Wednesday, January 28, 2009

BILA DA’IE MASIH BANYAK BEREHAT

Baru-baru ini saya bersama family dan beberapa orang pelajar sempat menziarahi sebuah perkampungan saudara baru di Ranau. Sebahagiannya telah lama memeluk agama Islam. Hampir 50% penduduk kampung itu masih menganut agama Kristian SIB. Tak sangka rombongan kami disambut penuh kemesraan oleh penduduk kampung. Walaupun lawatan itu sekadar ziarah tidak rasmi, rupanya kehadiran kami dinanti. Sempat lagi mereka sajikan kami sarapan pagi dan makan tengahari. Asalnya kami yang ingin masak dan menjamu saudara-saudara baru...tapi terbalik pula jadinya. Mereka kata, jarang sangat orang datang menziarahi mereka untuk tujuan dakwah, kalau adapun sahabat-sahabat dari Jamaah Tabligh...itupun jarang-jarang kerana kedudukan kampung yang agak terpencil.

Sempat berbincang dengan pengerusi kampung yang juga pengerusi surau. Katanya waktu mula-mula masuk Islam dulu, pernah juga ustaz masuk ke kampung mereka, lepas tu jarang sangat yang datang. Ini menyebabkan mereka sukar untuk mempelajari dan memahami agama baru mereka (Islam). Hingga ada antara mereka yang kembali ke agama asal.

Dalam pertemuan ringkas itu, sempat memberi sedikit ceramah tentang kehebatan umat Islam dahulu dan punca umat Islam mundur zaman sekarang. Pelajar-pelajar yang ikut serta sempat memberi motivasi kepada kanak-kanak yang datang. Bila waktu zohor tiba, pelajar perempuan sempat mengajarkan beberapa orang makcik cara-cara nak sembahyang. Dah bertahun mereka Islam tapi tak tahu cara nak berwudhu dan sembahyang. Bahkan ada yang bertanya dengan ahli rombongan kami, nak solat tu adakah kita kena mandi setiap kali nak solat? Dia confuse antara wudhu dan mandi wajib!!! Subhanallah...sedih sekali. Kami yang terpaksa mengharungi hampir 3 jam perjalanan pula yang mengajarkan mereka perkara basic dalam agama..sembahyang!. Sedangkan ramai lagi umat Islam di kawasan itu yang tahu sembahyang tak tergerak hati untuk mengajarkan mereka cara nak sembahyang? Mereka saudara baru kita, yang sanggup tinggalkan agama lamanya kerana cintakan Islam. Tapi kita tak sanggup korbankan sedikit masa kita untuk mengajarkan mereka ‘sembahyang’.

Kami naik kereta 2 jam untuk sampai kesana sedang ada saudara baru yang terpaksa berjalan kaki selama 2 jam untuk sampai ke program itu dan menemui kami. Untuk belajar agama dengan orang yang tidak dikenalinya!!. Subhanallah.
Astagfirullah...

Padanlah kes-kes kembali ke agama asal berlaku akhir-akhir ini. Islamnya mereka tidak dihargai oleh saudara seagama bahkan oleh ustaz-ustazah seumpama saya...bagaimana aku nak jawab andai disoal di akhirat nanti.

Para Daie mungkin terlalu sibuk membincangkan silibus tarbiyyah, asolah dan inhirafat, ta’addud jamaah, penubuhan daulah, merancang plan strategi atau juga Rancangan Dakwah jangka panjang....hingga kekurangan tenaga untuk mengerakkan dakwah diperingkat akar umbi. Kalau berbicara sesama da’ie memang sedap bunyinya, sangat ilmiah kupasannya tentang dakwah. Bahkan hingga membawa kepada konflik dan bermasam muka bila tak sehaluan citarasa...runyanya...mereka masih banyak masa untuk membuang masa. Mereka masih banyak masa untuk berehat dan bercuti.

