Monday, December 13, 2010

POLIGAMI DAN DAKWAH????




Sepanjang aku berada di Semenanjung, dah beberapa orang sahabat lama yang ku temui rupanya dah pasang dua. Rajin juga aku bertanya, kenapa?. Macam-macam jawapan yang aku terima. Paling aku tak suka kalau yang jadikan kelemahan isteri pertama sebagai alasan. Mungkin benar isterinya memiliki kelemahan, tapi tidak perlulah diceritakan. Carilah alasan lain yang lebih menarik dan tidak melukakan hati sesiapa. Lagipun setiap kelemahan isteri yang anda ceritakan sebenarnya menceritakan kebodohan anda sendiri. Dari awal anda tidak pandai memilih dan bila dah kahwin anda tidak pandai memimpin. Bukankah Al-Rijal Qawwamuuna ala al-Nisa... Diakan amanah Allah di tapak tanganmu, kenapa tidak perbaiki kelemahannya? atau anda sebenarnya yang lemah?

Paling aku respect seorang sahabat aku, bila aku tanya soalan yang sama, dia menjawab: “Dulupun waktu aku nak tambah seorang lagi, isteri akupun tanya bertubi-tubi soalan yang sama dan persoalkan kat mana kelemahannya hingga aku nak tambah seorang lagi? Boleh je aku reka pelbagai jawapan, tapi aku jujur…jawapan aku senang je. Kataku ; awak takde sebarang kelemahanpun, cuma aku memang nak kahwin seorang lagi, mudahan aku miliki seorang lagi yang sempurna seperti awak. Lagipun syariah bagi kebenaran! Adapun sebab-sebab lain itu cuma sampingan sahaja”. Bagiku ini jawapan terbaik..walaupun setahu aku tiada manusia yang tiada kelemahan. Berbudi bahasa betul sahabat ku itu ketika menjawab. hehe...maklumlah takut tak dapat..


Isu poligami memang sangat sensitif bagi perempuan dan sangat menarik bagi lelaki. Berjam-jam pun lelaki tahan membincangkan topik ini khususnya bagi mereka yang dah agak lama berumahtangga. Walaupun kebanyakan yang bersemangat itu paling penakut melakukannya. He he…hingga ada orang mengatakan, lelaki yang banyak berbicara soal poligami tak akan berpoligami, bahkan yang pendiam itu selalu melakukannya. Wallahu a’lam, aku belum temui lagi hasil penyelidikan tentang itu.

Bila berbicara soal poligami dan dakwah…baru-baru ini ada sahabatku berkata: “Akhi poligami mungkin ‘antara’ jalan penyelesaian limpahan akhawwat mengatasi ikhwah yang terlibat dalam dakwah. Nisbah akhawwat berbanding ikhwah sangat tinggi”. Mungkin benar, mungkin tak. Aku tak tahu sangat bilangan sebenar mereka yang terlibat dalam dakwah di setiap gerakan dakwah yang ada di Malaysia. Cuma kalau bilangan pelajar perempuan berbanding lelaki di Universiti memang sangat tinggi. Hampir 60 hingga 70 peratus pelajar perempuan di IPTA. Fakta yang semua orang ketahui. Dalam medan dakwah, memang wanita paling mudah terkesan berbanding lelaki, mungkin kerana itu nisbah mereka lebih tinggi berbanding lelaki. Walaupun begitu, setelah berumahtangga, wanita sangat terkesan dan terikat dengan suaminya.Terbudaya dengan budaya suami. Memang ada suami yang jadi pak turut kemahuan isteri dan hidupnya dipimpin oleh isteri. Lelaki macam ni pelik. Biasanya isteri yang ikut suami. Maklumlah wanita perlu ‘taat’ pada suami. Sebab itulah kebanyakan akhawwat akan cuba memperolehi suami di kalangan rakan sefikrah bagi memastikan kelangsungan perjuangannya berterusan setelah berumahtangga. Juga, keluarganya kelak mampu menjadi benteng dan medan dakwahnya bagi melahirkan generasi pewaris fikrahnya. Cuma melihat kepada nisbah yang begitu ketara antara bilangan lelaki dan wanita, seakan mustahil untuk setiap akhawwat memperolehi pasangan di kalangan mereka yang sefikrah. Lantaran itu ada yang merasakan poligami sebagai ‘antara’ jalan penyelesaian. Mungkin benar, mungkin tidak… yang pasti poligami telah disyariatkan melalui surah alNisa…..setiap syariat pasti ada hikmahnya khususnya bagi menyelesaikan masalah yang berlaku dalam kehidupan ummah.

Pernah juga di kalangan akhawwat yang minta pandanganku tentang bakal pasangannya. Kataku, usaha dapatkan yang bujang dulu di kalangan rakan sefikrah. Kalau dah tak dapat setelah berusaha bersungguh-sungguh, maka di hadapannya ada dua pilihan. Pertama: cari di kalangan mereka yang dah berumahtangga tapi sefikrah. Pastinya pilihan ini tidak mudah kerana akan melibatkan banyak pihak. Apatah lagi ramai akhawwat yang telah berumahtangga sangat sayang suaminya yang soleh hasil dari tarbiah. Kadangkala makin ditarbiah seorang akhawwat, sayangnya pada suami makin tinggi. Hingga kadang terlupa bahawa semua yang ada itu adalah pinjaman sementara dan bukan milik kekal. Pilihan kedua: Kahwin sahaja dengan mana-mana lelaki bujang dari rakan yang tak sefikrah dan syaratkan sebelum perkahwinan bahawa suaminya tidak akan menghalangnya dengan fikrah dan perjuangannya setelah berumahangga. Macam Zainab al-Ghazali….cuma adakah akhawwat-akhawwat yang ada di hadapan kita sehebat Zainab al-Ghazali. Sukar nak jawab…lihat sahaja nanti setelah berumahtangga. Cuma ‘agak pelik’ dengan sesetengah akhawwat yang telah ditarbiah dan memiliki fikrah tapi tidak berusaha memilih pasangan yang ‘seperjuangan’ dari awal lagi. Seolah-olah rumahtangga berada di dunia lain dari dunia perjuangannya. Cintanya mungkin dibina atas asas yang lain. Wallahu A’lam.

Pernah aku membincangkan tajuk poligami dalam topik isu-isu semasa dalam Islam bagi kursus Tamadun Islam. Kataku kepada pelajar-pelajarku: Andainya suatu hari nanti mereka tersangkut dengan suami orang dan terfikir untuk bermadu…pastikan lelaki itu orang yang berjaya. Beliau telah membuktikan melalui rumahtangganya bahawa ia seorang suami yang hebat. Berjaya memimpin rumahtangga, membahagiakan isteri dan mendidik anak-anak dengan tarbiah yang sempurna. Kataku, lelaki yang berkahwin lebih mudah dikenali kemampuannya berbanding yang bujang kerana mereka sudah berada di dunia realiti berbanding lelaki bujang yang masih berteori. Jangan pilih lelaki yang bermasalah. Mengasaskan perkahwinan kedua atas masalah rumahtangga yang pertama sangat tidak adil. Bagi wanita yang memilih lelaki begini, mereka sangat berani menanggung risiko. Umpama mengupah kontraktor yang sudah diketahui bahawa rumah yang pernah ia bina sebelumnya retak, bermasalah dan runtuh. Lalu ia memberi peluang kepada kontaktor yang sama membina rumahnya. Sayangnya, lelaki gagal begini paling ramai berpoligami hingga akhirnya memberi gambaran buruk kepada syariat tersebut. Bahkan menjadi target utama serangan musuh-musuh Islam dan menganggap ia tanda kelemahan Islam. Bahkan serangan itu kadangkala datang dari kalangan anak-anak umat Islam sendiri hingga ada yang berani mencadangkan agar pensyariatannya dimansukkan sahaja.



Menjadikan alasan poligami kerana dakwah pula, mungkin logik diterima tapi akhawwat yang bakal terlibat kena pastikan yang lelaki itu memang seorang yang telah membuktikan sumbangannya dalam dakwah. Rumahtangga yang sedia ia bina benar-benar memaparkan rumahtangga dakwah. Kalau penglibatannya suam-suam kuku sahaja, usrahpun tak hadir, anak isteripun tak ditarbiah dan rumahtangga yang telah terbina compang-camping tak payahlah jadikan kalimah dakwah sebagai alasan. Takut si akhawwat akan kecewa kemudian hari.

Akhirnya, membicarakan isu poligami tak akan pernah ada kesudahannya. Khususnya antara yang menyokong dan yang membangkang. Antara yang suka dan kurang senang. Cuma kepada yang kurang senang dengan topik ini, hati-hati…jangan sampai mempertikaikan syariat Allah yang termaktub dalam surah al-Nisa:3. Bagi yang berminat dengan topik ini, jangan lupa kemampuan diri. Serlahkan kemampuan sebenar sebelum berniat terjun ke lubuknya. Takut lemas di dalamnya. Kalau dah rasa keperluannya dan ada kemampuan melakukannya, jangan jadikan isteri sebagai punca alasan. Setiap keaiban isteri yang anda masukkan dalam plan pembangunan rumahtangga kedua sebenarnya menyerlahkan kelemahan dan ketidak layakan anda untuk melakukannya. Bukti kukuh yang anda tak mahir mentarbiah isteri dan memimpin rumahtangga. Jangan sampai orang berkata:....sebenarnya, awak tak layak kahwin dengan mana-mana wanitapun....



Pernah aku bertanya kawan-kawan yang berpoligami: Sukarkah urus dua rumahtangga?. Salah seorang dari mereka menjawab: Kalau satu isteripun sukar, dua lagi. Kalau satu rumahpun susah nak urus, dua lagilah susah. Aku tanya lagi: habis tu kenapa kahwin dua? Sambil ketawa ia menjawab: saje je tambah beban untuk lebih menyerlahkan lagi kemampuan sebagai lelaki. He he…akupun turut tersenyum. Seorang pula menjawab: sebenarnya aku cuma ada satu rumahtangga dan satu keluarga. Bezanya rumahtangga saya ada seorang suami bertindak sebagai ketua dan dua isteri bertindak sebagai timbalan ketua dan anak-anak yang menjadi ahli keluarga. Lantaran itu saya tidak merasai kesukaran, bahkan urusan lebih mudah bila ramai pembantu. Katanya lagi: di saat seorang lelaki merasakan yang ia miliki dua keluarga dan dua rumahtangga yang berbeza, pastinya hidupnya akan sempit dan bermasalah. Entahlah…mungkin teorinya benar, mungkin juga tidak…ini kerana akupun belum pernah melaluinya.

Kepada wanita yang dipoligamikan, masih ada ruang untuk anda bahagia. Andainya itu takdir, maka di hadapan ukhti ada dua pilihan; pertama! marah dgn takdir dan mencari jalan untuk melawannya. Biasanya perceraian akan menjadi jalan penyelesaian. Cuma, adakah perjalanan selepas itu lebih baik dari sebelumnya? Mungkin ia berkata; aaahhh!! yang penting aku puas hati...lantaklah apa yang akan berlaku selepas ini. Memang ketika marah, tarbiah, fikrah dan rasional semuanya akan lenyap dan berterbangan walaupun dah khatam bab SABAR dalam usrah.

Pilihan kedua: rela dengan takdir. Kalaupun ianya sukar anggaplah kaffarah Allah atas dosa-dosa lalu. Bukankah setiap kesusahan itu akan menjadi sebab terampunnya sesetengah dosa kita. Mungkin juga Allah sengaja nak kurangkan beban kita dalam memberi khidmat kepada suami, sekarang tugas sudah dipikul sebahagiannya oleh orang lain. Waktu inilah masa yang ada digunakan untuk memaksimumkan usaha dakwah dan perjuangan. Itupun bergantung pada bentuk komitmen ukhti sebelum peristiwa tersebut terjadi. Itulah jawapan saya pada salah seorang isteri pertama yang pernah mengadu nasibnya kepada saya.

Kepada yang sanggup menjadi isteri kedua. Jangan acah-acah saja. Kesian kat laki orang yang sanggup tambah bebannya untuk menjadikan saudari ahli keluarganya. Perasaan bukan medan permainan. Memang tiada jalan mudah. Andainya sudah nekad, teruskan dan tawakkal. Itu juga pernah aku perkatakan pada seorang sahabat sekerja yang nak kahwin dengan suami orang. Hehe...Pernah seorang sahabatku yang dah jadi isteri kedua mengadu, dia rasa tak bahagia. Tanyaku padanya; adakah suamimu memukulmu? Tak balik ke rumah ketika giliranmu? Katanya dia baik, tak pernah pukul dan balik ikut jadual, cuma dia tak seperti orang lain yang dapat maksimum masa suami. Kataku, jangan tamak sangat, syukurlah, anda jauh lebih bahagia berbanding ramai wanita yang tak bermadu pun, tapi jasad dan perasaannya sering didera. Setiap orang ada cara bahagianya walaupun hakikat bahagia sebenar cuma ada di syurga.

Akupun tak pasti, jawapanku itu betul atau tidak. Cuma, bila orang datang, aku tak mahu mereka pulang dengan tangan kosong. Lagipun aku memang suka bercakap. Merekalah yang kena fikir betul atau tidak. He he...

Kepada sahabat ku yang banyak cawangan. Hati-hatilah juga. Dokumen audit kalian di akhirat pasti lebih panjang. Kat duniapun bebannya pasti lebih berat. Good luck.

Read more »

Thursday, November 18, 2010

MENCARI KESERASIAN




Malam ni aku menemui dua situasi, isunya sama, isi dan persepsinya berbeza.

Lepas Isya, sempat bertemu dengan seorang muslimah yang ingin berbincang soal jodoh. Hadir bersama jauzah dan anak-anakku. Banyak aspek dibicarakan, tapi semuanya berkisar soal calon yang terbaik untuknya membina rumahtangga. Banyak aspek yang dibicarakan…soal fikrah, soal tarbiah dan kemampuan si putera memimpin rumahtangga dan menentukan halatuju perjuangan rumahtangga di masa hadapan. Ini kerana wanita tersebut inginkan lelaki yang menghormati fikrah dan perjuangannya. Bahkan kalau boleh mampu memimpin dia dan anak-anak dalam menunaikan tugas membawa risalah Islam. Tidak banyak yang dibincangkan yang membabitkan soal harta dan keduniaan walaupun semua orang tahu aspek itu juga penting dalam hubungan berumahtangga.


Balik rumah, sambil berehat sekejap, aku sempat mengikuti rancangan di TV yang berkaitan dengan program memilih jodoh. Tak silap aku nama rancangan tu Perfect Match. Aku tak faham sangat keseluruhan program tersebut. Disampaikan dalam bahasa mandarin. Kalau tak silap aku rancangan tersebut dianjurkan di negara China. Aku bergantung pada subtitle untuk memahaminya. Formatnya seorang lelaki akan memilih calon isteri dari puluhan wanita yang mendaftar dan terlibat dalam rancangan tersebut. Rata-rata perbincangan, persoalan dan bentuk pilihan wanita-wanita dan lelaki tersebut berorientasikan metarial, pekerjaan, kewangan, perlancongan dan keseronokan…kalaupun ada aspek moral yang dibincangkan tapi bukanlah menjadi perbincangan pokok. Tidak mengapalah, mungkin budaya mereka memang begitu. Mereka memahami hidup ini dan alam rumahtangga sekadar untuk menyempurnakan keperluan fizikal, biological dan metarial. Lagipun sudah jadi lumrah, pasangan serasi itu apabila impian dan kemahuan mereka juga serasi. Tukang Masak pasti akan mencari dapur, periuk dan belanga dan keperluan memasak…jurubina akan mencari batu, pasir dan simen….perfect match…sekufu. Tukang masak akan masuk kedai yang menjual alat-alat memasak, jurubina akan masuk kedai hardware…dekat situ mereka akan temui pasangan impian mereka.

Sayangnya, kebanyakan pemuda pemudi Islam masa kini hampir sama cara memilih mereka seperti rancangan TV tersebut. Syarat dan kriteria lebih menitikberatkan aspek yang nampak berbanding yang tersembunyi. Metarial dan fizikal lebih utama dari aspek spritual dan mental. Mereka mungkin memahami hidup ini sekadar untuk meraih keseronokan, kelazatan dan kesenangan. Perjuangan mereka dalam rumahtangga ialah menghimpun wang dan kekayaan. Akhirnya rumahtangga yang terbina sangat rapuh. Akarnya dari awal lagi telah buruk dimakan anai-anai kejahilan. Andainya berbuah, buah-buahnya tidak mampu dimanfaatkan. Kalaupun tidak beracun dan mampu membunuh orang yang memakannya, ia menambahkan kolestrol dan menakung bakteria berbahaya. Begitulah rumahtangga yang dibina oleh kebanyakan pemuda Islam zaman moden. Anak-anak yang lahir mewarisi budaya dan cara berfikir ibubapanya. Hidup tanpa risalah yang besar dalam hidup mereka.

Bagi pemuda-pemudi yang memahami hakikat kehidupan dan kematian mereka. Memahami nilai diri dan usia yang Allah kurniakan…mereka miliki impian besar dalam hidup. Impian besar dalam berumahtangga. Bagi mereka rumahtangga medah tarbiah…medan jihad…medan dakwah. Keluarganya bakal menjadi pengerak masyarakat. Bakal berkembang menjadi mujtama’ , daulah dan khilafah. Mereka berumahtangga bukan sekadar memenuhi tuntutan fitra dan biologi semata-mata, tapi medan jihad dan pengorbanan. Rumahtangga merupakan madrasah yang mampu melahirkan anak-anak yang mampu menyambung risalah perjuangan ibubapanya. Lantaran itu mereka patrikan akad nikah mereka dengan baiah jihad dan tadhiyyah. Impian mereka sangat tinggi, setinggi firdausi. Cinta mereka sangat suci, hingga ke syurga yang kekal abadi.

Sayangnya, tidak ramai pemuda dan pemudi berfikiran begitu di masa kini. Perkahwinan mereka cuma diikat oleh cinta yang terhasil dari kekaguman fizikal dan metarial. Impian mereka juga berfokuskan fizikal dan metarial. Lantaran itu bila dunia gempa, luntur dan berguguran mahligai cinta mereka.

Kepada ikhwah dan akhawwatku yang dalam pencarian, ingatlah…kalian memegang amanah untuk memastikan yang anda perolehi itu adalah terbaik. Jangan kerana kesilapan anda, kubu perjuangan kita diserang dari sudut anda berada kerana mereka tahu kalian sangat rapuh. Banyakkan berdoa…dan teruskan mencari di lorong-lorong tarbiah, di warung-warung halaqah dan usrah…mahalkan diri anda kerana nilai usia sangat berharga untuk perjuangan yang anda fahami dan pikul.

Read more »

Thursday, November 4, 2010

CHIMPANZEE DAN STELLA


Beberapa hari yang lepas aku sempat menonton satu rancangan National Geographic mengisahkan pengorbanan Stella bersama rakan-rakannya memelihara habitat Chimpanzee di Sungai Gambia. Dia telah menghabiskan sebahagian besar umurnya untuk memastikan Chimpanzee di Sungai tersebut terus terpelihara dan terus berkembang. Telah berpuluh ekor Chimanzee yang terbiar dalam kandang-kandang peliharaan manusia berjaya diselamatkan dan dihantar ke habitat asalnya. HEBAT dan sangat besar pengorbanan tersebut dari kacamata dan kefahaman mereka. Mungkin bagi mereka itu satu perjuangan suci…satu risalah suci . (http://en.wikipedia.org/wiki/River_Gambia_National_Park)


Melihat kepada kehidupan ramai orang Islam hari ini, pasti jauh sekali perbezaannya. Umat Islam telah diamanahkan dengan risalah yang sangat mulia iaitu memastikan bumi ini ditadbir oleh manusia yang beriman kepada Allah dengan bertunjangkan syariat Allah. Mereka adalah khalifah di atas mukabumi. Sayangnya ramai di kalangan umat ini yang hidupnya seolah-olah tiada peranan. Paling tinggipun peranan mereka sekadar bekerja mencari sara hidup, keluarkan duit dari ATM, beli makanan, pakaian, rumah kereta….bila dah habis bekerja lagi untuk menambah rezki dan begitulah putaran kehidupan mereka hingga bertemu titik terakhir ajal. Mungkin salah kalau disamakan mereka dengan cara berfikir Chimpanzee, tapi rutin hidup binatang itu memang hampir sama pada sesetengah manusia yang hidupnya sekadar bertujuan memuaskan kemahuan dan mencari kenikmatan. Tapi tidak mengapa, Chimpanzee tidak diamanahkan dengan risalah….merekapun tak pandai baca Quran.

Para Rasul diutus untuk memelihara spesis manusia agar terus hidup dalam habitat Iman. Usaha tersebut diteruskan oleh para pengikut mereka. Imam Hassan al Banna meletakkan tarbiah sebagai medium utama mengembalikan manusia pada tuhannya dan mendirikan tamadun manusia di atas bumi iman. Beliau habiskan usia mudanya untuk membentuk manusia. Pasti usaha itu berbeza dari usaha Stella.... Tapi Stella ada juga benda yang diperjuangkannya berbanding sebahagian besar umat Islam pada hari ini.

