Thursday, April 30, 2009

Al-QURAN ITU HEBAT


(gambar: Paramount Hotel Sibu)

(Dalam Flight MAS Wing dari Sibu. Menghadiri jemputan ceramah Maulidurrasul dan sempena MTQ peringkat Negeri Sarawak anjuran Jabatan Pendidikan Negeri. Penghayatan al-Quran dalam kehidupan tajuk diberi).

Orang Islam sekarang ramai yang tahu baca Quran. Makin banyak institusi menghafaz al-Quran diwujudkan. Makin ramai guru JQAF mengajar al-Quran di Sekolah Kebangsaan. Belum lagi kelas-kelas KAFA, sekolah agama rakyat dan kelas-kelas persendirian. Orang kita juga sering jadi johan pertandingan tilawah al-Quran peringkat antarabangsa.


Bezanya para sahabat dulu baca quran, mereka jadi hebat. Mereka mampu membangunkan tamadun berpandukan al-Quran. Mereka Cuma guna al-Quran untuk membentuk negara dan kuasa, ekonomi dan harta, ketenteraan dan kemanusiaan. Bahkan Rasulullah SAW memarahi Umar ketika melihat ia membaca kitab Taurat. Kata Baginda:( Kalau musa hidup di kalangan kamu, tidak sah baginya kecuali ia ikut aku)(Riwayat Abu Ya’la). Rasulullah inginkan para sahabat dibentuk sepenuhnya oleh al-Quran. AlQuran menjadi acuan pemikiran, akhlak, gambaran dan budaya hidup mereka.

Kesannya memang hebat. Tidak perlu menunggu berkurun-kurun lamanya, Islam sudah berjaya membina negara pertama di Madinah hingga berkembang menjadi tamadun yang hebat.

Sayed Qutb dalam kitabnya Ma'alim fi al-Tariq menyatakan bahawa yang membawa para sahabat jadi hebat dengan al-Quran kerana manhaj mereka berkomunikasi dengan alQuran berbeza dengan umat Islam kini. Mereka apabila membaca dan mendengar al-Quran, mereka anggap itu satu arahan untuk dibuat atau ditinggal. Mereka baca al-Quran untuk dilaksanakan dalam hidup. Quran bagi mereka adalah jawapan tentang persoalan: Apa sebenarnya yang Allah inginkan aku buat? dalam semua lapangan kehidupan.

Orang sekarang baca Quran untuk dapat pahala, keberkatan dan bacaan majlis kematian. Atau sekadar hiasan dinding rumah dan masjid.

Ada yang letak ayat al-Quran untuk melariskan jualan yang mereka namakan ayat seribu dinar. Itu ayat tentang taqwa. Allah janjikan orang yang bertakwa kepadanya memperolehi rezeki dari sumber yang ia tidak menduga. Lantaran itu si peniaga tetap tak untung walaupun ayat sudah banyak digantung. Ini kerana ia juga mengantung amalnya dalam mentaati Allah. Ilmu perniagaan seperti yang diarahkan oleh Islam tidak dipelajari atau tidak diamalkan. Riba, al-Ghabn al-Fahish (untung melampau), menjual barangan tidak berkualiti...masih diamalkan.

Dr. Yusuf al-Qaradhawi menyebut: Al-Quran tidak diturunkan untuk bacaan ke atas orang mati, tapi ia panduan untuk orang hidup. Bukan juga bahan penghias dinding, tapi ia bahan penghias diri.

Memang apabila membaca al-Quran, akan ditemui pelbagai ilmu yang berkaitan dengan sains, astronomi, sejarah dan sebagainya. Tapi, itu bukan matlamat utama para sahabat baca al-Quran. Matlamat utama mereka ialah mencari sesuatu untuk dilaksanakan. Ibn Masud menyebut: Para sahabat akan mendatangi Rasulullah SAW bagi mempelajari 10 ayat al-Quran. Mereka menghafaz dan memahaminya kemudian mengamalkannya. Mereka tidak akan mempelajari ayat yang baru kecuali setelah mengamalkannya.

