Saturday, January 30, 2010

MENANAM BENIH TARBIAH


Mentarbiah tidak semudah yang dijangkakan....

Walaupun telah khatam pelbagai kitab dakwah dan lengkap modul akademiknya, tapi murabbi sebenarnya cuma memiliki teori yang praktikalnya tidak semestinya sama. Umpama seorang petani, diberikan beberapa biji benih. Ia menanamnya di atas sebidang tanah, menyiramnya dengan baja fikrah dan ruhiah. Pelbagai serangga cuba datang mengusik dan memusnahkannya...serangga nafsu, cinta dunia, lupa mati dan lain-lainnya akan menunggu-nunggu masa untuk memakan pohon baru berdaun muda. Tangkas mana pun silat si murabbi dan kuat manapun racun serangga yang digunakan, pasti akan ada pepohon baru yang tumpas.


Apabila pepohon itu sudah besar...ada pula diantaranya sekadar mampu berbunga tetapi tidak mampu berbuah. Ada yang langsung tidak berbunga. Pokok mandul. Nampak cantik, besar dan gagah..tapi tidak mampu menghasilkan sesuatu yang sangat diharapkan iaitu benih baru penyambung specis. Kalau mampu ditebang pohonnya untuk dijadikan perahu atau titi menyeberang parit, memadailah juga. Paling kurang dedaunnya boleh dianyam menjadi atap, syukurlah juga. Tapi ada yang dari akar sampai ke pucuk langsung tidak mampu dimanfaatkan.

Tarbiah mengharapkan lahirnya sebatang pokok yang mampu melahirkan buah yang lebat dan meghasilkan ratusan atau ribuan biji benih baru untuk meneruskan kesinambungan perjuangan.

Satu cabaran lebih besar apabila sang petani terpaksa meninggalkan tanah dan tanamannya...sementara atau selamanya. Pasti tanah dan tanaman terpaksa diamanahkan kepada orang lain. Waktu itu, sang petani baru perlu tahu keperluan tanaman yang sudah mula membesar. Kesilapannya akan menyebabkan pohon yang sudah membesar itu bantut atau mungkin juga mati terus. Hakikatnya banyak pokok yang layu dalam tempoh perpindahan tugas. Mungkin baja yang diguna berbeza atau kuantiti siraman juga berbeza. Jangan hairan, perbezaan kadangkala mendatangkan kebaikan apatah lagi apabila petani kedua lebih mahir mengurus tanaman dari petani pertama yang menyemai benih...

Kadangkala tidak dapat dinafikan sang petani juga ada kelemahan menyebabkan benih yang baik tidak mampu tumbuh dengan subur, begitu juga sang murabbi. Mudahan keikhlasannya bertanam dianugerahi pahala walau hasilnya tidak seperti yang dijangkakan...

وَالْبَلَدُ الطَّيِّبُ يَخْرُجُ نَبَاتُهُ بِإِذْنِ رَبِّهِ وَالَّذِي خَبُثَ لاَ يَخْرُجُ إِلاَّ نَكِدًا كَذَلِكَ نُصَرِّفُ الآيَاتِ لِقَوْمٍ يَشْكُرُونَ» [سورة الأعراف:58

Dan tanah yang baik, tanaman-tanamannya tumbuh subur dengan seizin Allah; dan tanah yang tidak subur, tanaman-tanamannya hanya tumbuh merana. Demikianlah Kami mengulangi tanda-tanda kebesaran (Kami) bagi orang-orang yang bersyukur.

ثُمَّ أَوْرَثْنَا الْكِتَابَ الَّذِينَ اصْطَفَيْنَا مِنْ عِبَادِنَا فَمِنْهُمْ ظَالِمٌ لِنَفْسِهِ وَمِنْهُمْ مُقْتَصِدٌ وَمِنْهُمْ سَابِقٌ بِالْخَيْرَاتِ بِإِذْنِ اللَّهِ ذَلِكَ هُوَ الْفَضْلُ الْكَبِيرُ

“Kemudian Kami jadikan Al-Quran itu diwarisi oleh orang-orang yang Kami pilih dari kalangan hamba-hamba Kami; maka di antara mereka ada yang berlaku zalim kepada dirinya sendiri (dengan tidak mengindahkan ajaran Al-Quran) dan di antaranya ada yang bersikap sederhana dan di antaranya pula ada yang mendahului (orang lain) dalam berbuat kebaikan dengan izin Allah. Yang demikian itu ialah limpah kurnia yang besar (dari Allah semata-mata).” (Surah Al-Fatir: ayat 32)

Read more »

Tuesday, January 19, 2010

KETIKA CINTA BERTASBIH



Malam tadi sempat menonton movie Ketika Cinta Bertasbih 2 bersama puteri sulungku. Tapi bukan di Pawagam, kat komputer rumah je. Dia sangat teruja sebab sudah habis membaca novel karangan Ustaz Habiburrahman al-Syirazi yang cukup laris. Anak remaja paling gemar novel cinta. Aku sendiri tak pernah membaca novel tersebut. Ia memakan masa yang lama untuk dikhatamkan. Melihat movie lebih cepat dan ringkas, walau kata anakku membaca novel lebih puas. Aku akui itu, sebab dulupun aku kaki novel, maklumlah aliran sastera.


Antara fokus utama dalam bahagian kedua, menceritakan pengembaraan Ustaz Kheirul Azzam mencari calon isteri. Berhadapan dengan ibunya yang sangat cerewet memilih calon menantu, mesti cantik, solehah, berpendidikan tinggi dan paling penting berjilbab (tudung labuh). Hampir ke semua yang cuba dilamar oleh Ustaz Azzam adalah melalui orang tengah yang ia thiqah dengan kemampuan dan pengalaman mereka dalam menilai peribadi manusia.

Kataku pada puteriku, itulah cara tebaik dan cara Islam memilih pasangan. Untuk membina rumahtangga yang soleh perlu pasangan yang benar-benar soleh. Menentukan kesolehan seseorang calon tidak sepatutnya berpegang pada pemikiran sendiri bahkan perlu berbincang dengan orang yang pakar. Seperti apabila ingin membina rumah perlu berbincang dengan arkitek dan jurutera. Merekalah yang paling tahu akan keperluan dan bahan apa yang paling cocok untuk orang tersebut. Membuat keputusan sendiri tanpa mengambil kira pandangan ibubapa dan murabbi yang selama ini menghabiskan masa mendidik mereka amat zalim. Ini kerana, merekalah orang yang paling ingin melihat mereka bahagia.

Menyerahkan tanggungjawab mencari pasangan hidup pada orang yang berkemampuan mungkin makin jarang dilakukan oleh generasi muda kini. Bagi mereka semua itu budaya lama lagi kolot. Orang sekarang pilih sendiri. Tentukan sendiri orang bagaimana yang ia mahu. Baginya kalau sudah cinta segalanya akan baik belaka. Ibubapa sekadar perlu approve sahaja hubungan mereka. Kesannya…makin banyak rumahtangga yang kandas di tengah jalan. Tayar cintanya tidak mampu bertahan lama. Bocor walau sekadar terkena batu kecil yang tumpul. Dulu, cinta yang dipuja itu telah membutakan mata. Tidak nampak cacat cela pasangan, apatah lagi bagi pasangan yang ‘mahir’ menyembunyikan keaiban diri. Nantinya bila sudah dapat yang dipuja, barulah keaiban itu terzahir satu persatu.

Bagi orang seperti Ustaz Azzam, cinta bukan syarat utama pembinaan rumahtangga. Asas paling utama ciri solehah wanita tersebut yang dizahirkan melalui jilbabnya. Peribadi siwanita pula diperakui dan dikenali secara mendalam oleh orang yang menjadi orang tengah. Orang tengah yang ia kenali kejujurannya. Ini kerana orang tengah yang jujur pastinya akan mencarikan calon terbaik dan paling sesuai untuk orang yang memberinya amanah. Ia perlu kenal secara mendalam peribadi kedua-duanya sebelum di pertemukan di hari taaruf. Ia mesti mengambil kira fizikal, usia, akhlak dan fikrah antara yang mencari dan dicari. Kalau sekufu dan match…barulah diperkenalkan. Waktu itu kedua-dua pihak boleh menilai cadangan si orang tengah yang soleh..andai setuju, teruskan untuk prosedur seterusnya. Andainya tidak menepati apa yang dicari, tolak dengan baik. Waktu itu tidak perlulah mereka bermain dengan bara cinta yang sering membakar iman dan maruah diri. Kadangkala memakan masa bertahun-tahun dan berakhir dengan kegagalan dan penyesalan.

Kalau sudah menepati syarat...solehah, cantik, berakhlak mulia dan berjilbab..pasti cinta akan hadir sendirinya. Bahkan ia terbit dari rasa cintanya kepada pasangannya yang mencintai tuhannya. Cinta waktu itu adalah ibadah yang terbit dari rumahtangga yang dari awal pembinaannya tulus mencari redha Allah SWT.

Ada satu dialog yang menarik dalam movie tersebut apabila Ustaz Azzam mendatangi rumah Ahmad Jazuli, seorang kaya yang pernah mendengar pengajaran Ustaz Kheirul Azam yang membaca kitab al-Hikam karangan Ibn Atoillah…dulu Pak Jazuli pernah menawarkan puterinya pada Ustaz Azzam. Kata Pak Jazuli pada Ustaz Azzam bila ia datang: “…itu foto anak bapa, waktu ia sudah habis di ITB, setelah itu ia melanjutkan S2 di Belanda, pada waktu bapa ketemu nak mas ia sedang pulang selama 2 minggu. Ia minta dicarikan jodoh yang bias membimbingnya membaca al-Quran dan mengimaminya solat. Waktu bapa meliat nak mas mengajar bapa terfikir nak maslah orangnya…”. Ringkas syaratnya: dapat suami yang mampu ajar baca Quran dan jadi imam solat. Kataku pada puteriku, wanita solehah impiannya berbeza dari impian kebanyakan wanita moden masa kini. Bagi mereka memperolehi suami yang boleh membimbing agama dan akhirat mereka lebih diutamakan dari lelaki yang mampu meletak mereka di atas timbunan kemewahan. Ini kerana mengasaskan rumahtangga di atas timbunan harta semata-mata akan memudahkan ia goyah dan berkubur apabila dilanda gempa. Wanita solehah yakin dengan rezeki dan takdir ilahi. Allah juga berjanji bahawa sesiapa bertakwa kepada Allah dijadikan baginya tempat keluar dari permasalahan dan diberikan rezeki dari sumber yang mereka sendiri tidak sangkakan. Yang penting usaha dan mencari sebab.

Ibubapa yang mengharapkan kebahagiaan bagi anak-anaknya di akhirat dan di dunia, mereka akan mendahulukan agama dan akhlak untuk menjadi pasangan hidup anak-anaknya. Bukan harta dan martabat menjadi ukuran. Kiyai Lothfi menikahkan puterinya Ana Altafunnisa Cuma bermaharkan sebentuk cincin dengan Ustaz Kheirul Azzam. Bahkan tidak sempatpun Ustaz muda tersebut bertukar baju apatah lagi menyediakan hantaran yang mahal-mahal. Orang sekarang berkahwin terlalu memfokuskan pada glamour dan aspek luaran melebihi keperluan sebenar. Majlis kahwin yang gah dan hantaran yang banyak angkanya. Bagi ibubapa yang soleh dan faham keperluan rumahtangga sebenar, memiliki menantu yang berakhlak mulia dan soleh/hah sudah cukup menjamin kebahagiaan rumahtangga anak mereka berpanjangan.

Seingatku, sewaktu menghabiskan pengajian 4 Thanawi dulu, di Pondok Bukit Besar, ramai kawan-kawanku yang menerima lamaran dari beberapa keluarga berhampiran pondok. Dalam erti kata lain 'booking' pelajar-pelajar tersebut sebelum ke Universiti al-Azhar untuk menjadi bakal menantu bila habis nanti. Bagi masyarakat pondok, nilai agama merupakan syarat utama memilih menantu. Budak-budak pondok yan terbiasa dengan budaya beragama, mengaji kitab-kitab kuning, berkopiah dan berserban sering menjadi pilihan. Mereka berharap menantunya nanti mampu membimbing puterinya menghayati agama dan memimpinnya ke syurga Ilahi.

Bila berbicara tentang rumahtangga dakwah dan tarbiah, timbul satu masalah bagi anak-anak yang ada kesedaran dan faham perjuangan. Menyerahkan tanggungjawab memilih sahaja pada ibubapa pasti berisiko tinggi, kecualilah ibubapanya memiliki fikrah dan faham perjuangan yang sama sepertinya. Waktu ini murabbi sepatutnya menjadi penasihat utama dan orang yang paling faham dalam menentukan bentuk pilihan. Ini kerana sang murabbi bukan sahaja menilai calon pasangan yang akan dicadangkan pada anak didiknya menepati asas agama, bahkan menyempurnakan keperluan perjuangan. Tapi budaya inipun sudah semakin kurang diamalkan dalam komuniti dakwah.

Apapun, menonton filem tersebut bahagian 1 dan 2, mengingatkan aku alam pembelajaran di Mesir dulu. Apatah lagi filem itu berlatar belakangkan Universiti al_Azhar dan Mesir. Semua itu mengingatkan kesungguhan dan juga kenakalanku sewaktu di sana. Sang Murabbiku lebih mengetahui siapa aku. Apapun kelemahan silam banyak ku jadikan pedoman dalam mendidik ikhwah dan akhawwat yang datang belajar denganku mengenai hidup dan perjuangan. Begitu juga anak-anakku.