Sudah tiba masanya umat Islam ini dikembalikan pada risalahnya. Tanggungjawab setiap yang memiliki iman yang hidup untuk menghabiskan masa menyedarkan umat ini. Kalau Stella mampu berbuat demikian untuk menyelamatkan makhuk yang berbeza spesis darinya, kenapa kita tak mampu berbuat demikian untuk menyelamatkan mereka yang sama spesis dan seagama dengan kita. Siapa yang akan menyelamatkan remaja yang makin jatuh moral mereka, belia yang rosak hidup mereka, rumahtangga yang hilang peranan dan masyarakat yang mula hilang pedoman.

Stella hebat dengan caranya, di mana pula hebatnya kita?

Read more »

Saturday, October 23, 2010

ADUHAI MELAYU


(Artikel ini aku taip sambil-sambil melayan mata mengantuk kerana hujan lebat di luar sana)

Membelek-belek akhbar beberapa hari ini penuh dengan berita MELAYU. Selama duduk di Sabah, jarang diperkatakan isu tersebut. Mungkin kerana ethnik Sabah dan Sarawak tidak merasakan diri mereka Melayu walau dari sudut perlembagaan mereka termasuk dalam takrifan Melayu. Cuma mereka mungkin ada alasan tersendiri untuk tidak mahu mengaku melayu kerana sifat Melayu di Semenanjung itu sendiri. Sudah beberapa bulan aku di Semenanjung, mengamit kenangan zaman remaja ketika belajar di sini dahulu. Kolej Islam Kelang dan Pondok Pak Man Bukit Besar, Kedah. Zaman itu aku juga macam remaja yang lain sangat bersemangat dengan isu-isu politik. Aku rajin beli buku dan kaset-kaset ceramah pelbagai pemimpin dan tok guru. Waktu sekolah pondok dulu, hampir tiap minggu buat rombongan pergi mendengar ceramah politik. Seronok sebab banyak isu. Ceramah politik tanpa isu baru upama makan gulai basi.


Bab kata mengata memang dah jadi tabiat orang melayu apatah lagi kalau dapat microphone di pentas politik. Sampai ke dalam almari pun kalau mampu mereka akan ceritakan. Bila penceramah menekan suara, kita dah tahu ia minta kita bertepuk atau bertakbir. Naik bulu roma dibuatnya. Sampai sebahagian ceramah tersebut aku hafal. Pandangan aku juga waktu itu mcm kawan-kawan lain. Yang tak sebulu dianggap thagut. Orang Melayu memang hebat berpolitik dan hebat dalam percaturan politik. Politik mereka lebih bersifat politik permusuhan dan bukan permuafakatan. Mungkin darah Hang Jebat dan Hang Tuah masih mengalir dalam darah mereka walau ada yg mengatakan keturunan Hang ni bukan Melayu. Menghimpunkan orang Melayu dalam satu wadah politik agak mustahil, kecualilah kita mampu memaksa semua orang melayu makan belacan..ramai juga orang melayu yang geli melihat belacan. Tapi yang tak mustahil ialah duduk semeja berbincang walau kerusinya berlainan…tapi itupun orang Melayu tak mampu buat.

Rasanya dah tiba masanya parti-parti orang melayu bersaing di medan praktikal. Kurangkan tuduh menuduh di akhbar dan ceramah. Fokuskan minda pengikut pada risalah sebenar kewujudan mereka sebagai Melayu Islam. Dari meperbanyakkan penceramah yang pandai berkata-kata ketika persidangan, muktamar dan konvensyen, baik parti-parti ini berlumba-lumba melahirkan intelektual, jutawan dan negarawan. Dari menghabiskan wang ringgit dalam kempen pilihanraya bagus mereka berlumba-lumba bagi biasiswa kepada pelajar-pelajar Melayu yang berkemampuan. Sayangnya orang melayu menjadi bangsa yang paling ramai berhutang setelah menamatkan pengajian di Universiti. Banyak lagi medan boleh tunjukkan hebatnya parti-parti politik Melayu. Cubalah berlumba-lumba bina sekolah, Universiti swasta bertaraf dunia, syarikat-syarikat gergasi bertaraf dunia. Atau berlumba-lumpa menyelesaikan masalah ummah…sosial, miskin tegar, mundur akademik dan pelbagai bidang lain yang mereka boleh tunjuk kehebatan. Kadangkala melihat sekolah agama swasta milik orang Melayu dan sekolah swasta milik bangsa lain…tengok rupa bangunan sudah mengambarkan jurang perbezaan. Kita masih mengharapkan subsidi kerajaan dan itulah mentaliti kita…termasuk aku.

Kalau orang Melayu benar-benar hebat barulah kita boleh syaratkan yang cuma ada Ph.D sahaja yang boleh dicalonkan bertanding. Barulah yang memimpin kita benar-benar cerdik seperti Oxford dan Harvard Universiti melahirkan pemimpin barat. Kadangkala nak memangkah kertas undi pun serba salah bila nama calon tu dulu mengaji kat U pun tak berapa nak lepas…baca teks ucapan yang orang sediakanpun tergagap-gagap…ermm. Sayangnya hingga kini orang Melayu hanya terkenal pandai bercakap dan kurang buat. Teori banyak, praktikal kurang. Sembang kedai kopi cukup hebat yang kaya tauke Kopitiam.

Kini setelah hampir puluhan tahun, aku dapati corak berpolitik dan berfikir orang Melayu tak banyak berubah. Cuma mungkin dulu bangsa lain berdiam diri, pasrah dan mengalah. Dulu mereka tumpukan penguasaan bidang ekonomi, kuasai sektor perniagaan, jadi jutawan dan KAYA. Sekarang mereka dah dapat semua itu sebab waktu itu orang Melayu sibuk berebut kerusi, sibuk hukum menghukum hingga terlupa pada risalah asal kewujudan mereka. Kini bangsa lain yang dah dapat habuan dari kekayaan beralih pula kepada kekuatan kedua. KUASA. Ini kerana KAYA dan KUASA lengkap melengkapi. Orang Melayu dari dulu terlalu menumpu yang namanya KUASA dan agak zuhud mengejar yang namanya KAYA. Zaman tu mereka banyak dahulukan bangsa lain. Hinggakan habuan mereka dalam DEB yang cuma 30% mereka tak ambil semuanya. Toleransinya orang Melayu. Sebab itu sampai kini kita masih tak mampu menyaingi bangsa lain. Paling-palingpun mampu mengeluarkan produk pencecah roti yang menyerupai KAYA keluaran YEOS. Membimbangkan…orang Melayu masih mengamalkan politik berpecah, fitnah memfitnah, tuduh menuduh, kata mengata macam dulu-dulu juga. Tidak mustahil suatu hari mereka akan menjadi hamba di tanah sendiri. Kadang, baru sahaja ada cadangan untuk duduk semeja, datang orang Melayu juga yang memecahkan kerusi meja sebelum sempat duduk berbincang. Banyak masa dan emosi kita habis ke situ dan terlupa untuk mengejar bangsa lain yang memang telah menguasai KAYA…kini mengimpikan KUASA…

Memang tidak dapat dinafikan orang Melayu pernah hebat. Sejarah membuktikan dulunya kawasan ini dikuasai oleh kerajaan Melayu yang dikenali seluruh dunia. Kalau kita kaji mereka menjadi hebat akibat kedatangan Islam. Islam yang dianuti oleh raja dan rakyat diamalkan bukan hanya sebagai peraturan hidup harian bahkan menjadi undang-undang negara. Akhirnya kerajaan-kerajaan Melayu Islam ini mengusai laluan perdaganan Selat Melaka dan berniaga hingga ke timur dan barat. Orang Melayu dulu KAYA dan BERKUASA. Kalau bukan kerana kedatangan penjajah nescaya kerajaan-kerajaan Melayu masih lagi mengamalkan Islam dalam perundangan dan segenap aspek hidup mereka. Macam nenek moyang mereka dulu. Bila penjajah datang, mereka cuba buang Islam sedikit demi sedikit dari diri orang Melayu. Akhirnya orang Melayu bukan hanya terjajah negara, bahkan ekonomi, minda dan emosi mereka. Bila merdeka mereka sibuk mencari resepi kemajuan di timur dan di barat untuk memajukan diri dan negara. Kadang nampak berjaya tapi dalam masa yang sama mengundang bahaya. Lihat sahaja, dalam kita berbangga dengan wujudnya pencakar langit dan majunya prasarana, orang Melayulah juga yang paling tinggi rangking dalam penagihan dadah, anak luar nikah, buang bayi, perceraian….Seolah-olah resepi yang kita guna manisnya cuma pada kulit tapi isinya pahit tak mampu ditelan.

Melayu memang perlu terus menguasai tanah ini sebab di sinilah tumpah darah mereka. Tapi tidak bererti bangsa lain tidak ada hak dan tertindas. Mereka juga warganegara. Mereka juga lahir di sini. Tapi hak tuan rumah tetap tidak boleh dipertikaikan. Memperjuangkan bangsa sambil menindas bangsa lain itu lah rasis dan asobiyyah jahiliyyah. Memperjuangkan bangsa tanpa mengambil hak dan menindas bangsa lain itu fitrah manusia, Nabi pun seringkali menyebut keistimewaan orang arab dan bangsa quraish. Cuma dalam kontek memperjuangkan Melayu, perlulah memahami maknanya seperti takrifan perlembagaan. Melayu itu Islam. Memperjuangkan Melayu bukan sekadar kerana melayunya bahkan kerana Islamnya Melayu. Perjuangan bangsa mesti bersadurkan agama.

Melayu perlu terus memerintah kerana di situlah letaknya kuasa ISLAM yang diiktiraf oleh perlembagaan. Tapi apakah resepinya? Adakah masih resepi lama? Pandang ke barat atau pandang ke timur? Kita sudah tahu kesannya…kenapa kita tak pandang pada resepi yang pernah memajukan kerajaan Melayu yang dibangunkan oleh nenek moyang kita?Kalau Melayu dulu mampu maju dengan resipi Islam, kenapa kita tidak? Kenapa kita hilang keyakinan? Adakah minda kita masih terjajah oleh Portugis, Belanda, Inggeris dan Jepun?

Kesultanan Melaka, Johor, Pahang, Acheh, Perlak, Samudera Pasai dulu maju dengan Islam? Satu resepi sahaja…Islam…. yang telah dijanjikan oleh tuhan orang Melayu dan manusia sejagat bahawa di dalamnya ada hasanah dunia dan hasanah akhirat. Kenapa kita tak gali semua resepi dan rempah ratusnya lalu di masak betul-betul menjadi identiti Melayu Muslim sejati. Orang Melayu paling mudah mengamalkan Islam kerana mereka memeng telah difitrahkan dengan pelbagai sifat yang baik. Tidak macam orang Arab terkenal kasarnya. Pernah aku makan bersama mereka waktu di luar negara. Mereka makan nasi dengan mengepalnya besar dan bulat dan apabila memasukkannya dalam mulut melekat pada janggut. Orang melayu makan sungguh tertib. Itu baru makan. Islam mampu sebenarnya bawa orang melayu maju seperti zaman kegemilangan nenek moyang mereka bahkan akan lebih maju. Lihat sahaja apabila kerajaan mula melaksanakan sistem kewangan Islam, orang melayu mampu menjadi peneraju hinggakan bangsa asing belajar dari kita. Mereka mula menaruh minat pada ekonomi Islam. Itu juga satu dakwah kerana tabiat manusia nak kaya, nak untung dan tak nak rugi walau apapun sumbernya. Kenapa kita tak cuba gali lagi resepi Islam dan laksanakan pula dalam aspek-aspek lain?. Pasti kesannya sama.

Islam bukan hanya undang-undang, undang-undang juga bukan sekadar hudud. Memang semua itu wajib dilaksanakan. Mengingkarinya boleh mengugurkan shahadatain.Orang Melayu sekarang tahu semua tu, tak mcm era 70an 80an. Zaman tu ramai sangat yang jahil.

Orang Melayu sudah mula faham cuma kefahaman mereka belum sampai ke akarnya. Masih ada yang yang anggap Islam ini sekadar syiar-syiar tertentu. Masih ada yang anggap Islam fokus pada akhirat melebihi dunia. Ramai pelajarku yang ada kesedaran agama mengabaikan pelajaran kerana alasan dakwah dan risalah lebih utama dari akademik. Ajaran-ajaran sesat begini perlu diperbetulkan. Ia samalah seperti tinggalkan dunia demi persiapan ibadah dan akhirat. Bahkan aku terpaksa menjadi motivator kepada beberapa usahawan bumiputera di Sabah dan Sarawak yang berpada dengan pendapatan RM20,000 hingga RM30,000 setahun kerana takut terlalu kaya. Akhirnya mereka sekadar menguruskan pendapatan dan bisnes yang sedia ada dan tidak mahu memperkembangankanya. Kataku umat Islam dahulu mencari kekayaan sampai mengusai kekayaan dunia. Tapi akhirnya mereka gunakan semua itu untuk membeli syurga dengan menafkahkannya pada jaan Allah. Kenapa usahawan Melayu tak mahu kaya? Kenapa tak wujud seratus orang seperti Syed al-Bukhari? Yang mampu menyediakan pelbagai bantuan kepada umat Islam? Untuk mewujudkan satu sekolah yang cukup prasarana sahaja ahli Jawatankuasa terpaksa menagih simpati orang ramai. Ada satu masjid di Bangi ini, setiap jumaat aku mesti bawa sedikit bekalan wang. Lepas solat pasti ada sejadah dihamparkan untuk orang ramai bersedekah dan menderma bagi pembinaan bangunan sekolah. Kadangkala sekolah yang terbina serba kekurangan. Paling sedih kadangkala Khatib terpaksa berkhutbah berapi-api untuk menaikkan semangat hadirin menderma. Sebab orang kita tidak ramai yang kaya raya. Yang kaya raya pula masih ramai yang sayang harta. Imam al-Banna pernah menyebut: Bukanlah zuhud itu engkau meninggalkan dunia dan menyerahkannya kepada orang kafir untuk menikmatinya. Tapi zuhud yang sebenarnya ialah engkau memiliki seluruh isi dunia hinggakan nilai dunia ini seumpama tanah sahaja dan kau nafqahnya pada jalan Allah. Itulah kefahaman sebahagian besar para sahabat yang dijanjikan masuk syurga. Mereka orang kaya dan mereka gunakan kekayaan tersebut untuk membeli syurga.

Melayu tanpa Islam umpama badan tanpa nyawa. Kalaupun mereka mampu bergerak, ia umpama mayat yang berjalan ditengah malam. Orang Melayu perlu membina diri mereka dengan Islam. Mereka perlu memahami Islam sebagaimana yang difahami oleh generasi awal dan sebagaimana yang dfahami oleh nenek moyang orang melayu di zaman keagungan mereka. Tanpa Islam Melayu akan terus layu.

Lantaran itu pendekatan politik kepartian dan cara berfikir orang politik tak akan mampu menyatukan orang Melayu. Mereka telah dibesarkan oleh sistem berpolitik ala barat yang kadangkala tidak terikat dengan batasan akhlak dan karamah insan. Tak kira golongan manapun mereka, hampir sama sahaja sepak terajangnya di pentas. Politik memang sebahagian dari Islam untuk mengurus kekuatan ummah. Politik Islam penuh dengan adab dan tatasusila. Ia bukan sekadar medan mencari kuasa tapi ia wasilah untuk mendekatkan manusia kepada penciptanya. Kita perlu pendekatan lain yang juga tak kurang pentingnya bahkan paling utama. Pendekatan tarbiah….

Tarbiah selama 13 tahun di Mekah telah mengeluarkan orang-orang Arab dari lemah menjadi kuat. Akhirnya mengetuai manusia membina tamadun yang hingga kini diingati sumbangannya. Orang Melayu perlu dididik semula memahami agama mereka. Perlu dididik semula memahami risalah hidup mereka. Perlu dididik semula memahami tabiat agama mereka. Perlu didik semula seni menguasai dunia dan akhirat. Perlu dididik semula tentang kesyumuan Islam. Sayangnya matapelajaran yang ada di sekolah-sekolah orang Melayu dan universiti-universiti mereka cuma sarat dengan masalah furu’ dan kurang menekankan semua itu. Hatta di sekolah-sekolah agama. Akhirnya mereka hidup dan berfikir dalam lingkungan diri mereka sendiri sahaja. Memang ada pelajaran agama…tapi sekadar melahirkan saudagar mimpi dan bomoh.

Islamlah sebenarnya yang memajukan melayu. Tapi Islam yang difahami oleh generasi awal Islam. Tanpa Islam Melayu beginilah keadaannya sampai bila-bila. Kalau pun mereka maju, mereka sama macam orang putih yang menjajah mereka. Melayu dan Islam tidak sepatutnya berpisah.

Apapun aku orang kedayan dari Sarawak.

“MELAYU SEPAKAT ISLAM BERDAULAT”

Read more »

Tuesday, October 12, 2010

KONVO UMS KE 12

Tahun ini ramai bekas pelajarku menerima ijazah sempena konvokesyen ke 12 Universiti Malaysia Sabah. Pastinya berkat ketabahan mereka menghadapi segala ragam pembelajaran dan ketekunan mereka hingga meraih kejayaan. Pastinya lebih manis bagi mereka yang memperolehi keputusan yang cemerlang dan menerima anugerah Universiti sebagai tanda penghargaan.

TAHNIAH aku ucapkan pada semua bekas pelajarku khususnya yang menamatkan pengajian mereka dengan cemerlang.

Dalam kesemua pelajarku ada di antara mereka yang hampir setiap minggu menghadiri kelas pengajian khususku. Mereka bukan sekadar belajar TITAS bahkan belajar dan berbincang tentang hidup dan perjuangan. Atas bahu mereka ini bertimbun segala agenda dan proposal. Mereka sudah ada jawatan khusus sebelum resume dihantar ke jabatan-jabatan dan syarikat yang menawarkan pekerjaan. Merekalah harapan ummah untuk mengembalikan kegemilangan tamadun yang telah runtuh. (Ingat balik daurah kita: Antara Semalam dan Hari Ini, Syahadatul Haq dll…). Harap mereka tidak melupakan semua itu dek kerana kesibukan memikul amanah pejabat setelah bekerja kelak (tapi ramai juga yang kecundang). Bagi mereka ini aku ingin ingatkan bahawa proses tarbiah kalian belum tamat. Banyak lagi yang perlu dipelajari sesuai dengan manhaj tagyir kita yang bertahap. Aku ingatkan juga, andainya kalian lari dari perjuangan ini…segala risiko akan ditanggung sendiri. Kami telah cuba memberi yang terbaik.

Bagi yang sudah konvo, ijazah yang ada gunakan sebaik mungkin untuk membina ummah dan negara. Ruang pekerjaan sekarang agak terhad. Berfikir juga bagaimana hendak memulakan pekerjaan yang menempatkan diri kalian menjadi tauke. Insyaallah aku doakan rezeki kalian dipermudahkan.

Setelah hampir 8 tahun di UMS, inilah kali pertama aku tak berada di pentas konvokesyen dan menyertai perarakan akademik. Selalunya aku terlibat sebagai pembaca doa. Tahun ini aku sendiri mula bergelar seorang pelajar.

Read more »

Wednesday, September 8, 2010

KHUTBAH RAYA: USAHA DULU!


KHUTBAH PERTAMA

الله أكبر× 7 كالي ، الله أكبر كبيرا والحمد لله كثيرا وسبحان الله بكرة وأصيلا. لا إله إلا الله ولا نعبد إلا إياه مخلصين له الدين ولو كره الكافرون، لا إله إلا الله والله أكبر، الله أكبر ولله الحمد. الحمد لله رب العالمين الذي وفق المؤمنين إلى طاعته وتجلى عليهم بدينه. وأشهد أن لا إله إلا الله وحده لا شريك له، إليه يصعد الكلم الطيب والعمل الصالح يرفعه، وأشهد أن محمدا عبده ورسوله وصفيه وحبيبه دعانا إلى العمل والجد وحذرنا من الكسل والعجز. اللهم صل وسلم على سيدنا محمد وعلى آله وأصحابه وأتباعه إلى يوم المعاد، أما بعد:

Muslimin dan Muslimat, tetamu satu Syawwal yang dirahmati Allah,
Allah swt ketika memfardhukan puasa menyebut:

يَاأَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمْ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ(183) سورة البقرة

“Difardhukan kepada kamu berpuasa, seperti mana difardhukan ke atas umat-umat terdahulu, (tujuannya) mudah-mudahan kamu bertakwa”.

Al-hamdulillah, kita telah melalui bulan ramadhan dengan mengerjakan ibadah puasa, terawih dan lain-lainnya sebagai bukti dan menambahkan lagi ketakwaan kita kepada Allah, justeru itu marilah kita pada hari yang berbahagia ini terus memastikan tahap ketakwaan kita kepada Allah terus hangat, mantap dan mampu kita jelmakan dalam amalan dan perbuatan kita seharian. Jadikan takwa sebagai bekalan kita melayari hidup ini dan mudah-mudahan hembusan nafas terakhir kita tatkala meninggalkan alam ini juga diiringi dengan takwa. Allah swt juga berfirman:

يَاأَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اتَّقُوا اللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُونَ(102)سورة آل عمران


(Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa, dan jangan sekali-kali kamu mati melainkan dalam keadaan Islam).

الله أكبر الله أكبر الله أكبر ولله الحمد
Muslimin dan Muslimat, tetamu satu Syawwal yang dirahmati Allah,
Seorang anak bertanya kepada bapanya di pagi raya: “Ayah, mengapa orang Islam kena berpuasa dulu, lapar dulu… baru boleh sambut raya puasa… sedangkan agama lain, tak perlu puasa tapi boleh sambut krismas, tahun baru cina dan deepavali…”. Pertanyaan yang bunyinya keanak-anakkan tapi belum tentu mampu dijawab, melainkan oleh ibubapa yang memahami tabiat agama mereka.

Bagi ibubapa yang memahami tabiat agama Islam atau sekurang-kurangnya tabiat hidup di dunia, pasti akan menjawab: Wahai anakku, memang begitu cara orang Islam beraya, puasa dulu baru boleh menyambut Hari Raya puasa, kena pergi haji dan sembelih korban dulu baru ada raya haji dan raya korban. Begitu juga hidup ini anakku, kena susah dulu baru senang, kena berusaha dulu baru berjaya, kena berjuang dulu baru menang dan kena sanggup melakukan tuntutan agama baru boleh masuk syurga”.

الله أكبر الله أكبر الله أكبر ولله الحمد
Muslimin dan Muslimat, tetamu satu Syawwal yang dirahmati Allah,
Inilah tabiat hidup yang perlu difahami oleh setiap manusia. Terutama kita yang telah sebulan berpuasa, baru boleh menyambut hari raya… iaitu tiada kemenangan, kejayaan, pembangunan dan kesenangan melainkan terpaksa didahului dengan kesusahan, usaha dan pengorbanan.

Lihat sahaja generasi terdahulu, sanggup mengorbankan masa, harta dan nyawa kerana Allah dan demi memartabatkan agama Allah…akhirnya mereka mampu membina Tamaddun Islam yang hebat dan gagah, mampu bertahan di persada dunia ribuan tahun lamanya. Mereka mampu mentadbir empayar yang terbentang luas dari utara China hingga ke pertengahan benua Eropah dengan menjadikan Islam sepagai payung dan pancangnya. Semua ini mereka capai kerana kegigihan dan kesungguhan mereka.

Begitu juga, di hari, dimana Rasulullah saw menolak tawaran bangsawan musyrikin Mekah untuk menabalkannya menjadi Raja Pertama Mekah dan menjadikannya manusia yang paling kaya dalam sejarah mereka dengan syarat hendaklah baginda meninggalkan kerja dakwahnya, semenjak hari tersebut, para sahabat sudah memahami bahawa agama ini tidak akan mampu sampai kemana-mana dengan mengharapkan belas kasihan musuh atau duduk goyang kaki di rumah dan tak buat apa-apa. Agama ini perlu ditegakkan dengan peluh dan darah, masa dan nyawa, tenaga dan harta. Agama ini memerlukan mereka yang kental jiwanya, tinggi iman dan takwanya.

Muslimin dan Muslimat, tetamu satu Syawwal yang dirahmati Allah,
Tapi yang amat menghairankan pada hari ini. Masih ada di kalangan umat Islam yang mengharapkan kesenangan dunia tapi malas berusaha dan inginkan masuk syurga tetapi enggan memenuhi tuntutan agama…orang begini samalah seperti orang yang menyambut hari raya puasa tapi malas berpuasa…orang begini tidak akan sampai kemana-mana. Ia akan hidup di titik mana ia bermula dan berada, tanpa pergerakan, tanpa perubahan. Orang begini umpama Mat Jenin yang sentiasa memasang angan-angan ingin memiliki istana indah tapi tidak pernah berusaha untuk mencuba merealisasikan impiannya. Hakikatnya, hanya mahligai yang dibina di alam khayalan mampu didiami oleh orang begini, sedang mahligai yang dibina di atas bumi Cuma mampu dibina dengan kesungguhan dan usaha.

Suatu hari Saidina Umar al-Khattab terserempak dengan beberapa ahli sufi di dalam Mesjid… mereka berdoa agar jadi kaya tapi tak pernah berusaha. Umar menegur mereka dengan katanya:

متى تظنون أن السماء تمطر ذهبا أو فضة؟ كلا...

(Semenjak bila kamu menyangka bahawa langit mampu menurunkan hujan emas dan perak? Sama sekali tidak mungkin…)

Ini kerana, emas dan perak Cuma mampu diperolehi bagi sesiapa yang sanggup membelah gunung dan lurah untuk mengali khazanah bumi. Kesenangan hanya akan dicapai dengan usaha dan pengorbanan!

Muslimin dan Muslimat, tetamu satu Syawwal yang dirahmati Allah,
Semua manusia inginkan kesenangan di hari tua, memiliki kehidupan yang sempurna dan keluarga yang bahagia. Tapi semua itu kan hanya tercipta, bagi mereka yang menggunakan usia muda dengan bersungguh-sungguh dan memajukan diri sedaya upaya. Alam persekolahan dipergunakan untuk mencari ilmu berharga dan pencapaian akademik yang terbaik. Hanya mereka yang sanggup meninggalkan kegilaan usia remaja dan cuba membina diri dengan akal yang waras dan berusaha menjadikan impian menjadi satu kenyataan… pemuda begini akan menuai buah kejayaan di hari tua.

Adapun mereka yang tidak sanggup memerah keringat ketika tubuh sihat, usia masih muda dan tenaga masih kuat…malah dihabiskan dengan keseronokan yang membunuh masa…. atau dadah dan syabu yang membunuh akal yang sejahtera. Orang begini bakal menuai pohon kesengsaraan dan penghinaan di hari tuanya. Ini kerana mereka telah puas berhari raya tetapi tidak sanggup berpuasa….

Lihat sahaja abang dan kakak kamu yang kembali ke desa di hari mulia. Mungkin sebahagian besar mereka telah menghabiskan usia mereka di perantauan. Mereka sanggup berpisah dengan keluarga tercinta, memerah akal dan keringat demi mengejar cita-cita. Mereka juga sanggup menahan emosi dan perasaan….hingga sanggup beraya di perantauan. Tapi semua itu mereka lalui dengan kesabaran…..hari ini, ada antara mereka yang kembali membawa kejayaan dan kegembiraan. Bukan hanya untuk diri mereka, malah ibubapa dan keluarga boleh tumpang berbangga. Inilah anak muda yang sanggup berpuasa begitu lama sebelum berhari raya. Sanggup bersusah payah sebelum berjaya…tidak seperti kita.

Muslimin dan Muslimat, tetamu satu Syawwal yang dirahmati Allah,
Mengapa puasa dulu baru raya? Kerana bekerja dulu baru dapat upahnya. Majikan yang bodoh sahaja yang akan memberikan upah tanpa kerja. Begitu juga syurga tidak murah harganya…tidak mungkin memasukinya hanya berbekalkan anggan-angan kosong. Allah swt tatkala memfardhukan solat, puasa dan ibadah lainnya, dan dalam masa yang sama mengharamkan arak, judi, riba dan sebagainya…bertujuan untuk mengukur dan menilai… siapa diantara mereka yang rajin dan siapa yang pemalas, siapa yang beriman dan siapa yang kafir, siapa yang bertakwa dan siapa yang fajir, siapa yang layak ke syurga atau menjadi penghuni neraka. Kedua-dua golongan ini, walaupun kadangkala nampak sama di dunia, sekata gerak gerinya, ….tapi tidak mungkin sama di alam akhirat, alam perhitungan dan pembalasan muktamad.

Firman Allah SWT:

أَمْ نَجْعَلُ الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ كَالْمُفْسِدِينَ فِي الْأَرْضِ أَمْ نَجْعَلُ الْمُتَّقِينَ كَالْفُجَّارِ(28) سورة ص

(Patutkah Kami jadikan orang-orang yang beriman dan beramal soleh itu sama seperti orang-orang yang melakukan kerosakan di muka bumi? Atau patutkah Kami jadikan orang-orang yang bertaqwa sama seperti orang-orang yang berdosa?)
Firman Allah SWT lagi:

أَمْ حَسِبَ الَّذِينَ اجْتَرَحُوا السَّيِّئَاتِ أَنْ نَجْعَلَهُمْ كَالَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ سَوَاءً مَحْيَاهُمْ وَمَمَاتُهُمْ سَاءَ مَا يَحْكُمُونَ(21) سورة الجاثية

(Patutkah orang-orang yang melakukan kejahatan menyangka bahawa Kami akan menjadikan mereka seperti orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dengan menyamakan keadaan (mereka semua) semasa mereka hidup dan semasa mereka mati? Buruk sungguh apa yang mereka hukumkan itu.)

الله أكبر الله أكبر الله أكبر ولله الحمد
Muslimin dan Muslimat, tetamu satu Syawwal yang dirahmati Allah,
Hampir setiap hari kita mendengar berita, saudara seagama kita di Palestin, Iraq, Kashmir dan negara Islam yang lainnya dibunuh dan dianiaya, negara mereka dirampas, rumah mereka dimusnahkan dan kemerdekaan hidup mereka terbelenggu. Sedang kita yang menonton dan mendengar berita tersebut sekadar menggeleng kepala dan mengeluh sebagai tanda simpati. Kita antara jutaan umat Islam seluruh dunia yang merasai perasaan yang sama. Malangnya, kita tak mampu berbuat apa-apa, malahan kita memang tak buat apa-apapun!!!. Kita mengharapkan umat ini akan merdeka dan kembali menguasai pentas dunia, tapi kita tetap bakhil dengan harta dan tenaga untuk menjayakannya. Malah untuk menadah tangan berdoa agar Allah memenangkan saudara kita yang teraniayapun… terasa berat dan tidak bermaya. Inilah bahananya apabila umat ini sudah terlupa formula kejayaan mereka iaitu…puasa dulu baru boleh raya. Usaha dulu baru berjaya. Berkorban masa, harta dan nyawa dulu baru merdeka dan mulia.

الله أكبر الله أكبر الله أكبر ولله الحمد
Muslimin dan Muslimat, tetamu satu Syawwal yang dirahmati Allah,
Memang Islam yang kita anuti ini agama Allah, tapi Allah tidak akan memenangkan umat agama ini melainkan mereka terlebih dahulu berusaha memperjuangkannya. Umat Islam tidak mampu bergerak maju andainya mereka berterusan hidup mengemis simpati dan subsidi orang lain. Telah sekian lama Dasar Ekonomi Baru diperkenalkan bertujuan untuk meningkatkan pencapaian ekonomi Bumiputera ketahap 30 %...ia cuma 30 %!! Malah kerajaan memberikan subsidi, peluang dan bantuan kepada kaum bumiputera untuk maju dan bersaing dengan bangsa asing. Namun sayang seribu kali sayang…itupun mereka tak mampu mencapainya. Malah golongan terpelajar di kalangan bumiputeralah juga yang paling ramai menganggur, menanti kerja bertandang kerumahnya, sedang ia tidak pernah melakukan apa-apa. Allah berfirman:



Muslimin dan Muslimat, tetamu satu Syawwal yang dirahmati Allah,
Itulah pengertian hariraya puasa bagi mereka yang berpuasa. Bahawa puasa dulu baru raya…mereka ini layak menyambut hari raya ini dengan penuh kegembiraan. Mereka ini pasti merasakan manisnya hari raya. Kerana lazatnya kemanisan hidup cuma dirasai oleh mereka yang pernah merasai kepahitannya. Nikmatnya kekayaan, cuma dikecapi oleh mereka yang sekian lama hidup dalam kemiskinan . Begitu juga hanya orang yang penat berusaha akan menghargai kejayaan yang tiba. Itulah tabiat hari raya, malah…itulah tabiat hidup dan itulah janji Allah… Firman Allah swt:




بارك الله لي ولكم في القرأن العظيم ونفعني وإياكم بما فيه من الآيات والذكر الحكيم وتقبل مني ومنكم تلاوته إنه هو السميع العليم. فاستغفروه فيا فوز المستغفرين ويا نجاة النائبين.

KHUTBAH KEDUA

الله أكبر× 5 كالي ،لا إله إلا الله والله أكبر، الله أكبر ولله الحمد.
الحمد لله رب العالمين الذي احيينا في هذا الشهر المبارك، أشهد أن لا إله إلا الله وحده لا شريك له وأشهد أن محمدا عبده ورسوله، اللهم صل وسلم على حبيبنا محمد وعلى آله وصحبه أجمين. أما بعد
:
Muslimin dan Muslimat, tetamu satu Syawwal yang dirahmati Allah Gunakan kesempatan Hari Raya terutama bagi mereka yang jarang kembali ke desa tercinta untuk mempereratkan semula tali silaturrahim sesama kita. Ziarahilah kaum kerabat dan sahabat handai, khususnya mereka yang mempunyai ikatan kekeluargaan dengan ayah atau ibu kita yang telah pergi ke alam baqa. Rasulullah saw pernah ditanya: Bolehkan aku berbuat baik kepada kedua orang tuaku yang telah meninggal dunia?. Jawab baginda:

نعم، الصلاة عليهما والإستغفار لهما وإنقاذ لهما من بعدهما وصلة الرحم التى لا توصل إلا بهما وإكرام صديقهما

(Ya, dengan memperbanyakkan doa dan istigfar untuk mereka, menunaikan janji dan wasiat mereka, menghubungkan silaturrahim dengan orang-orang yang tak sampai hubunganmu dengan mereka melaikan dengan perantaraan mereka dan memuliakan kawan-kawannya yang masih hidup).

Tetamu Syawwal yang dirahmati Allah,
Amalan sesetengah orang yang lebih gemar berhariraya di hadapan peti TV merupakan amalan yang tidak baik. Sepatutnya inilah peluang terbaik untuk merapatkan diri dengan keluarga dan masyarakat. Apatah lagi kalau kita jarang-jarang dapat kembali ke desa dan berjumpa mereka. Jadikanlah Hari Raya sebagai hari ziarah menziarahi. Rasulullah saw bersabda:

حقت محبتي للمتزاورين في

(Wajib kasih sayangku kepada orang-orang yang ziarah menziarahi keranaku) HR Ahmad.

Sabda Baginda Lagi:
إن المسلمين إذا التقيا وتصافحا وضحك كل واحد منهما في وجه صاحبه لا يفعلان ذلك إلا لله لم يتفرقا حتى يغفر لهما

(Sesungguhnya dua orang Muslim apabila mereka berjumpa dan bersalam-salaman dan ketawa sesama mereka pada wajah sahabatnya, mereka tidak melakukan semua itu melainkan kerana Allah, tidak berpisah kedua-duanya melainkan setelah diampunkan dosa-dosa mereka oleh Allah swt) HR Abu Daud.

Tetamu Syawwal yang dirahmati Allah,
Hari raya, inilah musim untuk kita melupakan sengketa lama. Kembali kepada kewarasan akal yang sejahtera. Apa guna bermusuh lama-lama. Demikian itu tidak menguntungkan sesiapa. Syurga itu milik hamba yang sering kasih mengasihi sesama mereka. Hulurkan tangan maaf dipinta, walau hakikatnya bukan kita yang memulakan angkara. Apalah salahnya kita mengalah sedikit demi kemenangan yang kekal abadi. Al-Hakim dengan sanadnya yang sahih meriwayatkan dari Abu Hurairah r.a, Baginda saw bersabda:

(Tiga perkara, andainya ia ada pada diri seseorang, Allah akan menghisabnya di akhirat dengan hisab yang mudah dan dimasukkan ia ke dalam syurga dengan rahmatnya…..Berilah kepada orang yang enggan memberi kepadamu, hubungkan silaturrhim dengan orang yang memutuskan hubungan denganmu dan maafkanlah orang yang pernah menzalimimu. Maka apabila engkau mampu berbuat demikian engkau akan dimasukkan ke dalam syurga).

Marilah kita sama-sama memperbanyakkan salawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW. Kerana Allah berfirman:

إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ يَاأَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا(56) سورة الأحزاب

(Sesungguhnya Allah dan malaikatNya berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad s.a.w); wahai orang-orang yang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya).

اللهم صل على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه أجمعين.
اللهم اغفر المسلمين والمسلمات والمؤمنين والمؤمنات الأحياء منهم الأموات.
اللهم أصلح لنا ديننا الذي هو عصمة أمرنا وأصلح لنا دنيانا التى فيها معاشنا وأصلح لنا آخرتنا التى إليها معادنا واجعل الحياة زيادة لنا في كل خير واجعل الموت راحة لنا من كل شر.
اللهم انصر الإسلام والمسلمين وانصر المجاهدين في فلسطين وفي كل مكان يا رب العالمين.
اللهم آتنا في الدنيا حسنة وفي الآخرة حسنة وقنا عذاب النار
عبادالله إن الله يأمر بالعدل والإحسان وإيتاء ذي القربى وينهى عن الفحشاء والمنكر والبغي، يعظكم لعلكم تذكرون. فاذكروا الله العظيم يذكركم واسئلوا من فضله يعطكم ولذكر الله أكبر والله يعلم ما نصنعون.
الله أكبر الله أكبر الله أكبر ولله الحمد

Read more »

Saturday, August 28, 2010

KITA DAN LAILATUL QADAR


Khutbah Pertama: Masjid UiTM, Kota Samarahan. 27/8/2010

الحمد لله رب العالمين الذي وفق المؤمنين إلى طاعته وتجلى عليهم بدينه. وأشهد أن لا إله إلا الله وحده لا شريك له، إليه يصعد الكلم الطيب والعمل الصالح يرفعه، وأشهد أن محمدا عبده ورسوله وصفيه وحبيبه دعانا إلى العمل والجد وحذرنا من الكسل والعجز. اللهم صل وسلم على سيدنا محمد وعلى آله وأصحابه وأتباعه إلى يوم المعاد، أما بعد:

Sidang jumaat, tetamu ramadhan yang dirahmati Allah,

يَاأَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اتَّقُوا اللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُونَ(102)سورة آل عمران

(Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa, dan jangan sekali-kali kamu mati melainkan dalam keadaan Islam).


Alhamdulillah, kita bersyukur kepada Allah yg masih lagi menghidupkan kita di bulan takwa. Masih lagi izinkan kita menghirup jutaan rahmat yg berguguran dari awan maghfirah sepanjang ramadan yg mulia ini. Taqwa yg menjelma dalam diri kita hasil dari ibadah puasa yang kita lakukan mudah-mudahan mampu dikekalkan momentumnya hingga melimpasi batas ramadan. Kekal subur sehingga akhir hayat kita.


Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Kita sudah hampir memasuki fasa ketiga, fasa terakhir ramadan. Malam 10 terakhir ramadan adalah detik paling berharga yang dinanti-nantikan oleh Rasulullah SAW ketika hayatnya. Kata Aisyah r.a;

(كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا دَخَلَ الْعَشْرُ أَحْيَا اللَّيْلَ وَأَيْقَظَ أَهْلَهُ وَجَدَّ وَشَدَّ الْمِئْزَرَ)

(Adalah Rasulullah saw apabila memasuki sepuluh terakhir ramadhan, menghidupkan seluruh maam, , mengerakkan kaum keluarganya malam hari untuk beribadah, tekun beramal dan mengangkat kain tapih (iaitu tidak mengauli isteri-isterinya).(Riwayat Muslim)

Kenapa baginda begitu menantikan malam 10 terakhir ramadan? Kenapa ia begitu berharga? Kenapa terlalu istimewa? Kerana di dalamnya ada satu malam yang nilainya melebihi 1000 bulan. Itulah malam al Qadar. Allah SWT menyebut:

ومَا أَدْرَاكَ مَا لَيْلَةُ القَدْرِ. لَيْلَةُ القَدْرِ خَيْرٌ مِّنْ أَلْفِ شَهْرٍ

Bagaimana engkau mengetahui apakah itu lailatul qadar? Lailatul qadar itu lebih baik dari seribu bulan. (Surah al-Qadar)


Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Bayangkan, apabila anda beramal pada malam itu. Satu amalan kebaikan Allah gandakan pahalanya menyamai beramal lebih dari 1000 bulan, lebih dari 83 tahun dan 4 bulan. Bayangkan...mana mungkin seorg hamba dgn usaha biasa mampu beramal tanpa henti selama 83 tahun? Itupun kalau usianya sampai 83 tahun. Kalau pun sampai, sebahagiannya akan habis dgn makan, minum, tidur, mandi, buang air dan pelbagai aktiviti lagi. Bahkan diusia yang lanjut, kudratnya untuk beramal pasti terhad. Belum lagi zaman kanak-kanak yang dihabiskan untuk bermain…

Seorang mukmin yang hidup imannya. Sentiasa sedar dan menyedari, yang ia perlu amat untuk bertemu lailatul qadar yang begitu berharga. Yang nilainya melebihi batasan umurnya. Ia perlu bertemu lailatul qadar. Ia perlu memanfaatkan kehadirannya. Umpama orang miskin yang menunggu kedatangan mega sale, waktu itu saja mungkin ia mampu membeli sedikit pakaian buat menutup badannya. Lailatul qadar yg menjanjikan gandaan pahala dan diskaun dosa besar-besaran, adalah medan seorang mukmin untuk menebus sedikit beban hutang dengan tuhannya. Hutang dosa yang terhimpun dan sama banyak dengan bilangan hari dalam usianya... Kelalaiannya melaksana tanggungjawab terhadap tuhannya. Zaman muda yang dihabiskan dengan kealpaan, dosa pada manusia, dosa pada kedua ibubapa, dosa mengabaikan hak isteri atau suami, mengabaikan tanggungjawab terhadap anak-anak dan....aneka warna dosa-dosa yang lain yg tak sepatutnya dilakukan oleh seorang hamba yg dikurniakan banyak nikmat oleh Allah azza wajalla. Tapi apa boleh buat, kita manusia bukan Malaikat, manusia sudah terbiasa dengan sifat lalai, leka, terkeliru dan suka menurut kehendak nafsu. Firman Allah:

خلق الإنسان ضعيفا

“dijadikan manusia itu lemah”.(al-Nisa’:28)

Hutang dosa begitu banyak sedang masa untuk melunaskannya semakin pendek, hari perhitungan semakin dekat...andai tidak terampun pasti neraka menjadi penyudah hidup, bukan 83 tahun tapi infineti...selama2nya. Dan sangat tidak berbaloi kehidupan sementara di dunia…60? 70? Tahun…berkesudahan kekal di neraka?

