suami.


Jadi dimana hebatnya jadi lelaki dan dimana hebatnya jadi suami? Bilalah ia akan mengecapi kebahagiaan sebagai suami?


Sebenarnya kebahagiaan suami ialah pada banyak mana ia memberi kebahagiaan pada keluarganya dan sejauhmana ia mampu menyelamatkan mereka dari azab dunia dan neraka akhirat. Kebahagiaan lelaki sebenarnya bermaksud membahagiakan orang lain atau melihat orang lain bahagia. Ia cuma redha menerima setelah puas memberi…


Mungkin ramai lelaki akan mengeluh dan tertanya-tanya...dah pun siang memberi, malam-malam pun memberi.?? He he...tapi jangan rasa menyesal sebagai suami...sebab part ni amat berbaloi...bukankah Rasulullah SAW pernah bersabda:

وفي بضع أحدكم صدقة

(didalam persetubuhan salah seorang diantara kalian ada pahala).(HR Muslim dan al-Nasaie)


Jadi jangan jemu memberi dan bersedekah... berpahala tuuuuuuu.....


Lantaran itu...jangan hairan kalau melihat rombongan keluarga melintas depan mata. Si bapa memakai pakaian ala kadar sahaja, sedang anak-anak cantik bergaya dan si isteri gemerlapan bercahaya...jangan dulu menghukum nya lelaki kedekut...ini kerana bahagianya ada pada kegembiraan ahli keluarganya. Ketenangannya ada pada kepuasan mereka. Cahaya di wajah merekalah menjadi suluh menerangi wajahnya. Sebenarnya dialah lelaki hebat...hebatnya pada memberi bukan pada menerima. Malah sangat mengaibkan lelaki yang lebih banyak menerima sebelum memberi...

Begitulah seorang lelaki sepatutnya menilai diri dan dinilai…


(Tulisan ini lebih perlu dibaca oleh lelaki yang teringin nak tambah cawangan. Tanya diri sendiri, dah cukup ke kita memberi hingga apabila diminta pengorbanan isteri dia akan menjawab dengan jujur dan tenang..."takpe lah bang, kali ini giliran 'ayang' pula berkorban."...Subhanallah. Atau jawapannya begini..."alaaahhh, yang dok adapun tak mampu nak dijaga"...he he dan innalillah...tetapi kekadang ada benarnya: kontraktor yang gagal dalam projek bina rumah yang pertama akan terus gagal pada projek berikutnya atau sekurang-kurangnya jadi 'asas takut' untuk mengambilnya jadi kontraktor membina rumah berikutnya...kecualilah bagi wanita yang suka memperjudikan nasibnya ditangan kontraktor rumah begitu? Bagi wanita, tak salah jadi yang kedua kalau terpaksa dan tak dipaksa...tapi pastikan dulu bakal kontraktor yang nak buka kilang baru kat tanah saudari memang telah diluluskan sebagai kontraktor bertauliah, memiliki sijil ISO tahap tinggi pada kualiti diri, rekabentuk dan hasil kerjanya, bahkan telah terbukti dan diiktiraf (khususnya oleh isteri dan anak2nya)...InsyaAllah, mereka ini mampu bina rumah atas Sunnah Nabi (istilah ni selalu dijadikan skrip orang lelaki...aku pinjam je). Lain dari tu, tiada yang sanggup bagi jaminan kerana kaedah telah menyebut: Orang yang tiada sesuatu, tak mampu beri sesuatu. Orang yang cuma ada setengah gelas air takkan mampu memberi segelas..sekadar bahan berfikir)



Read more »

ZIONIS DOKONGI KEMENANGAN OBAMA

Read more »

Wednesday, December 10, 2008

DIA BAIK BA.....



Baru ni seorang gadis apabila saya tanya tentang boy friend dia menjawab: Dia tu baik ba ustat..…saya yakin dia mampu membahagiakan saya.

Saya teringat sabda Rasulullah SAW:

(إِذَا أَتَاكُمْ مَنْ تَرْضَوْنَ خُلُقَهُ وَدِينَهُ فَزَوِّجُوهُ إِلَّا تَفْعَلُوا تَكُنْ فِتْنَةٌ فِي الْأَرْضِ وَفَسَادٌ عَرِيضٌ)
(Sekiranya datang kepada kamu lelaki yang kamu redhai akhlak dan agamanya, kahwinilah. Jika kamu tidak melakukan yang demikian, nescaya akan berlaku fitnah di atas muka bumi dan kerosakan yang besar).

