Thursday, November 19, 2009

MENCARI UNTA ? BUKAN UNTUK KORBAN TAPI SANGGUP BERKORBAN



Setiap kali ada sahabat lama yang datang ke Sabah dan dahulunya pernah sama-sama menerima tarbiah di U, pasti akan ku peluk erat-erat. Maklumlah ikhwah lama. Dulu tamrin, mukhayyam, mabit dan main bola bersama. Bahkan sebahagiannya dah puluhan tahun tak bertemu.

Seperti biasa perkara pertama yang akan ku tanyakan ialah tentang keluarganya… anaknya… kerjanya dan kawan-kawan yang lain. Lepas tu, aku akan cuba merisik penglibatannya dalam dakwah yang sepatutnya berada pada tahap intensif apabila sudah berada puluhan tahun di Malaysia. Kot-kot la boleh menyuntik semangat aku yang kadangkala pandai sejuk dan lembab. Lagilah sekarang jawatan mereka pun dah tinggi dan ekonomi pun dah stabil. Pasti mereka memiliki anak didik tarbiah lebih ramai dan berkualiti dari anak-anak buahku...

Sayangnya, ramai rakan-rakan lama yang ke temui agak kurang minat membicarakan soal dakwah dan tarbiah. Kurang cergas bila diajak berbicara soal permasalahan ummah. Kalau soal kerjaya, masyaAllah. Setengahnya sanggup menerangkan kepadaku tentang produk MLM yang ia sertai berjam-jam lamanya. Timbul tandatanya, apakah ia masih lagi terlalu berpegang pada sirriatu al-Da’wah seperti di Mesir dahulu atau dia sudah berada di ‘alam’ yang lain?

Jalan pintas untuk mengetahui jawapan teka-teki yang bermain di fikiran ialah dengan bertanyakan sahabat lama yang masih aktif di seberang sana. Aku terus ambil HP dan sms…’Akhi sifulan bin sifulan ni, sahabat lama kita ni…bagaimana? aktif lagi ke?’. Pelbagai jawapan yang ku terima…kesimpulan yang aku anggap menyedihkan bila sahabatku menjawab: “Dia dah tak aktif mana-mana dah, dia sibuk dengan kerja’’. "Balik Malaysia je dia terus berubah".

Mungkin bagi sesetengah orang kerja juga satu usaha dakwah, apatah lagi kalau memang ia ditugaskan di bahagian dakwah, di mana-mana jabatan kerajaan. Baginya tugas dakwah yang berjadual dari jam 8 pagi hingga 5 petang sudah cukup memenatkan dirinya sebagai pendakwah. Begitu juga seorang pensyarah dan guru, dengan kerja rasminya menyampaikan ilmu sudah memadai ia melaksanakan kerja-kerja dakwah. Sama juga ahli perbankan, kesibukannya mewujudkan instrumen dan produk baru dalam perbankan Islam sudah memadai ia anggap sebagai kerja dakwah.

Sebenarnya mereka dan aku tahu dan telah diberitahu dalam silibus yang dibaca berjam-jam selama bertahun-tahun ketika di sekolah menengah dan university, semua usaha itu belum mencukupi. Dakwah yang kita fahami bukan sekadar itu. Orang lain yang tidak pernah ditarbiah secara harakiah juga buat semua itu. Jadi apa bezanya kita dengan mereka?. Lebih malang lagi ilmu dan tarbiah yang dilalui selama bertahun-tahun tidak diperturunkan pun pada anak-anak. Akhirnya anak kitapun sama macam anak orang lain. Tidak memahami agama mereka kecuali untuk menyelamatkan diri sendiri.

Kadangkala aku terfikir, mungkin ada kesilapan pada pendekatan, manhaj, wasilah dan apa-apa lagi yang ada kaitan dengan tarbiah di Universiti? Mungkin terlalu banyak teorinya hingga terlupa praktikalnya. Terlalu banyak pembelajaran dalam kelas yang bernama usrah dan terlupa mewajibkan para pelajarnya keluar untuk melaksanakan Latihan Industri atau Latihan Mengajar. Akhirnya kepulangan mereka sekadar membawa teori dan tak mampu mempraktikkan semua teori dakwah tersebut apabila sudah berada di bumi nyata?.

