Wednesday, September 7, 2011

JALAN HIDUP KITA



Dalam perjalanan ke tempat mesyuarat untuk membincangkan program dakwah, seorang ahli mesyuarat hantar sms: Salam. Kami sekeluarga br sampai d KK dr KL. msih dlm teksi. Asif, Mgkn sampai lambat ke meeting. Jzkk. Aku membalas balik sms tersebut dengan ringkas: takpe asal dtg...

Mungkin pelik bagi orang kebanyakan kehidupan orang seperti itu yang sanggup bekejar ke sana ke sini untuk urusan yang langsung tak mendatangkan income bahkan selalunya program begitu sering memerlukan pengorbanan yang keluar dari kocek sendiri. Apalah yang hebat sangat pada kehidupan seperti itu hingga tak sempat hendak berehat. Apa yang mendorong mereka sanggup korbankan masa rehat dan duit mereka?.


Memang sukar untuk memberi jawapan yang memuaskan khususnya kalau sipenanya itu kurang mengkaji, mendalami dan menghayati sejarah kehidupan Para Rasul, Rasulullah dan sahabatnya. Mereka manusia yang paling memahami tujuan hidup dan bagaimana untuk hidup. Mereka juga sangat tahu kesudahan hidup dan nasib kehidupan. Lantaran itu mereka manusia yang paling produktiviti dan miliki inovasi yang tinggi. Bukan hanya untuk kepentingan diri bahkan kepentingan bumi dan manusia sejagat. Mereka membawa sesuatu yang amat diperlukan oleh manusia dan itu sahaja caranya manusia akan selamat. Mereka merasakan itulah tujuan utama mereka Allah cipta sebagai manusia, dikandung dan dilahirkan sebagai manusia, diberi prasarana dan kelengkapan hidup sebagai manusia. Lain dari itu mereka rasa tak ada bezanya diri mereka dengan haiwan berkaki dua, empat atau melata di atas bumi yang sama-sama berkongsi planet dengan manusia.

Memang pelik orang-orang begitu, busy memanjang sedangkani mereka cuma pekerja biasa. Tdak memilik gelar dan syarikat besar-besar? Tapi sibuk mengalahkan YB dan CEO syarikat gergasi. Bahkan hujung minggu mereka jarang ada masa untuk shopping dan picnic. Suami isteri sibuk memanjang dengan program itu dan ini yang matlamatnya untuk ‘mengubah dunia’. Mengubah dunia…itu istilah yang digunakan oleh seorang isteri bila ditanya ke mana pergi suaminya? Jawabnya: gi program nak ubah dunia…mula berpusing juga kepalaku nak faham, sepontan dia mengatakan..ada usrah. Itu Cuma program mengubah dunia yang sangat kecil…pun sudah ramai yang terasa sibuk.

Cuma ingin aku peringatkan pada diri sendiri, sahabat-sahabat, adik-adik dan anak-anakku. Sebenarnya kita belum buat apa-apapun untuk ‘jalan hidup pilihan kita’ ini. Kita masih lagi jauh selesa berbanding pejuang-pejuang silam. Kita naik kereta berhawa dingin, meeting dan berusrah di bilik berhawa dingin, lepas program dijamu dengan makanan yang energynya tak habispun digunakan untuk keperluan dakwah dan bakinya tersimpan di perut dan peha kita. Pengorbanan wang? Memang ada tapi masih banyak lagi bakinya untuk membayar ansuran kereta dan rumah kita.

Generasi awal Islam korbankan segalanya. Untuk Islam mereka sanggup disiksa dan dibunuh. Abu Bakar nafkahkan seluruh harta dan sahabat-sahabat yang lain membelanjakan separuh harta. Kita masih lagi berjuang tak jauh dari kampung halaman, masih sempat mengutip buah durian dan menanam tanaman untuk anak-cucu akan datang. Pejuang dulu mati di perantauan dan kubur mereka juga tak mampu diziarahi oleh sanak saudara. Lantaran itu kita tak akan temui kubur Abu Ayyub al-Ansari, Muaz bin Jabal, Amru bin al-As dan ramai sahabat-sahabat yang lain di Madinah mahupun Mekah.

