Monday, June 29, 2009

SEPI ITU INDAH



PPIB,Jun 29,2009 5.30 pm

Melihat sebuah pelabuhan di waktu senja yang hening. Setelah semua kapal berlabuh memunggah barang dan pergi. Pekerja juga pulang ke rumah masing-masing. Tinggal pelabuhan itu sendirian dan sepi…

Begitulah kadangkala yang dirasa dalam hidup. Tatkala manusia datang dan pergi …hati jadi sepi. Diriku juga umpama pelabuhan. Tempat orang singgah mencari bekalan dan sedikit keuntungan. Kadang bernaung sebentar dari terik kehidupan. menumpang kasih sementara menunggu yang sejati. Atau mencari sedikit mutiara kata untuk menjadi kompas pelayaran. Bila sudah cukup yang dihajati, mereka pergi...


Sebenarnya itu kerja mulia, memberi manusia sedikit nafas untuk hidup, sedikit harapan untuk meneruskan perjalanan. Sedang nabi juga pernah bersabda: Sebaik-baik manusia ialah yang bermanfaat pada manusia yang lain.

Bagiku, siapapun yang singgah dan berlabuh, sebagai tetamu yang datang ia berhak memperolehi keistimewaan, penghormatan dan keprihatinan. Aku sanggup berkongsi sebahagian dari kebahagiaan yang Allah kurniakan padaku. Hingga kalau boleh, tetamu yang datang puas hati dan aku tidak merasa terhutang apa-apa seteah mereka pergi.

Ketika bonda tercinta pergi, aku amat sedih sekali. Titisan airmata cinta menjadi saksi. Namun aku amat puas hati. Dengan segala anugerah ilahi aku cuba membahagiaka sampai akhir nafasnya. Waktu itu aku terasa…sepi itu indah.

Setiap hujung pengajian, akan ada anak-anak didik yang pergi, menamatkan pengajian setelah bertahun-tahun bersama mengkaji kitab perjuangan. Hati aku juga tersentuh dan menanggis. Namun aku juga puas hati, sebab aku sudah bekalkan apa yang termampu dari khazanah ilmu & pengalaman. Aku tidak berhutang apa-apa pada mereka…waktu itu, aku terasa sepi itu sangat indah.

Pernah juga yang datang untuk singgah dan menumpang kasih dan sayang. Sebagai adik dan anak. Aku juga berikan hak mereka berupa kasih sayang dan keperluan hidup sekadar termampu. Hingga ada anak-anakku cemburu kerana kadangkala seakan-akan melebihkan mereka. Aku berkata: Abi dulupun belasan tahun menumpang kasih orang di perantauan. Bila mereka pergi dan menamatkan pengajian…pelabuhan itu di tinggalkan. Ada yang teringat dan bertanya khabar, tapi ramai juga yang menyepi…akhirnya pelabuhan itu sepi…tapi kala itu sepi itu indah.

Cuma, kalau aku jadi pengunjung di pelabuhan lain, aku pastikan sebelum berangkat pulang, aku tidak meninggalkan hutang yang tidak berbayar atau janji yang tidak tertunai. Di pelabuhanku…sering kali ku temui penziarah yang sebegitu. Apapun ku maafkan semua itu. Cuma sebagai guru, ku muhasabah mereka sebelum pergi. Agar mereka tidak mengulang dua kali di pelabuhan yang lain. Hingga akhirnya mereka di halau umpama anjing kurap yang tidak bermaruah. Aku mudah memberi maaf. Aku Cuma pelabuhan hati…bukan pedagang yang berkira untung dan rugai. Bagi ku hidup ini mulianya pada memberi, walau sampai ke penghujung tidak menerima apa-apa. Akhirnya aku merasai sepi itu sangat indah.

Sedihnya, dalam sepi itu aku mendengar khabar, beberapa kapal yang dahulunya pernah berabuh di pengkalan hatiku dipukul ombak besar hingga mereka tersasar dari kompas yang pernah aku bekalkan. Akhirnya hingga kini aku mendengar khabar, mereka masih sesat di lautan luas. Hilang punca hilang matlamat. Sudah tidak mampu membezakan antara angin ibadah dari angin maksiat. Dulunya aku tawarkan terus agar ia berhenti belayar dan tinggal sahaja di rumah kongsi. Berkongsi segala senang dan susah, suka dan duka, di darat ini lebih senang mencari arah dan perjuangannya juga terarah...tapi ia enggan. Kini, setelah ku bekal segala kompas dan peta penunjuk arah. Rasanya aku tidak perlu merasa bersalah. Itu memang sudah pilihan hidupnya...cuma harapku suatu hari nanti, ia temui jalan kembali, kalau tidak ke pelabuhan ku ini, biarlah ke pelabuhan lain yang akhirnya mampu ia habisi baki usia di sana dengan kebahagiaan. Biarlah akhirnya aku bersendirian dan sepi...sepi itu indah.

Ketika kesepian…sepi di sepertiga malam paling menenangkan. Menanggis sepuas-puasnya di hadapan pencipta. Pasrah dengan ketentuan. Menerima takdir yang datang dan pergi. Sepi di malam hari kemuncak ketenangan.

Ya Allah, di saatku kembali kepadamu, ku harap kau sudi menerimaku dengan redhamu. Ku berharap kau sudi jadikan aku teman orang-orang soleh di akhirat nanti. Walau aku tahu, aku tak layak…
Sepi itu indah….



Sebuah Pertemuan

Album : See You D IPT
Munsyid : Unic
http://liriknasyid.com

Ketika diri mencari sinar
Secebis cahaya menerangi laluan
Ada kalanya langkahku tersasar
Tersungkur di lembah kegelapan

Bagaikan terdengar bisikan rindu
Mengalun kalimah menyapa keinsafan
Kehadiranmu menyentuh kalbu
Menyalakan obor pengharapan

Tika ku kealpaan
Kau bisikkan bicara keinsafan
Kau beri kekuatan, tika aku
Diuji dengan dugaan?
Saat ku kehilangan keyakinan
Kau nyalakan harapan
Saat ku meragukan keampunan Tuhan
Kau katakan rahmat-Nya mengatasi segala

Menitis airmataku keharuan
Kepada sebuah pertemuan
Kehadiranmu mendamaikan
Hati yang dahulu keresahan

Cinta yang semakin kesamaran
Kau gilap cahaya kebahagiaan
Tulus keikhlasan menjadi ikatan
Dengan restu kasih-Mu, oh Tuhan

Titisan air mata menyubur cinta
Dan rindu pun berbunga
Mekar tidak pernah layu
Damainya hati
Yang dulu resah keliru
Cintaku takkan pudar diuji dugaan
Mengharum dalam harapan
Moga kan kesampaian kepada Tuhan
Lantaran diri hamba kerdil dan hina

Syukur sungguh di hati ini
Dikurniakan teman sejati
Menunjuk jalan dekati-Nya
Tika diri dalam kebuntuan

Betapa aku menghargai
Kejujuran yang kau beri
Mengajarku mengenal erti
Cinta hakiki yang abadi

Tiada yang menjadi impian
Selain rahmat kasih-Mu Tuhan
Yang terbias pada ketulusan
Sekeping hati seorang insan
Bernama teman


Read more »

Sunday, June 28, 2009

TERUSKAN PERJALANAN



PPIB,11.30am,29Jun2009

Menjadi lumrah perjuangan, akan ada orang yang gugur dalam perjalanan. Mungkin kerana kurang sabar dengan tekanan, kurang tahan dengan kepayahah dan hilang semangat setelah jauhnya laluan. Perjuangan akan menapis manusia dan hanya yang kuat sahaja akan sampai ke penghujung jalan.


Begitulah yang berlaku kepada tentera Talut. Dalam perjuangan mereka menentang tentera Jalut, mereka diuji dengan sebatang sungai. Majoriti gagal dalam ujian tersebut. Begini kisahnya:

فَلَمَّا فَصَلَ طَالُوتُ بِالْجُنُودِ قَالَ إِنَّ اللَّهَ مُبْتَلِيكُمْ بِنَهَرٍ فَمَنْ شَرِبَ مِنْهُ فَلَيْسَ مِنِّي وَمَنْ لَمْ يَطْعَمْهُ فَإِنَّهُ مِنِّي إِلَّا مَنِ اغْتَرَفَ غُرْفَةً بِيَدِهِ فَشَرِبُوا مِنْهُ إِلَّا قَلِيلًا مِنْهُمْ فَلَمَّا جَاوَزَهُ هُوَ وَالَّذِينَ آَمَنُوا مَعَهُ قَالُوا لَا طَاقَةَ لَنَا الْيَوْمَ بِجَالُوتَ وَجُنُودِهِ قَالَ الَّذِينَ يَظُنُّونَ أَنَّهُمْ مُلَاقُو اللَّهِ كَمْ مِنْ فِئَةٍ قَلِيلَةٍ غَلَبَتْ فِئَةً كَثِيرَةً بِإِذْنِ اللَّهِ وَاللَّهُ مَعَ الصَّابِرِينَ (249) البقرة

(Maka tatkala Thalut keluar membawa tenteranya, ia berkata: "Sesungguhnya Allah akan menguji kamu dengan suatu sungai. Maka siapa di antara kamu meminum airnya; bukanlah ia pengikutku. Dan barangsiapa tiada meminumnya, kecuali menceduk seceduk tangan, maka dia adalah pengikutku." Kemudian mereka meminumnya kecuali beberapa orang di antara mereka. Maka tatkala Thalut dan orang-orang yang beriman bersama dia telah menyeberangi sungai itu, orang-orang yang telah minum berkata: "Tak ada kesanggupan kami pada hari ini untuk melawan Jalut dan tenteranya." Orang-orang yang meyakini bahwa mereka akan menemui Allah, berkata: "Berapa banyak terjadi golongan yang sedikit dapat mengalahkan golongan yang banyak dengan izin Allah. Dan Allah beserta orang-orang yang sabar.")

Sheikh Muhammad Mutawalli al-Sya’rawi ketika mentafsirkan ayat ini menyebut: Lihatlah, bagaimana ujian mampu membersihkan saf dalam jihad fi sabilillah? Sehinggakan bendera jihad ini tak akan diangkat kecuali oleh orang-orang benar-benar beriman dengannya dan tahu haknya. Kata al-Sya’rawi lagi: orang yang terlepas dari ujian sungai dan mampu meneruskan perjuangan juga terpecah kepada dua golongan apabila melihat tentera Jalut yang begitu ramai. Satu golongan ketakutan dan berkata: "Tak ada kesanggupan kami pada hari ini untuk melawan Jalut dan tenteranya." Satu golongan lagi tidak merasa gentar dan berkata: "Berapa banyak terjadi golongan yang sedikit dapat mengalahkan golongan yang banyak dengan izin Allah. Dan Allah beserta orang-orang yang sabar."

Golongan terakhir sangat istimewa, sedikitpun mereka tidak gentar dengan jumlah musuh dan kelengkapan mereka. Mereka yakin dengan janji Allah. Apapun akibatnya perjuangan di dahulukan.

Dalam proses tarbiah, mengisi mutarabbi dgn fikrah Islamiyyah dan memberi ia kefahaman akan peri pentingnya perjuangan tidak susah. Begitu banyak modul dan silibus yang boleh diguna dan dihabiskan....Yang sukarnya ialah membentuk mereka meyakini perjuangan ini dan sanggup mati kerananya. Meyakini bahawa jalan dakwah inilah satu-satunya jalan ke syurga. Jalan inilah yang dipilih oleh para Nabi dan Rasul. Rasulullah SAW dan para sahabatnya menghabiskan usia mereka di atas jalan ini.

Ramai yang menjadikan program tarbiah dan dakwah sebagai sampingan. Atau keutamaan di alam persekolahan dan universiti. Bila sudah bekerjaya dan berumahtangga, keyakinan itu hilang dan mereka menejadikan agenda lain sebagai landasan hidup. Ironinya, ada yang memberi pelbagai alasan, tabrir dan tafsiran baru untuk meninggalkan perjuangan. Bahkan sedikitpun tidak rasa berdosa meninggalkan amanah yang diserahkan oleh murabbinya ketika berhalaqah dan berusrah.

Namun itulah perjalanan dakwah, akhirnya ia menghimpunkan hanya mereka yang berkualiti dan memiliki keyakinan tinggi. Jumlah mereka tidak ramai. Sejarah telah membuktikan, di tangan mereka kebenaran ditegakkan. Ini kerana kemenangan Islam tidak bersandarkan kuantiti tapi kualiti.

Ini selalu ku jadikan motivasi diri, apabila melihat rakan seperjuangan atau anak didikku meninggalkan perjuangan ini kerana kepenatan atau meyakini jalan yang lain. Kataku pada diri: teruskan perjuangan kerana Allah sudah janjikan kebenaran pasti penyudahnya kemenangan. Kalau orang lain tidak perlukannya, engkau amat memerlukannya untuk meneruskan hidup. Aku sering berkata pada diri: selain dari kerja ini...apa lagi yang aku pandai?

Read more »

Friday, June 26, 2009

Golongan Gugur di Jalan Dakwah

Ustaz Halim INIJALANKU www.inijalanku.wordpress.com

Ucap Raya 3Pada tahun-tahun 1980an, mereka ke luar negara kerana ijazah (foto kecil), namun kembali membawa Risalah. Tidak ramai yang kekal berAmal Jamaiyy bersama organisasi-organisasi Islam hari ini. Setelah berusia, ramai lebih bersama keluarga dan karier.


Di tahun-tahun 1980an, ketika saya menuntut di Australia, gerakan Islam dikalangan pelajar Islam Malaysia di luar negara memuncak dengan dianggarkan 250 dari 2000 pelajar di Australia terlibat dalam usrah, 1500 dari 15,000 pelajar di Amerika dan seramai itu juga di United Kingdom. Angka ini saya pilih berdasar bilangan yang hadir dalam muktamar-muktamar tahunan yang diadakan di tiap satu negara, belum lagi mereka yang tak dapat hadir. Belum lagi peningkatan bilangan di tahun-tahun berikutnya. Belum lagi bilangan mahasiswa/i di universiti-universiti tempatan yang terlibat, walaupun pergerakan mereka agak dibatasi oleh akta dan kekangan-kekangan tempatan.

Hari ini, seperti saya, mereka berada diumur 40 dan 50an dan mempunyai anak-anak yang telah dan mula mengisi institusi-institusi pengajian tinggi pula. Mereka yang terus berada di dalam organisasi-organisasi Islam pada hari ini tidaklah seramai bilangan di atas, bahkan tidak mencapai suku darinya. Seperti makhluk lain, Dakwah Islam juga tunduk kepada Sunnah Alam yang efficiency amalnya sukar mencapai 1.0. 1.0 bermakna kita didik 100 orang dan 100 orang itu juga akan kekal dalam Jalan Dakwah tanpa gugur seorang pun. Kita isi petrol RM1.80 seliter untuk Tenaga Kinetik menggerakkan tayar, tetapi RM1.00 dihabiskan ke Tenaga Haba, RM0.30 ke Tenaga Bunyi dan RM0.50 sahaja ke Tenaga Kinetik (=0.50/1.80=28%). “The amount that you pay is not the amount that you get or expect”, kata pensyarah engineering saya dulu. Carnot Cycle (Thermodymanics) pun seingat saya hanya 0.6 maksimanya. Walaubagaimanapun, sebagai hamba, kita hanya dituntut beramal dan berusaha dalam Dakwah ini, manakala urusan Hidayah dan Istiqamahnya para Duat kita serahkan kepada Allah swt, Tuan punya Dakwah dan Hidayah. Di zaman Rasulullah saw juga ada yang gugur dalam rombongan Hijrah ke Habsyah dan selepas peristiwa Israk Mikraj.

AussieNamun begitu, Dakwah Islam adalah dakwah dikalangan manusia, diasaskan oleh para Rasul yang juga manusia, berpandukan Al-Kitab yang boleh ditelaah oleh manusia, berhadapan dengan kerenah dan serangan manusia. Maka Allah swt menjadikan Dakwah ini tunduk kepada Sunnah Alam yang meliputi peraturan berkaitan dengan tobiah/tabiat Merce 2(nature) manusia. Dakwah dimulai dengan “Iqrak” iaitu ilmu dan kefahaman tentang Dakwah, kemudian Al-Muzammil iaitu aqidah, ibadah dan akhlak, kemudian Markaz Arqam Abi Arqam iaitu ukhuwwah, kesatuan dan Amal Jamaiyy, kemudian Bai’ah Aqabah, Hijrah dan Hudaibiah iaitu politik, negara dan kedaulatan.

Dari penelitian, diantara sebab-sebab yang membawa kepada gugurnya para Pendakwah di jalan Allah di malaysia dari kalangan mahasiswa/i 1980an ialah :

