Wednesday, February 16, 2011

MAK! BAPA! ...AKU NAK KAHWIN... (3)


PERELOKKAN CGPA/PNGK ANDA

Apa kena mengena CGPA dengan aku nak kahwin? Begitu jawapan seorang pelajar yang datang berbincang denganku waktu ia beranggan-anggan nak kahwin. Bagiku itu penting, itu sebahagian dari cara meyakinkan diri dan keluarga bahawa anda layak berkahwin. Bagi pelajar, perkahwinan pasti akan mengubah banyak sudut hidupnya. Bebannya akan bertambah. Andai ia tidak pandai mengurus keadaan, pasti akan menganggu penumpuannya terhadap pelajaran. Bagi pelajar yang memang dari awal bermasalah dalam pelajaran, pasti perkahwinan menambah lagi masalahnya. Jadi kalau anda memang merancang untuk berumahtangga ketika masih belajar, pastikan dari tahun satu lagi anda cemerlang dalam pelajaran. Ini lebih senang untuk memujuk ibubapa anda nanti. Kalau tak pasti awal-awal lagi ia membebel: “ alahai, pointer tak sebaik mana ada hati nak kahwin. Urus diri sendiripun tak pandai, berangan-angan nak urus anak orang”.


Tidak dapat dinafikan ada pelajar yang semakin cemerlang akademiknya setelah berumahtangga. Memang rumahtangga akan dapat membantu memberi ketenangan dan mengajar pelajar erti fokus dalam setiap aktiviti. Waktu bujang biasanya mereka habiskan dengan banyak aktiviti buang masa. Bila kahwin, tanggungjawab sudah ada di hadapan mata. Dulu single, kini sudah ada isteri yang perlu ditanggung nafkahnya. Duit, masa dan masa depan perlu dikongsi bersama. Takkan nak lepak dan main-main belajar lagi?

Apapun, andalah yang mengukur keupayaan diri anda sebab anda juga yang akan menanggung sendiri apapun kesudahannya.



BERKAT ORANG TENGAH

Orang tengah, mungkin kuno bunyinya bagi belia masa kini. Bagi kami dalam sof tarbiah ia merupakan cara terbaik. Sesuai dengan adab sebagai seorang muslim dan adat istiadat Melayu. Bagi mereka yang terlibat dalam tarbiah, pasti murabbi merupakan orang pertama yang perlu diambil pandangannya. Mereka sekian lama mengajarkan anda erti hidup sebenarnya. Erti perjuangan dan pengorbanan. Mereka mengajarkan anda bagaimana menjadi muslim sejati, khalifah Allah di atas mukabumi dan sentiasa meletakkan semua urusan medium beribadah kepada Yang Maha Pencipta. Merekalah juga yang mengajar anda bahawa rumahtangga itu bukan sekadar tempat mencari ketenangan hidup bahkan ia sebahagian dari agenda besar Islam untuk mengembalikan keunggulan tamaddunnya. Sangat tak masuk akal kalau urusan perkahwinan sepenting ini anda sorokkan dari pengetahuannya. Bahkan dalam perbincangan dengan pihak keluarga, murabbi anda adalah orang yang paling tepat untuk diminta bantuannya.

Jangan bila sudah 'error' di kiri dan kanan, atas dan bawah baru anda menadah kasih di hadapannya. Waktu itu boleh dipertikaikan kesungguhan anda berkahwin untuk dakwah.

Memang antara kewajipan seorang murabbi ialah memberi bimbingan kepada anak buahnya mencari pasangan yang sesuai dengan fikrahnya. Memberi bantuan untuk menjayakannya. Jadi, kalau sudah terasa nak kahwin, berbincanglah dulu dengan murabbi anda. Kalau murabbi anda muda bujang seperti anda, pasti murabbi kepada murabbi anda dan ke atas akan bersedia membantu.


KAUNTER JABATAN AGAMA SEDIA MEMBANTU

Andainya setelah semua usaha memujuk keluarga gagal dilaksanakan khususnya di pihak wanita yang memerlukan wali untuk berkahwin, mintalah bantuan Jabatan Agama. Memang ada peruntukan wali hakim bagi wali yang ingkar atas alasan yang kurang munasabah. Saya sendiri kurang menggalakkan cara ini kecuali terpaksa. Ketika perkahwinan sudah jatuh hukum wajib. Iaitu kalau tak kahwin juga, maksiat akan terjadi atau berterusan melakukan maksiat. Nasihat ini selalu aku berikan kepada pasangan yang terlanjur dan wali tidak mahu memberi kebenaran bernikah, walau setelah mengetahui perbuatan mereka. Ini bagiku sebahagian dari cara penyelesaian berlandaskan undang-undang yang ada di negara ini.

Baca sebelumnya:
Mak! Bapa! Aku nak kahwin (1)
Mak! Bapa! AKu nak kahwin (2)

Read more »


Read more »

Tuesday, February 15, 2011

MAK! BAPA!...AKU NAK KAHWIN....(2)




TAPI PAK, ANAKMU INI SUDAH LAYAK BERKAHWIN…

Setelah meyakini bahawa anda sudah layak berkahwin, yakin bahawa had minum berjaya dipenuhi dan rumahtangga yang bakal terbina amat penting dalam perjalanan dakwah anda… mulakanlah langkah. Langkah pertama yakinkan keluarga kedua-dua belah pihak. Si lelaki waktu ini memainkan peranan penting. Sebagai bakal ketua keluarga, dia kena tunjukkan skill kepemimpinannya waktu itu. Ia kena berani memujuk kedua ibubapanya dan ibubapa bakal isterinya. Kalau perlu orang tengah, cari orang tengah yang benar-benar mahir berkomunikasi dengan orang tua.


Pernah ada pelajar datang dan menceritakan kepadaku yang ibubapanya keras kepala, tak mahu berbincang langsung soal perkahwinan dengan orang tengah yang ia ‘lantik’. Kataku kepadanya dengan nada bergurau: “cuba dapatkan khidmat Dr. Yusuf Qaradawi”. Ya, dulu waktu anda ingin meyakinkan pasangan anda bahawa anda lelaki terakhir yang terbaik untuknya anda usaha habis-habisan, takkan waktu di medan sebenar anda sudah mengalah? Mana pergi keperwiraan dan kelakian sejati anda? Hehe. Itu yang aku buat waktu melamar isteriku. Bakal Ibubapa mertua tak mahu guna orang tengah, mereka nak berbincang dengan aku sendiri. Baru je tamat final exam terus aku balik Malaysia untuk bertemu dan berbincang, first time jumpa, selama ni dengar suara sahaja di telepon. ‘Ketakkk juga kepala lutut” maklumlah orang yang aku nak berbincang ni agak tegas orangnya, polis bermisai. Tapi, dah nak sangat kahwin, kenalah aku beranikan diri dan kuatkan hati. Panjang perbincangan kami. Apapun, moga Allah merahmati roh al-Marhum bapa mertuaku atas keyakinannya kepadaku yang waktu itu aku serba kekurangan dan cuma ada duit untuk membeli tiket pulang dari JB ke Lawas Sarawak. Begitu juga ibu mertuaku, moga Allah terus memberikan kesihatan kepadanya.

YAKINKAN KELUARGAMU DULU..

Memang seorang lelaki tak perlu wali untuk berkahwin. Tapi restu ibubapa amat penting dalam mendirikan rumahtangga. Wanita pula amat perlu restu bapanya kerana ia walinya. Perkahwinan juga bukan sekadar mempertautkan dua hati bahkan dua keluarga. Andainya dari awal lagi ada ‘api kecil’ dalam ikatan, mungkin ia akan merebak dan membakar hangus perhubungan.

Tapi bagaimana caranya meyakinkan keluarga? Anda mesti meyakinkan mereka bahawa anda telah matang walau masih muda. . Mampu memimpin diri dan dewasa dalam menentukan arah hidup. Cuba penuhi keperluan asas ibubapa. Kalau tak mampu semuanya biarlah sebahagian daripadanya. Bagi ibubapa yang miskin macam ibubapaku dulu, cuba hulurkan sebahagian dari pendapatan anda kepada mereka. Ada anak-anak yang sanggup memberikan sedikit dari wang biasiswa/pinjaman kepada kedua ibubapanya. Walaupun mungkin nilainya kecil tapi sebenarnya besar di sisi ibubapa. Itu tanda anaknya sangat bertanggungjawab dan boleh diharap. Sesetengah ibubapa kadangkala tak memerlukan wang itu, tapi andai mereka menerimanya itu satu penghormatan buat mereka. Hadiah dari seorang anak yang selama ini ia besarkan dengan kasih sayang. Bagi mereka, anaknya sudah matang, pandai menghargai orang dan bukan lagi jadi beban keluarga. Tapi bagi si anak yang tak pernah cukup wang biasiswa/pinjaman bahkan terpaksa di topup setiap bulan, kemudian menyatakan hasrat untuk berkahwin kepada ibubapanya..memanglah permintaan itu tidak logik bagi mereka. “Diri engkaupun terpaksa kami tanggung, engkau nak tambah beban kami dengan menanggung bini engkau pula?” Tak mustahil itu jawapan mereka.

Matangkan diri anda di hadapan mereka. Penampilan dan ketrampilan, sikap, cara bercakap, cara mengurus diri perlu nampak matang apabila berada di rumah ketika bersama keluarga. Jangan usia saja bertambah, nama sahaja masuk universiti, tapi bila balik bercuti di rumah, ibu berleter kepada kita macam kita ini masih budak kecil. Memang pun mungkin perangai kita macam budak kecil.

Mungkin sesetengah pembaca beruntung sebab ibubapanya kaya. Berbeza dengan aku. Kami orang susah. Sebagai anak lelaki dan anak sulung tanggungjawab aku sangat besar pada keluarga. Jarang sangat aku minta duit dari ibubapaku ketika sekolah menengah apatah lagi ketika di universiti. Bahkan sebahagian biasiswaku aku hantar balik ke kampung. Ketika di Universiti, aku akan balik kekampung setiap dua tahun sekali. Aku akan bekerja, dan waktu itu dengan kelulusan SPM aku sudah boleh jadi guru sandaran. Semua wang gaji aku serahkan pada bapaku, untuk membuat rumah. Zaman dulu dengan duit beberapa ribu ringgit sahaja kami boleh menyiapkan rumah yang agak selesa di kampung. Bahan mentah seperti kayu semuanya tersedia di hutan, cuma upah tukang sahaja untuk memotongnya. AL-hamdulillah di hari perkahwinanku rumah itu siap sepenuhnya walaupun tidaklah sempurna. Itu juga berkat sumbangan dari adik beradikku yang lain yang telah bekerja. Aku berkahwin selepas 2 minggu keputusan peperiksaan tahun akhir diumumkan dan seminggu selepas itu aku dan isteri meneruskan pengajian semula. Bahkan semua adik beradikku berkahwin ketika usia muda. Lebih muda dari usiaku ketika berkahwin.

Anda juga perlu meyakinkan ibubapa bahawa anda sudah faham tujuan dan keperluan berumahtangga. Nampak kematangan pada cara berfikir dan mampu berdikari dalam mengurus diri dan hidup. Pastinya ini memerlukan masa yang panjang. Bukan sehari dua bahkan bertahun-tahun lamanya. Ibubapa akan melihat bukan hanya cara kita berfikir dan mengurus diri, bahkan siapa kawan-kawan di sekeliling kita. Alhamdulillah aku beruntung sebab di sekeliling ramai kawan-kawan yang hebat. Mereka juga jauh lebih matang daripada aku. Itulah keberkatan tarbiah yang kami perolehi. Apabila balik ke kampung aku cuba mendekati masyarakat. Sudah boleh naik mimbar, menjadi imam dan mengajar di masjid. Bahkan bila aku balik, bapaku menyerahkan tugasnya sebagai imam kepadaku.

Anda juga perlu melakukan demikian. Mungkin anda bukan seorang ustaz dan tak ada peluang naik mimbar dan menjadi imam, tapi anda perlu juga ke masjid sebagai seorang muslim. Masjid menghimpunkan orang-orang tua dan dewasa. Bergaul dengan mereka perlu untuk menampakkan bahawa anda orang dewasa walau masih muda. Anda juga perlu berkomuniti, terlibat dalam mengerakkan belia dan komuniti anda. Semua ini akan lebih menyerlahkan kematangan anda di hadapan masyarakat.