Kita masih jauh berbanding mereka. Lantaran itu kita sebenarnya belum berbuat apa-apa untuk ‘jalan pilihan hidup kita’. Kalau adapun sumbangan kita sangat kecil. Cuma untuk menyejukkan hati yang kadangkala futur, kita mungkin baik sikit dari sesetengah saudara seagama yang hanya mengira minitnya untuk menghasilkan keuntungan diri. Bahkan kita jauh lebih baik dari mereka yang menghabiskan hidupnya untuk meratah hidangan nafsu dan menjadi ulat merosakkan agama sendiri. Mungkin kita baik sikit…

Berbanding generasi awal seumpama Bilal, Ammar, Mus’ab, Abu Bakar dan lain-lain sahabat. Kita masih jauh ketinggalan bahkan kalau diletak dalam senarai bersama mereka, kita tak layak diletakkan walau dalam rangking terakhir. Bahkan kita juga mungkin masih jauh ketinggalan dari missionarry di pedalaman Sabah dan Sarawak yang sanggup meninggalkan negara mereka untuk mendakyahkan agama mereka. Bahkan mereka sanggup hidup susah bersama masyarakat di pedalaman demi memastikan agama mereka menerima sambutan. Bahkan mereka berbelanja besar membuat pelbagai projek kemasyarakatan dan mengumpul dana untuk membina rumah ibadah. Keyakinan mereka sangat tinggi untuk ‘jalan pilihan hidup mereka’ berbanding kita dengan ‘jalan pilihan hidup kita’. Walau kita sering mengungkapkan hanya agama kita yang benar tapi tidak ramai yang membuktikan kebenaran kata-kata melalui amalan dan perngorbanan. Bahkan ramai pendakwah di kalangan kita tidak balik dengan tangan kosong setelah penat ‘berdakwah’…pasti ada sampul surat berisi RM atau sekurang-kurangnya borang claim yang boleh diisi.

Namun andai kita masih merasa penat…tanyalah diri sendiri: Bukankah anda yang memilih jalan ini? Anda tidak pernah dipaksa memilihnya. Anda punya hak untuk memilih jalan lain yang mungkin lebih memudahkan anda masuk syurga dengan ongkos yang lebih murah dan masa yang singkat….Cuma kita perlu berhati-hati dengan firman Allah:

و إن تتولوا يستبدل قوما غيركم ثم لا يكونوا أمثالكم

" dan jika kamu berpaling ia (Allah) akan menggantikan kamu Dengan kaum Yang lain; setelah itu mereka tidak akan berkeadaan seperti kamu". (Surah Muhammad).

Sebahagian para Daie berkata: Aku merasa gembira dan takut bila melihat ramai orang baru menyertai dakwah. Aku gembira kerana dakwah ini dapat sambutan. Aku takut kalau-kalau Allah datangkan mereka untuk mengantikan daku atas kesalahanku mengabaikan hak perjuangan ini.

" Ya ALLAH, jadikan kami orang yang thabat atas jalan ini sehingga ke hari kami bertemu denganmu. Ampunkanlah kelemahan dan kekurangan kami dalam menunaikan hak kepadaMu."

Read more »

Tuesday, September 6, 2011

CEMAS !!!!


Bagaimana sikap anda andainya rumah anda terbakar? Nauzubillah minzalik. Dalam tu ada isteri atau suami dan anak-anak anda. Api tengah marak menyala. Sempatkah lagi anda duduk berfikir dan merancang pelbagai pilihan untuk menyelamatkan keadaan? Call Bomba, minta tolong orang kampung atau mencari paip air dan meminjam baldi di rumah jiran?. Atau anda terus meluru menyelamatkan apa-apa yang mampu dicapai oleh tangan anda satu persatu ahli keluarga? Cemas…orang yang cemas tak akan banyak berfikir apatah lagi membuang masa kerana setiap saat akan menentukan nyawa ahli keluarganya. Bahkan ia tak sempatpun nak berfikir untuk menyelamatkan harta benda yang ada dalam rumah tersebut.