1. Kurang ilmu dan kefahaman tentang Islam, risalah dan objektif Islam terhadap masyarakat dan umat di dunia dan peranan menyeluruh yang mesti dimainkan oleh mereka. Islam bukan sekadar ingin menjadikan mahasiswa/i kakitangan yang saleh di Malaysia, malah lebih dari itu, sehingga menyebarkan panji-panji Islam ke seluruh dunia. Ini banyak disebabkan oleh bacaan yang terhad dan murabbi yang kurang arif.
2. Lemah Tarbiyah, terutama jika ia hanya terhad kepada akhlak-akhlak Islam tanpa cuba memahami Seerah Rasulullah dan para Sahabat ra secara total dan menyeluruh, tidak terhad di Mekah dan Madinah, tetapi Dakwah dan tubuh mereka masuk ke benua-benua yang lain. Kesibukan menelaah pelajaran, menyiapkan kerja rumah/assignments, keterbatasan program dan rujukan disamping kelemahan murabbi menyumbang kepada lemahnya tarbiyah. Kewajipan Dakwah dan Amal Jamaiyy dalam mencapai cita-cita Islam kurang dihayati sepenuhnya.
3. Lemah Ruh dan Ukhuwwah. Tarbiyah bukan sekadar meningkatkan pengetahuan dan fikiran, malah tarbiyah juga mentautkan hati-hati, menghormati, wafak/setia terhadap teman, murabbi dan seumpamanya. Alam pelajar yang rata-rata sebaya serta sering disibukkan dengan sepak terajang politik pelajar, banyak mengalih perhatian, pengalaman dan hati-hati dari sifat-sifat murni di atas. Gaya dan darah daging politik kuat mewarnai ramai personaliti mereka hingga ke hari ini walaupun mereka telah beranak cucu. Keterlibatan sebahagian pelajar dengan fenomena Asyiq (makwe pakwe, chatting dengan ajnabi dsb) melemahkan jiwa dan fokusnya kepada tarbiyah dan peningkatan diri hingga dia tak mampu menghadapi dugaan dan ujian dari Allah untuk meningkatkan darjat para Pendakwah.
4. Mengutamakan pelajaran melebihi Dakwah, walau setelah lama mengikuti Tarbiyah dan mendidik orang lain pula. Jika ini berlaku sehingga setelah tamat pengajian masing-masing, Karier akan mengambil tempat Pelajaran sebagai nombor satu dalam hidup, manakala Dakwah akan tetap kekal sebagai nombor dua sepanjang hayatnya, dari alam pelajar hingga masuk ke alam kerja. Apa yang sebenar dituntut ialah cemerlang di dalam Pelajaran (kepujian kelas satu, jika boleh) tetapi ia tetap di nombor dua selepas Dakwah. Dakwah tetap bertahta dan menduduki tempat pertama di dalam hati.
5. Ketidakjelasan Manhaj Taghyir (cara merubah umat kepada Islam). Ini menjadi lebih ketara selepas Home 2Anwar Ibrahim menyertai UMNO dan mempopularkan manhaj “Islamisasi Ala-Mahathir” selama 16 tahun, sebelum beliau ditumbuk keluar dari UMNO pada tahun 1998. Ramai bekas mahasiswa/i 1980an yang tidak jelas Jalan Dakwah lebih dipengaruhi jalan yang akan mereka lalui dalam hidup hanya dengan merujuk senerio politik Malaysia semata-mata, lebih daripada jalan yang ditunjukkan oleh Rasulullah saw di dalam Seerah. Ramai beranggapan “Daulah Islam” dicapai bila Anwar di dalam UMNO dulu menjadi Perdana Menteri atau bila Pembangkang di Malaysia mendapat tampuk kuasa, setakat itu pemahaman mereka dari usrah dan bacaan. Tidak kurang ada yang beranggapan “Daulah Islam” ialah apa yang ada sekarang.
6. Himpitan dunia, terutama apabila mahasiswa/i tamat dan pulang dizaman Depression akhir 1980an dan ramai menganggur lama sebelum mendapat kerja. Secara umumnya, mahasiswa/i di Barat biasa dengan hidup senang dengan biasiswa berbanding pelajar di Timur Tengah ketika itu. Saya merasa hidup dan mencari nafkah di kedua-dua dunia Barat dan Timur Tengah. Di Australia, saya perlu bekerja 2 minggu sahaja dan boleh membeli kereta terpakai yang baik. Himpitan dunia di Tanahair sebaik tamat pengajian adalah satu sentakan mengejut dan mempengaruhi iltizam mereka dengan Dakwah. Umumnya, graduan dari Timur Tengah lebih kental menghadapi himpitan hidup, tetapi ramai kecundang dek godaan dunia dan pangkat.
7. Godaan dunia, terutama diera Ekonomi Rantau Asia dengan pertumbuhan melebihi 8% sepanjang Home 31990an. Disamping ramai Pendakwah yang disibukkan dan gugur, banyak NGO pula yang terkubur, termasuk AUSIS ketika itu, yang diasaskan oleh generasi saya pada tahun 1988.
8. Lemah Organisasi dan teman-teman seperjuangan. Tidak jelas jalan dan matlamat Dakwah di Malaysia. Disamping himpitan dan godaan dunia, lebih memburukkan keadaan apabila teman dan badan Islam di Tanahair tidak mampu menunjukkan jalan yang jelas akan posisi dan peranan mahasiswa/i ini apabila mereka pulang ke Tanahair. Tidak ada pengumpulam pengalaman dan keberkatan berlaku di mana-mana badan Dakwah. Sesetengah pimpinan berusaha mencantas pimpinan yang lain, lalu mahasiswa/i yang asalnya ikhlas, hilang tempat pergantungan, menjadi bosan, kecewa dan gugur.

Demikian sedikit catitan pemerhatian sejarah dan realiti, mudah-mudahan bermenfaat kepada para Pendakwah terutama dikalangan mahasiswa/i hari ini di dalam dan di luar negara. Jalan terbaik dalam menghadapi fenomena ini ialah :

1. Memantapkan tarbiyah golongan mahasiswa/i disegi manhaj, fikrah, murabbi, qadwah, Ukhuwwah, organisasi dan Amal Jamaiyy.
2. Menyediakan bagi generasi masadepan organisasi yang mantap, berwibawa, jelas kefahaman tentang Risalah Islam dan Manhaj Taghyirnya, tajarrud pimpinan dan ahlinya, kuat Amal Dakwah dan pengorbanannya, utuh Ukhuwwah dan kesatuannya.
3. Bekerja, berjihad dan berkorban melalui Manhaj Taghyir dan Jalan Dakwah yang sahih tanpa henti ke arah mendidik diri dan masyarakat Islam di sekeliling sehingga berlaku perubahan ke arah Islam yang dicita-citakan.

Kini berbekalkan kefahaman, keikhlasan dan kesungguhan melaksanakan Dakwah, diadun dengan pengalaman dan pengamatan apa yang telah dan sedang berlaku dalam senerio dakwah dan politik Tanahair, kita mengatur langkah dengan lebih berhati-hati, tetapi lebih jelas dan yakin. Kepada Allah jua kita memohon Petunjuk dan TaufiqNya di sepanjang Jalan ini. Ameen.

Ustaz Halim INIJALANKU www.inijalanku.wordpress.com

Read more »

SAYU DAN KEPENATAN



Tak tahu nak buat apa...kosong terasa otak, antara penat dan sepi..menimbulkan rasa sayu dalam hati...waktu begini, yang paling manis hanyalah mengingati Allah dan bertemu dengan rakan-rakan seperjuangan dan berbicara tentang perjuangan dan perancangan.

Syukur kerana Allah masih melontarkan sedikit semangat untuk terus melangkah...

Cuti sem UMS aku ambik cuti 3 minggu. Tapi percutian yang paling tak cuti. Bermula dengan program penyelidikan di Bangi dan Balambangan, diikuti dgn Bengkel PERASA di Lembah Impian. Sambung lagi mengajar Diploma Eksekutif UUM di Lahad Datu. Semalam Pembentangan kertas kerja dan panel forum konvension al-Quran sempena MTQ negeri Sabah di Tawau. Isnin ni pelajar baru dah mula MSM di UMS. Cuti ku yang tak cuti...dah 2 minggu penyelidik PERASA bertungkus lumus menyiapkan laporan akhir utk di hantar ke Putra Jaya. Bermula 9 pagi dan pernah mencedah 1.30 pagi...

Rupanya masa 24 jam kalau diisi betul2 mcm-mcm manusia boleh buat. Dlm dakwah juga begitu. Pendakwh yang berjaya ialah yg sikit tidurnya dan banyak amalnya. Contoh terbaik adalah diri Rasulullah. Banyak rehat juga bermaksud banyak tidur.

Apapun, berbanyak syukur ke hadrat Ilahi...masih ada teman penguat semangat dalam meneruskan perjuangan. Isteri tercinta, anak-anak, halaqah group, teman2 seperjuangan yg sentiasa memuhasabah diri...moga masih mampu bertahan.

Hotel Emas Tawau June 27,2009: 10.38 pagi

Read more »

Sunday, June 14, 2009

BARANG LAMA PUN MEMADAI

Baru je aku tulis pasal nak himpun pakaian terpakai untuk dihantar kepada Mualaf di Pulau Banggi dan Balambangan, dah ada sahabat-sahabat yang hantar sekotak. Jauh pulak tu dari Lawas. Jadi mana-mana sahabat yang memiliki pakaian terpakai yang masih baik, bolehlah contack saya untuk dihimpunkan dan bila dah banyak, insyaAllah saya akan hantar ke Pulau tersebut bersama pelajar-pelajar saya. Kalau pakaian baru lagi bagus. Kita juga akan cuba menghantar barang keperluan harian ke sana. Maybe, nak buat program motivasi sekali. Firman Allah:

فَاسْتَبِقُواْ الْخَيْرَاتِ

(Berlumba-lumbalah kamu melakukan kebaikan) (al-Baqarah: 148)

Read more »

PERGINYA SEORANG MUJAHID: FATHI YAKAN




14/06/2009 (Ahad): Sedang sibuk berbengkel di Lembah Idaman malam tadi dalam jam 9.00 malam, datang satu sms dari sahabat lama di KL berbunyi: "Sheikh Fathi Yakan telah kembali ke rahmatullah. Semoga rohnya bersama orang2 yg beriman dan beramal soleh. AlFatihah". Dalam jam 6.00 pagi tadi datang sms yang sama berbunyi: " Innalillah wainna ilaihi rajiuun, Ustaz Fathi Yakan meninggal dunia sejam yang lepas di Hospital Toroblus, Beirut".

Moga Allah tempatkan Almarhum bersama dengan para nabi,siddiqin, syuhada' dan solehin. Allahumma Amin.


Nama Fathi Yakan adalah antara nama tokoh dakwah paling awal yang aku kenali. Melalui bukunya "Apa erti saya menganut Islam" aku mula memahami makna sebenar Islam yang telah aku anuti semenjak lahir. Dulu ketika tingkatan 1-3, aku banyak membaca buku-buku tentang hadith fadhail, maklumlah zaman tu aku rajin 'keluar' ikut Jamaah Tabligh. Buku "Apa erti saya menganut Islam" menjadi silibus usrah BADAR ketika aku berada di ting. 4, Kolej Islam Kelang. Walaupun ia lebih berbentuk ringkasan fikrah tentang Islam, tetapi mencukupi untuk memahami Islam secara umum. Bermula dari buku tersebut dan buku "Asas-Asas Islam" karangan Abul A'la al-Maududi, aku mula meminati pembacaan buku-buku fikrah. Ketika di sekolah menengah aku sudah mula menghimpunkan koleksi buku-buku fikrah. Koleksi buku-buku al-Marhum Ustaz Fathi Yakan dalam Bahasa Arab antara yang paling awal aku miliki ketika menuntut di Mesir. Bahkan sekali lagi aku membaca buku "Apa erti saya menganut Islam" dalam versi Bahasa Arab ketika berada di tahun 1, Universiti al-Azhar.

Al-Marhum Ustaz Fathi Yakan merupakan ketua kepada al-Jamaah al-Islamiah dari tahun 1962 hingga 1992 sebelum menubuhkan Jubhah al-Amal al-Islami.

Moga Allah SWT menganugerahkan kita thabat dan iltizam dengan dakwah hingga ke nafas yang terakhir.

Read more »

Sunday, June 7, 2009

BANGGI DAN BALAMBANGAN



Karakit, Banggi

5/6/2009 (Jumaat) Dah lama nak ke Pulau Banggi…Pulau yang paling hampir dengan Filipina dan pulau terbesar di Malaysia. Tapi antara kawasan paling Miskin di Malaysia. Ia lebih besar dari Singapura. Rombongan kami bertolak dari KK seawal jam 6 pagi. Tapi atas sebab tidak dapat dielakkan kami tertinggal feri jam 9 pagi dan terpaksa menunggu jam 2 petang untuk ke Karakit, pekan utama di Pulau Banggi. Perjalanan dengan feri memakan masa hampir sejam. Kami pergi untuk membuat sedikit penyelidikan . Rombong kami dari UMS disertai oleh 3 pensyarah dan l3 RA dan 16 pelajar dengan dipimpin oleh PM Dr. Kassim Mansur Dekan Sekolah Perniagaan dan Ekonomi. Aku dan PM Dr. Kasim ditemani oleh keluarga.



PULAU BALAMBANGAN….

Aku pun tak tahu di mana Pulau Balambangan. Tapi aku ditugaskan untuk mengetuai rombongan penyelidik ke beberapa buah Pulau sekitar Banggi sebagai sample kajian. Aku , en. Budi (lecturer UMS), 4 orang pelajar lelaki dan anas anakku bertolak ke Pulau pertama…pulau Balambangan seawal jam 8 pagi. Sampai di Jeti Karakit, hatiku dah agak berdebar melihat bot yang disediakan sangat kecil. Sepatutnya untuk 4 orang, tetapi kami seramai 8 orang termasuk Boat man . Dalam hati aku takpelah…agaknya bukan jauh sangat pulau Balambangan. Malam tadi kata Boat man dalam 45 minit je…

Melimpasi sahaja teluk , kami nampak beberapa pulau….satu tu macam dekat sahaja. Aku tanya Boat Man…itukah pulaunya. Dia kata itu pulau Maliangin. Pulau Balambangan nun yang nda berapa nampak. Aku tanya, berapa lamalah kita mo sampai…katanya: ‘’ dengan kapasiti bot yg penuhpenumpang dan enjin 18 kuda…paling cepatpun 2 jam”. Subhanallah…diluar jangkaan

Keluar sahaja teluk, ombak semakin lama semakin meninggi….kami sudah mula basah akibat dari percikan air…bukan basah biasa…macam kena siram air hujan. Memang lebih 2 jam baru kami sampai ke Pulau tersebut yang terkenal dengan keindahan semulajadi, gua batu kapur dan buaya air masin….seram dengar…

Sampai sahaja di perairan Pulau…lega rasa hati, tapi awan dan angin sudah mula terasa hembusannya. Kecik-kecik dulu bila nampak awan macam tu di laut, ayah kata itu tandanya macam nak ribut…apapun syukur kami sampai dengan selamat. sampai ke kampung Selamat di Pulau tersebut. Tapi balik nanti...tak pasti macam mana....

