Tuesday, September 6, 2011

CEMAS !!!!


Bagaimana sikap anda andainya rumah anda terbakar? Nauzubillah minzalik. Dalam tu ada isteri atau suami dan anak-anak anda. Api tengah marak menyala. Sempatkah lagi anda duduk berfikir dan merancang pelbagai pilihan untuk menyelamatkan keadaan? Call Bomba, minta tolong orang kampung atau mencari paip air dan meminjam baldi di rumah jiran?. Atau anda terus meluru menyelamatkan apa-apa yang mampu dicapai oleh tangan anda satu persatu ahli keluarga? Cemas…orang yang cemas tak akan banyak berfikir apatah lagi membuang masa kerana setiap saat akan menentukan nyawa ahli keluarganya. Bahkan ia tak sempatpun nak berfikir untuk menyelamatkan harta benda yang ada dalam rumah tersebut.


Tapi sayangnya masih ramai di kalangan mereka yang meletakkan dirinya di barisan para daie atau setelah ditarbiah bertahun-tahun tidak merasa cemas apabila melihat keadaan ummah dan nasib agamanya. Bahkan ramai yang masih mencari-cari titik permulaan untuk memulakan langkah walaupun sudah khatam al-Muntalaq atau menjadi pemerhati sedangkan umurnya sudah layak memasuki alam mati. Lebih menghairankan ada yang kerjanya duduk di pinggiran jalan dakwah yang kerjanya cuma mengira kerja orang lain dan mengaudit amal mereka lalu mempersoalkan itu dan ini. Seolah-olah ia dilantik mengantikan raqib dan Atid untuk menentukan pahala dan dosa manusia. Orang begini memang pelik dan apabila ditanya tentang apa yang ia telah buat, ia sendiri tak mampu menceritakan apa-apa. Benar kata orang, mengira kesilapan orang memang senang berbanding melihat kelemahan diri sendiri.
Selagi seorang daie tidak merasa cemas terhadap suasana umat yang ada dan masih banyak masa untuk mengira-gira, berfikir dan berehat-rehat selagi itu dakwah ini akan bergerak macam siput babi sedangkan seterunya laju bagaikan peluru. Memang tidak senang meletakkan tugas membawa risalah ini menjadi profesion utama dalam hidup kerana ia tidak menjanjikan sebarang pulangan dan gelar. Kerja-kerja lain mampu meletakkan kita memperolehi Mercedes, Profesor, Datuk, Tan Sri, naik haji dan umrah setiap tahun dan melancong ke luar negara. Dakwah dan risalah ini cuma menjanjikan pengorbanan tanpa sebarang janji pulangan keduniaan. Kalaupun ada syurga yang tak mampu dicapai oleh pancaindera. Untuk mentabrirkan kelemahan tersebut maka lahirlah fiqh dakwah baru bahawa semua itu juga adalah dakwah dan untuk kepentingan dakwah. Mungkin benar teori baru itu tapi setiap teori akan dilihat kebenarannya setelah praktikalnya menghasilkan natijah yang tepat. Kalau akhirnya semua itu dipulangkan semula untuk perjuangan dan risalahnya, benarlah teori tersebut. Andai sebaliknya…pasti Allah akan persoalkan teori tersebut di hadapannya kelak.
Cemas…sifat itu yang telah melajukan para daie awal dalam dakwahnya. Ia cemas dan risau kalau usia yang ada tak mampu digunakan sebaik mungkin untuk melaksanakan amanah fikrah dan tarbiahnya. Masalahnya, ramaikah yang merasakan fikrah dan tarbiah yang ia perolehi itu satu amanah? Sebab ada kalangan sahabat yang menyebut: "syukur akhi kita ni ditarbiah, sebab tu kita lain dari orang lain. Kita ada skill dan ketrampilan sebab tu kita mudah dapat tempat dalam pekerjaan. Kita laku dan orang mudah angkat kita". Sedih sekali kalau tarbiah hanya untuk itu dan manfaatnya cuma kembali pada kita bukan pada ummah. Pada perut kita dan bukan perut umah..
Cemas…kerana usia makin tua dan ummah masih atau juga makin parah. Penyakit yang menimpa mereka makin banyak. Kalau kita tak dihinggapi penyakit tersebut tapi pastikah anak-anak kita akan selamat? Kalau anak-anak kita selamat bagaimana dengan cucu cicit dan keturunan kita? Lagi pelik kalau penyakit itu sudah menjalar masuk ke dalam rumah kita dan menyerang anak-anak kita tapi kita masih lagi mengharapkan bomba dakwah untuk menyelamatkan anak-anak kita. Si bapa dan si ibu tidak merasa cemas dan masih banyak masa untuk mengira-gira apa lagi yang akan ditambah untuk esok hari.
Daie yang cemas tak akan menjadikan apapun urusan sebagai alasan untuk meninggalkan tanggungjawab sebenarnya membawa risalah yang ia sendiri fahami dan yakini. Daie yang cemas akan menggunakan seluruh pemikiran, tenaga dan apapun yang ia miliki untuk merancang dan menjayakan dakwahnya dalam apa bentuk sekalipun.
Sebenarnya, hari ini aku merasa cemas apabila melihat ramai sahabat-sahabatku sudah tidak cemas melihat keadaan umat yang ada dan masih banyak ruang mencari alasan untuk berehat. Paling aku cemas kalau aku juga sudah tidak merasa cemas dan akhirnya join kelab orang-orang pencen awal tersebut…..Cemas.

2 comments:

  • Rusman Toni says:
    September 6, 2011 at 2:29 PM

    ana cuma nak beri pandangan ttg caption abi,
    'Masalahnya, ramaikah yang merasakan fikrah dan tarbiah yang ia perolehi itu satu amanah?'

    bagi ana,sebilangan merasakan tarbiah ini semata-mata untuk membantu mereka berubah ke arah yg lebih baik..dan kurang yg merasakan bahawa tarbiah ini lebih drpd apa yg kita sngkakn..kerana tarbiah ini bkn sja utk kita merubah keadaan diri tp yg lgi penting utk mmbantu ummat berubah ke arah jalan yg Allah redha.
    sbb tu la,sebilangn yg telah lama dlm tarbiah masih KURANG CEMAS ttg keadaan ummat skrg sbb mereka tak merasakan bahawa mereka tgh memegang dan memikul satu TANGGUNGJAWAB yg AMAT BESAR..

  • irshadian says:
    September 6, 2011 at 10:44 PM

    abi, kadang saya futur, sbb sendiri n dah give up