Tapi sayangnya masih ramai di kalangan mereka yang meletakkan dirinya di barisan para daie atau setelah ditarbiah bertahun-tahun tidak merasa cemas apabila melihat keadaan ummah dan nasib agamanya. Bahkan ramai yang masih mencari-cari titik permulaan untuk memulakan langkah walaupun sudah khatam al-Muntalaq atau menjadi pemerhati sedangkan umurnya sudah layak memasuki alam mati. Lebih menghairankan ada yang kerjanya duduk di pinggiran jalan dakwah yang kerjanya cuma mengira kerja orang lain dan mengaudit amal mereka lalu mempersoalkan itu dan ini. Seolah-olah ia dilantik mengantikan raqib dan Atid untuk menentukan pahala dan dosa manusia. Orang begini memang pelik dan apabila ditanya tentang apa yang ia telah buat, ia sendiri tak mampu menceritakan apa-apa. Benar kata orang, mengira kesilapan orang memang senang berbanding melihat kelemahan diri sendiri.
Selagi seorang daie tidak merasa cemas terhadap suasana umat yang ada dan masih banyak masa untuk mengira-gira, berfikir dan berehat-rehat selagi itu dakwah ini akan bergerak macam siput babi sedangkan seterunya laju bagaikan peluru. Memang tidak senang meletakkan tugas membawa risalah ini menjadi profesion utama dalam hidup kerana ia tidak menjanjikan sebarang pulangan dan gelar. Kerja-kerja lain mampu meletakkan kita memperolehi Mercedes, Profesor, Datuk, Tan Sri, naik haji dan umrah setiap tahun dan melancong ke luar negara. Dakwah dan risalah ini cuma menjanjikan pengorbanan tanpa sebarang janji pulangan keduniaan. Kalaupun ada syurga yang tak mampu dicapai oleh pancaindera. Untuk mentabrirkan kelemahan tersebut maka lahirlah fiqh dakwah baru bahawa semua itu juga adalah dakwah dan untuk kepentingan dakwah. Mungkin benar teori baru itu tapi setiap teori akan dilihat kebenarannya setelah praktikalnya menghasilkan natijah yang tepat. Kalau akhirnya semua itu dipulangkan semula untuk perjuangan dan risalahnya, benarlah teori tersebut. Andai sebaliknya…pasti Allah akan persoalkan teori tersebut di hadapannya kelak.
Cemas…sifat itu yang telah melajukan para daie awal dalam dakwahnya. Ia cemas dan risau kalau usia yang ada tak mampu digunakan sebaik mungkin untuk melaksanakan amanah fikrah dan tarbiahnya. Masalahnya, ramaikah yang merasakan fikrah dan tarbiah yang ia perolehi itu satu amanah? Sebab ada kalangan sahabat yang menyebut: "syukur akhi kita ni ditarbiah, sebab tu kita lain dari orang lain. Kita ada skill dan ketrampilan sebab tu kita mudah dapat tempat dalam pekerjaan. Kita laku dan orang mudah angkat kita". Sedih sekali kalau tarbiah hanya untuk itu dan manfaatnya cuma kembali pada kita bukan pada ummah. Pada perut kita dan bukan perut umah..
Cemas…kerana usia makin tua dan ummah masih atau juga makin parah. Penyakit yang menimpa mereka makin banyak. Kalau kita tak dihinggapi penyakit tersebut tapi pastikah anak-anak kita akan selamat? Kalau anak-anak kita selamat bagaimana dengan cucu cicit dan keturunan kita? Lagi pelik kalau penyakit itu sudah menjalar masuk ke dalam rumah kita dan menyerang anak-anak kita tapi kita masih lagi mengharapkan bomba dakwah untuk menyelamatkan anak-anak kita. Si bapa dan si ibu tidak merasa cemas dan masih banyak masa untuk mengira-gira apa lagi yang akan ditambah untuk esok hari.
Daie yang cemas tak akan menjadikan apapun urusan sebagai alasan untuk meninggalkan tanggungjawab sebenarnya membawa risalah yang ia sendiri fahami dan yakini. Daie yang cemas akan menggunakan seluruh pemikiran, tenaga dan apapun yang ia miliki untuk merancang dan menjayakan dakwahnya dalam apa bentuk sekalipun.
Sebenarnya, hari ini aku merasa cemas apabila melihat ramai sahabat-sahabatku sudah tidak cemas melihat keadaan umat yang ada dan masih banyak ruang mencari alasan untuk berehat. Paling aku cemas kalau aku juga sudah tidak merasa cemas dan akhirnya join kelab orang-orang pencen awal tersebut…..Cemas.

Read more »