Monday, May 25, 2009

KUAT


Merasa gak aku naik kereta kipas angin ni..he he... Syukran YB Hjh Nancy...

(24/5/09 Ahad ) Dalam perjalanan dari Kuching ke KK setelah menghadiri Forum Perdana Ehwal Islam di Simunjan. Perjalanan ke Simunjan dari Kuching tak sampai 20 minit dengan helicopter. First time naik heli...ada 5 seat (tak termasuk 2 pilot). Macam naik kereta terbang. Balik ke Kuching pula dengan menggunakan jalan darat menggunakan kenderaan JAKIM Sarawak. Baru aku terasa jauhnya jarak antara Simunjan dan Kuching. Hampir 3 jam perjalanan. Berbeza betul antara laluan darat dengan udara. Padahal saiz heli dengan Kereta 4WD JAKIM hampir sama besar. Bezanya laluan mereka. Melalui udara tak perlu berpusing jauh mengelak sungai yang begitu banyak ke Simunjan berbeza laluan darat. Seperkara lagi heli memiliki kekuatan yang lebih lantaran itu ia boleh terbang.


Hanya yang kuat boleh terbang. Hanya yang kuat boleh berjaya. Hanya yang kuat boleh menang.

يَا مَعْشَرَ الْجِنِّ وَالْإِنْسِ إِنِ اسْتَطَعْتُمْ أَنْ تَنْفُذُوا مِنْ أَقْطَارِ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ فَانْفُذُوا لَا تَنْفُذُونَ إِلَّا بِسُلْطَانٍ

Allah berfirman: ''Hai jamaah Jin dan Manusia, kalau kamu mampu menebusi (melintasi) penjuru langit dan bumi, maka lintasilah. dan kamu tidak mampu menembusinya kecuali dengan kekuatan'' (Surah al-Rahman: 33).

KEKUATAN

Kekuatan adalah syarat utama untuk menembusi dan melintasi langit dan bumi yang terkenal dengan tarikan gravitinya. Kekuatan yang dimiliki oleh helikopter, kapalterbang dan roket terhasil dari kehebatan manusia. Manusia yang mampu membangunkan teknologi tersebut mestilah ada beberapa kekuatan asas. Antaranya ialah kekuatan iradah/kemahuan/imiginasi/ kekuatan ilmu, kekuatan usaha, kekuatan ekonomi (belanja besar) dan lain-lain. (Pastinya yang menciptakan manusia Maha Hebat…Maha Suci engkau Ya Allah, tuhan semesta alam)

Kapalterbang juga berbeza kelajuan berdasarkan perbezaan 'kekuatan'. Boeing 747 boleh terbang sehingga 897km/jam. Fokker yang aku tengah (Kch-Bintulu-KK) naik agak lambat dan memakan masa yang agak panjang untuk sampai ke KK berbanding boeing 737 yang aku naiki dari KK ke Kuching. Kenderaan darat juga berbeza kekuatan (c.c). Kekuatan itu menentukan kemampuan ia bergerak laju.

KEKUATAN MANUSIA

Berbicara soal perjuangan, Islam sangat memerlukan mukmin yang memiliki 'kekuatan' untuk menerbangkannya ke angkasa dunia. Orang-orang kuat ini diharap dapat mengembalikan semula Khilafah Islamiyyah dan menjadi dan tamadun Islam. Manusia yang memiliki kekuatan dalaman dan luaran ini amat diperlukan oleh semua bentuk perjuangan. Lantaran itu generasi muda memiliki banyak keistimewaan kerana usia muda adalah usia kuat. Tapi kekuatan itu perlu di perbetulkan halatujunya dan dibersihkan citarasanya. Semuanya hanya mampu berlaku dengan tarbiah yang mantap.

Tarbiah sahaja yang mampu mengangkat kualiti diri seseorang bagi memenuhi semua ciri pejuang (da’ie). Kerja ini sangat panjang, berat dan memenatkan. Bayangkan saja untuk bergelar siswazah dan memiliki kekuatan ilmu taraf universiti...seseorang memerlukan sekurang-kurangnya 15 tahun. Itu tak termasuk pra persekolahan & tadika. Bagaimana pula halnya hendak membersihkan akal, nafsu dan hati hingga benar-benar tunduk pada Allah dalam segenap aspek kehidupan? Pasti memerlukan jangka masa yang panjang dan silibus yang mantap. Sukar manapun ia, para pejuang perlu terus berusaha meningkatkan kualiti diri. Ini kerana sejarah Islam membuktikan bahawa agama ini tidak dimenangkan berdasarkan kuantiti tapi kualiti. Lihat sahaja perang Hunain yang dihadiri oleh tentera Islam yang ramai, tapi kalah dalam pusingan pertama kerana wujudnya tentera yang kurang berkualiti dalam saf. Mereka ini memeluk Islam selepas pembukaan kota Mekah dan tidak sempat ditarbiah sebelum Hunain. Kekuatan dalam Islam bergantung pada kualiti bukan kuantiti.

