Monday, May 25, 2009

KUAT


Merasa gak aku naik kereta kipas angin ni..he he... Syukran YB Hjh Nancy...

(24/5/09 Ahad ) Dalam perjalanan dari Kuching ke KK setelah menghadiri Forum Perdana Ehwal Islam di Simunjan. Perjalanan ke Simunjan dari Kuching tak sampai 20 minit dengan helicopter. First time naik heli...ada 5 seat (tak termasuk 2 pilot). Macam naik kereta terbang. Balik ke Kuching pula dengan menggunakan jalan darat menggunakan kenderaan JAKIM Sarawak. Baru aku terasa jauhnya jarak antara Simunjan dan Kuching. Hampir 3 jam perjalanan. Berbeza betul antara laluan darat dengan udara. Padahal saiz heli dengan Kereta 4WD JAKIM hampir sama besar. Bezanya laluan mereka. Melalui udara tak perlu berpusing jauh mengelak sungai yang begitu banyak ke Simunjan berbeza laluan darat. Seperkara lagi heli memiliki kekuatan yang lebih lantaran itu ia boleh terbang.


Hanya yang kuat boleh terbang. Hanya yang kuat boleh berjaya. Hanya yang kuat boleh menang.

يَا مَعْشَرَ الْجِنِّ وَالْإِنْسِ إِنِ اسْتَطَعْتُمْ أَنْ تَنْفُذُوا مِنْ أَقْطَارِ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ فَانْفُذُوا لَا تَنْفُذُونَ إِلَّا بِسُلْطَانٍ

Allah berfirman: ''Hai jamaah Jin dan Manusia, kalau kamu mampu menebusi (melintasi) penjuru langit dan bumi, maka lintasilah. dan kamu tidak mampu menembusinya kecuali dengan kekuatan'' (Surah al-Rahman: 33).

KEKUATAN

Kekuatan adalah syarat utama untuk menembusi dan melintasi langit dan bumi yang terkenal dengan tarikan gravitinya. Kekuatan yang dimiliki oleh helikopter, kapalterbang dan roket terhasil dari kehebatan manusia. Manusia yang mampu membangunkan teknologi tersebut mestilah ada beberapa kekuatan asas. Antaranya ialah kekuatan iradah/kemahuan/imiginasi/ kekuatan ilmu, kekuatan usaha, kekuatan ekonomi (belanja besar) dan lain-lain. (Pastinya yang menciptakan manusia Maha Hebat…Maha Suci engkau Ya Allah, tuhan semesta alam)

Kapalterbang juga berbeza kelajuan berdasarkan perbezaan 'kekuatan'. Boeing 747 boleh terbang sehingga 897km/jam. Fokker yang aku tengah (Kch-Bintulu-KK) naik agak lambat dan memakan masa yang agak panjang untuk sampai ke KK berbanding boeing 737 yang aku naiki dari KK ke Kuching. Kenderaan darat juga berbeza kekuatan (c.c). Kekuatan itu menentukan kemampuan ia bergerak laju.

KEKUATAN MANUSIA

Berbicara soal perjuangan, Islam sangat memerlukan mukmin yang memiliki 'kekuatan' untuk menerbangkannya ke angkasa dunia. Orang-orang kuat ini diharap dapat mengembalikan semula Khilafah Islamiyyah dan menjadi dan tamadun Islam. Manusia yang memiliki kekuatan dalaman dan luaran ini amat diperlukan oleh semua bentuk perjuangan. Lantaran itu generasi muda memiliki banyak keistimewaan kerana usia muda adalah usia kuat. Tapi kekuatan itu perlu di perbetulkan halatujunya dan dibersihkan citarasanya. Semuanya hanya mampu berlaku dengan tarbiah yang mantap.