Sampai di sana kami disambut oleh En. Marin Sipat, ketua kampung Selamat, Balambangan yang sangat ramah. Masing-masing kami menanggalkan sebahagian baju untuk dijemur kerana basah. Kami pula datang sehelai sepinggang sebab kami sangka pulau tu dekat sahaja dan perjalanan taklah seteruk itu.

SK Balambangan


Ini bukan pondok, tapi rumah penduduk Kg. Selamat Balambangan...tanaman terpaksa di pagar kerana serangan babi hutan...

Akhirnya setelah memanggil beberapa responden dan sebahagiannya ditugaskan meninjau persekitaran kampung, aku dan en. Budi memutuskan untuk menziarahi perkampungan saudara baru di Kok Simpul. Tak sempurna penyelidikan dan jaulah kami kalau tak sampai ke sana. Aku, saudara Budi dan anak lelaki ku anas, meneruskan perjalanan ke Kok Simpul ditemani oleh seorang pemuda dari kampung tersebut yang kebetulan datang ke Kg. Selamat (Pelajar lain kami tinggalkan di Kg. Selamat sahaja). Perjalanan terpaksa melalui hutan dan laluan jalan kayu balak yang telah lama ditinggalkan. Naik bukit dan turun bukit. Baju kami yang tadi dah mula kering, basah semula dengan peluh. Ingatkan dekat…rupanya hampir sejam setengah baru sampai. Kata penunjuk jalan…budak-budak kampung terpaksa berulang alik ke Kg. Selamat untuk bersekolah setiap hari kerana satu-satunya sekolah kebangsaan yang ada adalah SK Balambangan yang terletak di Kg. Selamat. Bahkan itulah satu-satunya sekolah di Pulau tersebut untuk pelajar dari
Kampung Selamat Darat, Kampung Selamat Laut, Kampung Kok Simpul, Kampung Tabunan dan Kampung Batu Sirih. Jarak antara Kg Selamat, Batu Sirih dan Kok Simpul sangat berjauhan. (Aku respect pada ustaz semenanjung dan guru-guru luar yang sanggup bertugas di sekolah tersebut. Bekalan elektrik cuma menggunakan generator yang cuma berfungsi bila ada minyak. Mudahan amal bakti mereka menjadi pemberat mizan di akhirat nanti. Dari pengkalan nak ke sekolah tu pulak terpaksa naik bukit….hari ni aku riadhah berabis…)

Bersama penyelidik muda Anas Sarip
Baru separuh perjalanan...pantai di belakang itulah Lok Simpul

Sampai di sana, dah jam 12 tengahari…perut terasa lapar. Aku suruh anakku keluarkan tapau nasi yang kami bawa dari Karakit Banggi. Aku suruh anakku makan satu tapau. Bila nak makan….jadi sayu melihat anak-anak responden yang begitu dhaif…akhirnya kami serahkan 2 tapau pada budak-budak tu. Satu tapau lagi, untuk anakku..Aku dan encik Budi Cuma tersenyum dan berharap mudahan ada kedai jual mee segera di kg. Selamat nanti. Seronok aku tengok budak-budak tu makan, walau nasi tu Cuma berlaukkan sayur kobis dan ayam goreng…lama mungkin mereka tak makan ayam. Aku tak nampak seekor ayam pun di sana. Yang ada beberapa ekor kambing…

Kg. Kok Simpul terdiri dari 16 buah rumah. Penduduknya adalah dari suku Dusun Bonggi yang dahulunya beragama Pagan. Mereka memeluk Islam hasil dari seorang aktivis USIA pada tahun 1980. Walau bagaimanapun memandangkan tempat itu terlalu jauh, sukar untuk para pendakwah membuat follow up. Boleh dikatakan orang dewasa di sana tak tahu baca Quran dan Solat…tapi setiap kali sembahyang hari raya mereka akan pergi ke Kg. Selamat untuk solat hari raya…itupun mereka tiru saja cara orang lain solat. Di Kg. Selamat pun ramai yang tidak tahu membaca Quran dan buta huruf walaupun mereka muslim asal.

Pekerjaan utama ialah nelayan kecil dan bercucuk tanam secara kecil-kecilan. Tanaman mereka terpaksa di pagar ( walau tepi rumah) kerana kawasan itu terlalu banyak babi hutan. Tiada sebarang kemudahan asas di kampung tersebut. Elektrik, paip air, surau, kedai runcit…semuanya tiada. Mereka terpaksa berjalan kaki ke Kg. Batu Sirih untuk membeli barang keperluan. Perjalanan di hutan memakan masa 2 jam pergi dan 2 jam balik.

Ramai di kalangan warga tua yang saya perhatikan buta sebelah mata mereka….mungkin kekurangan zat makanan kerana kalau tidak ada beras, mereka akan memakan ubi kayu sahaja.
Berbalik kepada persoalan kefahaman agama…memang tahap pengetahuan mereka amat menyedihkan. Apapun anak-anak mereka yang bersekolah terdedah juga kepada ilmu asas agama melalui matapelajaran agama dan JQAF di sekolah. Tapi di kampung tersebut langsung tiada seorangpun yang pandai mengajar membaca al-Quran, apatah lagi topik fardhu ain yang lain.

Rata-rata rumah mereka sangat dhaif….beratap dan dindingkan daun nipah. Tidak berbilik. Mereka Muallaf yang fakir….kalau zakat tu, mereka di kategorikan pada 2 asnaf.
Terasa macam pergi ke lost world…mcm cerita Jurrasic park…



Beginilah keadaan hampir ke semua rumah di Kok Simpul

Mereka saudara seagama kita…mereka sangat perlu bimbingan, perlu bantuan kewangan, perlu keprihatinan…Siapa yang sanggup datang untuk mengajar mereka sembahyang? ajar baca fatihah? takut ada orang lain datang untuk mengajar agama lain nanti....mcm berlaku di Pulau Banggi.

Jam 2 petang, kami berangkat balik ke Kg. Selamat….matahari betul2 tengah panas…perjalanan balik lebih memenatkan….akhirnya sampai juga ke rumah ketua kampung Kg. Selamat. Terus cari mee segera buat mengantikan tenaga yang hilang…akhirnya syukur ada yang jual. Terima kasih pada isteri ketua kampung yg sudi masakkan.

