Thursday, February 12, 2009

ANDAI USIA MASIH BERBAKI?



12 Febuari 2009 – Malam tu beberapa anak didik ku datang ke pejabat selepas habis kuliah TITAS memberikan bungkusan berisi kek tertulis ‘’ Sang Murabbi Naruto.....Selamat Hari Lahir”.

Aku sebenarnya bukanlah seorang yang mementingkan sambutan hari lahir. Hari lahir anak-anak aku pun tak semua aku ingat. Setiap kali nak isi borang sekolah, aku mesti lihat surat beranak mereka terlebih dahulu. Tapi bila orang bagi aku hadiah, aku ‘rembat’ je lah. Rezekilah katakan...lagilah kek tu dari brand yang mahal juga. Apapun kepada anak-anak tarbiyyah ku, terima kasih banyak-banyak. Semoga semuanya terus berusaha meningkatkan diri agar cakura dan rasengan kalian makin cemerlang untuk berhadapan dengan mehnah dan tribulasi kehidupan dan perjuangan. Jangan ada yang jadi Orachimaro setelah ditarbiah. He he...

Menyambut hari lahir memang menjadi bahan perdebatan antara ulama’, antara bid’ah dan harus. Aku malas nak bahas benda tu. Tapi tidak ada ulama’ yang mengenepikan kepentingan mengingat usia dan memuhasabah perjalanan umur. Bagi aku setiap hari lahir tak kira hijri atau masehi akan mengingatkan aku pada kata-kata Rasulullah SAW:
المؤمن عبد بين مخافتين من ذنب قد مضى لا يدري ما يصنع الله فيه ومن عمر قد بقي لا يدري ماذا يصيب فيه من الهلكات
(Orang Mukmin hamba antara dua yang menakutkan. Antara dosa yang telah berlalu, ia tidak tahu apakah yang akan dilakukan oleh Allah padanya (hukuman). Dan antara umur yang masih berbaki yang ia tidak tahu apakah yang menimpa padanya dari kebinasaan). (Kitab al-Zuhd. Ibn Mubarak. Hal. 102 No. hadith 304)

Perjalanan lalu: hidup manusia akan menghimpunkan antara dosa dan pahala. Taat dan leka. Melalui pengalaman hidup pelbagai, disayang dan dibenci, disanjung dan dikhianati, dipuja dan dicaci, adalah lumrah kehidupan dan aku juga pernah merasai sebahagiannya. Mujurlah aku ada tali untuk berpaut setiap kali hampir terjatuh. Tali Allah yng mengikatkan aku dengan perjuangan dan dakwah ini yang mula aku kenali semenjak zaman remaja. Murabbi ku dulu-dulu sering pening dengan tabiat aku. Memiliki 2 watak yang sering bersaing. Aku sendiri menyedari semua itu. Aku sering berusaha mengubah watak jahat agar tunduk kepada kebaikan. Kadang aku menang, kekadang kejahatanku yang menang. Bak kata Ibrahim bin Adham:
ما قاسيت شيئا من أمر الدنيا أشد علي من نفسي مرة علي ومرة لي
(Tiada sesuatu yang menyusahkanku dari urusan dunia yang lebih sukar dari mengalahkan nafsuku, kadangkala ia menang atasku, kadangkala kemenangan bagiku). (Hilyatul Auliya’. Abu Nu’aim al-Asbahani. Cetakan 1405H. Beirut; Dar al-Kitab al-Arabi. Jil.7 Hal. 380)

Lantaran itu aku tak pernah lari apabila ditegur dan aku berterusan mengikat diriku dengan program tarbiah. Jarang sangat aku ponteng sebarang program tarbiah. Tak kira apa levelnya, apapun bentuknya...aku yakin atas jalan ini sahaja aku mampu memperbaiki diri walaupun sedikit. Atas jalan ini aku temui ramai orang baik-baik yang tak pernah putus asa membimbing dan memimpinku. Apatah lagi semenjak usia 12 tahun aku telah berpisah dengan keluarga. Kawan-kawan lah yang membentuk banyak pemikiran dan perwatakanku. Dalam membuat keputusan aku telah terbiasa ‘berdikari’. Kadang hasilnya betul dan ada masanya salah.

Begitu juga dalam perjuanganku. Dalam usia begini aku masih lagi mencuba untuk menjadi lebih baik. Berusaha untuk lebih memberi. Lebih bermanfaat...pada orang sekelilingku.

Seorang sahabat lamaku ketika sekolah menengah yang sudah berpuluh tahun aku tak temui tapi masih thabat atas jalan ini berkata: ‘’Kita ni sudah semakin tua, dah banyak nikmat dunia kita rasa hingga kekadang sudah terasa hambar nikmatnya. Rasanya dah tiba masanya kita habiskan baki usia yang Allah kurniakan ini untuk ‘perjuangan’. Dulu kita berjanji untuk mengorbankan seluruh hidup ini demi memartabatkan kalimah Allah di atas muka bumi’’. ‘’Buatlah apa yang termampu dan jangan terlalu memandang kiri dan kanan. Biarlah orang lain berbalah, kita buatlah kerja kita. Allah akan perkirakan kerja kita yang ikhlas dan bukan kerja orang’’. Benar sangat ucapan beliau. Cuma kadangkala aku sedih bila memikirkan ada sahabatku yang sudah pencen sebelum sampai masanya.