Tapi kalau balik bercuti anda habiskan dengan berkurung di rumah, dihadapan komputer, PS2/3/4 dan TV, bahkan makananpun tunggu mak hidangkan, apatah lagi anda seorang perempuan!. Lucu kalau ada orang berkata anda telah matang!. Anda memang belum matang dan tak layak berfikir untuk berkahwinpun!.

Bersambung….

Read more »

MAK! BAPA!...AKU NAK KAHWIN....(1)



Akhir-akhir ni banyak betul soalan yang diajukan kepada ku mengenai perkahwinan ketika masih belajar. Hampir semua soalan datang dari siswa siswi Universiti. Eloklah aku tulis tajuk khas tentang masalah ini supaya tak perlu aku menjawab berulang kali. Aku tahu setiap orang mungkin keadaannya berbeza dan jawapannya juga sepatutnya berbeza. Tapi apa yang akan aku utarakan sekadar pandangan peribadi yang situasinya hampir sama dengan situasi yang pernah aku hadapi….


Ketika balik bercuti tahun 2 Universiti al-Azhar, aku pernah berkata kepada mak dan bapa aku: “mak, bapa…apa pandangan kalian kalau aku kahwin waktu tahun akhir nanti?”. Terkejut mak bila dengar soalan aku. Maklumlah akulah anak yang diharapkan oleh keluarga untuk membantu mereka bila berjaya kelak. Mak aku menjawab: “ Nak kahwin macamana, keluarga kita ni miskin, rumahpun buruk, malu kalau nak terima menantu”. Memang rumah kami amat dhaif waktu itu. Cuma berdindingkan kulit kayu dan beratapkan daun nipah. Serios mak aku menjawab sedang bapa aku berdiam diri. Soalan tu sebenarnya sekadar nak ‘test’ pandangan ibubapaku. Akupun waktu itu belum ada calon lagi. Tapi dari jawapan ringkas mak aku, aku dah tahu apa yang perlu aku buat kalau nak kahwin.

Begitulah juga sikap dan pandangan kebanyakkan ibubapa lain apabila anak mereka yang masih belajar menyatakan hasrat untuk berkahwin. Jawapan mereka hampir sama..tamat belajar dulu, dapat ijazah, cari pekerjaan dan senangkan hidup keluarga. Bagi mereka anak-anak yang berada di Universiti merupakan aset keluarga yang telah dibela dan dibesarkan begitu lama. Mereka bimbang hanya dengan perkahwinan, hasrat mereka selama ini hancur berkecai.

TAPI AKU PERLU KAHWIN PAK!

Pelbagai alasan yang dijadikan sandaran oleh pelajar untuk mewajibkan dirinya berkahwin. Ketika di Universiti al-Azhar dulu ada seorang kawan aku yang belajar di Maahad Qiraat Syubra meminta ibubapanya membenarkan ia berkahwin. Mula-mula ibubapanya keberatan. Maklumlah baru beberapa bulan sahaja sampai di sana. Alasannya, ia sukar menjaga al-Quran yang telah ia hafaz dan sukar mengikuti pelajaran. Kebetulan ayahnya seorang tok guru pondok akhirnya memberikan keizinan. Ada juga yang memberi alasan untuk memelihara maruah diri dan menjaga iman, alasan yang sering digunakan oleh pelajar-pelajar yang belajar di negara-negara barat. Maklumlah kehidupan masyarakat di sana amat terbuka. Pergaulan lelaki dan perempuan tiada batasan.

Alasan paling kuat yang menyebabkan siswa dan siswi ingin berkahwin kerana mereka sudah terlanjur dan…tutttttt..Aku pernah juga mengurus kes-kes begini. Selalunya dalam keadaan begini ibubapa sudah tidak ada pilihan lain, mereka terpaksa memberi keizinan anak-anak mereka berkahwin, kalau tidak mereka akan berhadapan dengan cercaan masyarakat.

Bagi siswa-siswi yang hidup dalam lingkungan tarbiah dan memahami peranan rumahtangga dalam dakwah, alasan mereka berkahwin mungkin berbeza. Perkahwinan bagi mereka adalah pelengkap tarbiah dan tanda kesungguhan mereka dalam dakwah. Rumahtangga bagi mereka adalah medan perjuangan. Mereka ingin berkahwin dalam usia muda untuk memastikan hatinya terus bersih dan berumahtangga ketika belajar juga menjadi medan latihan berumahtangga secara praktikal. Tidak ada orang yang boleh mengaku yang ia benar-benar mahir dalam selok belok rumahtangga. Kematangan seseorang dalam berumahtangga bergantung pada pengalaman. Orang yang berkahwin awal, pengalamannya lebih luas berbanding dengan orang yang kahwin lewat.



TAPI..LAYAKKAH AKU KAHWIN?

Perkara pertama yang perlu anda nilai ketika ingin berumahtangga, kemampuan metarial. Mampukah anda memberi nafkah kepada pasangan setelah berkahwin nanti? Atau masih bergantung pada kantung ibubapa?

Andainya anda ada sumber mencukupi untuk menyara keluarga seperti biasiswa dan pinjaman anda memadai untuk membayar sewa rumah, perbelanjaan makan-minum dan pengajian…anda hampir layak untuk berkahwin. Kalau perkara ini tidak diselesaikan dari awal, pasti ia akan menganggu pelajaran anda dan pasangan anda. Inilah yang paling ditakuti oleh ibubapa dan memang tidak sepatutnya ini berlaku kerana matlamat awal anda masuk ke universiti ialah untuk belajar dan bukannya berkahwin!.

Sumber kewangan juga kadangkala mencukupi apabila dicampur antara biasiswa suami dan biasiswa isteri. Walaupun mungkin tak mampu hidup mewah, tapi setelah berumahtangga pasangan pelajar perlu duduk serumah. Ini lebih menjimatkan perbelanjaan. Ini bagi pasangan yang belajar seuniversiti atau tinggal berdekatan. Dalam tempoh ini, belajarlah hidup susah dan gunakan sumber yang ada untuk perkara-perkara yang perlu sahaja.

Bagi pelajar yang masih bergantung pada kantung ibubapa, mereka perlu berbincang baik-baik dengan mereka. Jangan sampai perkahwinan kalian nanti menambah beban ibubapa. Itu akan membenarkan teori bahawa anda belum dewasa dan belum matang untuk berumahtangga. Kalau anda ingin berkahwin juga, anda mesti sanggup mencari sumber kewangan tambahan seperti bekerja part-time atau berniaga kecil-kecilan.

Perkahwinan tidak perlu tunggu kita kayapun baru nak berkahwin. Itu pemikiran materialistik orang sekarang. Ingin segala-galanya lengkap baru hendak berkahwin. Bila sudah tiba masanya, usia sudah lanjut. Waktu itu berhadapan dengan kesukaran untuk mencari pasangan. Akhirnya bagi yang nak berkahwin juga, terpaksalah ia 'rembat' siapapun yang datang walau tidak memenuhi syarat yang ia inginkan. Ada yang akhirnya memilih hidup membujang sampai ketua, tapi sayang ia tidak melengkapkan personaliti kejadian ia sebagai manusia. Allah bukan hanya jadikan kita sebagai manusia tunggal, tapi ia ingin kita menjadi suami, isteri, bapa, ibu, nenek, datuk….untuk melengkapkan peranan kita sebagai khalifah Allah. Bahkan bagi mereka yang memahami manhaj Rasulullah SAW dalam dakwah, berumahtangga adalah asas utama dalam dakwah. Kahwin itu Sunnah Nabi.

Persiapan kedua, ialah persediaan dalaman anda. Perhatikan bagaimana kehidupan orang sekeliling anda yang telah berumahtangga. Jangan lihat sudut manisnya sahaja. Kena teliti juga sudut pahitnya. Nilai diri anda bila berhadapan dengan situasi begitu mampukah anda menghadapinya?