KEKUATAN IMAN SEBELUM SENJATA

Sebelum turun ayat yang memerintahkan Umat Islam mempersiapkan kekuatan persenjataan, bertahun-tahun sebelum itu al-Quran bercerita soal iman dan akidah. Soal keyakinan kepada Allah dan pembalasan muktamad di akhirat. Ini telah berjaya membentuk para sahabat yang sangat cinta dan takut pada tuhannya. Apabila turun sahaja ayat yang berbentuk arahan dan larangan mereka berkata: sami'na wa a'ta'na. (kami dengar dan kami taat). Malah bila difardukan jihad perang, mereka dengan hati terbuka menerima kefarhuan tersebut. Semua sahabat mengharapkan mereka syahid dalam setiap medan perang yang mereka sertai. Mereka amat meyakini janji Allah di akhirat. Kekuatan iman juga berjaya membentuk mereka menjadi umat yang tinggi disiplin dan akhlak serta kuat kemahuan untuk memperjuangkan Islam dalam segenap aspek kehidupan. Akhirnya mereka berjaya melakar sejarah besar untuk Islam.

Bila umat Islam kehilangan kekuatan akidah dan iman, mereka kecundang dalam semua arena kemajuan. Senjata yang adapun tidak mampu mengangkat martabat dan maruah mereka.

AMBILLAH PELUANG KETIKA MASIH KUAT SEBELUM DATANGNYA LEMAH

Malam tadi sempena program Qiamullail HIKMAH kuching yang dihadiri oleh ramai kenalan lama. Sempat saya memuhasabah diri dan orang yang hadir akan pentingnya mengambil masa yang makin singkat untuk mencari dan membentuk barisan pelapis yang bakal mewarisi perjuangan. Pastinya calon pertama adalah anak-anak. Isilah peluang yng ada untuk mentarbiah mereka dengan segala faktor kekuatan (10 ciri mukmin). Jangan sampai fikrah, kesedaran dan perjuangan yang begini berharga berlalu begitu saja. Ia tidak diwarisi dan terhenti dengan kematian kita. Perjalanan umah untuk mengembalikan tamadunnya yang telah hilang masih panjang. Perlu pewaris di kalangan belia yang memiliki kekuatan dan kualiti. Pastikan tali yang bermula dari generasi pertama dakwah tarbawiyyah ini tidak terputus di tengah jalan. Pastikan ia bersambung dan berterusan hingga ke puncak kejayaan.

Masa kuat kita sampai masa akan menurun. Ketika masih berdaya ini, carilah clone kita….

اللَّهُ الَّذِي خَلَقَكُمْ مِنْ ضَعْفٍ ثُمَّ جَعَلَ مِنْ بَعْدِ ضَعْفٍ قُوَّةً ثُمَّ جَعَلَ مِنْ بَعْدِ قُوَّةٍ ضَعْفًا وَشَيْبَةً يَخْلُقُ مَا يَشَاءُ وَهُوَ الْعَلِيمُ الْقَدِيرُ } [الروم : 54] .

Allah, Dialah yang menciptakan kamu dari keadaan lemah (kanak-kanak), kemudian Dia menjadikan (kamu) sesudah keadaan lemah itu menjadi kuat (muda), kemudian Dia menjadikan (kamu) sesudah kuat itu lemah (kembali-tua) dan beruban. Dia menciptakan apa yang dikehendaki-Nya dan Dialah Yang Maha Mengetahui lagi Maha Kuasa.

(Tarbiah menguatkan peribadi tak semudah minum kopi tongkat Ali...yang tu menguatkan otot sahaja...)

1 comments:

  • Umar Safri says:
    May 28, 2009 at 1:40 AM

    wah... abg naik heli ye, hehe. kak2 dan adik x join sekali ke? apapun, syukran atas tazkirah `kekuatan`. insya-allah akan diambil maklum dan tindakan. salam utk semua kat rumah. :-)