MACAM MANA NAK BALIK NIIII???

Angin mula bertiup kencang…tandanya ombak bergelora. Boat Man kata kami tak boleh balik dengan satu bot sahaja ke Karakit…perlu 2 kali ulang..Haaa 2 kali??? Dia hantar 1 group 2 jam, bali ambil pula dekat 2 jam dan hantar group ke dua 2 jam???...akhirnya kami menyewa bot tambahan yang dikhabarkan agak besar untuk membawa sebahagian dari ahli rombongan kami seramai 7 org…

Bila bot datang…nak tergelak kami…bukan lebih besar…bahkan lebih kecil…Cuma bot ke dua ni lebih tinggi. Aku, saudara Budi, seorang pelajar dan anakku nak bot baru…..

Waktu ia air surut…si Boat Man yang memang penduduk di Balambangan memulakan cerita. Tapi mukaddimah ceritanya menambahkan rasa ‘segan’ kami pada laut. Ia bercerita pasal buaya pulau Balambangan. Katanya ia pernah melihat sendiri buaya tersebut berehat di atas pasir tempat kami melintas. Ia juga bercerita akan kes terbaru di mana seorang nelayan yang tengah menyelam untuk mendapatkan tiram diserang oleh buaya. Padahal nelayan itu sudah berada agak jauh dari pantai. Buaya Pulau Balambangan sudah pergi ke tengah lautan. Memang buaya air masin akan ke laut sekali sekala untuk mencari makanan. Menurut Ketua Kampung Seamat, sudah 8 kes kematian kerana serangan buaya…

kami mengharungi ombak yang kadangkala aku lihat berada di atas kepala. Subhanallah….macam-macam zikir dan doa aku panjatkan…aku rasa bukan aku seorang berbuat demikian bahkan semua ahli rombongan yang menaiki 2 perahu…kecuali anakku…dia boleh tidur dalam keadaan begitu. Aku teringat dengan firman Allah:

قُلْ مَنْ يُنَجِّيكُمْ مِنْ ظُلُمَاتِ الْبَرِّ وَالْبَحْرِ تَدْعُونَهُ تَضَرُّعًا وَخُفْيَةً لَئِنْ أَنْجَانَا مِنْ هَذِهِ لَنَكُونَنَّ مِنَ الشَّاكِرِينَ (63) قُلِ اللَّهُ يُنَجِّيكُمْ مِنْهَا وَمِنْ كُلِّ كَرْبٍ ثُمَّ أَنْتُمْ تُشْرِكُونَ (64) قُلْ هُوَ الْقَادِرُ عَلَى أَنْ يَبْعَثَ عَلَيْكُمْ عَذَابًا مِنْ فَوْقِكُمْ أَوْ مِنْ تَحْتِ أَرْجُلِكُمْ أَوْ يَلْبِسَكُمْ شِيَعًا وَيُذِيقَ بَعْضَكُمْ بَأْسَ بَعْضٍ انْظُرْ كَيْفَ نُصَرِّفُ الْآَيَاتِ لَعَلَّهُمْ يَفْقَهُونَ (65)

63. Katakanlah: "Siapakah yang dapat menyelamatkan kamu dari bencana di darat dan di laut, yang kamu berdoa kepada-Nya dengan rendah diri dengan suara yang lembut (dengan mengatakan: "Sesungguhnya jika Dia menyelamatkan kami dari (bencana) ini, tentulah kami menjadi orang-orang yang bersyukur"." 64. Katakanlah: "Allah menyelamatkan kamu dari bencana itu dan dari segala macam kesusahan, kemudian kamu kembali mempersekutukan-Nya." 65. Katakanlah: " Dialah yang berkuasa untuk mengirimkan azab kepadamu, dari atas kamu atau dari bawah kakimu[482] atau Dia mencampurkan kamu dalam golongan-golongan (yang saling bertentangan) dan merasakan kepada sebahagian kamu keganasan sebahagian yang lain. Perhatikanlah, betapa Kami mendatangkan tanda-tanda kebesaran Kami silih berganti[483] agar mereka memahami(nya)." Surah al-An’am

وَإِذَا مَسَّكُمُ الضُّرُّ فِي الْبَحْرِ ضَلَّ مَنْ تَدْعُونَ إِلا إِيَّاهُ } الآية [الإسراء: 67]

67. Dan apabila kamu ditimpa bahaya di lautan, niscaya hilanglah siapa yang kamu seru kecuali Dia, Maka tatkala Dia menyelamatkan kamu ke daratan, kamu berpaling. Dan manusia itu adalah selalu tidak berterima kasih. (Surah al-Isra’)

{ هُوَ الَّذِي يُسَيِّرُكُمْ فِي الْبَرِّ وَالْبَحْرِ حَتَّى إِذَا كُنْتُمْ فِي الْفُلْكِ وَجَرَيْنَ بِهِمْ بِرِيحٍ طَيِّبَةٍ وَفَرِحُوا بِهَا جَاءَتْهَا رِيحٌ عَاصِفٌ وَجَاءَهُمُ الْمَوْجُ مِنْ كُلِّ مَكَانٍ وَظَنُّوا أَنَّهُمْ أُحِيطَ بِهِمْ دَعَوُا اللَّهَ مُخْلِصِينَ لَهُ الدِّينَ لَئِنْ أَنْجَيْتَنَا مِنْ هَذِهِ لَنَكُونَنَّ مِنَ الشَّاكِرِينَ. فَلَمَّا أَنْجَاهُمْ إِذَا هُمْ يَبْغُونَ فِي الْأَرْضِ بِغَيْرِ الْحَقِّ يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّمَا بَغْيُكُمْ عَلَى أَنْفُسِكُمْ مَتَاعَ الْحَيَاةِ الدُّنْيَا ثُمَّ إِلَيْنَا مَرْجِعُكُمْ فَنُنَبِّئُكُمْ بِمَا كُنْتُمْ تَعْمَلُونَ [يونس:22-23]

22. Dialah Tuhan yang menjadikan kamu dapat berjalan di daratan, (berlayar) di lautan. Sehingga apabila kamu berada di dalam bahtera, dan meluncurlah bahtera itu membawa orang-orang yang ada di dalamnya dengan tiupan angin yang baik, dan mereka bergembira karenanya, datanglah angin badai, dan (apabila) gelombang dari segenap penjuru menimpanya, dan mereka yakin bahwa mereka telah terkepung (bahaya), maka mereka berdoa kepada Allah dengan mengikhlaskan ketaatan kepada-Nya semata-mata. (Mereka berkata): "Sesungguhnya jika Engkau menyelamatkan kami dari bahaya ini, pastilah kami akan termasuk orang-orang yang bersyukur."