Sidang Jumaat,
Allah yang menciptakan kita faham benar dengan tahap kemampuan kita. Lalu ia datangkan malam al-qadar dengan tawaran ‘mega bahkan giga sale’. Tawaran dari yang Maha Agung, Tuhan yang padanya kita berhutang dosa. Dengan keluasan rahmatnya, ia tawarkan hari pengampunan, hari diskaun besar-besaran. Pada malam al-Qadar yang nilainya lebih baik dari seribu bulan atau lebih baik dari 83 tahun 4 buan.

Allah ingin memberi keampunan, tapi bukan pada semua orang. Hanya untuk hamba-hambanya yang benar-benar ada keinsafan dan ada kemahuan… ada keinginan…ada kesungguhan. Lantaran itu ia sembunyikan ketibaannya dalam salah satu malam antara sepuluh malam terakhir ramadan. Cuma di celah-celah sepuluh malam! Bukan 365 malam. Seakan-akan gumpalan berlian di celah-celah himpunan Kristal. Agar ia hanya ditemui oleh orang yang tahu nilainya, sedar dirinya dan mengharap anugerah berganda dari tuhannya.

Sidang jumaat,
Khutbah sebegini cuma mungkin menjadi tambahan maklumat dan ilmu bagi orang biasa. Bagi orang yang kenal diri dan tuhannya ia adalah motivasi. Mereka ini sangat takut dgn masa silamnya, sangat kesal dgn salah silapnya, sangat sayu mengenang dosanya, sangat takut dgn neraka tuhannya...sangat takut kalau-kalau inilah ramadan terakhir dalam hidupnya. Itu bergantung pada kita menilai diri. Bak kata Rasulullah SAW؛

إن المؤمن ليرى ذنوبه كأنه جالس في أصل جبل يخشى أن ينقلب عليه، وإن الفاجر ليرى ذنوبه كذباب مر على أنفه فقال به هكذا) كتب الزهد:19

(Sesungguhnya orang mukmin ia akan melihat kepada dosanya umpama ia duduk di bawah gunung, ia takut gunung itu akan runtuh dan menimbus dirinya. Orang jahat pula bila melihat dosanya seolah2 dosanya itu cuma seekor lalat yang terbang dihadapan hidungnya dan ia senang menghalaunya).

Bagi seorang mukmin dirinya umpama seekor kuda yang tersesat, yang perlu kembali ke kandangnya. Bertemu dengan tuannya. Kata Rasulullah SAW:

(مثل المؤمن ومثل الإيمان كمثل الفرس في آخيته، يجول ثم يرجع إلى آخيته، وإن المؤمن يسهو ثم يرجع إلى الإيمان)

(Umpama orang mukmin dengan imannya, seumpama kuda dengan kandangnya, ia tersesat kemudian kembali kekandangnya. Begitu juga orang mukmin, kadangkala ia lalai, kemudian ia akan kembali semula ke dalam imannya) (Kitab al-Zuhd, Hal. 20)

Justeru itu, marilah kita sama-sama manfaatkan ketibaan 10 ramadhan tahun ini dengan menghidupkan seluruh malam dengan qiyam, bacaan quran, zikir dan amal kebaikan yang lain. Perbanyakkan bacaan doa yang diajarkan oleh Rasulullah SAW kepada Aisyah r.a. apabila bertemu Lailatul Qadar:

اللَّهُمَّ إِنَّكَ عُفُوٌّ كَرِيمٌ تُحِبُّ الْعَفْوَ فَاعْفُ عَنِّي
(Riwayat al-Tarmizi)

Mudah-mudahan andainya ini lah ramadhan terakhir, cukuplah untuk membuktikan hasrat kita untuk kembali kepada fitrah kebaikan dan tertulis sebagai hamba yang bertaubat.

Firman Allah:

وَالَّذِينَ إِذَا فَعَلُواْ فَاحِشَةً أَوْ ظَلَمُواْ أَنْفُسَهُمْ ذَكَرُواْ اللّهَ فَاسْتَغْفَرُواْ لِذُنُوبِهِمْ وَمَن يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إِلاَّ اللّهُ وَلَمْ يُصِرُّواْ عَلَى مَا فَعَلُواْ وَهُمْ يَعْلَمُونَ ¤أُوْلَـئِكَ جَزَآؤُهُم مَّغْفِرَةٌ مِّن رَّبِّهِمْ وَجَنَّاتٌ تَجْرِي مِن تَحْتِهَا الأَنْهَارُ خَالِدِينَ فِيهَا وَنِعْمَ أَجْرُ الْعَامِلِينَ﴾ آل عمران 134-135

(Dan (juga) orang-orang yang apabila mengerjakan perbuatan keji atau menganiaya diri sendiri, mereka ingat akan Allah, lalu memohon ampun terhadap dosa-dosa mereka dan siapa lagi yang dapat mengampuni dosa selain dari pada Allah? Dan mereka tidak meneruskan perbuatan kejinya itu, sedang mereka mengetahui. Mereka itu balasannya ialah ampunan dari Tuhan mereka dan surga yang di dalamnya mengalir sungai-sungai, sedang mereka kekal di dalamnya; dan itulah sebaik-baik pahala orang-orang yang beramal).

Read more »

Thursday, August 12, 2010

Best!

Iklan beredar diinternet


Read more »

Monday, August 9, 2010

KEHEBATAN RAMADAN


Dalam Flight dari Miri ke KL setelah berada semalam di Miri. Malam tadi terlibat sebagai panel Forum Ehwal Islam bertajuk ‘merinduimu ramadan’. Program di anjurkan oleh Yayasan Amal Miri dan Jabatan Agama Islam Sarawak.

SALAM RAMADHAN DAN SELAMAT MENUNAIKAN IBADAH PUASA KEPADA SEMUA SAHABAT YANG MENZIARAHI BLOG INI.


Berbicara tentang ramadan, kebiasaannya itulah detik-detik terbaik seorang muslim dalam setahun. Selama hampir 30 hari ia akan habiskan sebahagian masanya untuk beribadah kepada Allah SWT. Rela atau terpaksa. Musim ia mengingati Tuhannya, Penciptanya, Pemberi rezki dan nyawanya. Sedangkan sering kali ia lalai mengingatinya di bulan-bulan yang lain. Hebatnya ramadan.

Ramadan dan puasa memaksa ia melawan nafsu, khususnya nafsu makan. Ajaibnya ia berjaya melakukannya. Dalam keadaan ikhlas atau terpaksa. Perkara yang sama hampir mustahil dilakukan di luar bulan ramadan kecuali mereka yang terlantar di ICU atau hilang selera makan. Hebatnya ramadan.

Ramadan dan terawih mengajar ia menggandakan amalan. Bukan berpada dengan yang wajib, bahkan kena juga bagi ruang untuk yang sunat. Amalan ini menjadikan imannya naik sedarjat dari bulan-bulan biasa. Waktu ini ia tahu jalan ke masjid. Kenal tuan imam. Tahu waktu solat terutamanya subuh dan magrib. Yang mungkin selama hampir setahun ia tak ambil kisah. Bahkan bulan ini ia bergegas mencari jadual solat kerana di dalamnya tercatat waktu berbuka puasa. Adapun di bulan yang lain, jadual solat jarang sekali tergantung di dinding rumahnya. Hebatnya ramadan.

Ramadan dan sungkai (berbuka puasa) mengajar muslin erti kekeluargaan dan persaudaraan. Kecuali yang mengekalkan sifat kedekutnya sanggup berbuka bersendirian. Bulan ini orang cepat balik ke rumah. Berbuka dengan isteri dan anak-anak. Waktu ini ramai ibubapa yang baru faham gelagat dan sifat anak anak. Sudah agak lama tidak makan bersama. Waktu ini baru sedar akan kewujudan jiran sebelah, maklumlah setiap hari ia menghantar semangkuk juadah berbuka. Malu pula kalau dikembalikan kosong. Dulu, masing masing sibuk bekerja. Keluar awal pagi dan pulang larut malam. Mencari rezeki. Ramadan mengubah sekejap rentak hidup mereka. Hebatnya ramadan.

Itulah keseronokan bulan ramadan menurut pandangan iman. Selagi masih ada iman dan takwa (walaukadangkala tertutup oleh hubb al-dunia). Ramadan pasti mengubahnya. Walau sekejap..

Bagi mereka yang imannya sudah padam, mereka ini tidak mampu membezakan antara ramadan dan bulan biasa. Mereka ini tak ada yang berubah. Kalau ia sedarpun cuma kerana wujudnya bazar ramadan di merata tempat. Menyeronokkannya membeli belah untuk berbuka sebelum tiba masanya. orang ini sangat malang nasibnya. Sangat kecil akalnya walau memiliki ijazah peringkat tertinggi. Kalau ramadanpun tak mampu mengubahnya, entah di bulan bila lagi ia mampu melakukannya?

Bagi mukmin sebenar. Yang sedar diri dan hakikat hidup dan mati. Inilah bulan ia banyak memandang ke bumi. Rasa hina dan rendah diri. Perjalanan hidup yang pastinya dipenuhi keterlanjuran dan kejahatan perlu diperbaiki. Dosa dan noda yang tercatat kukuh di sisi alRahman perlukan keampunan atau sekurang kurangnya perubahan. Mukmin begini sangat menghargai kehadiran ramadan. Inilah harapan terakhir baginya untuk memulakan perubahan. Atau pernah mencuba dan gagal, maka inilah peluang baru untuk ia mencuba lagi. Selagi hayat dikandung badan, ia percaya janji Allah yang tidak akan menghampakan harapan hambanya dan peluang kedua.