Rasanya satu cara sahaja untuk menjadikan baki usia yang mengerunkan menjadi bermanfaat. Iaitu dengan mengubah diri dan memperbaiki semua skop kehidupan. Antaranya bagiku dengan meningkatkan ‘pengorbanan demi perjuangan’. Aku teringat dengan kata-kata dalam al-Muntalaq: Islam ini awalnya ‘menafkahkan kesenangan dan akhirnya menafkahkan nyawa”. Perbaki diri, walau mudah diazamkan tapi sukar dilaksanakan, tapi itulah satu-satunya jalan di hadapanku dan semua orang yang se usiaku. Bak kata Imam Fudhail bin ‘Iyad kepada lelaki tua yang menyesali hidupnya:
تحسن فيما بقي يغفر لك ما مضى فإنك إن أسأت فيما بقي أخذت بما مضى و ما بقى
(Perbaiki pada apa-apa yang berbaki dari umurmu, akan diampunkan bagimu apa-apa yang telah berlalu (dari dosamu). Adapun engkau, andainya kau rosakkan pada apa-apa yang berbaki dari usiamu, (Allah) akan ambil (pertanggungjawabkan) engkau pada apa-apa yang telah berlalu dan yang berbaki dari hidupmu). (Hilyatul Auliya’. Jil.8 Hal. 113).

Pada tarikh 12 Febuari ini juga (tahun 1949) berlaku peristiwa menyayat hati umat Islam. Syahidnya al-Imam al-Syahid Hassan Al-Banna RH dalam usia 42 tahun. Ia memulakan dakwah Ikhwannya ketika berusia awal 20an. Beliau telah meninggalkan kepada ummah ini khazanah perjuangan yang telah mempengaruhi jutaan pejuang. Fikrah dan manhajnya telah mentajdid semula semangat perjuangan Islam yang diwarisi dari Rasulullah SAW.

Bila melihat pemuda Islam zaman kini di usia 20 an. Masih ramai lagi yang belum menemui identiti diri dan tidak tahu halatuju hidup. Usia dihabiskan untuk keseronokan yang seringkali berakhir dengan penyesalan dan kehancuran. Tapi Hassan al-Banna sebaliknya.

Kalau dibandingkan dengan penghasilanku dalam perjuangan pastinya aku seperti belum buat apa-apa untuk perjuangan ini walaupun hampir habis buku al-Imam aku baca semenjak alam remaja. Apapun, mudahan pada baki usia yang masih ada...kalau ada...aku ingin terus bersama rombongan pejuang. Memberi saham untuk dakwah ini sebagai jundi biasa. Mudah-mudahan ada sedikit jawapan yang bisa aku berikan di hari aku dipertanggungjawabkan di hadapan Allah di akhirat nanti. Menerima fikrah ini satu mas’uliah yang paling berat dan terpaksa ku pikul sepanjang hidupku. Tapi kalau Rasululluh, para sahabat dan orang terdahulu mampu melaksanakan tuntutannya? Kenapa orang akhir zaman macam kita tak mampu mencuba...? Harap Ikhwah dan Akhawwat seusiaku merasai apa yang aku rasai.

SELAMAT HARI JADI? Memang kita telah selamat dijadikan di dunia ini tapi tidak semestinya selamat di alam berikutnya. Sekadar untuk renungan diri sendiri.

4 comments:

  • irshadian says:
    February 12, 2009 at 5:27 AM

    sang murabbi naruto!

  • Umar Safri says:
    February 12, 2009 at 7:49 PM

    abg sarip,

    diucapkan selamat hari jadi. tidak ada hadiah yg dapat ku kirimkan selain doa agar panjang umur dlm ketaqwaan kpd Allah, sihat, murah rezeki dan berjaya di dunia & akhirat. amin...

    mcmana dgn perpindahan ke swk? lama tu 2 tahun. apapun, moga Allah berikan yg terbaik kpd abg sekeluarga & perjuangan. Terima kasih.

  • putra-alkahfi says:
    February 14, 2009 at 9:47 PM

    salam dear naruto club.ana terkesan tentang Imam Hassan Al-Banna yang dah mula bergerak memperjuangkan agama Allah dari umur 20 tahun, na dah pun masuk umur 20 tapi macam takde sumbangan ana pd agama Allah....

  • Abu Syifa' says:
    February 15, 2009 at 5:50 AM

    Syukran Umar,
    Abg tak confirm lagi ke sarawak tu. UMS belum bagi jawapan. Sarawak masih nak abg ke sana...apapun dan dimanapun berada, abg nak habiskan masa yg ada utk 'risalah' ini.