Thursday, November 19, 2009

MENCARI UNTA ? BUKAN UNTUK KORBAN TAPI SANGGUP BERKORBAN



Setiap kali ada sahabat lama yang datang ke Sabah dan dahulunya pernah sama-sama menerima tarbiah di U, pasti akan ku peluk erat-erat. Maklumlah ikhwah lama. Dulu tamrin, mukhayyam, mabit dan main bola bersama. Bahkan sebahagiannya dah puluhan tahun tak bertemu.

Seperti biasa perkara pertama yang akan ku tanyakan ialah tentang keluarganya… anaknya… kerjanya dan kawan-kawan yang lain. Lepas tu, aku akan cuba merisik penglibatannya dalam dakwah yang sepatutnya berada pada tahap intensif apabila sudah berada puluhan tahun di Malaysia. Kot-kot la boleh menyuntik semangat aku yang kadangkala pandai sejuk dan lembab. Lagilah sekarang jawatan mereka pun dah tinggi dan ekonomi pun dah stabil. Pasti mereka memiliki anak didik tarbiah lebih ramai dan berkualiti dari anak-anak buahku...

Sayangnya, ramai rakan-rakan lama yang ke temui agak kurang minat membicarakan soal dakwah dan tarbiah. Kurang cergas bila diajak berbicara soal permasalahan ummah. Kalau soal kerjaya, masyaAllah. Setengahnya sanggup menerangkan kepadaku tentang produk MLM yang ia sertai berjam-jam lamanya. Timbul tandatanya, apakah ia masih lagi terlalu berpegang pada sirriatu al-Da’wah seperti di Mesir dahulu atau dia sudah berada di ‘alam’ yang lain?

Jalan pintas untuk mengetahui jawapan teka-teki yang bermain di fikiran ialah dengan bertanyakan sahabat lama yang masih aktif di seberang sana. Aku terus ambil HP dan sms…’Akhi sifulan bin sifulan ni, sahabat lama kita ni…bagaimana? aktif lagi ke?’. Pelbagai jawapan yang ku terima…kesimpulan yang aku anggap menyedihkan bila sahabatku menjawab: “Dia dah tak aktif mana-mana dah, dia sibuk dengan kerja’’. "Balik Malaysia je dia terus berubah".

Mungkin bagi sesetengah orang kerja juga satu usaha dakwah, apatah lagi kalau memang ia ditugaskan di bahagian dakwah, di mana-mana jabatan kerajaan. Baginya tugas dakwah yang berjadual dari jam 8 pagi hingga 5 petang sudah cukup memenatkan dirinya sebagai pendakwah. Begitu juga seorang pensyarah dan guru, dengan kerja rasminya menyampaikan ilmu sudah memadai ia melaksanakan kerja-kerja dakwah. Sama juga ahli perbankan, kesibukannya mewujudkan instrumen dan produk baru dalam perbankan Islam sudah memadai ia anggap sebagai kerja dakwah.

Sebenarnya mereka dan aku tahu dan telah diberitahu dalam silibus yang dibaca berjam-jam selama bertahun-tahun ketika di sekolah menengah dan university, semua usaha itu belum mencukupi. Dakwah yang kita fahami bukan sekadar itu. Orang lain yang tidak pernah ditarbiah secara harakiah juga buat semua itu. Jadi apa bezanya kita dengan mereka?. Lebih malang lagi ilmu dan tarbiah yang dilalui selama bertahun-tahun tidak diperturunkan pun pada anak-anak. Akhirnya anak kitapun sama macam anak orang lain. Tidak memahami agama mereka kecuali untuk menyelamatkan diri sendiri.

Kadangkala aku terfikir, mungkin ada kesilapan pada pendekatan, manhaj, wasilah dan apa-apa lagi yang ada kaitan dengan tarbiah di Universiti? Mungkin terlalu banyak teorinya hingga terlupa praktikalnya. Terlalu banyak pembelajaran dalam kelas yang bernama usrah dan terlupa mewajibkan para pelajarnya keluar untuk melaksanakan Latihan Industri atau Latihan Mengajar. Akhirnya kepulangan mereka sekadar membawa teori dan tak mampu mempraktikkan semua teori dakwah tersebut apabila sudah berada di bumi nyata?.

Mungkin juga tabiat tarbiah memang begitu. Dalam ratusan orang, tidak semuanya akan menjadi. Bukan semuanya berkualiti. Seperti kata Rasulullah SAW:

إِنَّمَا النَّاسُ كَالْإِبِلِ الْمِائَةِ لَا تَكَادُ تَجِدُ فِيهَا رَاحِلَةً

Rasullullah saw telah bersabda;
“ Manusia itu seperti unta, hampir tidak ditemui seekorpun dari seratus yg sesuai untuk dijadikan tunggangan jarak jauh” (HR al-Bukhari)

Dalam ratusan yang telah menerima tarbiah dan kefahaman, tidak ramai yang merasakan apa yang mereka terima satu amanah yang bakal dipertanggungjawabkan. Satu perintah yang wajib dilaksanakan.

Kalaupun ia tidak yakin dengan manhaj dakwah yang telah diajarkan kepadanya, ambil manhaj lainpun tidak mengapa asalkan ia…bergerak, ikutilah gerakan apapun yang masih berjuang dalam lingkaran Islam yang sahih asalkan…bergerak. Jangan pencen awal sebelum sampai masanya. Tapi sayang, ramai benar yang telah isi borang pencen sebelum option sebenar tiba. Akhirnya seperti biasa, dakwah ini kekurangan tenaga pakar dan murabbi. Setelah bertahun-tahun dtarbiah, skill dan kepakaran yang ada tidak digunakan untuk membantu ‘fikrah’ berkembang tapi digunakan untuk memperkembangkan kerjaya, naik pangkat, gaji dan mengembangkan badan…Mungkin mereka memiliki ijtihad tersendiri...

Memang benar kata Rasulullah SAW, manusia macam unta, tapi aku tidak mahu menjadi unta. Walaupun tahu kemampuan diri sangat rendah, tahap tarbiah tidak sehebat orang lain, tapi aku tetap yakin bahawa tidak ada jalan lain yang lebih benar lebih dari jalan yang di atasnya aku dibesarkan. Lagipun atas jalan ini masih ramai rakan-rakan lama yang bergerak, bahkan makin laju setiap hari. Pernah seorang sahabat berkata kepadaku: kita makin tua, tinggalkanlah sebanyak mungkin pewaris perjuangan ini. Kalaupun terpaksa mencari unta, biarlah unta yang sanggup berjalan jauh dengan penuh istiqamah walaupun perlahan...unta yang sanggup berkorban dan bukan terkorban sebelum sampai matangnya.

Cuma bila ku perhatikan pada diri anak-anak didikku…aku jadi takut sendiri, hingga aku juga bertanya pada diri sendiri: Siapa di kalangan mereka mampu menjadi seekor unta yang cergas atau keluar sahaja dari university, mereka menjadi sebahagian dari kawan-kawanku yang pencen sebelum sampai masanya?. Bukan apa, kadangkala sesetengah anak didik sudah mula menampakkan potensi kecicirannya sebelum tamat latihan…

Untuk menenangkan hati sendiri, aku baca semula bab terakhir dalam al-Muntalaq…’tarkiz la takathur’…bahawa itulah tabiat dakwah yang aku telah dididik puluhan tahun untuk memahami dan melaksana….

0 comments: