Thursday, May 27, 2010

Pindah..

Setelah 2 hari bertungkus lumus, hasrat untuk berpindah pejabat menjadi kenyataan. Dulu mengimpikan untuk berpidah tempat kerja, tapi ada pula halangannya. Mungkin belum rezeki. Akhirnya aku buat keputusan pindah pejabat dari tingkat 1 ke tingkat 3. Ramai kawan-kawan bertanya: “Kenapa pindah?” Jawapanku ringkas: “Bosan”. Tapi hakikatnya berpindah amat memenatkan. Mana lagi terpaksa memungguh kitab-kitabku yang sebahagian besarnya ku tempatkan di pejabat. Tapi bila dah bosan, aku sanggup lakukan.


Melakukan perkara yang sama menimbulkan kebosanan. Bila sudah bosan, cantik pun nampak hodoh, lazat bertukar pahit dan luas menjadi sempit. Itulah kelemahan manusia. Mungkin itu juga keistimewaan mereka. Pernah seorang sahabat bernama Hanzalah al-Usaiyyidi datang bertemu Rasulullah SAW dan mengadu tentang keadaan dirinya: Wahai Rasulullah, Hanzalah telah menjadi munafiq. Rasulullah bertanya: Kenapa yang demikian itu?. Hanzalah menjawab: Ketika kami berada di sisimu kau ingatkan kami tentang neraka dan syurga hingga selah-olah kami melihat keduanya berada di hadapan mata kami. Bila kami kembali kerumah, kami dilalaikan oleh anak-anak, isteri dan kebun-kebun kami. Lalu kami melupakan kebanyakkan apa yang kau sebutkan. Rasulullah SAW menjawab: Demi diriku yang ada di tangannya, kalau kamu mampu berterusan dalam keadaan kamu (ketika di sisiku), nescaya para Malaikat akan berjabat tangan dengan kamu di atas tempat tidur dan laluan-laluan kamu, tetapi hanzalah (selagi mana ia manusia) ada masa rehat ada masa ibadah (disebut baginda tiga kali). (HR Muslim: No. 4937)



Manusia perlukan kelainan. Perlukan hiburan. Perlu tukar angin. Selagi dibenarkan oleh syara’. Andai dibiar berterusan, hati manusia akan lesu dan kepenatan. Bosan menyebabkan ia hilang kualiti diri dan kerja.

Amal dakwah juga kalau melakukan perkara yang sama tanpa ada inovasi baru akan menjemukan. Lantaran itu sesekali aku adakan perbincangan ilmiah dengan anak-anak buahku di restoran yang agak sunyi. Sambil berbincang menjamu minda, mulut dapat berperanan menjamu selera. Itu lah manusia. Hanya Malaikat yang mampu bertahan melakukan sesuatu tanpa rasa bosan.

Mungkin kerana itu kerajaan berikan kita 2 hari seminggu untuk bercuti. Bagi pensyarah setiap 5 tahun sekali mereka boleh mohon cuti sabatikal untuk melakukan penyelidikan dan sebagainya.

Pendek kata setiap manusia tak sama. Ada yang mampu bertahan lama dengan perkara yang sama, ada yang tidak. Aku dalam kategori ke dua.

Ada orang pernah bertanya kepadaku: Saya dah solat semenjak kecil dan 5 kali sehari, kadang terfikir rasa bosan, apa hukumnya? Kataku: Bosan tak bosan, solat tetap wajib dilaksanakan. Bahkan melaksanakannya dalam apa keadaan, tanda cinta kita kepada Allah. Itu tanda kita mendahulukannya melebihi segala-galanya termasuk emosi dan kepentingan diri.

Ada pula yang berkata: “Saya dah kahwin 30 tahun. Isteri yang sama. Masakan yang sama. Hidup yang sama setiap hari. Kadang timbul rasa bosan”. Kataku: Walaupun bosan, tapi kita masih sempurna melaksanakan tanggungjawab dan memberikan hak yang sepatutnya pada isteri. Itulah kemuncak cinta kepadanya.

Tapi kalau bosan pulak selepas ini…aku nak pindah ke mana? ermmm…selagi tak masuk bilik ukuran 7 x 7 x 3…selagi tu penyakit bosan pasti datang. He he


Read more »

Tuesday, May 11, 2010

SALAM...



Selamat bercuti kepada semua pelajar UMS. Selamat memulakan kehidupan baru bagi siswa siswi yang menamatkan pengajian mereka semester ini. Bagi yang mengenali saya dan pernah belajar dengan saya, ampun maaf dipohon andainya ada salah dan silap sepanjang bersama.

Apapun, kalian sebenarnya baru bermula. Mantap atau tidaknya persediaan kalian selama berada di UMS akan diuji di luar sana. Itulah medan sebenar. Kalian akan berhadapan dengan alam kerjaya, rumahtangga, masyarakat, harta, agama dan pelbagai cabaran yang tak terduga. Bagi mereka yang benar-benar memiliki modal yang cukup, cekal dan rapat hubungannya dengan yang Maha Pencipta pasti mampu melepasi rintangan.