Memilih calon suami dan calon isteri yang baik memang satu kewajipan. Ini kerana rumahtangga perlu berkekalan sampai ke penghujung hayat…bahkan sampai ke syurga.

Cuma, apakah asas ‘BAIK’ dan indikator yang diguna pakai untuk mengukur kebaikan?.

Seekor anjing menilai kebaikan berdasarkan standard dan levelnya. Baginya bangkai ditepi jalanpun masih baik dan sesuai untuk dimakan. Kucing juga beranggapan tulang ikan yang ditinggalkan oleh tuannya dianggap baik dan ia sanggup memakannya dengan penuh selera….

Ada juga manusia begitu. Pasangan yang ditemui ditepi jalan, di majlis-majlis sosial dan di panggung wayang sebagai baik…Malah ‘orangan terpakai’ juga dianggap baik…(kecuali yang benar-benar telah bertaubat).

Ada orang menilai kebaikan berdasarkan penampilan luaran. Pada janggut, jubah dan perwatakan zuhud dan ‘cool’nya. Memang penampilan luaran juga kadangkala terhasil dari perwatakan dalaman. Seorang wanita yang sanggup memakai tudung labuh pastinya memiliki kefahaman dan naluri keagamaan yang kuat. Lantaran itu ia sanggup memakainya di tengah-tengah budaya manusia yang lebih gemar meminimumkan pakaian. Tapi cukupkah itu sebagai indikator? Ya memang cukup kalau rumahtangga sekadar untuk menjadi rumah tempat berlindung dari fitnah dunia dan kesengsaraannya.

Tapi bagi pendakwah, pastinya ukuran kebaikan terlalu tinggi maknanya. Memilih pasangan yang baik adalah satu amanah Allah kerana kelak rumahtangganya bakal menjadi ‘kilang’ melahirkan generasi pejuang yang mantap tarbiyyah. Menjadi ‘markas’ yang mengerakkan dakwah di persekitarannya. Menjadi ‘masjid’ yang dipenuhi dengan ibadah dan menenangkan jiwanya. Malah menjadi ‘kem motivasi’ yang akan terus-terusan merangsang jiwa dan anggotanya untuk bergerak dan berjuang memartabatkan kalimah Allah di atas mukabumi.

Bagi pendakwah, baik itu bukan sekadar seagama…bahkan sefikrah, semanhaj, satu tujuan dan satu jalan.

Baginya maksud ‘beragama dan berakhlak’ dalam hadith tadi diukur berdasarkan kefahaman dan halatujunya dalam dakwah. Ini kerana martabat tertinggi rumahtangga ialah qudwah, tarbiyyah dan dakwah.

Tapi di kalangan satria dan srikandi dakwah pun ramai yang memilih pasangan seumpama anjing dan kucing…

Apapun bahananya tetap ada apabila silap memilih asas. Umpama orang kaya-kaya di bukit antarabangsa. Rumah itu pastinya dianggap hebat, mewah dan kukuh kerana dibina di kawasan elit. Tapi tersilap menilai asasnya…akhirnya berlaku krisis. Mungkin krisis semulajadi, tapi pastinya wujud kesilapan dalam ‘menilainya’ dari awal…salam takziah untuk mereka dan untuk mereka yang rumahtangganya juga berhadapan dengan tsunami dan tanah runtuh…

Read more »

Thursday, December 4, 2008

SAYANG ITU SATU AMANAH

Seorang sahabatku pernah memberikan aku sekeping kad kecil yang tertulis kata-kata tersebut dengan tulisan tangannya 9 tahun yang lepas…


Dengan segala kekurangan dan kelemahan diri, aku cuba berusaha untuk menjadi tempat berpaut ramai orang sekelilingku. Kekadang mereka anggap aku bapa, abang, kawan, murabbi dan guru…dan ada gak yang ehemm ehem...he he. Saat paling bahagia apabila melihat mereka bahagia. Bila mereka menangis, hati ku juga turut sebak…


Kadangkala menyayangi orang lebih berbentuk berkongsi kesedihan dan penderitaan seseorang,. Apatah lagi tabiat manusia yang suka berpaut pada orang bila dalam kesusahan dan kesedihan. Bila bahagia ramai orang terlupa diri, kawan dan tuhan. Itu tafsiran aku sendiri…tak semestinya betul.