Agaknya kerana itulah kita tak maju. Walau kita baca kitab al-Quran, tapi dalam hidup kita meletakkan kitab lain sebagai rujukan.

Prof. Dr Yusof al-Qaradawi dalam bukunya al-Marja'aiah al-'Ulya fi al-Islam mejelaskan bahawa sikap umat Islam apabila berhadapan dengan al-Quran mestilah mengamalkan 3 perkara:

(1) Menyerah diri dan taat pada ajaran al-Quran.

قال عبد الله بن مسعود إذا سمعت الله يقول { يا أيها الذين آمنوا } فأرعها سمعك فإنه خير تؤمر به أو شر تنهى عنه

(Kata Abdullah bin Mas'ud: Apabila engkau mendengar Allah berfirman 'Wahai orang-orang beriman!', maka tumpukan pendengaranmu. maka sesungguhnya pasti ada kebaikan yang diperintahkan dengannya atau keburukan yang ditegah daripada melakukannya. (Tafsir Ibn Kathir)

(2) Baca, tadabbur dan fahami kemahuan al-Quran.

كِتَابٌ أَنْزَلْنَاهُ إِلَيْكَ مُبَارَكٌ لِيَدَّبَّرُوا آَيَاتِهِ وَلِيَتَذَكَّرَ أُولُو الْأَلْبَابِ


(Ini adalah sebuah kitab yang Kami turunkan kepadamu penuh dengan berkah supaya mereka memperhatikan ayat-ayatnya dan supaya mendapat pelajaran orang-orang yang mempunyai fikiran).(Surah Saad:29)

(3) Laksanakan perintah al-Quran dalam semua aspek kehidupan

Kata Dr. Yusuf al-Qardawi: “al-Quran bukan diturunkan untuk dibaca pada org mati tapi menjadi peraturan pada yg hidup. Bukan juga diturunkan utk hiasan dinding tapi menjadi bekalan manusia”

وَهَذَا كِتَابٌ أَنْزَلْنَاهُ مُبَارَكٌ فَاتَّبِعُوهُ وَاتَّقُوا لَعَلَّكُمْ تُرْحَمُونَ


(Dan Al-Quran itu adalah kitab yang Kami turunkan yang diberkati, maka ikutilah dia dan bertakwalah agar kamu diberi rahmat).(al-An'am:155)

Bermulalah dari diri kita.

3 comments:

  • Umar Safri says:
    May 1, 2009 at 1:48 AM

    sy amat bersetuju. timbul juga persoalan dlm benak sy, kenapa umat sekarang alergi dgn perkataan `al-quran`.

    adakah syaitan sudah beranak-pinak dlm diri mereka/sy? atau ulama skrg belum menemui sebarang formula di dlm memasyarakatkan al-quran? atau, mereka masih menganggap al-quran itu sbg makhluk spt mereka. sedangkan sebenarnya al-quran itu kalam Allah?

    dlm era IT skrg ini, mungkin perlu pendekatan baru di dlm melahirkan generasi al-quran. mungkin sudah tiba masanya, para ulama perlu keluar drp kepompong masjid. 'terjun' sebentar ke dunia rempit, disko, pasaraya dll utk menyampaikan risalah Islam...

  • Afiq Fahmi says:
    May 1, 2009 at 2:30 AM

    aslmkm,ustaz;

    bagus pos ni, menarik tuk sy baca,
    sy harap d suatu hari nnti umat Islam akan melahirkan Hafiz & hafizah nnti,

  • ISLAH AD DEEN says:
    May 3, 2009 at 9:07 AM

    Makin diajar makin lari.. Macam yang disebut oleh Nabi Allah Nuh .. Siang malam diseru bukan makin hampir.. makin lari.. Guru-guru al Quran pun tidak seberapa. Ada tujuan lain mereka tampil mengajar. Mudah-mudahan apa yang diusahakan di Lawas ani berkesan bagi generasi muda(kanak-kanak dan belia2) pada masa akan datang. InsyaAllah.