Wednesday, December 30, 2009

SEM 2 SESI 2009/2010 BERMULA

Kepada pelajar yang akan mengambil kursus TITAS, adalah dimaklumkan saya bukan lagi penyelaras kursus tersebut. Kalian boleh berurusan dengan Ustazah Ros Aiza Mokhtar (Penyelaras Baru) dan Ustazah Dayang Hafizah dan Ustazah Siti Halimah (Pensyarah baru TITAS).

Kepada anak-anak halaqah yang sudah kembali dari cuti yang panjang. Cuti dari perkuliahan, cuti dari tarbiah, cuti dari......pastikan anda tanggalkan lumut-lumut yang melekat di badan akibat terlalu lama tidak dimandikan dengan haruman tazkirah dan fikrah. Agak lama tidak dimuhasabah. Anda makin tua di semester ini. Ruang masa anda makin pendek untuk menghabiskan silibus. Ini bergantung pada kemahuan anda setelah diberi kefahaman.

Bagi yang cemerlang dalam exam semester lepas...tahniah!! bagi yang lemah...rasanya peringatan sudah kerap kali diulang akan kepentingan kejayaan untuk perjuangan masa depan. Mengulang-ulangnya akan menjemukan pendengaran. Usaha lagi.

Selamat menempuhi semester baru, tahun baru hijrah dan masehi....


Permulaan semester yang paling aku tak sibuk, semester ini aku tak dijadualkan mengajar. Selalunya sebagai penyelaras kursus, aku sibuk uruskan penjadualan, pendaftaran pelajar dan lain-lain.

Semester ini sepatutnya aku sudah di UKM atau di Kuching. Bahkan hatiku sudah tidak berada di sini lagi. Setelah 9 tahun berada di KK, aku rasa sudah tiba masanya berhijrah lagi. Beku sudah melakukan rutin yang sama. Benar kata orang, manusia ini punya penyakit yang sama...jemu dengan perkara yang sama.

Mujurlah, aku ada anak-anak didik di sini. Yang hampir tiap minggu duduk di depanku. Mendengarku berbicara tentang hidup dan perjuangan. Merekalah pengobat kejemuanku. Tapi kini aku rasakan mereka sudah boleh memikir sendiri. Jalan dan laluan. Biarlah mereka berguru dengan orang lain. Mudahan ada pengalaman yang mampu mereka timba.Mereka sebenarnya sudah tidak memerlukanku....

Hijrahku kali ini tidak semudah selalu. Kalau dulu aku cuma fikirkan kitab-kitab dan ahli keluarga yang perlu aku bawa. Kini, aku terpaksa membawa banyak kasih dan hati manusia. Harapan dan keinginan. Cita-cita dan perjuangan. Apapun niatku cuma satu...ingin menyumbang di negeri sendiri...walau cuma untuk seketika.

Apapun aku telah berikan majikanku dua pilihan...sambung belajar atau dipinjamkan...



Read more »

Hatiku

Ya ALLAH pemilik hati Insan dan Alam Jagat yang luas,
Aku sangat takut kehilangan kasihmu
di saat kasih insan meluru padaku
Aku lagi takut kehilangan kasihmu
di saat kasih insan meninggalkanku


Apalah nilainya kasih insan berbanding kasihmu?
Kasih insan datangnya cuma seketika
akan hilang dipisah ajal
akan berkurang dikikis nafsu
kasihmu hingga kesyurga
bahagia selamanya

Ya Allah
apa ditakut hilangnya kasih insan
derita didatangkan cuma di dunia
hilangnya kasihmu hingga ke neraka
celaka dan hina selamanya

Pagi ini hambamu bertafakur
membilang saki baki kasihmu
pada seorang hamba yang terasa
kehilangan kasihmu
lewat sajadah buruk
seburuk hatinya

(oleh: hati basi)

Read more »

Friday, December 25, 2009

Alangkah indahnya kalau boleh bersatu...

Baru ni aku dapat undangan menyampaikan ceramah sempena sambutan Maal Hijrah peringkat Negeri Sarawak bertemakan 'Memantap Ukhuwwwah Memartabat Ummah". Program di adakan di Kota samarahan. Berbicara soal Ukhuwwah bukanlah sukar sangat asal saja rajin mentalaah kitab-kitab berbentuk raqaiq atau haraki. Bahkan dalam harakah Islamiyyah, Imam Hassan al-Banna menjadikannya salah satu rukun Bai'ah. Bahkah ia merupakan kekuatan kedua selepas kekuatan Iman yang perlu wujud dalam gerakan menegakkan semula Islam di atas muka bumi.

