Wednesday, February 3, 2010

MEREKA MASIH TAK TAHU....


3 Febuari 2010/ 19 safar

Tadi pagi sewaktu melintas di Teluk Likas dari KK ke UMS, aku lihat ramai orang picnic di pantai. Aku bertanya dengan orang rumah, apasal pula mereka berkelah pada hari rabu. Hari inikan hari kerja. Dari jauh aku yakin orang ramai yang datang berkelah itu orang Islam. Mereka datang berkeluarga. Bahkan ramai orang tua yang ikut dengan memakai kopiah.


Aku baru ingat, hari ini hari rabu terakhir bulan safar. Hari diturunkan bala menurut kepercayaan khurafat sebilangan masyarakat Islam dan masih diamalkan oleh sebilangan orang Islam di Sabah. Bila tiba hari rabu terakhir bulan safar mereka akan pergi ke pantai-pantai untuk mandi tolak bala. Kononnya pada bulan safar akan turun bala Allah SWT dan untuk mengelaknya mereka perlu mandi atau minum air yang telah dijampi atau diletakkan daun yang di tulis dengan apa yang mereka namakan ayat salamun ‘penyelamat’.

Waktu kecil dulu, di kampung akupun kami buat perkara yang sama. Cuma tidaklah mandi di pantai sebab kampung kami jauh dari pantai. Mandi di perigi sahaja. Pada hari tersebut tiada siapa dibenarkan bekerja, takut kena bala. Mereka akan minum air yang direndam di dalamnya ayat salamun yang ditulis pada daun (aku tak ingat nama daun, tapi biasa ditanam di kawasan perkuburan). Setahu aku waktu tu Cuma ada tiga orang sahaja yang pandai menulis ayat tersebut dan dibekalkan kepada setiap keluarga di kampung. Pertama, datuk aku yang juga ketua kampung. Kedua, bapaku yang juga imam kampung dan ketiga….aku sebab dari kecil aku dah pandai tulis jawi…Pada hari tersebut satu kenduri tolak bala sekampung diadakan.

Tapi semenjak akhir 80 an amalan tersebut dihentikan. Ini kerana datuk aku meninggal dunia, bapa aku pula dah faham bahawa amalan itu mengarut dan ia sudah tak mahu menulis ayat salamun lagi. Aku pula dah sekolah agama….dah faham..he he. Bila tiga pembekal ayat salamun dah tak menjalankan tugas mereka menyelamatkan orang kampung dari bala, amalan itu berhenti dengan sendirinya. Syukur kepada Allah, kampung kami bertambah makmur. Jalanraya ke kampung kami antara yang terbaik di Lawas, begitu juga pembangunan yang lain…berkat tak minum air salamun dan kebetulan YB kawasan kami berjiran kampung dengan kampung kami.

Rasulullah SAW pernah bersabda :
لَا عَدْوَى وَلَا طِيَرَةَ وَلَا هَامَةَ وَلَا صَفَرَ وَفِرَّ مِنْ الْمَجْذُومِ كَمَا تَفِرُّ مِنْ الْأَسَدِ
(Tiada jangkitan, tiada sial, tiada kemudharatan burung, tiada bala bulan Safar dan larilah engkau dari orang yang berpenyakit kusta seperti mana engkau lari dari singa.) (HR Bukhari)

Hadith inilah yang ku jadikan khutbah pertama yang ku baca dalam hidupku. Waktu itu aku berada di Tingkatan 2 dan balik bercuti hujung tahun di kampung. Aku satu-satunya pelajar yang bersekolah agama dan waktu itu satu-satunya sekolah agama di Sarawak ialah SMKA Sheikh Hj. Othman Abdul Wahab, Matang, Kuching. Hadith itu terkandung dalam buku matapelajaran Agama Islam Tinggi tingkatan 2. Balik rumah, hangat perdebatan aku dengan bapaku. Ia marah dengan khutbahku yang menyentuh isu bulan safar. Maklumlah ia tuan imam dan menulis ayat salamun tu sebahagian side income dia bulan safar. Syukurlah selepas beberapa tahun, ia boleh terima hadith tu.

Bila melihat umat Islam yang masih menyambut perayaan tersebut, sayu rasa hati. Alangkah masih ramainya lagi umat Islam di negeri ini yang belum faham sepenuhnya agama mereka. Aku tak salahkan mereka. bahkan yang salah ialah aku dan orang sepertiku yang belum berusaha bersungguh-sungguh untuk menyebarkan fikrah Islam yang sahih kepada masyarakat. Padahal isu ini adalah teras agama kerana berkaitan dengan soal akidah. Lagi sedih bila mendengar sudah mula berlaku perdebatan antara umat Islam dalam masalah akidah. Isu sifat 20, akidah 3 serangkai, isu takwil dan lain-lain mula dibongkar semula. Padahal perbalahan umat Islam antara punca utama keruntuhan Tamadun Islam dahulu. Lebih baik masa yang ada digunakan untuk mendidik mereka yang begitu jauh dari kefahaman agama dari menghabiskan masa dengan bertelagah sesama sendiri.

Mudahan para da’ie yang ada di negeri ini sanggu memberi lebih masa untuk menyebarkan kefahaman Islam dalam kalangan masyarakat Islam. Harap mereka tidak begitu seronok berusrah sendiri hingga lupa menyediakan ruang untuk memasyarakatkan kefahaman mereka.

0 comments: