Tuesday, August 2, 2011

RUHANIYYAH RAMADAN


Salam anak-anakku,

Syukur sebab kita bertemu lagi dengan bulan Ramadan. Dapat berpuasa, berterawih, tilawah quran dan melaksanakan amal ibadah lainnya. Pasti kita terasa banyak kelainan berbanding bulan-bulan sebelumnya. Badan terasa lebih ringan. Ringannya berat badan baik untuk kesihatan. Roh juga terasa ringan. Ringannya roh membolehkan ia terbang ke tempat asalnya iaitu alam para Malaikat (lihat kitab al-Fawaid, Ibn Qayyim). Sebab itu terasa sangat ringan untuk melaksanakan kebaikan dan terasa berat untuk meneruskan agenda jahat dan melalaikan. Nafsu telah kita belenggu dengan melaksanakan ibadah puasa (andai mematuhi kehendak sebenar puasa dengan bersederhana ketika sahur dan berbuka).

Anak-anak,
Kekuatan ruh ini sangat penting dalam perjalanan hidup kita. Kita manusia bukan hanya diukur melalui jasad yang nampak hebat menurut pandangan mata. Ada orang rasa bangga memiliki rupa paras yang cantik, handsome dan tubuh yang slim atau sasa. Tapi apalah gunanya semua itu kalau ruhnya mati. Ruh itulah penentu kemanusiaannya. Menentukan hidup dan matinya di sisi Allah. Bila ruh mati dalam keadaan jasad masih hidup, ia tak ubah seperti bangkai bernyawa. Wujudnya di dunia sekadar menambah berat perut bumi.

Anak-anak,
Makanan iman yang kita suap sepanjang ramadan seperti puasa, qiam dan tilawah al-Quran yang akhirnya menghidupkan ruh perlu digunakan untuk mengerakkan dakwah agar kewujudannya dalam diri bermanfaat dan dimanfaatkan. Apa gunanya kereta yang dipenuhi minyak tapi tidak digunakan untuk bergerak. Begitu juga kekuatan ruh, perlu digunakan untuk mengerakkan perjuangan. Perjuangan ini perlukan orang yang mantap ruhnya, tinggi level imannya. Lantaran itu kalau kita lihat sejarah perjuangan umat Islam mereka banyak meraih kejayaan dalam bulan ramadan, bulan yang mereka memiliki kualiti ruh yang maksimum. Perang badar, perang khandak, fathu makkah, perang Ain Jalut berlaku dalam bulan ramadan dan mereka mengecapi kemenangan. Perang yang perlu tenaga badan pun di tentukan kemenangannya dengan kekuatan tenaga ruh. Apatah lagi dengan peperangan kita kini di medan tarbiah, sosial, ekonomi dan politik. Pastinya kekuatan dalaman kita perlu lebih mantap.

Anak-anakku,
Apalah gunanya kalau kita miliki ruh yang mantap tapi terbiar begitu saja tanpa disalurkan arusnya kesatu perjuangan yang akan memuliakan kita dan agama kita? Ia umpama membina empangan yang dipenuhi air tapi tidak disalurkan airnya untuk menjana elektrik atau menjadi minuman penduduk sekitarnya. Wujudnya empangan hanya menjadi ancaman kepada penduduk di sekelilingnya.

Sheikh al-Bahi al-Khuli mengumpamakan orang tersebut seumpama lelaki yang gagah tapi terkurang di istana. Diberi makan dengan makanan yang lazat-lazat tapi ia tidak gunakan tenaga yang terhasil dari makanan tersebut untuk bersenam atau bergerak. Bayangkan apakah yang akan menimpa ia selepas itu? Pasti kalau berterusan ia menjadi lelaki yang gemuk, boroi dan tak mampu bergerak ke mana-mana (diubah suai dari Tazkirat al-Duat).

Anak-anak,
Teruskan usaha kita membersihkan roh dari karat jahiliyyah dan mempertingkatkan kualitinya. Tapi jangan lupa dalam masa yang sama gunakan power yang ada padanya untuk mengerakkan perjuangan. Dakwah ini perlukan murabbi yang berkualiti, perancang yang kreatif, pengerak yang memiliki himmah yang tinggi. Jangan kita jadi ahli ibadah di zaman Ibn Masud yang keluar dari Kufah memencilkan diri untuk beribadah. Mereka tak mahu terlibat dengan masyarakat dan beranggapan itu semua menganggu fokus mereka untuk beribadah. Apa kata Ibn Masud: "siapa yang akan memerangi musuh kalau kamu beruzlah?"

Anak-anak,
Itu beza kamu dari orang lain. Lantaran itu tarbiah kamu berbeza dari orang lain. Peranan kamu lebih besar dari orang lain. Kerja kamu lebih banyak dari orang lain. Kewujudan kamu adalah untuk orang lain. Harta kamu adalah untuk keperluan orang lain. Sebab itu kamu hebat.

Mungkin pelik, tapi itulah kamu. Ini kerana kita dan kamu sama. Untuk memperolehi redha Allah dan masuk syurganya tidak semudah seperti yang disangka oleh orang lain. Jalannya cuma satu. Mengorbankan apa yang ada dan mengembalikannya kepada Allah yang telah memberi pinjam untuk sementara waktu pada kita.

{الم. أَحَسِبَ النَّاسُ أَنْ يُتْرَكُوا أَنْ يَقُولُوا آمَنَّا وَهُمْ لا يُفْتَنُونَ. وَلَقَدْ فَتَنَّا الَّذِينَ مِنْ قَبْلِهِمْ فَلَيَعْلَمَنَّ اللَّهُ الَّذِينَ صَدَقُوا وَلَيَعْلَمَنَّ الْكَاذِبِينَ}[العنكبوت: 1-3]

“ Alif Laam Miim. Apakah manusia mengira dibiarkan begitu saja mengatakan kami telah beriman sedang mereka tidak diuji. Sungguh Kami telah menguji orang-orang sebelum mereka, maka sesunguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta”. (Al Ankabut:1-3)

Selamat meneruskan Ibadah.

Read more »