Thursday, April 22, 2010

AMANAH

Puteriku..
saat tangan ini menyambutmu
pemberian tuhan penuh amanah
membesarkanmu penuh hikmah
menyusukanmu air tarbiah
mendodoimu nasyid fikrah
moga mewarisi kesucian risalah
peninggalan Rasulullah


Kami sekadar meneruskan
tradisi turun temurun
sang wali gunung jati
agar lahir zuriat berhati suci
menyala iman dalam hati
moga keturunan kita diberkati

peganglah risalah itu
yang sering ku bicarakan kepadamu
campurkan ia dengan darahmu
suburkan ia dengan airmatamu
padanya erti hidup sebagai hamba
padanya erti sebenar mulia
kami sudah merasa nikmatnya

atur langkah beradab di atasnya
kumpul segala kekuatan
agar tenang dalam ujian
sabar menanggung keperitan
kerana memang tradisi pejuang

Moga kau lebih baik dari kami….

Read more »

Engkau Ku Sayang

Engkau yang ku sayang
jasamu ku kenang
kerna budi ibu ayah membesarkanku

pengorbananmu ku sanjung selalu

pemergianmu ku iring restu

moga dirahmati dalam cinta rabbi

moga dirahmati di syurga ilahi



kau dodoi kami alunan qurani

kau dendang kami irama jihadi

kata azimatmu ku pegang teguh

hidup pengorbanan syahid impian

nikmat yang hakiki bukannya disini

syurga yang diimpi tak mudah dibeli


Dalam kemarahan kau mendakapku

dalam tangisan engkau berlucu

memerah keringat membesarkanku

agar menjadi insan berilmu….

ibu oh ibu
ayah oh ayah

terima kasihku atas jasamu

terima kasihku atas kasihmu


...chorus..


Ampunilah degil nakalku

anak solehah itu cita-citaku
bagai tersurat diwasiatmu

akan ku kenang dalam hatiku

akan ku semai dalam imanku

akan ku baja dengan darahku
kan mekar subur di dalam hidupku 2X




Lirik lagu yang aku karang untuk menidurkan anakku. Salah satu nasyid dari dua nasyid yang ku karang khusus untuk mendodoikan puteri pertamaku saat kelahirannya tahun 1992. Aku tak pasti lirik dan melodinya bertepatan dengan penulisan lirik dan lagu. Aku tak pernah belajar semua itu. Yang aku tahu lirik ini tercipta secara kebetulan sambil menepuk puteri pertamaku. Mudahan ia membesar dan merasakan lirik itu dalam hidupnya. Aku cipta ia dengan bertemankan kasih sayang dan harapan agar ia membesar menjadi manusia beriman dan pejuang untuk agamanya. Akhirnya ia menjadi lagu khusus untuk menidurkan anak-anakku seterusnya. Yang bestnya, kalau aku susah nak tidur, anak-anakku sendiri mendodoikan ku dengan lagu tersebut.

Yang pastinya, kalau aku dodoikan anak-anakku ketika kecil dengan lagu itu...pasti mereka mudah tidur. Mungkin kerana melodinya yang mengantukkan ...atau besar kemungkinan suara ku yang tak sedap menyebabkan baik mereka tidur cepat dari terus mendengar...ha ha. Cuma itu sahaja yang termampu aku lakukan ketika itu (sebagai student yang sudah berumahtangga) untuk menyatakan sayang ku padanya.

Read more »

Sunday, April 11, 2010

CINTAILAH ILMU

Hampir dua minggu seramai 5 orang pelajar perubatan yang sedang bercuti mendatangi pejabatku. Mereka datang untuk belajar buku yang ada kaitan dengan fiqh perubatan dan fikrah Islamiah. Sebelah pagi mereka belajar bersama sahabatku yang juga ustaz di UMS. Ia mengajar mereka tafsir dan . Setiap hari mereka habiskan masa selama 4 jam untuk belajar agama. Suatu yang mustahil mampu mereka lakukan ketika waktu perkuliahan universiti berjalan.


Mereka sengaja melambatkan jadual bercuti di kampung untuk tujuan tersebut. Mereka ini adalah pencari ilmu yang mengikuti kaedah yang diletakkan oleh Imam Malik: sesungguhnya ilmu itu didatangi dan bukannya mendatangi.

Belajar atas rasa kemahuan sendiri bagi memenuhi tuntutan agama pasti hasilnya berbeza dengan orang yang belajar kerana terpaksa atau atas tuntutan lulus periksa semata-mata. Seperti orang yang memilih menu sendiri, seleranya pasti berbeza daripada makanan yang ditapaukan oleh orang lain dan menunya bukan pilihan sendiri.

Mencari ilmu adalah satu perjuangan dan kelazatan. Lihat sahaja pengembaraan yang dilakukan oleh imam-imam yang agung seperti Syafie, Bukhari dan lain-lainnya. al-Bukhari sanggup mengembara berbulan- bulan hanya kerana sepotong hadith. Akhirnya hasil usaha pencariannya mampu dimanfaatkan oleh jutaan manusia sepanjang zaman.

Tapi tidak ramai pelajar sebegitu. Tidak ramai generasi muda seperti mereka. Bahkan ramai pelajar yang menghabiskan masa muda dengan kerja yang sia-sia. Buku kuliah yang menentukan nasibnya ketika exam pun kadangkala tidak habis dibaca. Kuliah yang diwajibkan kehadiran pun sering kali terlupa. Generasi sebegini agak ramai bilangannya walau bergelar mahasiswa. Lantaran itu kalau luluspun di tahun akhir, sekadar membawa PNGK nyawa-nyawa ikan dan kurang kepakaran.

Paling menyedihkan gejala 'malas' ini juga sering menimpa golongan muda dalam saf dakwah. Mereka mudah berpada dengan satu dua kitab dan selebihnya adalah semangat membara. Sayangnya ia cuma melahirkan bunyi guruh yang tidak menurunkan hujan. Sepatutnya merekalah yang perlu menunjukkan contoh teratas dalam mengejar kecemerlangan ilmu. Bahkan ilmulah keperluan dakwah yang paling utama. Allah ketika mmenjadikan Adam khalifah di atas mukabumi, membekalkannya dengan ilmu sebagai keperluan pertama menunaikan tanggungjawab tersebut. Imam Hassan al-Banna telah meletakkan rukun faham dan 20 usul faham yang menjadi prasyarat menjadi seorang pendakwah. Lantaran itu tarbiah perlu melahirkan pemuda yang minat ilmu, banyak membaca dan mencarinya sepanjang masa.

Apapun aku berbangga dengan orang muda seperti mereka. Mereka orang cerdik kerana itu belajar bidang perubatan. Mungkinkah kerana mereka cerdik menyebabkan mereka 'rajin' ataukah kerana mereka 'rajin' menyebabkan mereka cerdik? Aku lebih setuju dengan andaian kedua kerana sikaplah menentukan tindakan. Ramai orang gagal dalam hidupnya bukan kerana tiada kemampuan tapi kerana sikap dan keperibadian buruk. Lantaran itu Allah SWT perintahkan kita mengubah sikap dan sifat dalaman baru Allah akan merubah nasib luaran kita.

Apa-apapun abi ucapkan terima kasih kerana belanja makan di sesi terakhir pembelajaran. InsyaAllah habis cuti nanti kita teruskan dengan perbincangan buku-buku lain pula. Amal sedikit tapi berterusan lebih dicintai Allah dari amal yang banyak tapi terputus-putus. Selamat bercuti.

Flight MAS KLIA2KK

Read more »