Aku sekadar ingin membahagiakan orang keliling ku sekadar termampu. Mudahan di situ ada catatan kebaikan di sisi tuhanku. Kadangkala tak semua yang menerima kebaikan memahami itu kebaikan. Ada yang tersasul, tersasar dan salah anggap. Teguran dan kemarahan kadangkala dianggap kebencian. Nasihat dianggap perli. Muka masam dianggap mengkeji….kerana tabiat manusia suka dipuja dan dipuji….


Al-Quran sendiri mengunakan dua uslub dalam mendidik manusia. Kadangkala dalam bentuk ‘basyir’ (khabar gembira) dan kadangkala menggunakan pendekatan ‘nazir’ (ancaman dan peringatan). Apabila Allah memberi peringatan dan ancaman kepada orang beriman bukan tandanya Allah benci…bahkan ia lahir dari limpahan kasih sayang Allah pada hambanya agar tidak mengulangi kesilapan yang sama, mampu perbaiki diri dan berjaya di dunia dan akhirat.


كِتَابٌ فُصِّلَتْ آيَاتُهُ قُرْآنًا عَرَبِيًّا لِقَوْمٍ يَعْلَمُونَ * بَشِيرًا وَنَذِيرًا فَأَعْرَضَ أَكْثَرُهُمْ فَهُمْ لَا يَسْمَعُونَ *

(Sebuah Kitab yang dijelaskan ayat-ayatnya satu persatu; iaitu Al-Quran yang diturunkan dalam bahasa Arab bagi faedah orang-orang yang mengambil tahu dan memahami kandungannya.Ia membawa berita yang mengembirakan dan membawa amaran; dalam pada itu kebanyakan mereka berpaling ingkar, maka dengan sebab itu mereka tidak menerima dan tidak mematuhinya). Surah Fussilat (3-4)


Menyayangi mereka bagiku satu amanah. Bila kasih mereka tiba, bagi aku itu amanah baru yang perlu dipikul. Membahagiakan mereka dan melihat mereka bahagia adalah tanggungjawab walau akhirnya diri sendiri kecewa dan derita. Lantaran itulah kemuliaan Muhammad SAW yang sanggup derita dan sengsara demi melihat umatnya sejahtera.


Sekurang-kurangnya jangan ada yang akhirnya menuding jari kepada kita…bahawa kita tidak pernah memberi ruang dan peluang. Ini kerana expert macam mana pun seorang insan, ia tak mampu meramal masa depan. Perancangan itu pemudah kerja, tapi bukan penentu jaya. Penentuan kejayaan dan kebahagiaan adalah milik mutlak Ilahi.


Sebagai manusia, kita takkan jumpa manusia yang sempurna dalam memberi dan menunaikan tanggungjawabnya. Namun kesanggupan seseorang untuk memberi yang terbaik sudah layak untuk dihargai walau akhirnya tidak cukup baik. Justeru itu apabila kita menerima kasih dan sayang dari seseorang dalam apa bentuk sekalipun (selagi diizinkan syarak) wajar dihargai. Jangan kerana sedikit silapnya ia dibenci dan dijauhi. Itu menampakkan sangat kita terlalu berkepentingan dalam membina ukhuwwah dan hubungan.


Apapun tafsirannya…menyayangi dan disayangi itu satu amanah….didiklah diri untuk menjadi pemberi sebelum menjadi penerima. Pemberian yang paling besar nilainya ialah kesanggupan kita mengorbankan masa, harta dan nyawa untuk membantu agama Allah. Mudahan di akhirat kita layak menjadi penerima nikmat hakiki…nikmat syurgawi.


Hayati sabda Nabi SAW:

مَنْ نَفَّسَ عَنْ مُؤْمِنٍ كُرْبَةً مِنْ كُرَبِ الدُّنْيَا نَفَّسَ اللَّهُ عَنْهُ كُرْبَةً مِنْ كُرَبِ يَوْمِ الْقِيَامَةِ وَمَنْ يَسَّرَ عَلَى مُعْسِرٍ يَسَّرَ اللَّهُ عَلَيْهِ فِي الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ وَمَنْ سَتَرَ مُسْلِمًا سَتَرَهُ اللَّهُ فِي الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ وَاللَّهُ فِي عَوْنِ الْعَبْدِ مَا كَانَ الْعَبْدُ فِي عَوْنِ أَخِيهِ

Barang siapa yang melepaskan satu kesusahan seorang mukmin, pasti Allah akan melepaskan darinya satu kesusahan pada hari kiamat. Barang siapa yang menjadikan mudah urusan orang lain, pasti Allah akan memudahkannya di dunia dan di akhirat. Barang siapa yang menutup aib seorang muslim, pasti Allah akan menutupi aibnya di dunia dan di akhirat”.(HR.Muslim No 2699)





Read more »

KASUT BURUK

Telah menjadi kebiasaan ku apabila di akhir sesi perkuliahan di hujung semester, aku akan berpesan pada pelajar-pelajar ku agar bawa balik sebelah kasut burukku. Iaitu setelah satu semester aku bercerita dan berceloteh tentang kehidupan meliputi halatuju hidup, peranan diri, rumahtangga, isu-isu agama, politik, ekonomi…hinggalah ke isu antarabangsa. Aku tahu tak semua orang setuju dengan cara dan pandanganku. Aku pun tak pernah merasakan apa yang aku perkatakan ‘mesti’ betul dan ‘mesti’ benar…aku cuma memberikan mereka bahan berfikir dan memilih yg benar dan terbaik untuk hidup mereka. Bukankah dalam usia mereka di Universiti sudah sepatutnya boleh berfikir dan menilai? Kalau tak..takde gunanya masuk U.

Aku juga tidak merasakan bahawa semua idea dan pandanganku betul dan perlu untuk semua orang. Cuma aku memang ditugaskan oleh UMS untuk bercakap 2 hingga 3 jam seminggu kepada pelajar-pelajar ku tentang hidup ini melalui kursus yg diwajibkan kepada mereka. Cuma bezanya, aku tidak hanya bercakap sekadar untuk melayakkan aku terima gaji bulanan, tapi…aku isikan semua kata-kataku dengan wangian kasih sayang seorang guru pada pelajarnya.

Aku merasakan ada yang akan memerlukan aku suatu masa nanti dalam hidupnya. Kalau tidak di awal, mungkin di pertengahan atau mungkin juga di penghujung hayatnya. Kerana itu aku bekalkan mereka sebelah kasut burukku…bahkan nilai pengajaranku aku kira setaraf itu sahaja. Kerana nilai kasut buruk itu tak seberapa…aku sering minta mereka letakkan aku di tangga terakhir talian hayat mereka…andainya mereka tak temui orang lain yang mampu menjadi tempat menyandar ketika derita dan sakit.

Aku harap pelajar-pelajarku tak akan mengembalikan kasut buruk itu kerana waktu itu aku yakin mereka telah temui kebahagiaan sesuai dengan citarasa mereka.

Aku Cuma ingin menjadikan diri ini ‘bermanfaat untuk orang lain’ seperti pesanan al-Imam Hassan al-Banna ketika mengariskan 10 ciri peribadi muslim yang unggul yang menjadi target proses tarbawi seorang akh mujahid….

Cuma akhir-akhir ini, banyak antara mereka yang datang semula kepadaku dan memulangkan semula kasut buruk itu sebagai bukti janjiku untuk menjadi tempat menyandar mereka….aku sedih kerana mereka rupanya tak bahagia…

Read more »

Tuesday, December 2, 2008

EID AL-ADHA: PENGORBANAN (2005) -kalau malas nak buat khutbah raya tahun ni...baca je lah yg ni kat mimbar tu..




KHUTBAH 1 : AIDIL ADHA

الله أكبر× 7 كالي ، الله أكبر كبيرا والحمد لله كثيرا وسبحان الله بكرة وأصيلا. لا إله إلا الله ولا نعبد إلا إياه مخلصين له الدين ولو كره الكافرون، لا إله إلا الله والله أكبر، الله أكبر ولله الحمد. الحمد لله رب العالمين الذي وفق المؤمنين إلى طاعته وتجلى عليهم بدينه. وأشهد أن لا إله إلا الله وحده لا شريك له، إليه يصعد الكلم الطيب والعمل الصالح يرفعه، وأشهد أن محمدا عبده ورسوله وصفيه وحبيبه دعانا إلى العمل والجد وحذرنا من الكسل والعجز. اللهم صل وسلم على سيدنا محمد وعلى آله وأصحابه وأتباعه إلى يوم المعاد، أما بعد:

Muslimin dan Muslimat yang dirahmati Allah,

Imam Abu Daud, Ahmad dan al-Nasaie meriwayatkan dari Anas bin Malik bahawa Anas pernah berkata: “Tatkala Rasulullah SAW tiba di Madinah ketika Hijrah, Orang-orang Madinah merayakan 2 hari raya. Rasulullah SAW bertanya kepada orang-orang Ansar: ‘Untuk apakah 2 hari tersebut”?. Mereka menjawab: “Pada kedua-dua hari tersebut kami menghabiskan masa dengan bermain” Lalu Rasulullah SAW bersabda:

(إن الله قد ابدلكم بهما خيرا منهما: يوم الأضحى ويوم الفطر)[1]

(Sesungguhnya Allah telah mengantikan untuk kamu (umat Islam) 2 hari yang jauh lebih baik dari 2 hari terdahulu iaitu Eid al-Adha dan Eid al-Fitri).


Telah ditentukan oleh Allah SWT bahawa kedua-dua hari raya orang Islam disambut selepas sesuatu kefardhuan dan ibadah agung. Eid al-Fitri disambut setelah selesai berpuasa. Begitu juga Eid al-Adha disambut setelah selesai umat Islam wuquf di Arafah pada tanggal 9 zulhijjah. Inilah tabiat agama ini, yang inginkan umatnya merasai nikmat sebenar raya setelah mampu menyelesaikan tugas dan amanah,…atau dalam ertikata lain merasai kemenangan setelah penat berjuang.


الله أكبر الله أكبر الله أكبر ولله الحمد


Muslimin dan Muslimat yang dirahmati Allah,

Eidul Adha yang kita sambut setiap tahun juga mengingatkan kita peristiwa pengorbanan agung Nabi Ibrahim a.s. yang sanggup mengorbankan anaknya Ismail a.s. Pengorbanan besar bagi membuktikan cinta suci baginda kepada Allah swt. Firman Allah swt:



" Wahai Tuhanku! Kurniakanlah kepadaku anak yang terhitung dari orang-orang yang soleh!" Lalu Kami berikan kepadanya b

erita yang meng

embirakan, bahawa ia akan beroleh seorang anak yang penyabar. Maka ketika anaknya itu sampai (ke peringkat umur yang membolehkan dia) berusaha bersama-sama dengannya, Nabi Ibrahim berkata: "Wahai anak kesayanganku! Sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku akan menyembelihmu; maka fikirkanlah apa pendapatmu?". Anaknya menjawab: "Wahai ayah, jalankanlah apa yang diperintahkan kepadamu; Insya Allah, ayah akan mendapati daku dari orang-orang yang sabar".Setelah keduanya berserah bulat-bulat (menjunjung perintah Allah itu), dan Nabi Ibrahim merebahkan anaknya dengan meletakkan iringan mukanya di atas tompok tanah, (Kami sifatkan Ibrahim - dengan kesungguhan azamnya itu telah menjalankan perintah Kami), Serta Kami menyerunya: "Wahai Ibrahim! "Engkau telah menyempurnakan maksud mimpi yang engkau lihat itu". Demikianlah sebenarnya Kami membalas orang-orang yang berusaha mengerjakan kebaikan. Sesungguhnya perintah ini adalah satu ujian yang nyata; Dan Kami tebus anaknya itu dengan seekor binatang sembelihan yang besar;) Surah al-Saafaat: 100-107.


Nabi Ibrahim diperintahkan supaya menyembelih atau mengorbankan anak tercinta. Seorang anak yang diimpikan sekian lama, Cuma mampu diperolehi ketika usia telah tua. Tiba-tiba datang ujian yang maha esa, anak yang baru meningkat remaja diarahkan supaya disembelih sebagai bukti cinta dan taat setia. Arahan yang membawa konflik jiwa di hati Ibrahim, antara cinta anak dan cinta tuhan. Mana yang perlu didahulukan? kerana cinta memerlukan pengorbanan atau terpaksa mengorbankan cinta yang kurang pentingnya demi mendahulukan cinta agung yang hakiki, yang tanpanya kehidupan akan gerhana dan kebahagiaan kan tergendala.