Mungkin juga tabiat tarbiah memang begitu. Dalam ratusan orang, tidak semuanya akan menjadi. Bukan semuanya berkualiti. Seperti kata Rasulullah SAW:

إِنَّمَا النَّاسُ كَالْإِبِلِ الْمِائَةِ لَا تَكَادُ تَجِدُ فِيهَا رَاحِلَةً

Rasullullah saw telah bersabda;
“ Manusia itu seperti unta, hampir tidak ditemui seekorpun dari seratus yg sesuai untuk dijadikan tunggangan jarak jauh” (HR al-Bukhari)

Dalam ratusan yang telah menerima tarbiah dan kefahaman, tidak ramai yang merasakan apa yang mereka terima satu amanah yang bakal dipertanggungjawabkan. Satu perintah yang wajib dilaksanakan.

Kalaupun ia tidak yakin dengan manhaj dakwah yang telah diajarkan kepadanya, ambil manhaj lainpun tidak mengapa asalkan ia…bergerak, ikutilah gerakan apapun yang masih berjuang dalam lingkaran Islam yang sahih asalkan…bergerak. Jangan pencen awal sebelum sampai masanya. Tapi sayang, ramai benar yang telah isi borang pencen sebelum option sebenar tiba. Akhirnya seperti biasa, dakwah ini kekurangan tenaga pakar dan murabbi. Setelah bertahun-tahun dtarbiah, skill dan kepakaran yang ada tidak digunakan untuk membantu ‘fikrah’ berkembang tapi digunakan untuk memperkembangkan kerjaya, naik pangkat, gaji dan mengembangkan badan…Mungkin mereka memiliki ijtihad tersendiri...

Memang benar kata Rasulullah SAW, manusia macam unta, tapi aku tidak mahu menjadi unta. Walaupun tahu kemampuan diri sangat rendah, tahap tarbiah tidak sehebat orang lain, tapi aku tetap yakin bahawa tidak ada jalan lain yang lebih benar lebih dari jalan yang di atasnya aku dibesarkan. Lagipun atas jalan ini masih ramai rakan-rakan lama yang bergerak, bahkan makin laju setiap hari. Pernah seorang sahabat berkata kepadaku: kita makin tua, tinggalkanlah sebanyak mungkin pewaris perjuangan ini. Kalaupun terpaksa mencari unta, biarlah unta yang sanggup berjalan jauh dengan penuh istiqamah walaupun perlahan...unta yang sanggup berkorban dan bukan terkorban sebelum sampai matangnya.

Cuma bila ku perhatikan pada diri anak-anak didikku…aku jadi takut sendiri, hingga aku juga bertanya pada diri sendiri: Siapa di kalangan mereka mampu menjadi seekor unta yang cergas atau keluar sahaja dari university, mereka menjadi sebahagian dari kawan-kawanku yang pencen sebelum sampai masanya?. Bukan apa, kadangkala sesetengah anak didik sudah mula menampakkan potensi kecicirannya sebelum tamat latihan…

Untuk menenangkan hati sendiri, aku baca semula bab terakhir dalam al-Muntalaq…’tarkiz la takathur’…bahawa itulah tabiat dakwah yang aku telah dididik puluhan tahun untuk memahami dan melaksana….

Read more »

Wednesday, November 18, 2009

SELAMAT MENDUDUKI SPM




Hari ini, hari pertama anak sulungku berhadapan dengan peperiksaan SPM. Mudahan Allah SWT memberikan bantuan setelah usaha dan ikhtiar. Semalam sempat lagi abi dan umminya berpesan supaya banyakkan pergantungan pada al-Rahman, waqafkan kejayaan untuk membantu perjuangan menegakkan Islam. Ini baru mukaddimah perjalanan yang jauh kalau ada umur.