Orang haraki paling gemar berbicara soal ukhuwwwah dan kesatuan. Mewujudkan ukhuwwah di atas kertas dan berbicara melalui ceramah memang sangat mudah, merealisasikannya di alam waqie seperti zaman permulaan Hijrah sangat susah. Ini kerana ukhuwwah dan kesatuan sesama mereka yang berada dalam saf perjuangan masih lagi impian dan mimpi. Apatah lagi ummah secara umumnya. Perpecahan kerana politik, kuasa, ekonomi dan harta masih lagi jadi perkara biaasa.

Banyak kaedah yang telah diletakkan oleh Islam dalam memastikan ukhuwwah Islamiyyah sentiasa teguh, antaranya:

(i) sangka baik sesama Islam dan tidak mudah percaya dengan sesuatu berita kecuali menyelidiknya terlebih dahulu.
(ii) bekerjasama pada perkara yang disepakati (selagi tidak bertentangan dengan syarak) dan bertolak ansur pada perkara yang menjadi punca perselisihan (pada perkara furu').
(iii) memelihara keaiban umat Islam
(iv) berlapang dada dengan perbezaan dan banyak lagi...

Imam Qatadah menyebut (tafsir Ibn Karhir): Ukhuwwah itu adalah rahmat dan perpecahan itu adalah azab.

Dalam kontek perjuangan Islam, alangkah indahnya kalau ukhuwwah ini dapat dijaga dan bersatu. Ini tidaklah bererti mesti satu! Selagi manusia memiliki citarasa berbeza selagi itulah akan wujud kepelbagaian. Umpama adik beradik yang meminati warna dan lauk kegemaran yang berbeza tapi masih boleh tinggal serumah. Bahkan itulah keistimewaan mereka.

Andai kita ingin semua orang macam kita, sampai bila kita tidak mampu bersama. Menghormati pandangan dan cara orang lain selagi tidak terkeluar dari syarak adalah simbol kehebatan seorang lelaki.

Banyak masa yang telah dibuang dan akan dibuang selagi kita masih memikirkan kelainan dan perbezaan. Bahkan dalam kerja dakwah ia akan mengurangkan output sebab banyak emosi dihabiskan untuk menyelesaikan permasalahan dan pertikaian dalaman.

Akhirnya kebatilan akan mampu mendahului kita kerana mereka mampu bersatu...

Melihat senario perjuangan Islam...timbul di benak hati impian melihat mereka yang mengaku memperjuangakan perjuangan yang sama bersatu...ini tidak mugkin tercapai andainya masih ada lagi orang yang kerjanya mencari siapa salah dan siapa benar...

Impian untuk melihat kesatuan ini tidak mustahil terlaksana andainya kita bersikap menutup mulut dan banyak berdiam diri, khususnya apabila melibatkan kelemahan sahabat. Dalam masa yang sama diisi dengan kerja amali dan menghasilkan kejayaan di lapangan....bahkan lebih cepat menjadi realiti andainya kita lebih banyak memperkatakan kebaikan sahabat dan memberi pujian kepadanya. Seperti kaedah yang diletakkan oleh Rasulullah SAW dalam memelihara keutuhan berumahtangga: "Tidak akan berselisih seorang suami mukmin dan isteri mukminah andainya ia membenci satu akhlak dari akhlaknya ia reda dengan akhlak baik yang lain".

Terpulanglah pada kita untuk bermula atau membiarkan masa menjadi pengubatnya. Menyerahkan segala perkara pada perkiraan masa bukanlah lambang kebijaksanaan sedangkan Allah memberi ruang berusaha....pastinya si pemula lebih mulia seperti sabda Nabi SAW: "3 perkara sesiapa yang ada padanya, Allah akan menghisabnya pada hari qiamat dengan hisab yang mudah...maafkan orang yang menzalimimu, sambungkan hubungan dengan orang yang memutuskannya dan berilah pada orang yang enggan memberinya padamu".
Medan sebenar kita berlumba adalah medan amal ( Fastabiqu al-Khairaat) bukan medan cakap...andainya semua beramal untuk objektif yang sama dengan sedikit perbezaan. Pasti dihujung yang menunggu adalah titik pertemuan.
Tapi...entahlah...