Read more »

Friday, January 15, 2010

TAHNIAH

Selamat Hari Lahir buat anakanda Mohd. Ariff (16 Januari 2010) dan TAHNIAH buat anak-anak halaqah SPU yang akan terima Dean Award Ahad ini. Kalian kebanggaan dakwah. Moga penguat semangat untuk terus bekerja.

Salam sayang dari Abi dan Keluarga.

Read more »

Wednesday, January 13, 2010

HAI UMM QAIS!...

(Khusus untuk Akhawwat anak didikku yang pernah berada di hadapanku untuk mendengar sedikit bicara tentang perjuangan, bagi kalian ini adalah silibus ulangan dan tambahan...sebagai tanda sayang yang tidak terkira...sebelum kita membawa halatuju masing-masing...)

Ibnu Mas’ud menyebut: seorang lelaki telah melamar seorang wanita yang dipanggil Umm Qais untuk memperisterikannya, wanita itu enggan berkahwin kecualilah lelaki itu sanggup berhijrah. Lantas lelaki itupun berhijrah kerana ingin memenuhi syarat wanita tersebut dan akhirnya merekapun berkahwin. Lalu ia digelar Muhajir Umm Qais. Kisah ini dianggap menjadi sebab wurud hadith pertama dalam hadith 40 Imam Nawawi yang biasanya dibaca dan dihafaz dalam halaqah tarbiah. Walaupun begitu ramai ahli hadith mempertikaikan kisah ini menjadi sebab wurudnya hadith tersebut (Lihat Jamie’ al-Ulum wa al-Hikam, hal. 14). Namun mereka tidak mempertikaikan kebenaran kisah tersebut dan pengajaran yang boleh diperolehi oleh umat Islam dalam memuhasabah niat dan amal mereka….


Tatkala mana Allah memfardhukan umat Islam di Mekah berhijrah ke Madinah, sebahagian mereka berhijrah kerana menyahut perintah Allah, cintakan agama dan perjuangannya. Tapi ada di kalangan mereka yang berhijrah kerana niat lain, demi perniagaan atau wanita yang ingin dinikahi. Yang pertama dianggap berhijrah kerana Allah dan kedua serta ketiga berhijrah kerana kepentingan dunia. Walaupun semua mereka sampai ke Madinah, namun di sisi Allah hijrah yang mereka lakukan tetap tidak sama. Bergantung kepada niat masing-masing. Lantaran itu Allah SWT memerintahkan RasulNya:

إذا جاءكم المؤمنات مهاجرات فامتحنوهن

(Apabila datang berhijrah kepadamu perempuan-perempuan yang beriman, maka hendaklah kamu uji mereka). (Surah al-Mumtahanah:10)

Kata Ibnu Abbas: “Apabila ada wanita yang berhijrah (ke Madinah), maka Nabi SAW akan meminta mereka bersumpah “ Demi Allah aku tidak keluar kerana bencikan suami, Demi Allah aku tidak keluar kerana cintakan bumi ini mengatasi bumi itu (Mekah), Demi Allah aku tidak keluar kerana ingin memperolehi keuntungan dunia, Demi Allah aku tidak keluar kecualilah kerana cintakan Allah dan RasulNya”. (Jamie al-Ulum wa al-Hikam:14)

Lelaki itu (Muhajir Umm Qais) akhirnya berjaya juga memperolehi gadis idamannya dan Umm Qais merasa tenang kerana teruna idaman telah memenuhi syaratnya. Mereka terlupa bahawa hijrah adalah perjuangan. Ia memerlukan niat yang tulus dan benar-benar mulus untuk tuhannya. Semua perlu dilakukan dari awal keluar rumah hinggalah tiba di tempat yang dituju, ikhlas kerana Allah. Seratus peratus kerana Allah. Andai tercemar niat tersebut, perjuangan itu tiada keberkatan. Rumahtangga tanpa keberkatan tidak mungkin menjadi benteng perjuangan. Ia umpama rumahtangga biasa, yang dibina oleh muda-mudi kerana ikatan cinta rupa, harta dan dunia.