Benar sekali…bila berada dalam kesusahan, baruah manusia terasa dekat dirinya dengan Allah. Waktu tu tiada yang mampu dilakukan kecuali berdoa dan pasrah pada ketentuan Allah. Waktu itulah juga manusia akan mengakui kesalahan dan dosanya. Waktu itu orang-orang beriman akan memperbaharui janji setianya pada Allah SWT…Lantaran itulah mungkin Allah ajar manusia dengan kisah Fir'aun yang mati ditelan laut Merah. Sejahat-jahat manusia, bila sudah nampak ajal di depan mata mengakui juga tuhannya...tapi sudah tiada gunanya.

Bagi aku perahu yang kami naiki selayaknya utk di sungai sahaja…bukan lautan apatah lagi lautan luas yang begitu bergelora. Dulu-dulupun aku biasa pergi ke Brunei dan labuan dengan perahu…tapi 2 kali ganda besarnya berbanding perahu tersebut dan kuasa kuda enjin juga jauh lebih besar.

Akhirnya kami sampai ke Kg. Lok Tu Huk setelah sejam meredah lautan bergelora. Kami tak sanggup terus ke Karakit dalam keadaan laut begitu. Habis kami basah kuyup dihujani ombak dan angin kencang yang bertiup. Kata Boat Man, hari ini merupakan hari pertama angin barat bertiup…ombaknya belum cukup tinggi..antara 2 meter lebih sahaja…kalau beberapa hari lagi…pasti lebih tinggi dan bahaya. Beliau menceritakan pengalamannya menyelamatkan bot karam yang dinaiki oleh guru-guru sekolah SK Balambangan yang menaiki bot dari kudat ke Balambangan. Mujurlah ia bercerita bila kami dah sampai ke Lok Tu Huk…

Hari ini merupakan hari paling bersejarah dalam hidup kami. Akhirnya kami membatalkan niat untuk membuat penyelidikan ke Pulau Malawali kerana keadaan cuaca yang tidak mengizinkan. Perjalanan ke Pulau Malawali juga memerlukan lebih sejam perjalanan. Lagipun borang soal selidik telah berjaya kami selesaikan semuanya.

Dalam keadaan basah kuyup kerana siraman ombak laut…kami menyewa kereta sapu untuk ke Karakit. Syukur kepada Allah yang telah menganugerahkan keselamatan pada semua ahli rombongan.

InsyaAllah ada rezeki, kami akan ke Balambangan lagi menziarahi saudara kita yang begitu memerlukan keprihatinan saudara seagamanya.

Kepada Ikhwah dan Akhawwat…lepas ni kita kumpul pakaian terpakai dan keperluan harian, kita hantar ke Pulau Balambangan, khususnya Muallaf di sana. Yang kat semenanjung pun boleh turut menyumbang.

Luasnya lagi medan dakwah ini, fikrah kita masih banyak yang belum menerimanya…jauh lagi perjuangan ini mencapai sasarannya…peliknya…kita masih banyak masa berehat.

BAIT AL-NUR

Melalui penerangan Imam masjid Karakit, USIA telah memulakan program bimbingan saudara baru di beberapa buah kampung di sekitar pulau Banggi. Pusat bimbingan saudara baru USIA dinamakan Bait al-Nur. Syukur, usaha beberapa pendakwah USIA menubuhkan Bait al-Nur mula berkembang di beberapa tempat. Tapi usaha tersebut memerlukan dokongan semua pihak. Bantuan kewangan dan tenaga pendakwah sangat-sangat diperlukan. Apatah lagi kebanyakan kampung itu cuma boleh dihubungi melalui jalan air. Lagi baik kalau ada yang sanggup dermakan bot besar dengan kemudahan injin yang memiliki kelajuan yang tinggi. Lautan kat sini boleh tahan ombaknya.

Pak imam mengatakan, hasil dari kemasukkan ajaran lain, ada sesetengah kampung muallaf hampir-hampir terpengaruh. Apa tidaknya masyarakat muallaf (bahkan Islam asal) punyai 2 penyakit...majoriti mereka miskin tegar (bahkan miskin bergegar) dan zero kefahaman Islam. Dua penyakit itu sudah cukup membuka ruang untuk diserang.

Kementerian Pelajaran sepatutnya memotivasi para guru dan ustaz-ustaz yang nak ke pulau tentang kepentingan tugas mereka sebagai pendakwah. Bukan sekadar menghimpunkan elaun luar bandar yang tinggi. Seni dakwah juga perlu disilibuskan dalam pengajian mereka. Biar minda mereka ke sana lebih bermotifkan 'perjuangan' bukan sekadar 'cari makan'. Kalau mereka boleh mengajar orang kampung mengaji al-Quran dan fardu ain pun sudah besar maknanya. Lagi baik kalau guru yang dihantar mampu himpunkan orang-orang muda kampung berusrah, beri kefahaman Islam yang jelas disamping menunaikan tanggungjawab kemasyarakatan mereka disaat orang kampung memerlukan. Bukan apa, banyak sangat cerita di mana guru-guru agama yang dihantar ke kawasan pendalaman tidak dapat berfungsi kecuali mengajar di sekolah dan isi borang pindah ke semenanjung...mereka tidak merasakan medan syurga mereka ada di pulau-pulau tersebut.

Tahniah buat cikgu Z dari ISMA Kedah kerana sanggup dihantar ke Karakit...semangat yang ditunjukkan oleh tuan dan isteri dalam memulakan langkah-langkah dakwah mudahan mampu memberi kesan pada masyarakat. Harap jejak tuan akan diikuti oleh ramai kawan-kawan yang lain di semenanjung khususnya yang masih memikirkan bumi mana mereka nak berjuang.

BALIK KE KK

7/6/09 (Ahad) seawal jam 7.00 pagi kami bertolak dari Jeti Karakit ke Kudat…perjalanan feri agak perlahan kerana ombak agak kuat. Hampir sejam setengah baru sampai ke Kudat. Apapun syukur kepada Allah yang telah membekalkan banyak muhasabah, tazkirah dan keselamatan buat kami sekeluarga. Buat akhawwat yang terlibat dalam penyelidikan…insyaAllah kita akan jadikan bahan perbincangan halaqah di awal semester nanti.

Read more »