Tanya diri anda, untuk apa sebenarnya berumahtangga? adakah sekadar untuk memenuhi keperluan seks muda anda secara halal? Memang perkahwinan menghalalkannya tetapi rumahtangga bukan hanya seks sahaja. Seks satu sudut sahaja dari ratusan tanggungjawab lain yang akan anda pikul apabila bergelar seorang suami atau isteri. Atau, anda berkahwin untuk mengotakan janji cinta anda pada si dia? Memang perkahwinan adalah bukti sebenar cinta. Kata-kata cinta yang diucapkan di luar alam perkahwinan itu sekadar gula-gula pemanis mulut. Tak mampu dibuktikan kecuali setelah berumahtangga. Mampukah pasangan anda menunaikan semua beban rumahtangga sebagai tanda cinta sejatinya kepada anda? Ketika anda berduka, kekurangan segalanya, mampukah ia mendahulukan diri anda sebelum dirinya? Itulah bukti cinta sejati.

Eloklah kalau sudah ada 'niat' berumahtangga sering-sering berkunjung ke rumah orang yang telah berumahtangga. Minta pandangan dan nasihat mereka khususnya keluarga yang anda kagumi kerukunannya. Berbincang dengan orang yang masih bujang, tua manapun usianya hanya membuang masa. Mereka itu pandai berteori sahaja. Kalau mereka faham rumahtangga itu apa, pasti mereka sudah lama mendirikannya.

Read more »

Thursday, February 10, 2011

Masih Main Bolasepak Ala Kampungan?


Malam tadi sambil makan malam bersama sahabat di Restoran kawan yang sama-sama belajar di Mesir sempat tengok perlawanan bolasepak antara Malaysia dan Hongkong. Kesudahannya pemain-pemain muda Malaysia berjaya mengatasi Hongkong. Nampak sedikit peningkatan pada corak permainan dan skill mereka. Nampak menarik berbanding beberapa tahun yang lalu. Bolasepak zaman sekarang lebih menumpukan pada aspek kemahiran, skill dan disiplin disamping kesefahaman dalam pasukan.

Aku bukanlah peminat bola totok, tapi kebetulan restoran tu pasang layar besar, aku tumpang la sekaki.

Teringat aku ketika berborak dengan bapaku selepas makan malam beberapa minggu yang lepas juga pasal bola. Asalnya bapaku minta tolong scan gambar pasukan bolasepak mereka ketika tahun 60an dulu. Sampai ke hari ini belum sempat aku scan. Kata bapaku, orang dulu-dulu main bola bukan pentingkan kemahiran atau skill tapi kekuatan fizikal. Katanya, sebelum permainan, semua ahli pasukan akan dimandikan dengan air yang telah dijampi oleh tok bomoh. Pelbagai azimat dan tangkal juga dipakai. Fokus ketika permainan ialah mencederakan pihak lawan. Bukan bola yang menjadi fokus tapi kaki pihak lawan. Bila ramai pihak lawan yang cedera, waktu itu barulah mereka menumpukan permainan pada bola dan mencapai kemenangan. Itulah corak permainan ala kampung, ala 60an.