Himpunkanlah semua dosamu. Yang besar hinggalah sekecil-kecil kesilapan. Bentangkanlah ia di atas sejadah ramadan. Angkat tinggi tinggi ke dua tanganmu, pandanglah ke langit yg tinggi atau tundukkan mukamu melihat bumi. Kira balik dosa-dosa itu setiap hari, ketika sahur, ketika berbuka, ketika terawih, ketika tahajjud, ketika witir, ketika jaga, ketika tidurmu...kira berkali-kali Begitu banyak hutang yang akan kau bawa mengadap penciptamu kelak. Menanggislah atau buat-buat lah meninggas andai hatimu terlalu keras. Minta ampunlah dengan nada sayu dan sangat hina. Mudahan Allah mengampunkan mu atau sekurang-kurangnya ia tahu kau benar benar jujur memohon ampun.

Bukalah al-Quran dan bacalah. Didalamnya terkandung pelbagai pilihan hukuman untuk semua dosa-dosa tersebut. Andainya kau temui ayat-ayat nikmat dan kegembiraan, mungkin bukan untukmu lantaran sudah puluhan tahun kau begitu gembira....bagimu ayat-ayat sedih. Bagimu ayat-ayat yang membuatmu menangis sepanjang bulan ini sebelum tiba hari kau benar-benar menangisi kelalaianmu.

Mudahan kita tidak tergolong dalam golongan yang rugi seperti yang disebut dalam hadith:

عن جابر بن سمرة أتاني جبريل فقال : يا محمد ! من أدرك أحد والديه فمات فدخل النار فأبعده الله قل : آمين فقلت : آمين قال : يا محمد من أدرك شهر رمضان فمات فلم يغفر له فأدخل النار فأبعده الله قل : آمين فقلت : آمين قال : و من ذكرت عنده فلم يصل عليك فمات فدخل النار فأبعده الله قل : آمين فقلت : آمين

Dari Jabir bin Samuroh rodhiyallahu’anhu, Rosulullah shalallahu ‘alaihi wa sallambersabda: “Aku menjumpai Jibril, kemudian di berkata wahai Muhammad!, barangsiapa yang menjumpai salah seorang dari kedua orang tuanya kemudian ia meninggal, kemudian ia dimasukkan ke neraka, Semoga Allah melaknatnya.” Rosulullah shalallahu ‘alaihi wa sallam bersabda, “Amin”. Jibril berkata,”Wahai Muhammad!, barangsiapa yang menjumpai bulan Ramadan kemudian ia meninggal, dan tidak diampunkan dosanya, maka dimasukkan ia ke neraka, Semoga Allah melaknatnya.” Rosulullah shalallahu ‘alaihi wa sallam bersabda, “Amin”.Jibril berkata,”Wahai Muhammad!, barangsiapa yang engkau disebutkan padanya ia tidak bersholawat kemudian meninggal dan dimasukkan ke neraka, semoga Allah melaknatnya.” Rosulullah shalallahu ‘alaihi wa sallam bersabda, “Amin”.

Al Jami’ush Shoghir wa Ziyadatuhu 75 (1/8)



Ahlan Ya Ramadhan. Mudahan hadirmu membawa harapan. Buat insan hina sepertiku.

Read more »

Thursday, July 29, 2010

BILA LAGI?



Aku kerap bertanya ikhwah yang masih bujang dan sepatutnya sudah kahwin setiap kali bertemu mereka: “Bila nak kahwin? calon-calon akhawwat kat Baitul Muslim dah makin ramai?”. Macam-macam jawapan bersahaja yang diberikan: “InsyaAllah ustaz bila sampai masanya” “ belum ada feel lah”, ekonomi belum kukuh”, “masih banyak perkara yang perlu didahulukan (priority)” ‘”nantilah dulu, tak fikir lagi………”

Bagi aku jawapan begitu tidak pelik kalau orang itu orang biasa yang tidak pernah diperdengarkan fikrah Islamiyyah dan dididik dengan perjuangan. Tapi andainya jawapan itu lahir dalam kalangan mereka yang telah ditarbiah dan hadham manhaj tagyir Islam…kurang logik dan tidak boleh diterima akal. Bahkan sepatutnya mereka mesti faham bahawa mereka perlu segera kahwin kerana:


i) Perkahwinan seorang da’ie bukan sekadar diasaskan oleh nafsu bahkan kerana ia satu tuntutan dakwah. Bukan sekadar menyelamatkan diri dari fitnah tapi menyelamatkan ummah dari musibah. Kalau tunggu feel, rasa dan bernafsu, setengah orang prioriti nafsunya pada harta, kerjaya, kereta, melancong, pangkat dan kedudukan melebihi feel terhadapwanita dan perkahwinan. Bila sudah senang dan mencapai impiannya baru mula berfikir untuk berkahwin, waktu tu juga bukan kerana feel tapi sekadar menjadi pelengkap diari hidup seorang lelaki. Waktu itu kalaupun belum terlambat tapi pastinya kurang produktiviti. Sedangkan Sumbangan paling besar seorang akh adalah melalui rumahnya.

ii) Perkahwinan merupakan tangga kedua untuk menegakkan semula Islam. Musuh pula menjadikannya medan untuk menghancurkan Islam. Lihat sahaja kes perceraian yang berlaku di negara kita (http://www.islam.gov.my/informasi) .Setiap tahun meningkat. Ini memberi gambaran buruk terhadap imej Islam dan menakut-nakutkan golongan teruna dara untuk berkahwin. Kalau orang yang memiliki kesedaran dan faham matlamat berumahtangga lambat berkahwin, pastinya arus kehancuran itu akan menang dan kita lemas dalam ombaknya. Berkahwinlah dan lawan arus itu dengan arus. Anda perlu buktikan bahawa rumahtangga da'ie adalah binaan kebahagiaan dan di dalamnya penuh keseronokan bukan seperti yang digambarkan.

iii) Kita perlu bersegera mempersiapkan barisan pejuang yang mantap tarbiahnya. Setiap orang yang ditarbiah wajib mentarbiah. Setiap yang memperolehi fikrah wajib mewariskan fikrah dan perjuangannya. Orang yang paling sesuai menerima semua itu adalah anak-anaknya sebelum orang lain. Lantaran itu sepatutnya setiap akh berusaha memperolehi zuriat yang ramai dan mendidik setiap seorang dari mereka memahahami apa yang difahami oleh ibubapanya. Mana mungkin beroleh ramai kalau perkahwinan dilakukan di senja hari ketika matahari hampir terbenam. Musuh pula dengan mudah menyediakan tenteranya dan memasukkan jarum pelali untuk membekukan langkah ummah kehadapan. Kes anak luar nikah (http://berita-harian-online.com/statistik-anak-luar-nikah-di-malaysia/), buang bayi dan bermacam isu sosial memihak kepada mereka dan memberi kekuatan perjuangan mereka.

iv) Nak tunggu urusan keluarga selesai? …tanya balik diri anda…bila? bila tarikh selesainya. Urusan keluarga takkan pernah selesai. Dari kenduri kendara hinggalah sakit mati, itu perjalanan peristiwaa dalam keluarga yang bakal silih berganti. Cuma akan tamat bila anda telah ‘tamat’. Seoang akh perlu faham bahawa mereka bukan ditarbiah hanya untuk dikecapi kejayaannya oleh keluarga. Anda adalah harapan ummah untuk mengeluarkan mereka dari permasalahan yang belum nampak noktah penamatnya. Setelah ditarbiah dengan isu-isu besar, kenapa jadi mengecil ‘himmah’ anda? Anda mengagalkan impian dan wawasan.

v) Nak tunggu kaya? Nak tunggu settle semua?....ermm, kalau tanya orang paling kaya di dunia pun dia akan menjawab saya belum cukup kaya lagi, banyak lagi impian saya belum tercapai. Satu lagi, hidup di dunia ini tak akan ada istilah settle. Selesai satu masalah pasti datang masalah lain. Semua masalah akan selesai hanya kalau kita menjejak kaki ke syurga. Kalau ke syurga….Ameen. Perkahwinan adalah antara wasilah orang saleh mengintai syurga. Orang yang nak tunggu settle segalanya dan cukup duitnya mungkin terlupa janji Allah SWT dalam al-Quran:

وَأَنْكِحُوا الأَيَامَى مِنْكُمْ وَالصَّالِحِينَ مِنْ عِبَادِكُمْ وَإِمَائِكُمْ إِنْ يَكُونُوا فُقَرَاءَ يُغْنِهِمُ اللَّهُ مِنْ فَضْلِهِ وَاللَّهُ وَاسِعٌ عَلِيمٌ ) النور/32

Dan kawinkanlah orang-orang yang masih sedirian diantara kamu, dan orang-orang yang layak (rkawin) dari hamba-hamba sahayamu yang lelaki dan hamba-hamba sahayamu yang perempuan. jika mereka miskin Allah akan memampukan mereka dengan kurnia-Nya. dan Allah Maha luas (pemberian-Nya) lagi Maha Mengetahui. (al-Nur:32)

Kata Ibnu Abbas r.a: “ Allah SWT memerintahkansupaya bernikah dan memberikan galakkan, ia memerintahkan hambanya menikahkan orangyang merdeka dan hamba sahaya. Allah berjanji untuk memberikan kesenangan kepada mereka”. Kata Ibn Mas’ud r.a: “Carilah kekayaan melalui pernikahan” (lihat: Tafsir al-Tabari: 19/166)

Kata Ibnu Kathir: “ Yang termaktub dalam kemurahan dan kelembutan Allah SWT terhadap hamba-hambanya ialah Ia akan memberi rezeki kepada lelaki dn wanita yang berkahwin sesuatu yang mencukupi keperluan keduanya”. (Tafsir Ibn Kathir:51/52)

Berkata al-Saadi dalam tafsirnya: “Maka tiada yang menghalang dakwaan kamu yang menyangka bahawa apabila berkahwin kamu akan menjadi fakir kerana banyaknya tanggungan kamu, sedangkan ayat ini mengalakkan kamu berkahwin dan Allah berjanji kepada orang yang berkahwin untuk mengkayakan mereka setelah hidup dalam kefakiran” (Tafsir al-Saadi: 567)


Jadi apa alasan anda lagi untuk lambat kahwin, menangguh-nangguhkan perancangan dan sengaja menghabiskan usia muda dengan urusan-urusan dakwah yang ringan. Anda bukan lelaki tulen atau jangan marah kalau dipersoalkan ‘kelakian’ anda.

Read more »