Read more »

Wednesday, December 23, 2009

SUKA HATI KAULAH...

Entahlah kenapa akhir-akhir ni byk betul SMS dan email dari isteri-isteri orang yang sebahagiannya aku kenali dan ada juga yang aku langsung tak kenal bercerita tentang masalah rumahtangga. Ada antara mereka pernah merasai nikmat hidup dalam tarbiah....


Memang sayu mendengar cerita bila rumahtangga yang dibina tidak seperti yang dijangka. Bahagia yang dicita tidak kunjung tiba. Yang mereka fikir bagaimana nak keluar dari belenggu rumahtangga.

Bila orang merujuk masalah pada ku, seperti biasa aku minta mereka ‘bersabar’ walau aku tahu sebenarnya mereka sudah hilang sabar…sebab itu mereka sanggup bercerita padaku. Atau aku pinta mereka ‘muhasabah’ diri. Mana tahu ada hubungan dengan Allah yang kurang mantap menyebabkan rumahtangga diuji. Aku juga sarankan supaya ‘berbincang dan berterus terang’ walaupun aku juga yakin semua itu telah pernah mereka lakukan atau cuba lakukan.

Kalau boleh aku tak mahu keluar dari mulutku perkataan ‘putus atau cerai’ walau aku tahu mereka sebenarnya berfikir ke arah itu. Susah juga apabila kita berada pada kedudukan yang orang anggap kita mampu menyelesaikan masalah mereka atau mendatangkan sedikit kegembiraan pada mereka. Cuma ramai pakar psikologi mengatakan, mendengar masalah orang sudah cukup membuat orang itu sedikit tenang.

Sedang jauh dilubuk hatiku ingin sangat aku mengatakan bahawa punca semua itu terjadi datang dari diri sendiri. Ketika kita memiliki 100% kebebasan memilih! kita tidak gunakan peluang itu sebaik mungkin. Kita tidak tapis habis-habis calon ikut tapisan Islam. Kita tidak ‘syura’ habis-habisan dengan orang yang berpengalaman atau sengaja memekakkan telinga yang tidak pekak apabila diberi pandangan. Kita Cuma mencari pandangan yang menyokong ‘keputusan’ yang tersirat dihati kita walaupun sebenarnya bertentangan dengan kaedah agama Kita sengaja mencari pandangan yang berbentuk sokongan dan bisa buat jiwa kita tenang. Ada juga yang alasannya telah ‘nampak’ waktu istikharah. Istikharah yang telah didahului dengan keputusan dan ikatan perasaan bukanlah penyerahan mutlak pada keputusan Allah SWT.

Akhirnya bila rumahtangga hampir terkulai, siapa yang harus dipersalahkan? Juru nasihat mungkin akan menuding jari…bukankah dulu aku dah cakap? aku dah bagi pandangan? aku dah bagi nasihat?...si musuh pula akan berkata: ‘padan muka? rasakan?”.Berfikiran demikian memang tak baik tapi ada masanya perlu pada si degil.

Tanpa berbicara apapun sebenarnya ‘tuan badan’ pasti sedar, semua yang berlaku adalah kerana kesilapan diri. Silap memberi cinta dan menilai manusia. Dek kerana dikaburkan oleh rasa ‘cinta’ walau atas apa nama sekalipun…timbangan jadi kurang tepat dan kompas lari beberapa darjah. Mulanya sedikit tapi bila dipukul ribut rumahtangga, ia lari jauh ketengah laut. Apatah lagi kalau bahteranya tidak diikat dengan ikatan iman…pasti untuk menyelamatkan diri, mengorbankan pasangan pun tidak dirasakan satu kesalahan. Waktu ini seringkali nasib malang berpihak pada wanita.

Selalu aku berbicara dengan anak-anak didikku, peri penting pilihan dan pembinaan rumahtangga diasaskan atas dasar perjuangan. Rumahtangga dakwah yang dibina oleh dua insan yang ada wawasan untuk agama dan ummahnya. Sayang ramai yang tidak faham. Ramai yang terjerut oleh cinta kosong yang paling-paling islamicpun bila menggunakan kalimah akh dan ukh. Kefahaman Islamnya kosong, kefahaman perjuangannya kosong. Bahkan beranggapan urusan rumahangga adalah urusan peribadi dan keluarga dan orang lain tak perlu campur. Tapi dalam masa yang sama inginkan rumahtangga menjadi medan dakwah!.