Tarbiah sahaja yang mampu mengangkat kualiti diri seseorang bagi memenuhi semua ciri pejuang (da’ie). Kerja ini sangat panjang, berat dan memenatkan. Bayangkan saja untuk bergelar siswazah dan memiliki kekuatan ilmu taraf universiti...seseorang memerlukan sekurang-kurangnya 15 tahun. Itu tak termasuk pra persekolahan & tadika. Bagaimana pula halnya hendak membersihkan akal, nafsu dan hati hingga benar-benar tunduk pada Allah dalam segenap aspek kehidupan? Pasti memerlukan jangka masa yang panjang dan silibus yang mantap. Sukar manapun ia, para pejuang perlu terus berusaha meningkatkan kualiti diri. Ini kerana sejarah Islam membuktikan bahawa agama ini tidak dimenangkan berdasarkan kuantiti tapi kualiti. Lihat sahaja perang Hunain yang dihadiri oleh tentera Islam yang ramai, tapi kalah dalam pusingan pertama kerana wujudnya tentera yang kurang berkualiti dalam saf. Mereka ini memeluk Islam selepas pembukaan kota Mekah dan tidak sempat ditarbiah sebelum Hunain. Kekuatan dalam Islam bergantung pada kualiti bukan kuantiti.

KEKUATAN IMAN SEBELUM SENJATA

Sebelum turun ayat yang memerintahkan Umat Islam mempersiapkan kekuatan persenjataan, bertahun-tahun sebelum itu al-Quran bercerita soal iman dan akidah. Soal keyakinan kepada Allah dan pembalasan muktamad di akhirat. Ini telah berjaya membentuk para sahabat yang sangat cinta dan takut pada tuhannya. Apabila turun sahaja ayat yang berbentuk arahan dan larangan mereka berkata: sami'na wa a'ta'na. (kami dengar dan kami taat). Malah bila difardukan jihad perang, mereka dengan hati terbuka menerima kefarhuan tersebut. Semua sahabat mengharapkan mereka syahid dalam setiap medan perang yang mereka sertai. Mereka amat meyakini janji Allah di akhirat. Kekuatan iman juga berjaya membentuk mereka menjadi umat yang tinggi disiplin dan akhlak serta kuat kemahuan untuk memperjuangkan Islam dalam segenap aspek kehidupan. Akhirnya mereka berjaya melakar sejarah besar untuk Islam.

Bila umat Islam kehilangan kekuatan akidah dan iman, mereka kecundang dalam semua arena kemajuan. Senjata yang adapun tidak mampu mengangkat martabat dan maruah mereka.

AMBILLAH PELUANG KETIKA MASIH KUAT SEBELUM DATANGNYA LEMAH

Malam tadi sempena program Qiamullail HIKMAH kuching yang dihadiri oleh ramai kenalan lama. Sempat saya memuhasabah diri dan orang yang hadir akan pentingnya mengambil masa yang makin singkat untuk mencari dan membentuk barisan pelapis yang bakal mewarisi perjuangan. Pastinya calon pertama adalah anak-anak. Isilah peluang yng ada untuk mentarbiah mereka dengan segala faktor kekuatan (10 ciri mukmin). Jangan sampai fikrah, kesedaran dan perjuangan yang begini berharga berlalu begitu saja. Ia tidak diwarisi dan terhenti dengan kematian kita. Perjalanan umah untuk mengembalikan tamadunnya yang telah hilang masih panjang. Perlu pewaris di kalangan belia yang memiliki kekuatan dan kualiti. Pastikan tali yang bermula dari generasi pertama dakwah tarbawiyyah ini tidak terputus di tengah jalan. Pastikan ia bersambung dan berterusan hingga ke puncak kejayaan.

Masa kuat kita sampai masa akan menurun. Ketika masih berdaya ini, carilah clone kita….

اللَّهُ الَّذِي خَلَقَكُمْ مِنْ ضَعْفٍ ثُمَّ جَعَلَ مِنْ بَعْدِ ضَعْفٍ قُوَّةً ثُمَّ جَعَلَ مِنْ بَعْدِ قُوَّةٍ ضَعْفًا وَشَيْبَةً يَخْلُقُ مَا يَشَاءُ وَهُوَ الْعَلِيمُ الْقَدِيرُ } [الروم : 54] .