Melihat kepada corak berdakwah zaman sekarang, macam main bolasepak. Masih ada yang mengamalkan corak ala-ala permainan bolasepak kampungan. Untuk menarik perhatian orang ramai dan meraih ahli, cara mereka ialah dengan menjatuhkan peribadi dan menyerang pihak lain dengan pelbagai cerita. Sedangkan semua tahu kaedah dakwah, al-ghayah la tubarrirul wasilah. Matlamat tidak menghalalkan cara. Bahkan Islam mengalakkan umatnya menjaga keaiban orang lain dan husnu al-zan sesama muslim, inikan pula sesama pendakwah. Islam juga telah meletakkan kaedah bahawa setiap kesalahan cuma boleh dithabitkan setelah ia dimahkamahkan dan dibuktikan dengan keterangan yang mencukupi. Adapun penghakiman yang dibuat dimahkamah jalanan lalu dicanang seluruh pelusuk kampung dan bandar sangat tidak bertepatan dengan adab Islam yang suci. Selalunya metod begini digunakan oleh pemain-pemain politik untuk meraih sokongan dan undi. Sebab itu setiap kali pilihanraya ada saja akhbar yang menyiarkan tentang sikap sesetengah orang politik yang menceritakan keaiban lawan dalam kempennya. Kaedah yang mereka gunakan, kalau ia benci mereka, ia akan sokong kita. Biarlah, itu dunia politik, walaupun politik Islam tidak sepatutnya begitu. Tapi agak sedih kalau ini berlaku dalam dunia dakwah dan tarbiah. Pastinya disana ada yang tidak kena pada manhaj dan cara bekerja.
Andaipun benar dakwaan dan tuduhan, biarlah dibuktikan melalui laluan syarie. Dalam bolasepakpun ada pengadil yang akan memberikan kad kuning atau merah kepada pemain yang melakukan kesalahan.
Sudah sampai masanya para pendakwah dan gerakan Islam menjauhi cara perjuangan ala bolasepak kampungan. Tumpukan pada kemahiran, skill dan qudwah jamaie terbaik. Dalam ruang keterbukaan yang ada di negara tercinta ini, setiap gerakan perlu menonjolkan dengan jelas agenda dan wawasan mereka. Kemana mereka akan bawa ahli dan ummah ini pergi. Apa kaedah dan wasilah yang mereka gunakan. Ini menyenangkan mereka menilai dan membuat pilihan, itupun andai ada yang beranggapan kewujudan gerakan yang banyak ini satu persaingan. Tapi persaingan yang sihat seperti permainan bola. Walau hakikat sebenarnya kewujudan gerakan dakwah ini sepatutnya satu perkongsian bukan persaingan. Lengkap melengkapi kekurangan pihak lain. Seperti wujudnya langit dan bumi, api dan air, adam dan hawa. Andainya ia persaingan seperti bolasepak, takut akan ada pihak mengaut keuntungan di air yang keruh, menjadikan ia objek pertaruhan atau judi bolasepak. Memang musuh menunggu-nunggu ruang untuk memporak perandakan gerakan-gerakan Islam. Mereka akan mempercaturkan para pendakwah di atas meja perjudian mereka. Masa dihabiskan untuk menjawab dan menepis serangan sesama kawan sedangkan sepatutnya ia dihabiskan untuk menyerang lawan.
Umat ini perlukan kekuatan dari pelbagai sudut untuk membawa mereka ke tahap tinggi. Sudah pelbagai teori dan formula dicipta tapi belum menemui sihatnya. Kita amat yakin ia ada dalam Islam. Produk itu ada dalam misi dan visi gerakan Islam. Bahkan mereka juga memiliki pakar-pakar yang mahir. Mungkin kewujudan pelbagai gerakan umpama kepelbagaian kemahiran dan pengkhusuan kedoktoran…dan kepelbagaian hospital.
Apapun syukurla…minat kita sama…dakwah dan tarbiah…bahkan kita main bolapun kerana ia sebahagian dari wasilah tarbiah jasadiah kita. Teringat dengan Hadiqah Dauli yang telah banyak melahirkan daie-daie yang mukhlis.

(Surah A’li Imran: 79)
مَا كَانَ لِبَشَرٍ أَنْ يُؤْتِيَهُ اللَّهُ الْكِتَابَ وَالْحُكْمَ وَالنُّبُوَّةَ ثُمَّ يَقُولَ لِلنَّاسِ كُونُوا عِبَادًا لِي مِنْ دُونِ اللَّهِ وَلَكِنْ كُونُوا رَبَّانِيِّينَ بِمَا كُنْتُمْ تُعَلِّمُونَ الْكِتَابَ وَبِمَا كُنْتُمْ تَدْرُسُونَ (79)

(Tidak mungkin bagi seorang manusia yang telah diberi kitab oleh Allah, serta hikmah dan kenabian, kemudian dia berkata kepada manusia, “jadilah kamu penyembahku, bukan penyembah Allah,” tetapi (dia berkata), ‘jadilah kamu rabbaniin kerana kamu mengajarkan kitab dan kerana kamu mempelajarinya).


Read more »

Wednesday, February 9, 2011

Read more »