Rumahtangga dakwah akan muncul apabila suami isteri semakin bersemangat berdakwah setelah berumahtangga. Rumahtangga mereka menjadi batu loncatan untuk berinteraksi dengan masyarakat sekeliling. Rumah menjadi pusat perbincangan dan mengerak sekeliling di atas manhaj dan kefahaman yang bertahun-tahun mereka pelajari dalam sistem tarbiah…ketika bujang. Ini memerlukan kedua-duanya memiliki kefahaman yang sama, tarbiah yang sama, halatuju yang sama dan fikrah yang sama. Mungkin ada yang mengatakan tak perlu! bah, cubalah…try & error. Tapi kalau error, siapa yang akan dipersalahkan? Siapa nak dirujuk? Bukan apa takut akhirnya mengerak ‘rumah’ pun tak mampu apatah lagi nak mengerak ummah. Lagipun bagaimana mahu menjadi pengerak ummah kalau siisteri terpaksa berfikir bagaimana nak ubah dan ubat penyakit suami yang tak faham perjuangannya. Bahkan beranggapan dirinya ‘wanita biasa’ yang sepatutnya menjadi ‘hamba’ yang berkhidmat untuk dirinya. Usianya akan dihabiskan untuk mengubat ‘Cuma’ seorang ‘mad’u’ bergelar suami. Andai tidak diubati bahayanya sangat besar, kerana ia pemimpin dan genetik itu akan mengalir pada anak-anaknya. Kepada para akhawwat saya ingin bertanya? Berbaloikah pelaburan tarbiah anda bertahun-tahun yang akhirnya Cuma dihabiskan untuk mengislah seorang ‘mad’u’ bergelar suami?. Tapi apa boleh buat kalau begitulah caranya anda berfikir dan anda sendiri akan menanggung akibatnya. Ingat! anda memegang amanah yang akan dimuhasabah dihadapan Rabbul Jalil.

Memang sedih…tapi kadangkala lucu apabila sebahagian besar yang datang semula kepadaku untuk bercerita masalah adalah orang yang sama mendatangiku ketika mula ingin berumahtangga. Mungkin kebetulan sahaja, dulunya aku mengatakan pilihan mereka kurang tepat dan akan terjadi apa yang aku jangka. Aku bukanlah ahli nujum. Sekarang aku lebih suka membisu dari memberi pandangan apabila diminta berbuat demikian. Mungkin pandanganku sudah tidak releven atau buang suara sahaja berbicara perkara yang sama sedang kesudahannya juga sama. Akhirnya dalam hatiku aku berkata: lantak engkaulah, suka hati kaulah atau bak kata orang sabah: boleh ba kalau kau...ha ha..(mungkin dah penat dengar rintihan orang yang dahulunya ketika dinasihati…degil).

Sebenarnya mereka tidak tahu betapa hati kecil juga rasa sedih mendengar penderitaan mereka...apa boleh buat. Dari awal lagi, itulah pilihan mereka walaupun mereka tidak sedar....


Read more »

Thursday, December 10, 2009

BAHAGIA?



Pada 9/12/2009 yang lepas, aku sempat menghadiri jemputan bicara ilmu anjuran FELCRA di Kota Marudu. Kali pertama berjaya memenuhi undangan ke Kota Marudu setelah berkali-kali dijemput. Tajuk ceramah: Rumahtangga Bahagia, Keluarga Sejahtera.

Bercerita tentang keluarga bahagia, memang mudah. Menulis juga senang. Menjadikan ia realiti sangat sukar. Khususnya dalam era manusia berlumba-lumba membahagiakan diri dengan elemen duniawi. Sedikit bahan dari buku saya yang bakal terbit "MEMBINA SYURGA CINTA", Terbitan UMS, InsyaAllah akan terbit januari 2010.

BERBAHAGIA DI SYURGA:

Kebahagiaan dalam hidup berkeluarga bukannya mudah. Ia memerlukan kerjasama semua pihak. Organisasi kecil ini memerlukan pengurus yang baik bergelar suami. Memerlukan pembantu pengurus yang cekap bergelar isteri. Ahli organisasi juga perlu bekerjasama dan bekerja keras untuk merealisasikan impian membentuk keluarga bahagia. Mahligai impian duniawi ini cuma akan nampak indah dan sentiasa dihiasi bunga cinta yang segar mekar apabila semua pihak yang bernaung di bawahnya memahami tanggungjawab dan tugas masing-masing. Bergerak seia sekata dalam satu barisan dan sanggup berkorban untuk kebahagiaan orang lain.