Allah, Dialah yang menciptakan kamu dari keadaan lemah (kanak-kanak), kemudian Dia menjadikan (kamu) sesudah keadaan lemah itu menjadi kuat (muda), kemudian Dia menjadikan (kamu) sesudah kuat itu lemah (kembali-tua) dan beruban. Dia menciptakan apa yang dikehendaki-Nya dan Dialah Yang Maha Mengetahui lagi Maha Kuasa.

(Tarbiah menguatkan peribadi tak semudah minum kopi tongkat Ali...yang tu menguatkan otot sahaja...)

Read more »

DELAY



22/5/09-Jumaat- 11.00 am - Dalam perut kapal terbang MAS dari KK ke Kuching bagi menghadiri Forum Perdana Ehwal Islam sempena Isra' dan Mikraj' di Simunjan Sarawak malam ini jam 8.30 malam. Aku pun tak pernah sampai ke Simunjan walaupun aku orang Sarawak. Melalui Google Earth aku dapati Simunjan tu agak jauh juga Kuching.


Flight tadi delay sejam di KK...Bila bicara soal delay ramai orang tidak suka delay dalam hidup. Apatah lagi dalam dunia yang serba pantas. Setiap saat menjanjikan nilai emas. Malah ada yang mengatakan masa lebih berharga dari emas. Lantaran itu orang yang amat berdisiplin dengan masa dan tahu mengurus masa dengan baik, sering berjaya dan cemerlang.

Saya teringat dengan tafsiran Dr. Salah al-Khalidi, pensyarah di Universiti Jordan ketika mentafsirkan surah al-Asr. Tatkala mana Allah bersumpah dengan:

وَالْعَصْرِ (1) إِنَّ الْإِنْسَانَ لَفِي خُسْرٍ

(Demi masa, sesungguhnya manusia itu dalam kerugian).

Kata beliau الْعَصْر juga membawa maksud 'perah'. Air yang diperah dari buah-buahan dipanggil (' العصير ‘asiir). Dengan memerah buah baru dapat 'asirnya (juice). Hanya orang yang memerah masanya dan menggunakan semaksimum mungkin untuk manfaat akhirat dan dunia sahaja yang tidak rugi. Adapun orang yang Allah berikan umur dan masa, tapi tidak berhempas pulas memanipulasinya untuk kejayaan hidup di dua alam, pasti rugi di dunia dan kecewa di akhirat.

Semakin meningkat usia, semakin berharga masa yang diberi. Apa tidaknya, usia ini bukan sekadar diguna untuk meneruskan tradisi memperbaiki kualiti hidup dan persiapan mati, bahkan perlu diguna untuk membayar hutang dosa yang dilakukan pada usia terdahulu. Benar kata Rasulullah SAW:

« المؤمن عبد بين مخافتين ، من ذنب قد مضى لا يدري ما يصنع الله فيه ، ومن عمر قد بقي لا يدري ماذا يصيب فيه من الهلكات »

Orang beriman itu menjadi hamba pada dua perkara yang menakutkan. Antara dosa masa lalu yang ia tidak ketahui apakah yang akan Allah lakukan padanya dan umur yang berbaki yang ia tidak tahu apakah yang bakal menimpanya dari kebinasaan. (Ibn Mubarak: Kitab al-Zuhd: No. 305).

Bagi Daie, inilah sepatutnya masa untuk memaksimumkan amal. Dengan tarbiah bertahun lamanya, sudah tiba masanya ia mampu melakukan semua amal da'awiy dari peringkat menyebarkan fikrah, hinggalah ke tahap takwin dan tanfiz. Usianya makin pendek. Ia perlu mencari penganti untuk mewarisi fikrah dan perjuangannya. Pastinya anak-anaknya terlebih dahulu. Namun orang lain juga berhak menerima pusaka fikrahnya yang berharga kerana tiada yang lebih mahal nilainya dari hidayah Allah. Lantaran da'ie yang sedar akan pentingnya masa, mereka tidak banyak berehat. Hingga tidurnya bermimpikan masalah ummah dan penyelesaiannya.