Orang-orang yang berhijrah bukan kerana Allah pasti bukan redha Allah yang dicari. Mana mungkin mereka ini mampu diharap akan thabat di hadapan cabaran perjuangan. Mereka inilah yang sering mendatangkan masalah pada perjuangan. Lihatlah kisah perang Uhud dan Hunain dalam al-Quran. Kewujudan beberapa anasir yang niatnya duniawi, menjadi sebab kekalahan tentera Islam di sana.

Ramai yang membaca kisah Umm Qais dan hadith pertama tersebut beranggapan ia cuma tinggalan sejarah. Terlupa bahawa catatan sejarah mungkin akan berulang.

Bagi orang-orang yang pernah terlibat dalam mentarbiah akhawwat pasti akan menemui kisah Umm Qais di kalangan anak didiknya. Apatah lagi akhawwat paling ramai berminat dengan aktiviti usrah berbanding dengan lelaki. Setelah bertahun diberi kefahaman khususnya akan kepentingan mereka sebagai murabbi keluarga dan generasiakan datang, akan ada yang bertindak seperti Umm Qais apabila hendak memilih jodoh.

Saat itu akan ada yang mengeluarkan ‘stok lama atau baru’ yang dahulunya tersimpan dalam hatinya. Masalahnya kini, dirinya sudah tidak seperti dulu…ia sudah ditarbiah, ada fikrah, sudah difahamkan akan kepentingan rumahtangga dalam amal Islami menuju daulah dan khilafah. Ia sudah khatam fikrah al-Banna, kitab-kitab adik beradik Qutub dan mungkin juga Muntalaq dan lain-lainnya. Mana lagi setelah didaurahkan dengan ISK, bainal ams walyaum, Shahadatul Haq dan lain-lain…tapi stok lama sayang untuk dibuang. Ia sudah bertahta dihati tanpa diketahui oleh sang Murabbi.

Saat itu terfikirlah untuk ‘renovation’ kerana mana mungkin ia mengikuti lelaki itu dalam keadaan begitu. Ia tahu orang itu kurang fikrah atau mungkin langsung tidak faham apa itu dakwah dan tarbiah. Apatah lagi memahami tugas sebagai mas’ul rumahtangga dalam memimpin ahli keluarga menjadi pengerak ummah. Ini kerana ‘فاقد الشيءلا يعطي’ (orang yang tiada sesuatu tidak mampu memberikan sesuatu’. Akhirnya ia mensyaratkan lelaki itu join program tarbiah, ikut usrah, ikut halaqah…padanya itu sahaja cara mematchkan dirinya yang ditarbiah dengan ‘stok’nya. Demi kerana memenuhi tuntutan sang akhawwwat yang dicintai, setujulah sang teruna dengan syarat-syarat itu. Bagi sang akhawwat, kemasukan si teruna dalam program tarbiah seperti halaqah dan usrah adalah ‘cop rasmi’ yang mampu menenangkan hatinya untuk melayari bahtera rumahtangga dan menghilangkan rasa bersalah pada fikrah baru yang bersarang dalam kepalanya. Mungkin sebagai alasan untuk dapat approval dari sang Murabbi…

Sama ada ia terlupa atau sengaja buat-buat lupa bahawa proses tarbiah tidak cukup sebulan dua. Untuk dirinya sendiri berada di tahap sekarang ia terpaksa memakan masa bertahun-tahun. Pelbagai modul, halaqah, tamrin, mabit, mukhayyam, jaulah dan daurah yang ia terpaksa lalui. Belum lagi catatan pada borang muhasabah diri bertahun-tahun lamanya. Itupun sang murabbinya pernah menjelaskan, ini baru permulaan untuk perbincangan yang lebih penting dan kerja yang lebih besar di masa hadapan. Tapi pada diri teruna hatinya, ia mengharapkan sesuatu ‘keajaiban’ berlaku. Ia mengharapkan wiranya itu mampu menguasai apa yang ia fahami dalam tempoh yang singkat. Beberapa bulan sebelum walimahnya!. Mungkin tiada yang mustahil, tapi kalau niat awalnyapun sudah tidak jelas…pasti kisahnya seperti Muhajir Umm Qais dikesudahannya. Perjudian nasib yang tidak sepatutnya dilakukan oleh akhawwat yang masa depan diri, keluarga dan perjuangannya banyak bergantung pada lelaki yang memimpinnya. Bahkan ada yang mengatakan…takpelah, lepas walimah nanti saya akan cuba tarbiah suami saya macam yang saya faham…mungkin ia tidak pernah mengkaji tabiat lelaki…kesian.