Akhirnya Nabi Ibrahim dengan redha sanggup berkorban dan Ismail sanggup dikorbankan demi memenuhi cinta Ilahi. Kisah cinta yang luarannya nampak abstrak, tapi dalamannya terlalu indah untuk digambarkan. Hanya dengan meletakkan cinta kepada Allah ditahap tertinggi dan melebihi kecintaan kepada yang lainnya akan melayakkan seseorang muslim itu menjadi hamba Allah yang sejati dan layak memperolehi redhanya dan memasuki syurganya.


Muslimin dan muslimat yang dirahmati Allah,

Semua bentuk perjuangan untuk mencapai matlamat suci memerlukan pengorbanan. Hendak dapat ilmu dan kecemerlangan perlu berusaha dan berkorban, untuk kaya juga perlu berusaha dan berkorban, untuk mengecapi kehidupan bahagia juga memerlukan usaha dan pengorbanan dan nak masuk syurga juga perlu usaha dan pengorbanan. Walaupun bentuk pengorbanannya berbeza namun konsepnya tetap sama. Kerana….tiada kebahagiaan yang datang percuma. Semuanya memerlukan bayaran. Angan-angan kosong tidak membawa manusia ke mana-mana. Justeru Kerana kesanggupan berkorban inilah generasi awal Islam mampu membina tamadun dan mewarnai pentas dunia berkurun lamanya. Kegemilangan tersebut mereka capai bukan hanya kerana kesanggupan mereka berkorban masa, tenaga dan harta….malah lebih dari itu, mereka sanggup berkorban darah dan nyawa demi cinta mereka kepada Allah. Hanya generasi begini yang mampu memartabatkan maruah diri, keluarga, negara dan agamanya. Khalid bin al-Walid ketika mensifatkan tentera-tentera yang menyertainya dalam peperangan menentang Parsi menyebut:

(قد أتيتكم بأقوام هم أحرص على الموت منكم على الحياة)[2]

(Aku datang kepada kamu dengan satu kaum yang mana mereka ini akan berusaha untuk mati (tidak takut mati), berbanding dengan kamu yang berusaha untuk hidup).


Akhirnya kesanggupan berkorban tahap tinggi yang dimiliki oleh tentera Khalid berbaloi apabila mereka berjaya membuka Iraq dan melepaskannya dari kekuasaan Parsi. Inilah sifat Islam seperti yang diceritakan oleh Walid al-A’zhamie:

هو الإسلام تضحية يريد

(Itulah Islam yang memerlukan pengorbanan umatnya).[3]


Namun di hari umat Islam menjadi kedekut… kedekut mengorbankan apa yang mereka miliki dari harta, tenaga malah masa….mereka bukan menjadi bertambah mulia dan kaya, bahkan menjadi bangsa hina… terjajah watan, harta dan suara… bangsa yang menjadi seumpama hamba di tanah air sendiri. Selagi umat Islam berterusan begini mereka tidak akan sampai kemana-mana kerana harga bagi sebuah kemuliaan dan tamadun itu ialah dengan pengorbanan dan mengorbankan setiap sesuatu yang dicintai kerana Allah.


الله أكبر الله أكبر الله أكبر ولله الحمد


Muslimin dan Muslimat yang dirahmati Allah,

Mimbar pada hari ini menyeru supaya semua umat Islam sama-sama mengembeling tenaga menjadikan kampung dan sekitarnya bertambah maju dan gemilang. Indah dipandang mata, tenang jiwa menjadi penghuninya. bersih persekitarannya, elok peribadi warganya. Kampung yang mampu melahirkan anak-anak yang baik dan cerdik…cerdik dalam mengurus kehidupan di alam fana’ dan cerdik dalam menilai untung nasib di alam baqa’ . Berguna kepada makhluk dan Khaliq. Mampu berbakti kepada diri, keluarga, masyarakat , bangsa negara dan agama.. Semua itu mustahil akan tercapai kalau kita hanya ‘goyang kaki’ di rumah dan tidak sanggup mengorbankan sedikit dari umur dan tenaga yang Allah telah kurniakan kepada kita. Talhah bin Ubaidillah seorang sahabat yang dijanjikan oleh Allah dengan syurga menyebut:

(إن أقل العيب على المرء أن يجلس في داره)[4]

(Sesungguhnya sekurang-kurang keaiban kepada seorang insan itu apabila ia duduk bersenang lenang di rumahnya).


