Saturday, March 27, 2010

SIKAP...

Baru-baru ini sempat memenuhi jemputan ceramah sempena satu program motivasi untuk pelajar Universiti yang pencapaian mereka kurang memberangsangkan. CGPA mereka berada di paras bahaya dan kemungkinan andai tiada peningkatan mereka akan disingkirkan dari pengajian.


Pihak penganjur mengatakan hampir seribu pelajar yang sepatutnya terlibat dan kehadiran adalah diwajibkan. Sayangnya program yang diadakan oleh pihak penganjur kurang mendapat sambutan. Tak sampai 200 orang pun yang hadir, bahkan pada sesi ceramahku, tak sampaipun 100 pelajar yang datang.

Ini membenarkan teori Islam bahawa punca kegagalan bukannya datang dari faktor luaran, bahkan ia berpunca dari faktor dalaman. Faktor akhlak, peribadi dan sikap manusia sendiri yang menjadikan mereka gagal dalam hidup.

Yang menyedihkan penyakit dalaman ini menimpa golongan elite warganegara Malaysia iaitu golongan mahasiswa. Dalam usia yang sepatutnya mereka sudah matang berfikir, membuat persiapan rapi sebelum terjun ke medan dan menjadi tonggak membangun negara…mereka habiskan masa dengan kerja-kerja yang tidak menjana kejayaan. Mereka sakit. Sakit dalaman yang amat parah. Mereka tidak ada halatuju yang jelas. Usia muda dihabiskan pada kerja-kerja yang bukan prioriti. Sepatutnya inilah usia mencari kecemerlangan. Andainya generasi elite ini sudah tidak tahu halatuju, bagaimana dengan orang-orang yang berada dibelakang mereka? Yang bakal mereka pimpin?.

Dalam proses mengembalikan semula kegemilangan tamadun Islam, kita perlukan belia yang benar-benar mantap dalam semua aspek peribadinya. Faham risalah yang ia perlu bawa dalam hidup. Memahami nilai dirinya dan peranannya dalam kehidupan yang Cuma sekali sahaja. Pemuda Islam yang berkualiti yang lahir dari tarbiah yang mantap…tapi sayang majoriti yang bermasalah pelajaran itu juga orang Islam…

Malang sekali nasib umat ini, bila belia yang diharap menjadi kebanggaan agama dan negara tak mampu dibanggakan walau oleh dirinya sendiri. Itu yang berada di menara gading, apatah lagi yang telah sedia mati jiwanya di pusat-pusat pemulihan dan penjara. Aku dengar, orang kita juga yang ramai di sana.

Bagi yang memiliki kesedaran, ini lah kerja sebenar mereka. Menyedarkan belia ini tanggungjawab sebenar dan mengembalikan kelakian mereka berfungsi semula untuk menjana ketamadunan. Ini memerlukan tarbiah dan murabbi. Yang sanggup berinteraksi dengan permasalahan belia dan cabaran yang mereka hadapi. Satu kerja yang payah dan lambat. Tapi pastinya ini sahaja jalannya. Mengharap pendidikan rasmi? Terbukti mereka cuma mampu memberi ilmu tapi bukan nilai ilmu.

Kerja tarbiah ialah mengubah dalaman dan sikap mereka. Perubahan ini asas kepada segala bentuk perubahan yang lain. Firman Allah SWT bermaksud:
(Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum sehingga mereka mengubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri) (Surah Ar-Ra’d : 11)

Read more »

Tuesday, March 2, 2010

IKATAN MUSLIMIN MALAYSIA DI SABAH


Bermula pada tarikh 28 Febuari 2010, JK Penaja Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) cawangan Sabah telah ditubuhkan secara rasmi.Pelancarannya telah dilakukan oleh Ustaz Abdul Halim Abdullah, Naib Presiden I ISMA . Mudah-mudahan kehadiran ISMA di negeri Sabah mampu merancakkan dakwah Islamiyyah yang telah diasaskan oleh pejuang-pejuang Islam terdahulu di negeri ini seperti Allahyarham Tun Mustafa dan pendakwah-pendakwah USIA dan MUIS.

Kehadiran ISMA sebagai pertubuhan berdaftar bukan bermaksud untuk bersaing tetapi bagi merancakkan lagi dakwah di negeri ini bersama rakan-rakan NGO dan gerakan Islam lain yang telah sedia ada bahkan lebih berpengalaman. Semoga Allah SWT merahmati pejuang-pejuang terdahulu dan memberi kekuatan kepada kita untuk mengikuti jejak mereka hingga akhirnya Islam yang menjadi agama rasmi negeri Sabah benar-benar mantap. Allahumma Ameen.

Blog ISMA pusat: http://www.ismaweb.net


Read more »