Bagi sang murabbi, pasti pening kepala memikirkan jawapan apa yang sesuai apabila berhadapan dengan anak didik seperti itu. Dari aspek tarbiah, tidak salah menjadikan ia sebagai alasan untuk mengkategorikan yang anak didik itu masih tidak faham atau sengaja tidak mahu faham. Lainlah kalau kita sanggup ubah gerak kerja dakwah ini dan mendelete sahaja aspek pembinaan rumahtangga dalam marahil dakwah. Waktu itu sang Murabbi pula yang tidak faham tabiat dakwahnya.

Yang menyedihkan sesetengah kes ini berlaku pada akhawwat yang cukup pakejnya. Tidak susah mencari pasangan di kalangan rakan sefikrah. Tapi awal-awal lagi ia menutup ruang pasaran kerana sudah ada pilihan. Sang murabbi akhirnya terpaksa mengKIV dan mengklasifikasikan sebagai calon-calon yang bakal futur di masa hadapan khususnya setelah bertemu murabbi baru bergelar suami. Bahkan sejarah membuktikan begitu ramainya sang akhawwat yang terkurung dalam penjara suami begini, tak mampu bergerak. Ramai yang akhirnya terbudaya dengan budaya berfikir dan cara hidup suami. Pasif dan lebih menyedihkan fikrah yang tertanam tak mampu disemai dalam diri anak-anaknya sendiri. Tapi apa boleh buat namanya pun suami...mesti ditaati..

Mungkin bukan sekali dua sang Murabbi memberi nasihat dan tunjuk ajar lewat pertemuan tarbiah. Buku al-Bait al-Muslim juga mungkin khatam dibincangkan. Sayang idea murabbi cuma melekat dalam otak tapi tidak menjalar ke hati. Akhirnya sang murabbi terpaksa pasrah dan mendoakan kebahagian mereka tanpa amin dihujung…

Pernah aku mencadangkan kepada akhawwat yang tak mampu mengorbankan cinta lama demi perjuangannya agar...minta lah lelaki itu ditarbiah dahulu. Setahun, dua tahun, tiga tahun dan seterusnya...hingga terbukti bahawa ia bukan Muhajir Umm Qais. Biar ia melalui pelbagai ujian dalam tarbiah. Lepas tu kalau memang terbukti ia jujur...kahwinilah ia. Katanya lama sangat tu...tak tahan menunggu. Kenapa tidak mampu bersabar? Bukankah rumahtangga itu untuk selamanya? Hingga ke syurga?. Ia akan menjadi murabbi baru dalam usrah sebenar? ia akan memimpin dirimu dan anak-anakmu menuju perjuangan sebenar! (al-Nasr Sabru alSaah = kejayaan itu kerana mampu bersabar sesaat). Lagipun, dalam tarbiah kewaspadaan tahap tinggi sangat perlu, takut pilihan hati itu 'anasir bahaya' yang hadir sekadar untuk mencari rahsia...waktu itu tanpa disedari anda telah membawa masuk musuh dalam dalam rumah sendiri.

Apapun kisah ini akan terus berulang. Khususnya disaat budaya 'takut tak laku' dan 'mesti ada couple' menjalar dalam diri akhawwat muslimah. Tidak ramai sang akhawwat yang gemar jodohnya ditapis oleh murabbi dan dakwahnya. Baginya itu isu peribadi, isu keluarga...Malangnya bila rumahtangga bermasalah! Sang murabbbi lah orang pertama yang ia rasa mampu memberi idea penyelesaian. Mungkin kerana itulah sesetengah kawanku tidak mahu menghabiskan masa mendidik akhawwat. Bila difikir sikap mereka, ada benarnya.

Sang Akhawwat perlu sedar, memilih pemimpin keluarga bukan mudah. Perlu mengambil kira pandangan orang lain. Pandangan ibubapa sahaja tidak cukup apatah lagi kalau mereka sendiri tidak faham apa yang dia faham. Ibubapa biasa jarang meletakkan yang namanya ‘perjuangan’ sebagai hantaran utama sebelum perkahwinan. Bagi mereka yang dikira ialah dulang tembaga berisi perhiasan dunia dan wang berganda.

Sang Akhawwat perlu faham, apapun pilihannya selepas itu, ia bertanggungjawab sepenuhnya dan menanggung apapun risikonya baik di dunia maupun di akhirat. Moga Allah memberikan kita kewarasan berfikir dan mendahulukan Allah dan agamanya dalam membuat perkiraan. Kalau sebaliknya, pastinya kita menjadi orang yang paling menyesal di kemudian hari. Saat orang lain menghabiskan usia dalam medan perjuangan, kita mengira hari menuju kematian. Ketika buku usrah rakan setarbiah koyak rabak dikhatamkan dalam medan sebenar, buku kita koyak rabak dimakan anai-anai. Cuma sedar kewujudannya bila anak-anak yang sudah besar ingin membakarnya ketika membersihkan rumah orang tuanya yang dah tua dan tidak bertenaga.