Kita sebenarnya memiliki aset manusia yang baik-baik di kampung ini. Manusia terpilih yang dipilih sendiri oleh Allah untuk menganuti agamanya dan memperjuangkannya. Tetapi semua itu tidak mendatangkan sebarang manfaat kalau hidayah yang kita kecapi sekadar berligar pada diri dan keluarga dan kita tidak menyeru orang lain untuk menerimanya. Kita bangga menjadi seorang muslim, bangga dengan ibadah kita, dengan jubah dan serban kita, dengan kopiah dan janggut kita. bangga dengan harta dan pekerjaan kita, hingga kita terlupa bahawa di sekeliling kita masih ramai manusia yang jauh dari hidayah dan bergelumang dengan dosa….orang begini harus berhati-hati kerana ditakuti kewujudannya sekadar memberatkan perut bumi. Abdullah bin Masud r.a tatkala melihat ahli zuhud di zamannya yang keluar meninggalkan bandar kufah untuk bertapa dan beribadah kononnya untuk mensucikan diri berkata:

لو أن الناس فعلوا مثل ما فعلتم فمن كان يقاتل العدو؟

(Andainya semua manusia melakukan apa yang kamu lakukan, maka siapa yang akan menentang musuh? )


Ya!!! siapa yang akan mempertahankan negara, mendaulatkan agama…siapa yang akan mendidik anak-anak, membina generasi penerus perjuangan andai kita sekadar memberi hampas dan saki baki umur kita.

الله أكبر الله أكبر الله أكبر ولله الحمد


Muslimin dan Muslimat yang dirahmati Allah,

Mimbar juga ingin mengingatkan bahawa tidak semua pengorbanan akan diterima oleh Allah. Dalam kisah anak-anak Nabi Adam, iaitu Qabil dan Habil, Allah hanya menerima ibadah qorban salah seorang dari mereka. Ini berkait rapat dengan niat dan sejauh mana pengorbanan tersebut bertepatan dengan kehendak Allah.


(Dan bacakanlah (wahai Muhammad) kepada mereka kisah (mengenai) dua orang anak Adam (Habil dan Qabil) yang berlaku dengan sebenarnya, iaitu ketika mereka berdua mempersembahkan satu persembahan korban (untuk mendampingkan diri kepada Allah). Lalu diterima korban salah seorang di antaranya (Habil), dan tidak diterima (korban) dari yang lain (Qabil). Berkata (Qabil):" Sesungguhnya aku akan membunuhmu!". (Habil) menjawab: "Hanyasanya Allah menerima (korban) dari orang-orang yang bertaqwa ) al-Maaidah :27


Memang sesuatu yang menyedihkan kalau pengorbanan yang dicurahkan, tidak mampu mencapai sasarannya. Begitulah juga perasaan ibubapa dan masyarakat, apabila pemuda harapan bangsa dan pemudi tiang negara yang berada di institusi pendidikan rendah, menengah dan pengajian tinggii pulang ‘lenggang kangkung’ dan gagal membawa sebarang kejayaan. Rugi sahaja usia muda yang dilalui, perit jerih dan titik peluh ibubapa tidak dihargai. pengorbanan mereka yang sentiasa berdoa, mengharap dan menanti, akhirnya tidak mampu menyuburkan padi, malah lalang pula menjadi ganti. Diharap anaknya mampu memimpin negara tapi akhirnya menjadi penyakit kepada negara, bangsa dan agama ….kerana mungkin niat si pemuda dan sipemudi seperti Qabil, pengorbanannya kotor bukan kerana cinta ilahi tapi kerana nafsu dan kejahilan diri. Lantas, pengorbanan bertahun-tahun sia-sia tidak bermakna. Kepenatan dibayar dengan kegagalan. Cinta mengundang kebencian. Lebih menyedihkan kalau kegagalan itu bukan cuma di dunia tapi di akhirat turut ‘mengecapi’ azab sengsara. Na’uzu billah.

