Tuesday, February 24, 2009

CINTA BOLEH MEMBAWA PENYAKIT PEKAK DAN DEGIL


Minggu ni aku dengar macam-macam cerita…semuanya amat sensasi dan mengecewakan. Ada kawan bukan Islam aku cerita; dia jumpa budak muslim ada sugar daddy sampai mengandung dan gugurkan kandungan. Ada yang nak bunuh diri sebab takut mengandung anak luar nikah. Dulupun aku pernah jumpa seorang wanita yang mengaku pernah menggugurkan kandungan sebanyak 5 kali. Aku cubu pujuk dia dan kekasihnya berkahwin, tapi masing-masing kononnya belum bersedia. Setahu aku pasangan tu dah tak bersama lagi...Lagi hebat ada yang hidup macam suami isteri dan siap sambut love anniversary setiap tarikh percintaan mereka tiba (semenjak sekolah menengah)…pun aku dengar cerita pasangan tu dah lama putus. Ada majlis kenduri yang aku sempat hadiri dulu di buat kelam kabut…aku tanya kenapa instant sgt: member jawab; perempuan tu dah 5 bulan…ermm patutlah bersandingpun jalan lain macam…


Bila ditanya kepada wanita begini: “Kenapa kau sanggup buat benda macam ni dengan dia?Jawabnya: “ Aku cinta dia ba… Aku cinta dia ba…”

Lebih ironi cinta begini telah banyak memusnahkan wanita-wanita yang mula berjinak dengan tarbiah dan perjuangan. Kerana lelaki dan cintanya, dia sanggup tinggalkan perjuangannya untuk ummah demi mengejar perjuangannya untuk diri dan kekasihnya. Sudah mula menjauhkan diri dari usrah, program keagamaan dan kadangkala pakaianpun sudah makin berubah. Makin singkat dan sempit…entahlah, mudahan di penghujung jalan mereka ini menemui semula kebenaran. Kadangkala melihat di kalangan mereka yang aku kenali, aku rasa kesian benar. Aku yakin dan mungkin ia juga yakin...apa yang ia buat itu salah. Tapi cinta + nafsu...buat telinga orang jadi pekak dan mata jadi buta. Aku sering berdoa kepada Allah untuk orang yang aku pernah kenali..mudahan Allah selamatkan ia dari tipudaya cinta dan kembali ke pelabuhan perjuangan sebelum terlambat. Sebelum semua kapal belayar pergi dan terus bersendiri.



Seringkali dinasihatkan supaya kalau nak teruskan juga cinta sebegitu, ajaklah lelaki tu kahwin. Biar lelaki tu buktikan cintanya di alam rumahtangga. Sanggupkah dia jaga sakit demam, susah senang isterinya? Sabarkah dia dengan sikap isterinya ketika mengandung? Sanggupkah dia masak dan cuci pakaian ketika isterinya mengandung dan melahirkan anak? Sanggupkah dia pimpin isterinya menjadi lebih baik, lebih solehah dan lebih memahami matlamat hidup. Sanggupkah dia pimpin isteri dan anak-anaknya menuju jalan ke syurga duniawi dan ukhrawi? Kalau dia mampu buat…itulah cinta.

Sayangnya sebelum berkahwin, wanita yang sering dipinta oleh lelaki pengorbanannya. Itupun tak banyak, sekadar tubuhnya sahaja. Bila dah puas diratah…ditinggalkan begitu sahaja tanpa sebarang rasa dosa dan tanggungjawab. Terkapai-kapailah hidup si wanita mencari sinar baru dalam hidup. Si lelaki masih boleh enjoy mencari makanan baru yang lebih fresh. Tak tahu siapa yang berhak dipersalahkan..lelakinyakah atau siwanitanya yang mudah menyerahkan hak milik berharganya? Apapun kedua-duanya sepatutnya merasa berdosa dengan penciptanya.

Ada wanita begini bila diajak kahwin oleh pacarnya, menolak. Katanya dia belum bersedia. Bahkan ada yang memberi alasan…dia tak yakin dengan lelaki itu. Pelik sekali jawapan…dulu kata cinta, yakin dan sanggup serah diri? Bila dah terjadi…tak yakin. Aiks, awak nak cari yang mana lagi? Sepatutnya awak cuma layak untuk lelaki itu sahaja…takkan awak nak memberikan saki baki cinta dan maruah pada lelaki lain? Kesianlah kat dia…

Cinta? Allah sering gunakan kalimah cinta untuk dua maksud sahaja. Pertama cinta Allah dan kerana Allah. Lain dari itu semuanya kerana nafsu. Cinta nafsu terlalu luas…tapi dalam perkahwinan Rasulululllah letakkan tiga sebab iaitu, kecantikan, kekayaan dan kedudukan.

Cinta kerana Allah satu matlamat sahaja apabila melibatkan lelaki dan wanita iaitu KAHWIN. Bahkan cinta begini selalunya menjelma bila dah kahwin. Cinta begini melahirkan ketenangan dan takwa. Cinta begini bermotifkan pahala dan syurga. Cinta begini telah diiktiraf oleh mahkamah dan berinsuran tinggi. Siapa yang khianat akan didakwa dan wanita berhak menuntut haknya dihadapan undang-undang.

Ramai orang sebelum kahwin sangat kreatif dalam bercinta. Kepintaran akal berkawankan nafsu membuat dia jadi kreatif dan bersemangat. Umpama org lapar masak. Dia akan memasak sesedap mungkin. Hidangannyapun sangat kreatif. Tapi bila dah kenyang. Yang percuma, sedap dan cantikpun tak sudi dijamahnya. Begitulah juga orang yang dah puas bercinta bila berkahwin. Perkahwinannya jadi hambar. Semua keindahan, kreativiti dan semangatnya telah dihabiskan sebelum kahwin.

Memang orang bercinta sebelum kahwin sangat kreatif. Bait-bait smsnya sangat indah…terselit perkataan sayang, honey, darling, my sweeties dan macam-macam. Lirik lagu untuk mengambarkan cinta sebelum kahwin juga sangat indah dan banyak…’kau tercipta untukku, dealova, kesucian cinta..tiap minggu ada jer yang baru’. Lagu nasyidpun kena ikut trend begitu kalau nak laku cuma ditambah bumbu Islamic sedikit lalu jadilah ‘islamic love’…tapi ‘macam’ sama jer culturenya? Siap ada perayaan bagi orang bercinta seperti Valentine day yang berasal dari agama Kristian dan ditentang oleh sebahagian agamawan dalam Kristian sendiri.

Ringkasnya bercinta sebelum kahwin lebih bermotifkan keseronokan dan hiburan. Ucapan sayang, love, cinta, I miss u dan entah apa-apa lagi walau ‘macam jujur’ bahkan sanggup bersumpah untuk membuktikan kejujurannya, sebenarnya itu sekadar ‘hiburan’. Cinta begini asasnya nafsu dan kepentingan. Memang seronok mendengarnya. Bila buka handset jer dan baca sms macam tu…berbunga rasa hati..he he. Tapi itukan sekadar ‘hiburan’. Kesungguhan bercinta bukan begitu caranya.Cinta begini tak perlu dibuktikan apa-apa. Pembuktian yang dicurahkan tidak dianugerahkan penghormatan bahkan penyesalan dan rasa hina diri. Apatah lagi kalau yang diimpikan gerhana ditengah jalan. Terpaksalah kita mengira dosa dan membersihkan nama selepas itu.

Tapi kalau sudah terlajak bercinta…eloklah diharmonikan saja. Satu cara saja: ajaklah lelaki tu kahwin. Andainya dia kata belum bersedia…KIV atau tinggalkan saja. Banyak lagi yang boleh dilakukan dalam hidup ini khususnya dalam usia muda. Tak semestinya dia yang tercipta untukmu. Bahkan dengan memperbaiki diri, Allah pastinya akan sediakan yang lebih baik di hadapan sana. Kita tak ada perjanjian dengan diapun semenjak alam rahim bahawa mesti setia dengan cinta begini.

Tapi orang kalau sudah bercinta cara begini. Tegurpun tak guna. Nasihat pun buang masa. Ajaran agamapun belakang kira. Macam orang tengah dengar lagu kegemarannya. Suruh buat apapun dia tak berganjak. Nanti bila lagu tu dah habis..baru dia sedar apa yang kita suruh. Sama juga orang bercinta…dia sinonim dengan penyakit pekak atau lebih tepat lagi degil. Cakaplah apapun mereka buat tak dengar…sebabnya, mereka sedang berhibur. Dunia ini umpama milik mereka berdua. Kewujudan tuhanpun sudah tidak dirasa. Menasihati mereka waktu ini seringkali membuang masa sahaja.

Biar dia puas-puas dulu…bila kepala sudah terhantuk ke dinding, terguling-guling di tanah dan dunia yang luas jadi sempit..waktu ni paling sesuai beri nasihat. Bahkan seronok bagi nasihat sebab dia dah tak ada alasan apa-apa lagi untuk membantah. Hidupnyapun dah punah. Atau…tinggalkan dia begitu saja. Dengan dunia yang ia cipta sendiri. Ini kerana kita tidak dipertanggungjawabkan dengan kesalahan orang lain. Siapa makan cili dia rasa pedasnya.

(Ini jawapan kepada pelajar yang sering bertanya saya bagaimana nak bagi nasihat pada kawan perempuan mereka yang couple ‘tahap tinggi‘ dan susah untuk ditegur)

Read more »

UNTUK APA KAHWIN?



Baru ni aku sempat beri ceramah pasal kahwin. Sesuai lah dengan kursus tu kursus pra perkahwinan anjuran JHEAINS dan UMS. Ini bukanlah kali pertama aku bagi ceramah pasal kahwin. Cuma bezanya tajuk kali ini membincangkan pasal Akidah dalam rumahtangga. Selalunya tajuk kegemaran aku ialah slot Komunikasi Suami Isteri.

Akidah adalah kunci kepada pembinaan peribadi dan rumahtangga muslim. 13 tahun Rasulullah di Mekah, dakwahnya tertumpu pada pemantapan aspek akidah ummah. Ayat al-Quran yang turunpun membicarakan soal akidah.

Seronok aku tengok anak-anak muda yang ikut kursus, pastinya ada yang dah bersedia untuk berkahwin atau sekurang-kurangnya terfikir nak kahwin. Dulu waktu aku nak kahwin takde siapa-siapa bagi kursus. Aku ambil bidang syariah, memang belajar bab hukum hakam rumahtangga. Tapi tak sentuh banyakpun soal persediaan berumahtangga. Apatah lagi risalah sebenar rumahtangga dalam perjuangan mengembalikan tamadun Islam. Mujurlah melalui usrah-usrah yang aku sertai, aku dapat banyak pendedahan mengenai peranan rumahtangga dalam gerak kerja amal Islami.


Ketika berusia 21 tahun aku bertunang. Sebelum bertunang aku sempat tulis surat yang ditandatangani oleh aku dan bakal isteri. Surat itu kami hantar pada kedua ibubapa kami di Malaysia. Bahkan aku hantar pada semua abang-abang angkat aku yang selama ini banyak sponser pengajianku semenjak sekolah menengah hingga universiti. Melalui surat itu aku merancang dari A sampai Z tentang rumahtangga yang bakal kami bina. Ia ibarat surat perjanjian antara kami berdua…perjanjian kami dengan ibubapa…perjanjian kami dengan ummah dan perjanjian kami dengan Allah. Antara yang tertulis:

“Kami sedar, apabila kami meletakkan diri kami di dalam alam rumahtangga bererti banyak cabaran, tanggungjawab dan bebanan yang bakal kami pikul. Kami yakin akan bahagia. Kami telah meletakkan matlamat yang betul untuk rumahtangga yang inginkami bina. Semua yang kami lakukan ini kerana Allah, untuk keluarga, untuk adik-adik, dan apa yang lebih penting ialah untuk tugas kami sebagai pemuda-pemudi Islam yang bakal kembali ke tengah-tengah masyarakat untuk berjuang membimbing (mentarbiah) mereka, menyeru ke jalan Allah dengan ilmu yang kami tuntut. …..(antaranya lagi) “Kalau kami dianugerahkan cahayamata, insyaAllah kami akan mendidik mereka agar lebih bermaruah, lebih soleh dan lebih baik dari kami”

Itulah asas rumahtangga kami yang dulunya begitu senang ditulis…tapi kini perlu dikotakan walau sesukar mana. Memang perlaksanaannya jauh lebih sukar dari berteori. Menulisnya di alam realiti tidak semudah menukilnya di atas kertas. Hingga kini aku rasa aku gagal memimpin rumahtangga menjadi apa yang pernah aku impi dan ku tulis....

Tapi sekurang-kurangnya ketika berumahtangga kami sudah ada pelan khusus malah didokumenkan. Asasnya juga sangat jelas: iaitu dakwah dan tarbiah. Itulah pelabuhan hidup yang kami ingin tuju sepanjang pelayaran bahtera rumahtangga. Rumahtangga aku juga macam orang lain. Ada kala dipukul ribut, dihempas ombak dan kadangkala aku terjatuh ke laut. Mujur masih sempat berpaut pada pelampung iman untuk naik kembali. Sebagai kapten kapal, kemudi bahtera ditangan aku. Kalau sesat, berpunca dari aku. Kalau gagal, juga kerana kegagalanku.

Hingga kini apapun yang terjadi, kami tidak pernah mengubah haluan kompas bahtera rumahtangga kami. Pelabuhan dakwah di situlah kami bermula dan di situlah kami harap penyudahnya. (Allahumma Amin). Sesuai dengan perjanjian kami. Aku bersyukur dikurniakan isteri yang mudah dibentuk menjadi sayap kanan ku yang cukup membantu dan kadangkala bersimpati denganku. Kami sangat yakin andainya kami ubah halatuju radar rumahtangga…bahtera yang kami naiki pasti akan tenggelam.

Apapun kami berdua akur…rumahtangga yang kami bina belum menjadi seperti yang diharapkan. Makin hari kerja makin banyak dan peranan makin besar sesuai dengan membesarnya anak-anak dan meningkatnya usia kami.

TAPAK

Tapak yang baik sangat penting dalam pembentukan rumahtangga. Orang yang membina rumah di kawasan berisiko tinggi, pasti hidupnya akan sentiasa dihantui rasa sangsi dan takut sepanjang masa. Islam ketika meletakkan agama sebagai tapak al-Bait al-Muslim, telah mengambil kira semua sudut kepentingan dan peranan rumahtangga. Maksud ‘agama’ ini pun boleh ditafsirkan dalam pelbagai pendekatan. Ada yang menjurus pada skop ibadahnya saja atau kemampuan ekonomi dan keupayaan mencari rezeki yang halal dan pelbagai tafsiran lain berasaskan kefahaman dan ilmu masing-masing .

Cuma, dalam kamus para pejuang agama mereka tafsirkan sebagai ‘memperjuangkan agama’. Agama itu adalah dakwah dan perjuangan.

Bagi mereka al-Bait al-Muslim tidak cukup sekadar diwarnai dengan syiar Islam, bahkan mesti dibina menjadi kubu kuat pejuangan dan markas gerakan untuk menyebar luas agama Allah di luar lingkungan rumahnya. Rumahtangga itu menjadi medan mempersiapkan qaedah sulbah bagi dakwah yang terhasil dari tarbiah yang sempurna pada diri anak-anak yang lahir dalam rumah tersebut. Hakikat ini mungkin janggal bunyinya bagi pemuda-pemudi yang dibesarkan dan hidup sekadar berfikir tentang nasib dirinya sendiri. Ia cuma boleh dihayati oleh orang yang lebih banyak berfikir tentang nasib ummahnya lebih dari nasib diri. Masa, tenaga, harta dan nyawa telah diwakafkan kepada Allah.

Bagi mereka itulah sahaja tapak yang paling kukuh untuk membina rumahtangga. Selain itu pasti akan roboh. Kalau pun tidak di dunia, tapi roboh di akhirat.

Benarlah firman Allah SWT:
أَفَمَنْ أَسَّسَ بُنْيَانَهُ عَلَى تَقْوَى مِنَ اللَّهِ وَرِضْوَانٍ خَيْرٌ أَمْ مَنْ أَسَّسَ بُنْيَانَهُ عَلَى شَفَا جُرُفٍ هَارٍ فَانْهَارَ بِهِ فِي نَارِ جَهَنَّمَ وَاللَّهُ لَا يَهْدِي الْقَوْمَ الظَّالِمِينَ (109) لَا يَزَالُ بُنْيَانُهُمُ الَّذِي بَنَوْا رِيبَةً فِي قُلُوبِهِمْ إِلَّا أَنْ تَقَطَّعَ قُلُوبُهُمْ وَاللَّهُ عَلِيمٌ حَكِيمٌ (110)
((Maka apakah orang-orang yang mendirikan binaannya di atas dasar taqwa kepada Allah dan keridhaan-(Nya) itu yang baik, ataukah orang-orang yang mendirikan bangunannya di tepi jurang yang runtuh, lalu bangunannya itu jatuh bersama-sama dengan dia ke dalam neraka Jahannam. Dan Allah tidak memberikan petunjuk kepada orang- orang yang zalim. Bangunan-bangunan yang mereka dirikan itu senantiasa menjadi punca keraguan dalam hati mereka, kecuali bila hati mereka itu telah hancur. Dan Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.)) (Surah al-Taubah: 109-110)

TIANG

Tapak sahaja tidak cukup untuk membina rumahtangga yang kukuh. Ia perlukan 2 tiang seri yang kuat. Mereka ialah pasangan suami isteri yang memahami peranannya apabila berumahtangga. Islam telah mengajar kita supaya memilih orang yang beragama sebagai pasangan hidup.

Beragama boleh dilihat dari pelbagai aspek. Ada orang melihat agama hanya bersandarkan kekerapan ia menunaikan ibadah khususiah atau melihat pada penampilan luaran…berjanggut atau tidak, berkopiah putih atau bersongkok hitam, labuh atau pendek tudungnya…? Semua itu memang boleh dikaitkan dengan beragama, tapi cukupkah?

Para pemuda dan pemudi yang merasakan diri mereka adalah tentera untuk ummah ini pasti tafsirannya berbeza. Mereka tak akan sanggup bertoleransi dengan pasangan yang ia sedari tidak mampu menghayati perjuangannya. Tidak mampu menjadi sayap kanan dan kirinya. Bahkan menjadi duri yang sentiasa melambatkan perjalanannya. Ini kerana rumahtangga adalah amanah Allah dan hak ummah dalam mengembalikan ketamadun Islam di atas muka bumi ini. Pasangan pilihannya ialah orang yang beriman dengan fikrahnya dan meperjuangkan apa yang diperjuangkannya. Lantaran itu mereka cuma memilih orang yang ditarbiah seumpama mereka.
Kebahagiaan bagi mereka bukan pada peningkatan pendapatan tahunan atau bertambahnya asset untuk diwariskan pada anak-anak. Bagi mereka kebahagiaan ialah apabila aktiviti dakwah dan perjuangan semakin bertambah kuantiti dan kualitinyanya pada masyarakat sekelilingnya. Hasil dari sumbangan keluarganya. Rumahtangga begini menjadi landasan ke dua dalam mengembalikan Khilafah dan tamaddun (al-Banna).

REALITI

Kita terpaksa akur bahawa ramai pemuda pemudi Islam kini tidak memahami risalah hidupnya. Rumahtangga yang mereka binapun cuma ternampak Islamnya pada upacara akad nikah dan prosedur perkahwinan. Tapi kosong dari wawasan, misi dan visi. Mereka tiada kompas dan radar. Hanya kerena masalah kecil sahaja terus memilih jalan perceraian. Ini mereka bukan ada agenda besar untuk diperjuangkan dalam rumahtangga. Mereka cuma mencari kelazatan hidup duniawi. Hidup keluarga mereka hanya berligar pada isu-isu kecil, pada makanan, pakaian dan pendapatan. Kadangkala benda kecil itu pun sudah cukup menjadi alasan untuk mereka berpisah.

Akhirnya, hilang sakinah (ketenangan) hakiki dalam rumahtangga mereka. Ini kerana mereka mencari kebahagiaan itu pada material (rumah, kenderaan, wang yang banyak …) dan fizikal (cantik, handsome, berkedudukan…) .Semua itu benda mati yang kalau tak pandai mengurusnya akan mematikan hati. Semua itu hiasan duniawi yang akan kiamat bersama dunia. Kebahagiaan yang dibina atas semua itu sangat rapuh. Serapuhnya nafsu manusia yang sering dilanda penyakit ‘jemu’. Walau masih cantik dan masih kaya tapi dengan mudah dilepaskan kerana di luar sana lebih ramai yg cantik dan kekayaan yang ada mampu membeli apa saja pada pandangan mereka. Alasannya satu...jemu...

Agama yang terhias dalam diri manusia melalui iman dan takwa adalah punca sakinah. Rumahtangga yang di bina atas ikatan iman dan takwa akan dihujani bunga-bunga cinta, redha, toleransi, sabar dan qana’ah. Mereka tidak akan lupa bahawa tugas utama mereka ialah mengejar syurga ukhrawi terlebih utama dari syurga duniawi. Di situlah mereka ingin memetik buah atas segala amal yang mereka tanam ketika di dunia. Mereka ingin berbulan madu di syurga bersama dan selamanya walaupun ketika di dunia mereka tertinggal musim indah tersebut kerana penatnya berjuang.

Tapi semua ini cuma diimiginasikan oleh pemuda pemudi yang membesar dalam perjuangan.

TUNGGU DAN LIHAT

Apabila orang datang bertemu denganku, bertanya tentang rumahtangga yang bakal ia bina dan calon pilihan hatinya. Biasanya tapak dan tiang inilah yang akan aku tanya dulu. Aku akan cuba terangkan tentang teori Islam dalam membina rumahtangga. Kalau mampu aku beri nasihat, aku beri nasihat. Andai ia tidak setuju dengan pandanganku dan memilih neraca lain selain neraca agama…sering aku katakan teruskanlah keyakinan ana itu tapi dalam mode… try & error. Adai dia kata dia benar-benar yakin: aku cuma mampu menjawab…tunggu dan lihat....

Sedih sekali, ramai dah yang aku bagi nasihat dan pandangan sebelum berumahtangga yang datang semula kepadaku untuk meminta pandangan bagaimana nak selesaikan krisis rumahtangga mereka??. Pelik ! dulu dia tak mahu ‘nilai’ pandanganku tapi kini datang meminta penawar? ... Aku tidak memiliki apa-apa ubat untuk penyakit orang lain. Yang adapun sekadar keperluanku dan keluargaku. Cuma atas dasar simpati, aku sering melayan masalah mereka dan menjadi pendengar yang setia dan berempati.

Inilah bahananya apabila rumahtangga tidak dibina dari awal atas tapas dan tiang yang betul. Sejauh mana kualiti benih yang ditanam, itulah juga kualiti batang, dahan dan daunnya. Itulah juga kualiti buahnya. Ironinya nanti, buah itulah yang akan disemai semula menjadi benih…dan melahirkan pokok dan buah dari generasi ke generasi dengan kualiti yang sama.

Aku paling takut akibat tidak berkualiti, keturunan ku menjadi racun kepada ummah dan bukan nya penawar yang diharapkan. Mati nantipun pastinya saham dosa terus dikirimkan.

Aku teringat pesan bapa aku ketika mula berumahtangga. Ingat, keturunan kita telah melahirkan ramai orang alim dan pejuang. Pastikan ia berterusan....

Read more »

Thursday, February 12, 2009

ANDAI USIA MASIH BERBAKI?



12 Febuari 2009 – Malam tu beberapa anak didik ku datang ke pejabat selepas habis kuliah TITAS memberikan bungkusan berisi kek tertulis ‘’ Sang Murabbi Naruto.....Selamat Hari Lahir”.

Aku sebenarnya bukanlah seorang yang mementingkan sambutan hari lahir. Hari lahir anak-anak aku pun tak semua aku ingat. Setiap kali nak isi borang sekolah, aku mesti lihat surat beranak mereka terlebih dahulu. Tapi bila orang bagi aku hadiah, aku ‘rembat’ je lah. Rezekilah katakan...lagilah kek tu dari brand yang mahal juga. Apapun kepada anak-anak tarbiyyah ku, terima kasih banyak-banyak. Semoga semuanya terus berusaha meningkatkan diri agar cakura dan rasengan kalian makin cemerlang untuk berhadapan dengan mehnah dan tribulasi kehidupan dan perjuangan. Jangan ada yang jadi Orachimaro setelah ditarbiah. He he...

Menyambut hari lahir memang menjadi bahan perdebatan antara ulama’, antara bid’ah dan harus. Aku malas nak bahas benda tu. Tapi tidak ada ulama’ yang mengenepikan kepentingan mengingat usia dan memuhasabah perjalanan umur. Bagi aku setiap hari lahir tak kira hijri atau masehi akan mengingatkan aku pada kata-kata Rasulullah SAW:
المؤمن عبد بين مخافتين من ذنب قد مضى لا يدري ما يصنع الله فيه ومن عمر قد بقي لا يدري ماذا يصيب فيه من الهلكات
(Orang Mukmin hamba antara dua yang menakutkan. Antara dosa yang telah berlalu, ia tidak tahu apakah yang akan dilakukan oleh Allah padanya (hukuman). Dan antara umur yang masih berbaki yang ia tidak tahu apakah yang menimpa padanya dari kebinasaan). (Kitab al-Zuhd. Ibn Mubarak. Hal. 102 No. hadith 304)

Perjalanan lalu: hidup manusia akan menghimpunkan antara dosa dan pahala. Taat dan leka. Melalui pengalaman hidup pelbagai, disayang dan dibenci, disanjung dan dikhianati, dipuja dan dicaci, adalah lumrah kehidupan dan aku juga pernah merasai sebahagiannya. Mujurlah aku ada tali untuk berpaut setiap kali hampir terjatuh. Tali Allah yng mengikatkan aku dengan perjuangan dan dakwah ini yang mula aku kenali semenjak zaman remaja. Murabbi ku dulu-dulu sering pening dengan tabiat aku. Memiliki 2 watak yang sering bersaing. Aku sendiri menyedari semua itu. Aku sering berusaha mengubah watak jahat agar tunduk kepada kebaikan. Kadang aku menang, kekadang kejahatanku yang menang. Bak kata Ibrahim bin Adham:
ما قاسيت شيئا من أمر الدنيا أشد علي من نفسي مرة علي ومرة لي
(Tiada sesuatu yang menyusahkanku dari urusan dunia yang lebih sukar dari mengalahkan nafsuku, kadangkala ia menang atasku, kadangkala kemenangan bagiku). (Hilyatul Auliya’. Abu Nu’aim al-Asbahani. Cetakan 1405H. Beirut; Dar al-Kitab al-Arabi. Jil.7 Hal. 380)

Lantaran itu aku tak pernah lari apabila ditegur dan aku berterusan mengikat diriku dengan program tarbiah. Jarang sangat aku ponteng sebarang program tarbiah. Tak kira apa levelnya, apapun bentuknya...aku yakin atas jalan ini sahaja aku mampu memperbaiki diri walaupun sedikit. Atas jalan ini aku temui ramai orang baik-baik yang tak pernah putus asa membimbing dan memimpinku. Apatah lagi semenjak usia 12 tahun aku telah berpisah dengan keluarga. Kawan-kawan lah yang membentuk banyak pemikiran dan perwatakanku. Dalam membuat keputusan aku telah terbiasa ‘berdikari’. Kadang hasilnya betul dan ada masanya salah.

Begitu juga dalam perjuanganku. Dalam usia begini aku masih lagi mencuba untuk menjadi lebih baik. Berusaha untuk lebih memberi. Lebih bermanfaat...pada orang sekelilingku.