Walaupun manusia tak suka delay dalam semua urusan yang menjanjikan habuan hidup, tapi saat kematian...ramai yang minta didelaykan.

فَيَقُولَ رَبِّ لَوْلا أَخَّرْتَنِي إِلَى أَجَلٍ قَرِيبٍ فَأَصَّدَّقَ وَأَكُنْ مِنَ الصَّالِحِينَ . وَلَنْ يُؤَخِّرَ اللَّهُ نَفْسًا إِذَا جَاءَ أَجَلُهَا وَاللَّهُ خَبِيرٌ بِمَا تَعْمَلُونَ } [المنافقون: 10، 11]

lalu ia berkata: "Ya Rabb-ku, mengapa Engkau tidak menangguhkan (kematian)ku sampai waktu yang dekat, yang menyebabkan aku dapat bersedekah dan aku termasuk orang-orang yang saleh?" Dan Allah sekali-kali tidak akan menangguhkan (kematian) seseorang apabila telah datang waktu kematiannya. Dan Allah Maha Mengenal apa yang kamu kerjakan.

وَأَنْذِرِ النَّاسَ يَوْمَ يَأْتِيهِمُ الْعَذَابُ فَيَقُولُ الَّذِينَ ظَلَمُوا رَبَّنَا أَخِّرْنَا إِلَى أَجَلٍ قَرِيبٍ نُجِبْ دَعْوَتَكَ وَنَتَّبِعِ الرُّسُلَ أَوَلَمْ تَكُونُوا أَقْسَمْتُمْ مِنْ قَبْلُ مَا لَكُمْ مِنْ زَوَالٍ } [إبراهيم:44]
Dan berikanlah peringatan kepada manusia terhadap hari (yang pada waktu itu) datang azab kepada mereka, maka berkatalah orang-orang yang zalim: "Ya Tuhan kami, beri tangguhlah kami (kembalikanlah kami ke dunia) walaupun dalam waktu yang sedikit, niscaya kami akan mematuhi seruan Engkau dan akan mengikuti rasul-rasul." (Kepada mereka dikatakan): "Bukankah kamu telah bersumpah dahulu (di dunia) bahwa sekali-kali kamu tidak akan binasa?

Read more »

Wednesday, May 20, 2009

SIAPA ADA MASA DAN SANGGUP???

Rumah Panjang rungus

Pada 15 hingga 18 Mei baru ini, aku berada di Kudat untuk satu penyelidikan yang ada kaitan dengan Muallaf. Sempat masuk ke kampung-kampung bersama beberapa orang rakan. Sedih bercampur gembira apabila melihat nasib masyarakat kaum rungus yang telah memeluk agama Islam. Rata-rata rintihan mereka ialah kurangnya bimbingan. Mereka perlu sangat kepada kefahaman Islam khususnya berada ditengah-tengah masyarakat sebangsa dengan mereka yang bukan beragama Islam.


Kekadang terfikir juga, kurang sangatkah tenaga pendakwah untuk mengajar mereka. Kalau nak dikira yang sudi digelar 'ustaz atau ustazah' dan dapat gaji dari gelaran itu sangat ramai!. Dari guru agama, JQAF di sekolah kebangsaan dan sekolah menengah. Ustaz ustazah di Jabatan Agama, USIA dan badan dakwah lainnya. Kalau nak dikira di seluruh sabah, memakan angka ribuan juga. Cuba bayangkan kalau seorang sanggup meluangkan masa sejam seminggu untuk mengajar di surau/masjid perkampungan saudara baru. Tak payah tinggi sangat silibusnya, cukuplah kefahaman Islam dari Asas-Asas Islam Maududi dan Fiqh Ibadah (Fardhu Ain) dari mana-mana kitab yang ringkas. Rasanya suasana kehidupan beragama mereka pasti sedikit berubah.

Tapi hakikat sebaliknya berlaku. Masih ada surau dan masjid terbiar. Bahkan ada yang dijadikan tempat simpan barang...ada yang tinggal atap sahaja lagi.