Tunggak utama mestilah ajaran agama dan reka bentuknya tidak boleh lari jauh dari pelan kekeluargaan Rasulullah s.a.w. Ruang udaranya mestilah sentiasa dibekalkan dengan cinta kasih dan belas kasihan.

Keluarga juga umpama kapal. Ia tidak akan sentiasa berlayar di air tenang, malah menjadi sunnahnya berhadapan dengan ombak dan taufan. Perjalanan masa menjadikan ikatan cinta makin longgar dan suhu sayang juga semakin sejuk. Punca utama ialah rasa jemu kerana bertemu orang yang sama bertahun-tahun lamanya. Tidur sebantal dengan orang yang sama. Makan sehidang dengan orang yang sama. Mungkin juga berpunca dari faktor usia. Usia memakan kulit yang tegang menjadi kendur, rambut yang lebat menjadi luruh dan beruban, muka yang cantik menjadi kusam berkedut. Mungkin cinta pada waktu ini sudah tidak mampu untuk terus bertahan menjadi kemudi dan dayungnya. Ia memerlukan kekuatan kedua yang bernama 'belas kasihan'. Biar sedalam mana pun perasaan jemu, hodoh mana pun rupa paras, lemah mana pun tenaga batin, bosan mana pun jiwa, belas kasihan masih mampu membawa ahli keluarga ke titik terakhir matlamat cinta iaitu syurga. Lantaran itu, Allah S.W.T. mengingatkan pasangan yang ingin berumah tangga agar dari awal lagi menjadikan cinta sebagai mahar dan belas kasihan sebagai hantaran. Firman Allah S.W.T.:

 وَمِنْ آيَاتِهِ أَنْ خَلَقَ لَكُمْ مِنْ أَنْفُسِكُمْ أَزْوَاجًا لِتَسْكُنُوا إِلَيْهَا وَجَعَلَ بَيْنَكُمْ مَوَدَّةً وَرَحْمَةً

(Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikan-Nya di antaramu rasa cinta dan belas kasihan).

Kasihani isteri yang telah lama berkorban jiwa dan raganya untuk mendampingi anda. Ia telah menyerahkan hati dan jasadnya untuk ketenangan anda. Sanggup bangun seawal pagi untuk menyediakan sarapan dan mengosok pakaian. Pulang anda disambut dengan senyuman dan hidangan minuman kegemaran. Malam pula ia sanggup bermesra dengan anda walaupun fizikalnya sudah keletihan kerana banyaknya tugasan rumah yang perlu ia selesaikan. Ia juga dengan jayanya mendidik anak-anak yang seharian anda tinggalkan kerana kerjaya dan tugas mencari rezeki buat keluarga. Ia juga sanggup mengadai nyawa untuk melahirkan anak-anak anda. Fikirkanlah sebelum terfikir untuk mengeluarkan kalimah cerai. Rasulullah s.a.w. bersabda:

لَا يَفْرَكْ مُؤْمِنٌ مُؤْمِنَةً إِنْ كَرِهَ مِنْهَا خُلُقًا رَضِيَ مِنْهَا آخَرَ

(Seorang mukmin tidak akan menceraikan isterinya yang mukminah sekiranya ia membenci satu sifat dari sifat-sifatnya sedang dalam masa yang sama ia redha dan mengingati kebaikan-kebaikannya yang lain).

Kasihani suami yang sanggup mengambil anda sebagai isterinya. Mengorbankan usia dan keringatnya untuk menyara keluarga. Mendamaikan jiwa ketika kesedihan. Ingatlah kegirangan yang ia bawa dalam hidup anda. Ingatlah bagaimana ia masih mampu tersenyum setiap kali ia pulang dari kerja walaupun ia telah kehilangan sebahagian tenaganya di tempat kerja. Ingatlah koceknya yang sering kosong kerana membeli keperluan anda dan anak-anak. Ingatkan semua itu sebelum terlintas di fikiran untuk meminta cerai.