Mungkin akan ada yang berkata, kenapalah sang Murabbi terlalu berfikiran negetif begini? Jawapannya senang sekali: kerana ia terlalu menyayangimu dan mengharapkanmu mampu menerima batton perjuangan yang bakal ia tinggalkan. Ia ingin kamu bahagia seperti Khadijah, Aishah, Fatimah...dalam rumahtangga perjuangan.

Sekadar melontar pandangan...mungkin aku tersilap dan mereka yang betul. Mudahan kita tidak termasuk dalam firman Allah SWT:

Maksudnya: Hai orang-orang yang beriman, apakah sebabnya apabila dikatakan kepadamu: “Berangkatlah kamu pada jalan Allah” Kamu merasa berat dan ingin tinggal ditempatmu? Apakah kamu merasa puas dengan kehidupan di dunia sebagai ganti kehidupan di akhirat? Padahal kenikmatan hidup di dunia ini berbanding diakhirat hanyalah sedikit. Jika kamu tidak berangkat untuk berjuang, niscaya Allah menyiksa kamu dengan siksa yang pedih dan digantinya dengan kaum yang lain, dan kamu tidak dapat memberi kemudharatan kepadaNya sedikitpun. Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu”. Al-Taubah: 38-39.

Read more »

Wednesday, January 6, 2010

SENTUHAN PERTAMA



Kata seorang Akh padaku: “Akhi kerja menyambung tugas mengusrahkan ikhwah yang memang sudah pernah berusrah memang kerja yang mudah. Kita Cuma perlu menyambung silibusnya, memastikan komitmennya dan memantapkan tarbiahnya. Yang susahnya memulakan sesuatu dari angka ‘kosong’”. Bila aku fikir-fikirkan banyak kebenaran yang tersirat dalam kata-katanya.


Cuma sedikit pengalaman yang agak menyedihkan apabila anak didik yang pernah kita bawa diserahkan pada orang lain akhirnya bukan menjadi mantap, bahkan mundur ke belakang. Pasti kesalahan pertama pada orang yang di serahkan amanah tidak mampu memberi keperluan penerusan seperti yang dikehendaki. Mungkin inilah alasan sesetengah murabbi tidak mahu menyerahkan anak didiknya dan akhirnya mewujudkan rangkaian sendiri. Rasanya sikap demikian kurang tepat dalam budaya amal jamaie.

Setiap mutarabbi berhak belajar dari pelbagai guru. Walau silibusnya sama tapi pengalaman individu tetap berbeza. Pengalaman dakwah individu alias murabbi adalah antara ilmu yang perlu dikutip oleh mutarabbi. Pernah mantan anak buah berkata…ustaz! murabbi baru saya ni slow sangatlah dan kurang kreatif..saya berkata bahawa itu satu ilmu. Ilmu apa tanyanya. Jawabku: terlalu slow dan kurang kreatif itu kurang digemari dalam tarbiah, makanya nanti kalau kamu berada diposisi yang sama jangan lakukannya. Sama juga orang yang terlalu laju tidak akan mampu dikejar oleh semua mutarabbi. Cuma bagaimana mengukur terlalu slow dan terlalu laju? Mutarabbi perlu memahami fiqh al-Dakwah, sebab itu kena bersabar walau apapun keadaannya.

Sebenarnya yang ingin saya bicarakan bukannya penerusan tarbiah anak buah murabbi lain…susah macam mana pun tetap jauh lebih senang dari menjadi pemula. Pemula tarbiah terpaksa mencari dari runtuhan Islam, individu-individu yang berpotensi untuk di didik, diberi kefahaman dan kesedaran. Sebahagian besar mereka ini bukanlah kosong kefahaman dan kosong akhlak, ada antara mereka yang memiliki semua itu. Apa yang mereka perlukan ialah ‘pemula=starter’ yang mampu menyusun fikrah yang berkecamuk, menambah kekurangan, menerangkan jalan dan memimpin tangan untuk mula melangkah. Sentuhan pertama secara rasmi (official) dalam tarbiah melalui program tersusun amat dinanti-nanti oleh orang seperti ini walaupun mereka tidak menyedarinya. Daie yang memiliki kekuatan pastinya tidak hanya ingin menjadi orang kedua dalam tarbiah mutarabbi, bahkan ia sepatutnya menjadi ‘starter’ yang mampu memberi suntikan pertama dalam melahirkan daie-daie hebat di masa hadapan.

Orang begini pastinya tidak berpada dengan hanya menghadiri usrah rasmi sebagai ahli dan pengikut selama bertahun-tahun. Atau sekadar menyambung program yang diamanahkan padanya. Orang begini inginkan di bumi manapun ia berada, sentuhan pertama fikrahnya akan mampu bertunas, membesar dan menumbuhkan pepohon yang menghasilkan buah yang ranum walau akhirnya ia sendiri tidak mampu melihat hasilnya. Sudut manapun di bumi ini ia berada, apapun kerja dan jawatannya…otaknya akan berfikir ligat untuk mencari ruang menyebarkan fikrah Islam dan menghasilkan pengikut yang mampu bergerak sendiri.

Institusi seperti IPT dan sekolah yang menghimpunkan manusia cerdik dan ‘mudah faham’ sepatutnya menjadi focus menyemai benih dan sentuhan pertama. Namun pastinya lebih hebat apabila ada daie yang mampu memberi sentuhan pertama pada orang biasa seperti nelayan, budak kilang, petani dan lain-lainnya. Mereka ini pastinya contoh terbaik dalam menyatakan betapa fikrah Islam ini sesuai untuk semua peringkat manusia.
Nama-nama seperti Hassan al-Banna, al-Maududi, UD, UZ dan lain-lain yang pernah aku baca kisah hidup mereka dan mendengar cerita mereka dari senior adalah orang-orang yang hebat memberikan sentuhan pertama. Mereka menjadi ‘starter dan penyebab’ ramai manusia dapat anugerah hidayah dan suluh pertama perjuangan sebelum orang lain datang untuk memantapkannya. Mudahan Allah SWT merahmati mereka dan orang seumpama mereka.

Selagi kita belum mampu menjadi ‘starter’ dan memberi sentuhan pertama dalam tarbiah dan dakwah…kita belum menemui nilai sebenar kemanisan berada dalam perjuangan. Itu sekadar pandangan, mungkin benar atau tidak? Terserah kepada penilaian masing-masing. Sabda Rasulullah SAW kepada Saidina Ali ketika mengutusnya ke Khaibar (Fathul Bari 7/70):
لأن يهدي الله بك رجلاً واحداً خير لك من حمر
(Bahawa Allah memberi hidayah pada seorang lelaki disebabkan engkau, demikian itu lebih baik dari unta yang berharga)

Read more »

Friday, January 1, 2010

Daurah Sandakan

Hospital Duchess of Kent

Sepilok, Sandakan- 1 Januari 2010, 9.14 pm:

Sepilok tempat orang utan, dah selalu aku ke Sandakan, baru kali ini sampai ke sini. Bermalam di resort kat hutan ni boleh menenangkan perasaan. Ini malam ke dua di Sandakan. Selalunya datang ke sini dengan flight. Kali ini drive sendiri. Hampir 6 jam perjalanan. Tapi kalau suka singgah2 macam aku, 8 jam baru sampai. First time bawa family setelah dekat 9 tahun ke sini. Selalunya datang ke sini untuk memenuhi jemputan ceramah atau forum. Kali ini bagi memberi pengisian sempena daurah yang di buat oleh pelajar2 perubatan tahun 3 UMS yang diadakan di bilik seminar, Hospital Duchess of Kent, Sandakan. Kebetulan ramai yang terlibat anak2 halaqah yang praktikal kat sini. Seharian bersama mereka dari jam 8.00 pagi hingga 4.30 ptg. Mudahan mereka mampu menjadi barisan pelapis dakwah di masa hadapan. Apatah lagi mereka memang orang-orang cerdik.

Mudahan awal tahun 2010 yang diisi dengan program bermanfaat dapat menjadi permulaan baik untuk mengisi hari-hari mendatang.

Itu hebatnya Islam, dia bukan hanya mampu dibawa oleh para ustaz/zah. Bahkan pengalaman dalam kerja-kerja Islam, ramai para ustaz/zah yang pasif dengan kerja2 dakwah walaupun mereka berijazah. Bahkan ramai doktor yang mampu memberikan masa mereka untuk tarbiah dan perjuangan walaupun mereka antara manusia yang paling sibuk dengan kerjaya. Bahkan fikrah dan perjuangan Islam mudah mesra dengan mereka...mungkin itu tabiat orang cerdik, lebih mudah faham.

Read more »