الله أكبر الله أكبر الله أكبر ولله الحمد


Muslimin dan Muslimat yang dirahmati Allah,

Dihari baik bulan baik ini…marilah kita sama-sama menanam azam dan menambah usaha untuk manjadikan diri kita lebih bertakwa kepada Allah swt. Tanpa takwa semua ibadah korban dan pengorbanan kita tidak bermakna dan tidak diterima oleh Allah swt. Itulah rahsia penerimaan ibadah qurban Habil, kerana ketakwaannya kepada Allah. Firman Allah swt:

(Daging dan darah binatang korban atau hadiah itu tidak sekali-kali akan sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepadaNya ialah amal yang ikhlas yang berdasarkan taqwa dari kamu). Surah al-Hajj:

بارك الله......


KHUTBAH 2

الله أكبر× 5 كالي ،لا إله إلا الله والله أكبر، الله أكبر ولله الحمد.

الحمد لله رب العالمين الذي احيينا في هذا الشهر المبارك، أشهد أن لا إله إلا الله وحده لا شريك له وأشهد أن محمدا عبده ورسوله، اللهم صل وسلم على حبيبنا محمد وعلى آله وصحبه أجمين. أما بعد:

Allah swt berfirman ketika mensyariatkan ibadah korban:

(Sesungguhnya Kami telah mengurniakan kepadamu (wahai Muhammad) kebaikan yang banyak (di dunia dan di akhirat). Oleh itu, kerjakanlah sembahyang kerana Tuhanmu semata-mata, dan sembelihlah korban (sebagai bersyukur). Sesungguhnya orang yang bencikan engkau, Dia lah yang terputus (dari mendapat sebarang perkara yang diingininya). Surah al-Kauthar.


Islam mensyariatkan Ibadah Korban bertujuan untuk memperkukuhkan ikatan umat Islam dan membantu golongan yang kurang berkemampuan di hari yang mulia. Ia merupakan simbol persaudaraan, perpaduan dan kesatuan. Justeru itu daging korban perlu di bahagi 3: 1/3 untuk diri dan keluarga, 1/3 untuk jiran dan kawan-kawan dan 1/3 untuk fuqara dan masakin.


Disunatkan juga kepada orang yang berkorban, menyembelih sendiri binatang korbannya. Bagi yang tidak mampu melakukan sendiri, maka disunatkan ia melihat upacara penyembelihan binatan korbannya. Rasulullah saw berkata kepada puterinya Fatimah:

(قومي إلى أضحيتك فاشهديها فإنه بأول قطرة من دمها يغفر لك ما سلف من ذنويك) رواه البيهقي

(bangun dan saksikan penyembelihan binatang korbanmu, sesungguhnya pada titisan pertama darahnya, akan diampunkan semua dosa-dosamu yang terdahulu).


Marilah kita sama-sama memperbanyakkan salawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW. Kerana Allah berfirman:

إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ يَاأَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا(56) سورة الأحزاب

(Sesungguhnya Allah dan malaikatNya berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad s.a.w); wahai orang-orang yang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya).

اللهم صل على محمد وعلى آله وصحبه أجمعين.

اللهم اغفر المسلمين والمسلمات والمؤمنين والمؤمنات الأحياء منهم الأموات.

اللهم أصلح لنا ديننا الذي هو عصمة أمرنا وأصلح لنا دنيانا التى فيها معاشنا وأصلح لنا آخرتنا التى إليها معادنا واجعل الحياة زيادة لنا في كل خير واجعل الموت راحة لنا من كل شر.

اللهم انصر الإسلام والمسلمين وانصر المجاهدين في فلسطين وفي العراق وفي كل مكان يا رب العالمين.

اللهم آتنا في الدنيا حسنة وفي الآخرة حسنة وقنا عذاب النار

عبادالله إن الله يأمر بالعدل والإحسان وإيتاء ذي القربى وينهى عن الفحشاء والمنكر والبغي، يعظكم لعلكم تذكرون. فاذكروا الله العظيم يذكركم واسئلوا من فضله يعطكم ولذكر الله أكبر والله يعلم ما نصنعون.

الله أكبر الله أكبر الله أكبر ولله الحمد




[1] Sanadnya menepati syarat Imam Muslim: lihat Ibn Taimiyyah. Iqtida’ al-Sirat al-Mustakim Mukhalafah ashab al-Jahim. Beirut: Dar al-Ma’rifah. Hal 174.

[2] Tarikh al-Tabari. (3/344)

[3] al-Rasyid, Muhd Ahmad.(1975). Al-Muntalaq. Beirut: Muassasah al-Risalah. Hal.228.

[4] Tabaqat Ibn Saad. (3/221).


Read more »