Apapun saya ucapkan tahniah kepada beberapa nama ustaz dan ustazah yang tak pernah masuk forum perdana pun, tak terkenalpun di dada akhbar dan majalah, tak tahupun 'jamaah'nya...tapi sanggup meredah jalan berlumpur untuk sampai ke perkampungan rungus di pendalaman., kalianlah wira dan wirawati dakwah sebenarnya Kalianlah yang disabdakan oleh Rasulullah SAW:

وأحب العبيد الى الله الأتقياء الأخفياء، الذين إذا غابوا لم يفتقدوا، وإذا شهدوا لم يعرفوا، أولئك أئمة الهدى ومصابيح العلم
الطبراني في (الأوسط) (4950) وفي (الكبير) (20 / رقم
53)
Hamba paling dicintai Allah ialah yang bertakwa tetapi terselindung (tak famous), kalau ia tiada, orang tak terasa kehilangannya, apabila ia ada orang tidak mengenalinya, mereka itula imam-imam petunjuk dan pelita ilmu. (Hadith ini dhaif)

Islam berjaya dimartabatkan oleh orang-orang seperti ini. Kekuatan mereka ialah pada kesanggupan, keikhlasan dan perjuangan mereka. Berapa sangatlah elaun yang mereka dapat dari kelas KAFA JAKIM dan elaun yang YADIM berikan kalau hendak dibandingkan dengan kesanggupan mereka. Mudahan Allah berkati usaha kalian dan kami mampu menumpang semangat dan menjadi contoh kepada 'penganggur dakwah' yang masih ramai di luar sana. Mereka sebahagiannya cuma tahu berbicara dari kerusi empuk dan masih banyak masa berbicara soal teori dakwah, teori daulah, ...tapi hingga kini belum ada seorang yang lahir dari pangkuan tarbiah dan asuhannya. Dakwah bukan diukur berdasarkan banyak kitab dibaca dan kemampuan berhujah tentang methodologinya. Tapi dikira berdasarkan orang yang dapat hidayah dari dakwah kita...

والله لأن يهدي الله بك رجلا واحدا خير لك من حمر النعم

Lawatan itu menyedarkan kami ahli rombongan akan kelemahan diri. Nampaknya kami belum buat apa-apa lagi untuk perjuangan ini. Masih banyak masa rehat...

***seronok dengar penerangan bekas seorang pengkhutbah gereja yang baru memeluk Islam tahun lepas berusia 59 tahun. Cerita ttg perbezaan agama lama dengan agama barunya dan pendekatannya dalam 'berdakwah'....ia sudah berdakwah walau baru Islam!!! Disebelah rumahnya ada sebuah gereja tempat ia berkhutbah dahulu dan sebelah lagi surau yang ia usahakan bersama YADIM dan kini ia mengepalai program2 di surau tersebut. Subhanallah.

***Syukran buat Encik Nordin, Ustaz Jais dan Ustaz Yasin yang sudi menemani penyelidikan. Tahniah juga pada Ustaz Jais kerana mengambil tindakan proaktif untuk memakmurkan sebuah surau diperkampungan rungus dengan majlis ilmu dan projek gotong royong membersihkannya. Eloklah...lambang bulan sabitnya pun dah jatuh....InsyaAllah kami akan kembali ke sana...

Read more »

Saturday, May 9, 2009

USAH MALU KALAU BELUM BERPUNYA

Sumber: ISMA Kedah

ASSALAMUALAIKUM WARAHMATULLAH HIWABARAKATUH.

Akhawatku,
Dewasa ini ramai muda mudi yang belum berpunya. Rasa rendah diri,stres dan gejolak rasa ingin memiliki membuatkan mereka berusaha memenangi hati dalam memiliki seseorang tanpa mengenal halal dan haram. Yang penting dapat. Apa yang dapat? KAHWIN? atau mengikut nafsu semata. Akhawat, maruah ialah kesanggupan untuk menjauhi yang haram dan dosa.