Jika kebaikan pasangan tidak mampu meleraikan kekusutan hubungan, ingatlah pada anak-anak. Kalian mendambakan kehadiran mereka semenjak malam pertama perkahwinan. Hari kelahiran mereka merupakan sejarah besar keluarga yang membawa sejuta wangian kebahagiaan. Ia pelengkap kehidupan anda. Kehadirannya menjadikan anda memiliki status manusia yang sempurna. Anda sudah jadi individu, suami, bapa, isteri dan ibu. Ingatlah pada anak-anak anda sebelum mana-mana pihak berfikir untuk bercerai.

Perkahwinan dan keluarga yang dibina tidak sepatutnya berakhir di kantor mahkamah tetapi sewajibnya berkesudahan di kamar syurga. Allah S.W.T. menjanjikan orang-orang yang beriman akan tinggal bersama dengan ahli keluarganya di syurga. Firman Allah S.W.T.:

وَالَّذِينَ آَمَنُوا وَاتَّبَعَتْهُمْ ذُرِّيَّتُهُمْ بِإِيمَانٍ أَلْحَقْنَا بِهِمْ ذُرِّيَّتَهُمْ وَمَا أَلَتْنَاهُمْ مِنْ عَمَلِهِمْ مِنْ شَيْءٍ كُلُّ امْرِئٍ بِمَا كَسَبَ رَهِينٌ (21) وَأَمْدَدْنَاهُمْ بِفَاكِهَةٍ وَلَحْمٍ مِمَّا يَشْتَهُونَ (22) يَتَنَازَعُونَ فِيهَا كَأْسًا لَا لَغْوٌ فِيهَا وَلَا تَأْثِيمٌ (23) وَيَطُوفُ عَلَيْهِمْ غِلْمَانٌ لَهُمْ كَأَنَّهُمْ لُؤْلُؤٌ مَكْنُونٌ (24) وَأَقْبَلَ بَعْضُهُمْ عَلَى بَعْضٍ يَتَسَاءَلُونَ (25) قَالُوا إِنَّا كُنَّا قَبْلُ فِي أَهْلِنَا مُشْفِقِينَ (26) فَمَنَّ اللَّهُ عَلَيْنَا وَوَقَانَا عَذَابَ السَّمُومِ (27) إِنَّا كُنَّا مِنْ قَبْلُ نَدْعُوهُ إِنَّهُ هُوَ الْبَرُّ الرَّحِيمُ (28)

(Dan orang-oranng yang beriman, dan yang anak cucu mereka mengikuti mereka dalam keimanan, Kami hubungkan anak cucu mereka dengan mereka, dan Kami tiada mengurangi sedikit pun dari pahala amal mereka. Tiap-tiap manusia terikat dengan apa yang dikerjakannya. Dan Kami beri mereka tambahan dengan buah-buahan dan daging dari segala jenis yang mereka ingini. Di dalam syurga mereka saling memperebutkan piala (gelas) yang isinya tidak (menimbulkan) kata-kata yang tidak berfaedah dan tiada pula perbuatan dosa. Dan berkeliling di sekitar mereka anak-anak muda untuk (melayani) mereka, seakan-akan mereka itu mutiara yang tersimpan. Dan sebahagian mereka menghadap kepada sebahagian yang lain saling tanya-menanya. Mereka berkata, "Sesungguhnya kami dahulu sewaktu berada di tengah-tengah keluarga kami merasa takut (akan diazab)". Maka Allah memberikan kurnia kepada kami dan memelihara kami dari azab neraka. Sesungguhnya kami dahulu menyembah-Nya. Sesungguhnya Dia-lah yang melimpahkan kebaikan lagi Maha Penyayang).

جَنَّاتُ عَدْنٍ يَدْخُلُونَهَا وَمَنْ صَلَحَ مِنْ آبَائِهِمْ وَأَزْوَاجِهِمْ وَذُرِّيَّاتِهِمْ وَالْمَلائِكَةُ يَدْخُلُونَ عَلَيْهِمْ مِنْ كُلِّ بَابٍ (23) سَلامٌ عَلَيْكُمْ بِمَا صَبَرْتُمْ فَنِعْمَ عُقْبَى الدَّارِ ((24
(Syurga 'Adn yang mereka masuk ke dalamnya bersama-sama dengan orang-orang yang saleh dari bapak-bapaknya, isteri-isterinya dan anak cucunya, sedang malaikat-malaikat masuk ke tempat-tempat mereka dari semua pintu; (sambil mengucapkan): "Salam sejahtera atas mu kerana kesabaranmu". Maka alangkah baiknya tempat kesudahan itu).