Pulang dari SEMAI sempat aku berkata kepada isteriku….SPM dah anak kita, tua dah rupanya kita. Lepas ni, anak kita akan makin jauh dari kita…mudahan ada orang yang akan meneruskan tarbiahnya setelah kita tanam asasnya. Mudahan ia mewarisi perjuangan dan fikrah kita.
Rupanya begitu singkat masa berlalu, bila dikenang saat pertama kelahiran, ketika aku mula belajar menjadi bapa, belajar mandikan bayi, salin lampin, pasang barut dan pelbagai lagi cara ‘orang dulu-dulu’…setelah ia kencing di atas badanku berkali-kali dalam satu malam…akhirnya besar sudah anakku. Mudahan anak sulungku mampu menjadi contoh pada adik-adiknya pada kejayaan, tarbiah dan perjuangan. Selama ini aku dan umminya bergilir-gilir menghalaqahnya setiap minggu di sekolah. Mudahan kombinasi sekolah dan rumah mampu memantapkan persiapan mereka untuk menempuh alam luar yang mencabar. Memang tidak mudah dan merisaukan....
Apapun…selamat menempuhi peperiksaan SPM untuk puteriku dan rakan-rakannya di SEMAI.

Read more »

Monday, November 16, 2009

KRISIS???



“Krisis lagi?”. Begitu mungkin yang menjadi tandatanya sesetengah orang tidak melibatkan diri dalam gerakan dakwah. “Sebab tu dari dulu ana tak minat nak join grup-grup dakwah ni, buat serabut kepala sahaja” Ulas membernya. “Betul tu, diorang masing-masing mengaku yang merekalah gerakan Islam unggul, lebih asolah, lebih islami, lebih...”, Jawab sorang lagi.

Dari zaman aku remaja lagi, pergeseran sesama gerakan Islam dah jadi isu biasa. Bahkan perselisihan dalam grup yang sama juga menjadi isu hangat yang diperkatakan. Sedangkan kadangkala halatuju perjuangan mereka sama, manhaj dan wasilah yang sama, fikrah yang dibawa juga sama…tapi bila sudah ‘berselisih pandangan dan berbeza sedikit kefahaman’ macam tak ada jalan untuk berbaik semula. Di luar sana gerakan-gerakan ini mencanangkan yang Islam ini agama perpaduan. Ukhuwwah Islamiah itu sumber kekuatan ummah…tapi balik ke rumah sendiri, masing-masing bermasam muka kalaupun tidak berperang menghunus pedang. Pelik melihat gelagat pendakwah abad ini..

Lantaran itulah agaknya Islam yang dibawa lambat geraknya, asyik tersangkut diperjalanan. Ini kerana pembawa syiarnya terlalu banyak menghabiskan masa ‘bergaduh di tengah jalan’, atau ‘terpaksa berhenti untuk meleraikan pergaduhan’, atau ‘sekurang-kurangnya menjadi penonton pergaduhan’…

Musuh yang cuba dikalahkan sudah berada di hadapan, mereka bersatu dan tidak menoleh kebelakang. Akhirnya si pembawa obor kebenaran kecundang di penghujung jalan dengan usia habis begitu sahaja dan tak mampu menghasilkan keuntungan yang maksimum. Tidak mengapa juga kalau sampai ke hujung! Tapi ramai yang bersikap ‘malas nak peduli’ dan balik ke rumah berehat sampai akhir hayat apabila melihat rakan-rakan yang bersemangat ‘bergaduh sesama sendiri’.

Aku risau benar melihat fenomena ini. Seolah-olah ukhuwwah dan perpaduan dalam Islam ini suatu yang bersifat teorikal sahaja dan bukannya praktikal. Apa tidaknya, kita yang mengaku pembawa Islam paling ramai ‘sempit dada’ dalam berhadapan dengan kelainan dan perselisihan. Bagaimana dengan orang yang langsung tidak diajar dengan apa itu ‘ukhuwwah’, ‘ithar’, ‘fiqh al-Ikhtilaf’ dan lain-lainnya?. Sedangkan kita diajar supaya ‘tolong menolong pada perkara yang kita sepakati dan bertolak ansur pada perkara yang diperselisihkan’. Rasulullah SAW juga mengajar kita “ Tiga perkara sesiapa yang ada padanya akan dihisab oleh Allah (di akhirat nanti) dengan hisab yang mudah dan dimasukkan ke syurga dengan rahmatnya: berikanlah kepada orang yang enggan member kepadamu, maafkan orang yang menzalimimu, hubungkanlah (persaudaraan) dengan orang yang memutuskan hubungan”(al-Mustadrak: 3912: dhaif)
Kita terpaksa pasrah bahawa inilah hakikat umat Islam atau penyakit umat yang sukar dirawat. Apa tidaknya, doktor yang diberi peranan merawat lebih dahulu mengidap penyakit tersebut. Pastinya apapun ubat yang akan ia berikan tidak berkesan.