Akhawatku,
Pilu hati ini melihat remaja yang merana kerana cinta. Pilu walaupun mereka yang merasai peritnya penangan cinta dusta, mereka masih tidak mampu mengarah diri mencari cinta hakiki. Tak serik-serik lagi diri diperhambakan untuk menagih cinta sementara hingga sanggup berkonflik dengan PENCIPTA CINTA. Semua batas-Nya diredah segala, tak kenal dosa dan pahala.

Akhawatku,
‘’Benar bahawa lelakilah yang memulakan langkah pertama dalam lorong dosa, tetapi bila engkau tidak setuju, lelaki itu tidak akan berani. Dan andai bukan lantaran lemah gemalaimu, lelaki tidak akan bertambah parah.’’
Cinta sebelum berkahwin itu hanya menjerumus ke lembah dosa dan zina. Jika mampu bertahan kejinjang pelamin sekalipun, percayalah bahawa rumah tangga itu takkan berkat. Apa tidaknya, asasnya dibina daripada dosa dan maksiat. Mana mungkin dapat menegakkan tiang takwa yang utuh kecuali dengan taubat. Rumah tangga akan menjadi tawar dan hambar. Semuanya dah dirasa dan terbiasa, nak rasa nikmatnya apa lagi?? Anak-anaklah yang akan menjadi mangsa. Terimalah ia sebagai hukuman di dunia. Amat pedih. Namum, terlalu sedikit berbanding pedihnya hukuman abadi di negeri sana.3803614457830l

Akhawatku,
Kuhembus nasihat ini kepadamu tanda kasih dan sayangku kerana Allah. Bagi yang belum berpunya, andalah pilihan Allah untuk mekar terpelihara sehingga tiba pula giliran anda mendapat seruan. Yakinlah! Jangan risau jika masih belum berpunya kerena mungkin Allah ingin bagi ketenangan dulu buat anda, untuk terus melangkah menggapai cita-cita. Usah peningkan kepala. Dia menguji anda sedikit masa lagi

Begitu juga buat pemuda yang belum berpunya, “first thing first” Utamakan yang lebih penting daripada apa yang penting. Kenali priority anda sekarang. Jika memang dah sampai saat nak memiliki, tabahlah dan teruskan berusaha. Ingat, pastikan waktu nak berusaha tu anda memang dah betul-betul mampu dan bersedia.
Memiliki seorang isteri solehah ibarat memiliki dunia dan seisinya. Sudah tentu jalan untuk mendapatkan sesuatu yang istimewa amat berliku dan banyak cabaran. Jangan putus asa. Rasa mulia dengan usaha yang dicurahkan walaupun pinangan pernah di tolak, usah rasa malu dan terhina kerana Allah menilai setiap usaha selagi berjalan di landasan-Nya. Teruskan usaha. Ingat, usaha yang Allah redha sahaja. Bagaimana dengan sms siang malam? Atau bergayut di telefon memanjang? Atau ajak keluar, belanja makan? Begitukah?…

Berusahalah menyediakan diri dan pikatlah ibu bapanya terlebih dahulu. Itu tip memikat wanita beriman. Sebaik-baiknya gunakan orang perantaraan untuk lebih menjaga warak dan iman.
Seringkali, seseorang mencari kekasih ibarat dia mendaki gunung yang tinggi. Pepohon berduri sanggup diredah, curam dan jurang sabar dirempuh. Namun apabila dia memilikinya, didapati insan yang dikejar itu dedaunan kering cuma. Begitulah perumpamaan sia-sianya usaha yang tak disalur dengan suluhan petunjuk al-Quran dan sunnah. Beringatlah, urusan jodoh tak ke mana. Sudah sedia tercatat seungkap nama di Loh Mahfuz untuk kita. Ianya urusan yang pasti. Apa yang tak pasti, sama ada kita mendapatkannya cara mulia atau sebaliknya. Waallahu’alam…
“Dinikahi wanita itu kerana empat perkara, kerana kecantikannya, kekayaannya, keturunannya dan agamanya, pilihlah yang beragama nescaya kamu akan bahagia’’

Read more »