Bagi anak-anak halaqah yang menghabiskan perjalanan tarbiahnya bersamaku di sini…kalian lebih berharga di hatiku dari dunia dan isinya. Kalianlah ‘impian Hassan al-Banna: Impian semalam adalah kenyataan hari ini”. Teruskan tarbiah anda bersama orang-orang yang lebih hebat, tapi ingat…selagi mana kalian duduk berpangku di hadapan murabbi dan tidak keluar mentarbiah…kalian belum bisa digelar pendakwah. ‘Tidak mungkin seseorang itu digelar pendakwah selagi ia bukan murabbi’. Kalian graduan UMS…lain dari yang lain

Jalan telah siap dipetakan, suluh juga telah dinyalakan. Teruskan perjalanan ‘ala barakatillah. Basahi masa, tenaga, harta dan nyawa anda dengan peluh dakwah. Di manapun anda berada, jadikanlah ia medan untuk dakwahmu dan cemerlangkanlah dirimu di sana. Hati-hati dengan bahaya manja, malas, futur, banyak alasan dan keliru. Bantulah negara ini mencapai kemerdekaan imannya yang sebenar.


Read more »

Monday, May 3, 2010

BUSY...

“Maaf minggu tak dapat datang program, bertembung dengan program jabatan, syarikat, PTK, induksi....bla bla bla... InsyaAlah kalau tak ada apa-apa program minggu depan, saya pasti datang” Kata Mutarabbi dengan lembut. Baginya itulah alasan kukuh yang mampu mengatasi rasa bersalah kerana tak datang program. Alasan yang biasa diutarakan oleh ramai Mutarabbi apabila sudah bekerjaya.

Kalau hanya sekali sekala alasan tersebut diguna pakai, logik la juga. Tapi kalau sudah berbulan-bulan alasan yang sama digunakan untuk menjadi sebab keuzuran dari menghadirkan diri ke program dakwah dan tarbiah itu bererti anda bermasalah. Anda sudah memasuki laluan bahaya. Anda mungkin calon-calon yang bakal futur dan gugur. Mungkin juga anda telah gugur di awal perjuangan. Walau anda tidak mengakuinya, sebenarnya itulah pilihan anda. Segala janji dengan Allah SWT pasti menunggu persoalan dan jawapan.

Perjuangan ini hanya utuk orang yang meletakkannya di hadapan dan menjadi keutamaan, bahkan di situlah hidup dan matinya. Itulah jalan syurganya. Itulah laluan orang-orang terdahulu di kalangan para Rasul dan sahabat-sahabat mereka.

Perjuangan ini hanya untuk mereka yang bersemangat tinggi dan memiliki kesungguhan.

Adapun mereka yang menjadikan perjuangan ini sekadar pengisi masa lapang, urusan terakhir dan tidak dimasukkan ke dalam diari mingguan, bulanan dan tahunan…orang begini tidak akan mampu dimanfaatkan oleh perjuangan. Perjuangan ini bukan untuk orang manja dan menunggu disuap baru membuka mulut. Peringkat awal mungkin...

Lagi sedih apabila mendengar jawapan sesetengah orang yang sudah ditarbiah tentang fiqh al-Dakwah, teori tarbiah, amal Jamaie, manhaj al-Taqyiir…..bertahun-tahun lamanya...apabila dipersoalkan isu di atas, dengan selamba ia menjawab: Kerja aku ini pun ibadah juga!...benar tapi apa bezanya anda dari orang lain yang tidak pernah ditarbiah dengan yang namanya perjuangan?

"Katakanlah (wahai Muhammad): Jika bapa-bapa kamu, anak-anak kamu,saudara-saudara kamu, isteri-isteri (atau suami-suami) kamu, kaum keluarga kamu, harta benda yang kamu usahakan, perniagaan yang kamu bimbang akan merosot, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, - (jika semuanya itu) menjadi perkara-perkara yang kamu cintai lebih daripada Allah dan Rasul- Nya dan (daripada) berjihad untuk agama-Nya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusan-Nya (azab seksa-Nya); kerana Allah tidak akan memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik (derhaka)". (At-Taubah: 24)

Kata Imam Hassan al-Banna( Dakwatuna): "Dakwah ini tidak menerima kompromi kerana dakwah ini adalah satu. Orang yang menerima dakwah ini akan hidup bersama dakwah dan dakwah ini akan hidup bersamanya. Orang yang tidak bersedia menanggung tanggungjawab ini akan kehilangan ganjaran para mujahid dan berada sebaris di barisan orang-orang yang tercicir bersama orang yang berpeluk tubuh. Justeru Allah akan menggantikan mereka dengan orang lain yang akan mendukung dakwah ini. Firman Allah SWT bermaksud: “Wahai orang-orang Yang beriman! sesiapa di antara kamu berpaling tadah dari ugamanya (jadi murtad), maka Allah akan mendatangkan suatu kaum Yang ia kasihkan mereka dan mereka juga kasihkan dia; mereka pula bersifat lemah-lembut terhadap orang-orang Yang beriman dan berlaku tegas gagah terhadap orang-orang kafir, mereka berjuang Dengan bersungguh-sungguh pada jalan Allah, dan mereka tidak takut kepada celaan orang Yang mencela. Yang demikian itu adalah limpah kurnia Allah Yang diberikanNya kepada sesiapa Yang dikehendakiNya; kerana Allah Maha Luas limpah kurniaNya, lagi meliputi pengetahuanNya”. (Al-Maidah: 54)

Read more »