Bahkan ada da’ie yang hingga kini masih ditarbiyyah dalam usrah...bertahun-tahun...dari bujang sampai beranak-pinak. Tapi satu suraupun tak pernah ia makmurkan dengan dakwahnya atau tak pernah handle walaupun satu usrah yang terdiri dari 2 orang pelajar sekolah menengah. Mungkin Daie ini masih belum puas berehat.

Sampai bila kita akan berehat? Tak terlintaskah rasa simpati pada saudara seagama yang muallaf atau yang Islam asal tapi imannya sanggat malap? Tak tergerakkah untuk memulakan langkah menyerang kebatilan dan kemunduran yang menerjah ummat ini? Siapa lagi yang kita harapkan untuk menongkah arus yang menghambat kealpaan ummat hingga akhirnya berterusan menjadi warga dunia kelas ketiga. Palestin, Iraq dan alam Islami bukankah memerlukan Khilafah Islamiyyah yang mampu mengembalikan hak mereka? Macam kata-kata al-Banna yang kita sama-sama hafaz dan baca? Tapi semua itukan perlu bermula dengan tarbiah? Dakwah fardiyyah, kalau pun tak mampu melaksanakannya secara jamaiey? Masalahnya semua itu tinggal teori kalau kita yang ada 'sedikit' kesedaran, tak memulakan langkah bermula (al-Muntalaq).

Mungkin tidak perlu kita tinggalkan kepakaran dan kesibukan kita dalam bidang perbankan, perubatan, pentadbiran dan politik...tapi luak sangatkah pendapatan kita kalau kita dermakan 2 jam setiap minggu untuk membimbing 2 orang atau seorang saudara seagama kita yang se-kampung, se-pejabat, se-sekolah atau se-institusi dengan kita? Rasanya tak ada orang yang papa kedana hanya kerana meninggalkan kerja selama 2 jam seminggu untuk merealisasikan apa yang kita janji kan ketika diusrahkan di Mesir, UK, Australia, Jordan atau mana-mana gerakan dakwah suatu ketika dulu. Bukankah dulu kita berjanji nak jadi murabbi ummah?? Jauzah kita pun takkan marah kalau tinggalkan ia 2 jam seminggu di malam hari untuk mengajar orang di surau atau handle satu usrah....

Bahkan saya lebih respect seorang saudara baru yang baru memeluk Islam lebih kurang 4 tahun yang lepas, mengajar di sekolah luar bandar di Sarawak, tapi berjaya handle satu halaqah pelajar, bahkan orang pertama yang buat program sebegitu di sekolahnya. Dia cuma sempat diusrahkan selepas masuk Islam lebih kurang setahun lebih...saya sangat respect dia lebih dari sahabat-sahabat saya yang sempat menghabiskan ‘qarar’ 7 tahun...tapi tak buat apa-apa. Dia cuma sempat baca ‘Asas-Asas Islam – al-Maududi’ dan tak sampai lagi ke Muntalaq!! Tapi dia tahu peranan dan ‘cuba’ laksanakan.

Inilah bahana dan bahaya bila para da’ie begitu banyak berehat atau memilih skim pencen sebelum sampai masanya.

Sehari sebelum pergi keperkampungan itu kami sempat membaca ucapan al-Maududi dalam Syahadatul Haq, antara kata-kata yang menakutkan aku:
“Sama ada mereka(Para Rasul dan Da’ie) melaksanakan segala kewajipan syahadah ini dengan cara yang terbaik dan memastikan hujah Allah mengatasi hujah manusia. Atau kecuaian mereka akan dijadikan alasan oleh manusia di hadapan Allah kelak bahawa mereka tidak menyampaikan kalimah hak yang telah diamanahkan kepada mereka dan mereka tidak memimpin manusia sebangsa mereka menuju jalan hidup yang sebenar yang telah dinyatakan oleh kitab-kitab yang diturunkan kepada mereka”

“Namun jika mereka cuai dalam melaksanakan tanggungjawab ini atau bertindak zalim dengan memutar belitkan kebenaran sehingga yang benar menjadi palsu dan palsu menjadi benar, nescaya Allah akan menghukum mereka terlebih dahulu daripada orang lain kerana kecuaian dan pendustaan mereka. Allah bukan sahaja akan hukum mereka kerana apa yang mereka lakukan malah Allah akan hukum mereka kerana apa yang dilakukan oleh orang lain yang sesat akibat kecuaian mereka tidak melaksanakan tanggungjawab mereka atau akibat tindakan mereka yang mengubah jalan yang benar melalui syahadah dusta mereka”.

Kadangkala aku terfikir, alangkah baiknya kalau aku tak terima ‘tarbiah’ ini dulu...taklah terasa nak masuk syurga tu susah sangat atau bila buat dosa, taklah terasa bersalah sangat...tapi masa sudah tidak boleh diundur. Amanah tetap amanah. Tanggungjawab tetap akan dipersoalkan. Janji tuhan pasti akan terlaksana.

Akhirnya aku kena pasrah dengan iradah Allah yang mentakdirkan diri melalui jalan ini. Jalan mulia yang terpaksa dilalui oleh orang yang kurang mulia seperti aku...sekurang-kurangnya ada juga jalan hidupku yang lurus untuk dilalui. Menjadi tempat kembali bila tersasar dari landasan hidayah. Aku ingin habiskan baki usia di atas garisannya. Sekadar termampu, aku ingin menyumbang apa yang ada untuk memperkukuhkan hidayah ini di manapun aku berada. Mudahan dipenghujung hayat, ada sedikit yang boleh dibimbit buat bekal bertemu Allah yang esa.

InsyaAllah, Kg. Muruk...kami pasti kembali.

(Dari tahun 2000 hingga 2007, hampir 14 ribu orang menganut agama Islam di Sabah, cuma terdapat beberapa pusat bimbingan saudara baru tajaan JHEAINS, USIA, JAKIM dan YADIM). P/S: Wahai rakan-rakan ku di Semenanjung..andainya kalian tak tahu cara menghabiskan baki usia...datanglah bantu kami di sini. InsyaAllah rezeki dan rahmat Allah akan menemani kalian ke sini. Missionary sanggup tinggalkan USA, Korea dan negara lain...demi mengembangkan dakwah mereka bertahun-tahun lamanya di sini...

3 comments:

  • Hj Ahmad Nazif Ishak says:
    January 29, 2009 at 10:43 AM

    best la cerita cik sarip..
    macam ni ajib boleh jd genius macam cik sarip ni hehe..

  • @pgabsec says:
    February 3, 2009 at 2:30 PM

    Amat tertarik dgn pengelaman Ustaz dan diharap pihak berkuasa membaca artikel ini dan menyusun strategi sesuai. Kita jangan tunggu Daie yang masih hendak berihat. Tinggalkan mereka

  • Azizul bin Julirin says:
    February 17, 2009 at 9:35 PM

    assalamualaikum ustaz..
    tersentuh juga saya bila orang lain yang datang ke tempat saya. saya sendiri akui, daerah Ranau merupakan antara salah 1 daerah yang majoritinya adalah suku kaum dusun beragama kristian. lihat sahaja pemandangan sekeliling sepanjang jalan Tamparuli-ranau, pasti akan terksima kita dengan bilangan gereja@chapel yang puratanya 1 gereja/1 km. tetapi bagi sesetengah tempat seperti kawasan sekitar Pekan Kundasang, majoriti penduduknya adalah beragama Islam.

    usaha-usaha murni setiap pihak daipada kerajaan mahupun NGO amatlah dihargai. moga setiap debu yang menyinggah di kaki kalian sepanjang perjalanan dakwah di bumi Ranau akan menjadi pemberat kepada neraca mizan kelak..

    moga umat Islam terus sukses fiddunia wal akhirah..