Benarkah sudah tidak ada jalan penyelesaian? Benarkah sudah tidak ada meja makan malam yang menawarkan hidangan yang lazat untuk kita duduk bersama? Atau sekurang-kurangnya padang golf, padang bola atau meja ping-pong untuk bermain bersama, ketawa bersama dan ceria semula? Kenapa ukhuwwah ini cuma di meja usrah? atau di bilik mesyuarat? ketika daurah dan tamrin sahaja? ketika pilihanraya dan demonstrasi? Begitukah Nabi SAW mengajar kita? Mana perginya ruh ziarah menziarahi? Mana perginya majlis BBQ? Majlis kenduri kendara?. Pengamatanku, orang yang sibuk dalam dakwah ‘kadangkala’ paling kurang semangat ‘ziarah’. al-Maklumlah sibuk sangat dengan dakwah. Bahkan kurang betul buat kenduri kendara, sebab merasakan semua itu bid’ah. Hingga kadangkala kehadirannya tidak dirasai oleh masyarakat se kampung dan se taman.

Kadangkala perselisihan lebih dahulu dibawa ke ruang mahkamah dan perundangan sebelum dibincangkan dimeja makan dan rundingan. Padahal Islam mengajar kita al-Sulh dan berlapang dada.

Walaupun teori ukhuwwah itu kita pelajari dalam majlis formal lewat usrah dan daurah tapi tak perlulah diformalkan. Bahkan ukhuwwah sejati melimpasi batasan formal…Ukhuwwah sepatutnya melahirkan perasaan kekeluargaan. lantaran itu aku rasakan semua seniorku abang-abang dan kakak-kakakku, junior ku sebagai adik-adik dan anak-anakku. Bahkan sebahagian besar anak buah halaqah dan pelajar ums ku memanggilku ‘abi’…macam panggilan anak-anakku sendiri…untuk membuang benteng ukhuwwah yang sering melekat dalam diri orang melayu lewat pangkat dan gelaran.

Bila ada isu dan perselisihan, perlukah semua perkara mesti dihebohkan di dalam surat khabar, hingga musuh menjadikan ia isu untuk meremehkan pejuang dan Islamnya. Bukankah Islam mengajar kita supaya mengunci semua pintu keaiban dalam rumahtangga sendiri? Bila imej sudah tercalar, bukan mudah untuk membersihkannya semula…

Memang kadangkala apa yang kita rasa itu benar, pandangan kita juga benar, beserta dalil dan hujah yang mantap. Tapi kalahkah kita kalau mengalah seketika untuk menang selama-lamanya. Bukankah ‘al-nasru sabru al-Sa’ah’. Bukankah ‘mengalah itu tidak semestinya kalah?’. Atau tidak perlu mengalah…aku juga tidak akan mengadaikan prinsip hidup yang ku yakini, tapi ini tidak bererti aku menolak prinsip orang lain. Macam makan, dulu aku tak suka makan belacan walau seluruh ahli keluargaku suka makan belacan. Walau aku tak suka bau dan rupanya, tidak menyebabkan aku meninggalkan hidangan yang dimasak oeh arwah ibuku. Aku makan bersama mereka…Cuma aku tidak akan menyentuh makanan yang dicampur belacan. Aku tidak marah mereka makan belacan walaupun aku tak suka. Ini kerana mereka adalah keluargaku, aku diajar untuk menyayangi mereka. Bagiku, kalau tak mampu dapat sepenuhnya, aku tak mahu kehilangan seluruhnya. Bahkan dengan pelajar-pelajarku yang bukan Islam pun aku sering makan bersama….

Alangkah indahnya persaudaraan Abdul Rahman bin Auf dan Sa’ad bin al-Rabi’ ketika hijrah. Hebatnya Sa’ad apabila lebih dahulu menawarkan apa yang ada padanya untuk memperkukuhkan ukhuwwah dengan Abdul Rahman. Siapa yang akan mula dulu membuka ruang pintu hatinya untuk bersikap terbuka, mencari jalan persamaan dan penyelesaian, mengalah dalam mencari kebenaran? Siapa yang sanggup menghulur tangan dan merancang plan perdamaian? Selalunya orang yang pertama itu sangat istimewa…(alQuran pun tak menyamakan orang yg masuk Islam sebelum fathul Mekah dan selepas al-Fath).

Apapun aku cuba untuk terus husnu al-Zann dengan semua orang dan meneruskan kerja yang termampu. Aku yakin mereka semua kuat bekerja dan tinggi tahap keikhlasannya. Semua mereka mengharapkan kesudahan amal mereka diterima Allah dan menjadi syafaat memasukkan mereka ke dalam syurga. Lantaran itu bagiku, mereka ini jauh lebih berharga dari mereka yang hingga kini masih duduk berpeluk tubuh berehat tanpa buat apa-apa. Bahkan jauh lebih berharga dari mereka yang ditarbiah begitu lama dan tamat muqararnya tapi mengambil skim pencen muda sebelum tiba masanya. Bukankah ayam sabung itu dianggap gagah berbanding dengan ayam ‘karan’ yang tunggu masa untuk disembelih.

Aku yakin sampai masa pasti Allah pertemukan semua mukhlisin di satu jalan yang sama. Dah tua-tua begini dah tak banyak masa untuk melihat kebelakang…..

Read more »

Wednesday, November 11, 2009

ERMMMM....NAK KAHWIN DAH?

Sedang aku duduk minum di kafe kolej, datang seorang pelajar berbincang soal perkahwinan. Katanya: Encik boleh tak tolong cari calon isteri untuk saya?. Seperti biasa aku akan bertanya, Kau ni dah benar-benar bersedia ke nak kahwin? Ia seperti pelajar-pelajar yang lain menjawab: Saya memang nak kahwin tapi itu bergantung pada keputusan keluarga, kalau mereka izinkan, saya akan berkahwin?. Tanya saya: kalau tak pasti lagi bila nak kahwin, buat apa cari calon? Katanya: Saja nak kenal-kenal dulu. Jawab saya: Kalau macam itu awak carilah sendiri, saya selalunya akan carikan orang yang benar-benar saya kenal dipasangkan dengan orang yang juga sangat saya kenali. Memang perkahwinan banyak terikat dengan restu keluarga. Itu lelaki, apatah lagi kalau perempuan, ia terikat dengan kebenaran walinya.

Sepatutnya pemuda-pemudi itu bertanya keluarga dahulu, barulah buat keputusan untuk mencari calon. Bukan apa, bila sudah ada calon dan jarak masa perkahwinan tidak pasti, selalunya mendatangkan banyak masalah dan gangguan. Kemungkinan calon yang dipilih tidak dipersetujui keluarga. Mungkin mereka sudah ada pilihan sendiri. Apatah lagi bila dah ada pasangan, perasaan pun mula berubah. Putik-putik cinta pasti akan bertunas dan lama kelamaan membuahkan khayalan dan mimpi. Tradisi orang bercinta zaman sekarang sukar untuk dibataskan. Sekurang-kurangnya ziarah menziarahi melalui sms dan call menjadi perkara biasa. Bermula dari panggilan akh dan ukh akan berpindah kepada abang dan adik….lama-lama sayang yang kehilangan S….ermm, waktu itu dah terpaksa belajar memujuk bila merajuk, jiwa mula belajar hakikat rindu, mimpi malam dihiasai igauan wajah…ermm, kalau jelas hujungnya dan tahu tarikh tamat ‘dunia khayalan indah’ tersebut...tahu juga penyudah dosa-dosa kering tersebut…(kering dan ringan di sisi hamba, berat di sisi pencipta). Bagaimana dengan yang tak pasti penghujungnya, tak pasti nasibnya, tak pasti tempoh penantiannya? Umpama orang membeli bahan binaan, tapi tapak rumah belum tersedia…lama-lama bahan binaan tersebut reput begitu sahaja…begitulah juga cinta yang tak ‘bertarikh’ pelayarannya. Mulalah merungut pasal ‘lemah iman’, tak khusuk solat dan maam-macam lagi…
Sesetengah pelajar bila memikirkan perkahwinan sekadar menjadikannya bahan mainan atau hikayat lucu. Mungkin juga untuk menguji nasib dan meraih simpati. Bila betul-betl diajak berkahwin, mulalah bagi banyak alasan…belajar tak abis lagilah, mak bapa tak bagilah, PTPTN tak abis bayar lah, kerja belum dapatlah, nak jaga keluarga dululah…dulu bila mula memancing ‘cinta’ tak berfikir panjang dan tak memikirkan semua risiko tersebut…kesian dengan pihak yang benar-benar bersungguh…
Bagi mereka yang memandang kehidupan ini penuh dengan perjuangan, memperjuangkan kisah cinta yang kabur itu amat membuang masa. Kecualilah yang bermazhabkan Romeo dan Juliet. Cinta begitu patut dikuburkan bila ‘tarikh sah/lakunya’ telah tamat. Kalau diteruskan ia akan meracun iman dan perjuangan. Justeru itu selalu saya nasihatkan, agar putuskan saja hubungan bila pelayaran tidak menampakkan halatuju dan pelabuhan. Cinta ilahi lebih bernilai dari cinta insan yang tak pasti, yang akhirnya lebih banyak melalaikan iman dari membekalkan kekuatan. Memang keputusan begitu selalunya sukar…
Soal jodoh ramai yang keliru. Ada yang menyerahkan pada takdir dan akhirnya menyalahkan takdir. Jodoh seperti amalan ikhtiari yang lain adalah pilihan insane. Ia boleh diusaha dan diikhtiarkan. Ini tidaklah menafikan ‘qada dan qadar’ Allah dipenghujungnya setelah puas berusaha. Justeru itu Islam meletakkan beberapa bentuk pilihan pasangan (agama, kecantikan, keturunan dan kekayaan) kerana jodoh boleh dipilih. Islam meletakkan agama sebagai asas pilihan. Memilih pasangan yang tidak memiliki nilai agama adalah satu kesilapan dan perlu ditanggung sendiri risikonya. Tidak boleh menyalahkan takdir.
Ada juga dikalangan pemuda pemudi yang terlibat dalam perjuangan bertanya: saya dah ada pasangan yang saya kenali sebelum mengenali dakwah ini. Bolehkah saya teruskan cinta kami ini. Dulu saya sering bertanya: mana awak sayang antara perjuangan ini atau memperjuangkan cinta lama? Pernah ada yang menjawab: saya sayang kedua-duanya tapi masalahnya pasangan lama saya itu tidak sefikrah. Dulu sering saya cadangkan kepada pemuda-pemudi begitu supaya harmonikan hubungan dengan mengajak orang tersebut menyertai perjuangan yang ia sertai. Ini kerana ia sendiri tidak meyakini perjuangan orang itu (pelik juga bagi saya…yakin dengan tubuh badan insan tapi mempertikaikan fikrahnya…bukankah fikrah yang menentukan hidup manusia)…Pemerhatian yang saya temui agak tersasar. Ramai yang menyertai dakwah ini hanya kerana desakan dan ajakan ‘orang yang ia cinta’ tidak begitu membuahkah hasil yang diharapkan. Mungkin niatnya tidak betul seperti kisah ‘muhajirah Umm Qais’ dalam hadith pertama dari 40 hadith Imam Nawawi. Apapun selagi tak cuba, mana nak tahu…try & error…tapi membina rumahtangga di penghujungnya atas landasan ‘try & error’ macam keadaan orang berjudi…tak tahu nasib di penghujung.
Cara terbaik sebenarnya, bila sudah memilih seseorang untuk jadi pasangan hidup…nilailah badan dan akalnya, bahkan akalnya lebih perlu dinilai melebihi badannya. Kalau dah yakin dengan ia, kenapa tidak ikut sahaja perjuangannya? Lagilah kalau kelak ia jadi suami, lambat laun kena ikut juga budaya dan kehendaknya? Bukankah ‘lelaki itu pemimpin wanita dalam keluarga?’ Perjuangan ini hanya untuk orang yang benar-benar meyakini dan sanggup mendahulukannya mengatasi yang lain. Lagipun selagi berada di atas landasan syarak tidak salah berpindah arah…macam masjid qiblatain…Walau bagaimanapun, jangan sampai tersasar kiblat hingga akhirnya tidak ke Mekah dan tidak juga ke Aqsa…( Saya teringat dengan tazkirah seorang pendakwah Arab: 3 punca yang menyebabkan ramai akh futur dalam dakwah. Salah pilih pasangan dalam perkahwinan, pangkat dan kuasa).
Bagi pejuang yang benar-benar faham dan yakin. Ia tidak akan mendelaykan hasrat berumahtangga setelah memahami hakikat dakwahnya. Bahkan rumahtangga yang ia bina diharap mampu menjadi rumahtangga dakwah yang menjadi asas penting pembinaan mujtama’, daulah dan khilafah.

Read more »

Saturday, November 7, 2009

BELAJARLAH MENYALAHKAN DIRI SENDIRI



Berkata al-Muzanni: Apabila engkau melihat wujud kekeringan cinta dalam diri sahabatmu terhadapmu, demikian itu kerana dosa yang engkau lakukan, maka cepat-cepatlah bertaubat kepada Allah.

Itulah adab ukhuwwah, apabila berlaku kekeringan dalam hubungan setelah ia diikat atas ikatan akidah dan perjuang, ketahuilah, kesalahan pertama adalah pada diri anda sebelum sahabat anda.

Mukmin yang terbaik ialah yang sering memuhasabah dirinya sebelum orang lain. Menyalahkan dirinya sebebelum menyalahkan orang lain.

Al-Quran juga mengajar Muslim supaya menyalahkan diri sendiri terlebih dahulu sebelum menyalahkan orang lain atas musibah yang menimpa dirinya. Bukan salah takdir tetapi kecuaian diri yang menyebabkan semua itu berlaku. Firman Allah SWT:

وَمَا أَصَابَكُم مِّن مُّصِيبَةٍ فَبِمَا كَسَبَتْ أَيْدِيكُمْ وَيَعْفُو عَن كَثِيرٍ

“Dan apa saja musibah yang menimpa kamu maka adalah disebabkan oleh perbuatan tanganmu sendiri, dan Allah memaafkan sebagian besar (dari kesalahan-kesalahanmu).”
Menuding jari ke arah diri sendiri membuka ruang yang merdeka untuk memuhasabah diri. Muhasabah diri yang betul mampu menjadi asas plan tindakan memperbaiki diri dan mengangkat kualitinya menuju redha Ilahi.

Ada sahabat yang sanggup memutuskan hubungan hanya kerana sahabatnya menegur dan memberi nasihat. Padahal apa yang dilakukan oleh sahabatnya itu merupakan tanda kasih sayang dan berpegang dengan amanah persahabatan. Kawan terbaik bukanlah yang mulutnya sentiasa menyanyikan lagu pujian. Kawan terbaik ialah yang sentiasa berusaha untuk memperbaiki sahabatnya. Sanggup menegur kelemahannya dan berkongsi kegembiraannya. Sahabat begini sebenarnya telah melaksanakan perintah Rasulullah SAW yang mengatakan : Agama itu adalah nasihat. Pahit macamana pun teguran dan nasihat dari seorang sahabat yang telah terbukti kejujurannya selama bertahun-tahun, kunyahlah ia sampai lumat dan tapislah patinya dengan sempurna dan jangan sesekali dibuang kecuali terbukti mudharatnya.

Bersikap memencil diri hanya kerana ditegur, tandanya tidak seMpurna hak ukhuwwah kita tunaikan. Kita ‘berdada sempit’. Sepatutnya kita panjatkan jutaan syukur kepada sahabat kita kerana di zaman orang ramai lebih tertumpu kepada sesuatu yang mendatangkan pulangan pada diri sendiri, masih ada yang sanggup peduli kelemahan kita. Itu tandanya ia sayang pada kita, ingin melihat kebahagiaan kita, ingin kita hidup sempurna. Kalau bukan tujuan itu, sudah pasti ia biarkan kita hanyut dalam kepalsuan hidup tanpa teman pembimbing.

Namun andainya kita masih tidak pandai menyalahkan diri dan beranggapan semua yang disekeliling kita salah, tunggulah harinya kita ditinggalkan bersendirian. Hati-hati waktu itu melayarkan bahtera hidup, takut tenggelam setelah diberi nasihat dan peringatan. Waktu itu jangan marah kalau ada suara dari langin berkata: padan muka aku sudah cakap semua tu dahulu!!!.

Read more »