Seorang sahabat lamaku ketika sekolah menengah yang sudah berpuluh tahun aku tak temui tapi masih thabat atas jalan ini berkata: ‘’Kita ni sudah semakin tua, dah banyak nikmat dunia kita rasa hingga kekadang sudah terasa hambar nikmatnya. Rasanya dah tiba masanya kita habiskan baki usia yang Allah kurniakan ini untuk ‘perjuangan’. Dulu kita berjanji untuk mengorbankan seluruh hidup ini demi memartabatkan kalimah Allah di atas muka bumi’’. ‘’Buatlah apa yang termampu dan jangan terlalu memandang kiri dan kanan. Biarlah orang lain berbalah, kita buatlah kerja kita. Allah akan perkirakan kerja kita yang ikhlas dan bukan kerja orang’’. Benar sangat ucapan beliau. Cuma kadangkala aku sedih bila memikirkan ada sahabatku yang sudah pencen sebelum sampai masanya.

Rasanya satu cara sahaja untuk menjadikan baki usia yang mengerunkan menjadi bermanfaat. Iaitu dengan mengubah diri dan memperbaiki semua skop kehidupan. Antaranya bagiku dengan meningkatkan ‘pengorbanan demi perjuangan’. Aku teringat dengan kata-kata dalam al-Muntalaq: Islam ini awalnya ‘menafkahkan kesenangan dan akhirnya menafkahkan nyawa”. Perbaki diri, walau mudah diazamkan tapi sukar dilaksanakan, tapi itulah satu-satunya jalan di hadapanku dan semua orang yang se usiaku. Bak kata Imam Fudhail bin ‘Iyad kepada lelaki tua yang menyesali hidupnya:
تحسن فيما بقي يغفر لك ما مضى فإنك إن أسأت فيما بقي أخذت بما مضى و ما بقى
(Perbaiki pada apa-apa yang berbaki dari umurmu, akan diampunkan bagimu apa-apa yang telah berlalu (dari dosamu). Adapun engkau, andainya kau rosakkan pada apa-apa yang berbaki dari usiamu, (Allah) akan ambil (pertanggungjawabkan) engkau pada apa-apa yang telah berlalu dan yang berbaki dari hidupmu). (Hilyatul Auliya’. Jil.8 Hal. 113).

Pada tarikh 12 Febuari ini juga (tahun 1949) berlaku peristiwa menyayat hati umat Islam. Syahidnya al-Imam al-Syahid Hassan Al-Banna RH dalam usia 42 tahun. Ia memulakan dakwah Ikhwannya ketika berusia awal 20an. Beliau telah meninggalkan kepada ummah ini khazanah perjuangan yang telah mempengaruhi jutaan pejuang. Fikrah dan manhajnya telah mentajdid semula semangat perjuangan Islam yang diwarisi dari Rasulullah SAW.

Bila melihat pemuda Islam zaman kini di usia 20 an. Masih ramai lagi yang belum menemui identiti diri dan tidak tahu halatuju hidup. Usia dihabiskan untuk keseronokan yang seringkali berakhir dengan penyesalan dan kehancuran. Tapi Hassan al-Banna sebaliknya.

Kalau dibandingkan dengan penghasilanku dalam perjuangan pastinya aku seperti belum buat apa-apa untuk perjuangan ini walaupun hampir habis buku al-Imam aku baca semenjak alam remaja. Apapun, mudahan pada baki usia yang masih ada...kalau ada...aku ingin terus bersama rombongan pejuang. Memberi saham untuk dakwah ini sebagai jundi biasa. Mudah-mudahan ada sedikit jawapan yang bisa aku berikan di hari aku dipertanggungjawabkan di hadapan Allah di akhirat nanti. Menerima fikrah ini satu mas’uliah yang paling berat dan terpaksa ku pikul sepanjang hidupku. Tapi kalau Rasululluh, para sahabat dan orang terdahulu mampu melaksanakan tuntutannya? Kenapa orang akhir zaman macam kita tak mampu mencuba...? Harap Ikhwah dan Akhawwat seusiaku merasai apa yang aku rasai.

SELAMAT HARI JADI? Memang kita telah selamat dijadikan di dunia ini tapi tidak semestinya selamat di alam berikutnya. Sekadar untuk renungan diri sendiri.

Read more »