Imam al-Qurtubi ketika memberi komentar tentang ayat 23 dalam Surah al-Ra'd berkata, "Sesungguhnya antara nikmat di syurga itu nanti, ialah dengan menghimpunkan ahli syurga dengan kerabatnya di dalam syurga". Imam Ibnu Kathir pula menyebut, "(orang mukmin) akan dihimpunkan bersama orang-orang yang ia sayangi termasuk ibu bapa, isteri-isteri dan anak-anaknya andainya mereka itu layak memasuki syurga di kalangan mereka yang beriman agar tenang perasaan mereka dengan kehadiran keluarganya sehingga ia diangkat dari darjat bawahan di syurga ke darjat paling atas sebagai anugerah dari Allah dan pemberian yang tidak ternilai tanpa dikurangi sedikit pun". Kata Said bin Jubair Apabila orang mukmin masuk syurga ia akan bertanya tentang ibu bapanya, anak-anaknya, di manakah mereka? Lalu dikatakan kepadanya, "Sesungguhnya mereka tidak mencapai tahapmu dalam melakukan amal kebaikan". Lalu ia berkata, "Sesungguhnya aku melakukan semua amalan itu untukku dan mereka". Lalu mereka pun digabungkan bersamanya dalam syurga pada darjat yang serupa.

Inilah impian tertinggi orang mukmin dalam berkeluarga. Impian untuk hidup sebumbung di syurga akhirat. Itulah hakikat cinta abadi bagi pasangan yang menjadikan Allah S.W.T. sebagai pusat kecintaan dan Rasul-Nya s.a.w. sebagai sumber ikutan mereka. Syurga yang menghimpunkan segala kenikmatan yang tidak pernah terlintas pun di pemikiran manusia. Itulah tempat tuju mereka. Bermula dari hari pertama perkahwinan, dikurniakan zuriat dan melayari kehidupan berkeluarga yang penuh pancaroba, kesudahan yang mereka harapkan ialah syurga dan nikmat syurga. Walaupun mungkin di dunia mereka terlepas banyak peluang kebahagiaan dan kesenangan…

Untuk itu, apabila anda menziarahi pasangan yang baru melangsungkan pernikahan mereka, jangan ucapkan "Selamat pengantin baru, moga kekal ke anak cucu", tidak juga ucapan, "Selamat pengantin baru moga kekal ke akhir hayat", tapi ucapkanlah "Selamat pengantin baru, moga kekal hingga ke syurga". Ucapan begitulah yang lebih bermakna.

Semoga kebahagiaan dan kerukunan yang dikecapi dalam keluarga, berterusan hingga ke akhirat. Tempat yang tiada lagi duka nestapa, tidak perlu lagi merajuk dan memujuk, tiada penat dan lesu, tiada sedih dan sepi. Yang ada cuma kebahagiaan yang kekal abadi. Allahumma Amin Ya Rabb al-Alamin.

Read more »

Wednesday, December 2, 2009

JAULAH PULAU BANGGI, KUDAT

Alhamdulillah, tercapai sudah perancangan yang cukup lama untuk mengadakan Jaulah ke Pulau Banggi. Bersama 9 syabab halaqah dan kami sekeluarga, program berjaya diadakan pada 26/11/09-29/11/09. Jaulah ini lebih kepada rehlah untuk memantapkan ukhuwwah. Maklumlah ada di kalangan syabab yang akan menamatkan pengajian, ada yang akan LI selama 6 bulan dan ada akh yang dah kerja dan sanggup datang dari sarawak sekadar untuk program Jaulah dan raya haji bersama di Pulau antara yang terhujung dan terbesar di Malaysia. Jaulah juga bertujuan menziarahi akh cikgu Zahari dan keluarganya yang sudah lebih setahun mengajar di SK Kerakit.


Pemergian kami terpaksa di buat 2 trip. Trip pertama aku dan family bersama 3 syabab. kami bertolak ke Banggi pada khamis 26/11/09 dan bermalam di Rest House Pulau Banggi. Esoknya barulah trip kedua dengan syabab seramai 6 orang datang. Mereka terpaksa solat aidil adha di Kudat. Kami pula solat di Pulau Banggi. Lepas solat raya, kami sembelih kambing korban. Sempat dibeli pada petang khamis setiba kami dari KK. First time sembelih kambing. Alhamdulillah, daging berjaya diagih-agihkan dan selebihnya di buat sup kambing yang juga hidangan raya kami. Licin syabab-syabab tu kerjakan.

Petang sebelum magrib kami bertolak ke Pusat Penyelidikan Rumpai Laut UMS di tengah-tengah laut Banggi. Menaiki bot UMS. Rumah tu ada 4 bilik... Malam tu lepas solat berjamaah berlampukan cahaya bulan dan bintang dan dibawahnya air lautan yang tenang, selepas sedikit tazkirah dan takbir...kami memancing...walau ikan yg dapat tak banyak tapi amat menghiburkan. Pagi esoknya (sabtu) ikan makan banyak sikit...tapi yg lebih indah melihat kejernihan lautan dengan ikan pelbagai spesis dan warna..subhanallah. Aku dan beberapa orang akh, gi naik bot memancing ke tengah laut lagi...seronok.

Tengahari baru balik ke Banggi...lepas asar, kami sewa bot untuk agih-agihkan barang-barang terpakai yang dah lama kami kumpulkan dan sumbangan barang-barang keperluan harian yang disumbangkan oleh seorang prof dari Sekolah Perubatan UMS. Sampai lewat malam baru kerja pengagihan selesai. Malam tu orang kampung ajak makan kenduri korban...sekali lagi pekena sup...kali ni sapi.

Al-Hamdulillah, program berjalan lancar. Cuma yang menyedihkan, hari kami bertolak ke pulau Banggi itulah berlakunya peristiwa bot karam. Pulau Banggi dipenuhi oleh ramai penyelamat dari pasukan polis, bomba, TLDM dan ATMA. Sempat berjumpa dengan seorang yang terselamat. Hingga kami balik ke KK, masih ramai mangsa yang belum ditemui.

Apapun terima kasih banyak Akh Zahari dan keluarga atas segala pertolongan. Tahniah kerana masih thabat dengan perjuangan walau bersendirian di Pulau tersebut. Inilah buah tarbiah yang kita harapkan. Moga menjadi pengajaran pada syabab yang lain bila terjun ke tengah-tengah masyarakat.

Baru sampai di jeti Karakit, Pulau Banggi.



Cikgu Zahari, Guru SK Karakit berbincang dengan syabab...

Perairan Karakit yang indah

Terlebih ukhuwwah...

Tengah punggah barang...

Barang-barang sumbangan dermawan untuk diagih-agihkan pada fakir miskin di Banggi.

Nikmatnya sup kambing....good cholestrol...

Muka-muka kelaparan....

Kantin SK Karakit...

Tinggal tulang....untuk jin...

Hukuman ke atas orang yang makan banyak...

Rest House tempat kami tinggal malam pertama dan ketiga..


Masjid Banggi

Pemandangan Masjid Banggi dan pekan Karakit dari jeti.


Pusat penyelidikan rumpai laut negara/UMS di tengah laut Banggi...malam kedua kami bermalam di sini...mancing
Pemancing separa pro....


Tengah berfikirnak memancing kat mana...
sebahagian ahli jaulah

belakang tu pulau Banggi...jauh juga kalau nak berenang...


Camera man...akh Mahir, peladang man dari Pusa, Sri Aman...akh Azwathir asal Perlis..

Dah nak balik ke Pulau Banggi...sayang nak tinggalkan tempat ni...air jernih, banyak kebesaran Ilahi nampak dari sini

selamat tinggal...pusat rumpai laut..

Muka-muka yang sunburn...

cikgu Zahari menyampaikan barang yg diamanahkan kepada kami oleh penderma kepada seorang penerima di Kg. Karakit.


alahai...banyak lagi ni nak kena edar...takpe...jihad! dakwah itu melahirkan rasa kemanusiaan dan peka dengan keperluan ummah. Pulau Banggi adalah antara kawasan termiskin di Sabah.

kelaparan...selepas selesai agih2kan barangan kepada fakir miskin...bilik di Banggi Rest House



Bot Bomba dan Penyelamat bagi tragedi bot karam...semoga Allah merahmati ruh yang terkorban.
Nak balik ke Kudat dengan menaiki feri di belakang kami...

Read more »