Monday, November 16, 2009

KRISIS???



“Krisis lagi?”. Begitu mungkin yang menjadi tandatanya sesetengah orang tidak melibatkan diri dalam gerakan dakwah. “Sebab tu dari dulu ana tak minat nak join grup-grup dakwah ni, buat serabut kepala sahaja” Ulas membernya. “Betul tu, diorang masing-masing mengaku yang merekalah gerakan Islam unggul, lebih asolah, lebih islami, lebih...”, Jawab sorang lagi.

Dari zaman aku remaja lagi, pergeseran sesama gerakan Islam dah jadi isu biasa. Bahkan perselisihan dalam grup yang sama juga menjadi isu hangat yang diperkatakan. Sedangkan kadangkala halatuju perjuangan mereka sama, manhaj dan wasilah yang sama, fikrah yang dibawa juga sama…tapi bila sudah ‘berselisih pandangan dan berbeza sedikit kefahaman’ macam tak ada jalan untuk berbaik semula. Di luar sana gerakan-gerakan ini mencanangkan yang Islam ini agama perpaduan. Ukhuwwah Islamiah itu sumber kekuatan ummah…tapi balik ke rumah sendiri, masing-masing bermasam muka kalaupun tidak berperang menghunus pedang. Pelik melihat gelagat pendakwah abad ini..

Lantaran itulah agaknya Islam yang dibawa lambat geraknya, asyik tersangkut diperjalanan. Ini kerana pembawa syiarnya terlalu banyak menghabiskan masa ‘bergaduh di tengah jalan’, atau ‘terpaksa berhenti untuk meleraikan pergaduhan’, atau ‘sekurang-kurangnya menjadi penonton pergaduhan’…

Musuh yang cuba dikalahkan sudah berada di hadapan, mereka bersatu dan tidak menoleh kebelakang. Akhirnya si pembawa obor kebenaran kecundang di penghujung jalan dengan usia habis begitu sahaja dan tak mampu menghasilkan keuntungan yang maksimum. Tidak mengapa juga kalau sampai ke hujung! Tapi ramai yang bersikap ‘malas nak peduli’ dan balik ke rumah berehat sampai akhir hayat apabila melihat rakan-rakan yang bersemangat ‘bergaduh sesama sendiri’.

Aku risau benar melihat fenomena ini. Seolah-olah ukhuwwah dan perpaduan dalam Islam ini suatu yang bersifat teorikal sahaja dan bukannya praktikal. Apa tidaknya, kita yang mengaku pembawa Islam paling ramai ‘sempit dada’ dalam berhadapan dengan kelainan dan perselisihan. Bagaimana dengan orang yang langsung tidak diajar dengan apa itu ‘ukhuwwah’, ‘ithar’, ‘fiqh al-Ikhtilaf’ dan lain-lainnya?. Sedangkan kita diajar supaya ‘tolong menolong pada perkara yang kita sepakati dan bertolak ansur pada perkara yang diperselisihkan’. Rasulullah SAW juga mengajar kita “ Tiga perkara sesiapa yang ada padanya akan dihisab oleh Allah (di akhirat nanti) dengan hisab yang mudah dan dimasukkan ke syurga dengan rahmatnya: berikanlah kepada orang yang enggan member kepadamu, maafkan orang yang menzalimimu, hubungkanlah (persaudaraan) dengan orang yang memutuskan hubungan”(al-Mustadrak: 3912: dhaif)
Kita terpaksa pasrah bahawa inilah hakikat umat Islam atau penyakit umat yang sukar dirawat. Apa tidaknya, doktor yang diberi peranan merawat lebih dahulu mengidap penyakit tersebut. Pastinya apapun ubat yang akan ia berikan tidak berkesan.

Benarkah sudah tidak ada jalan penyelesaian? Benarkah sudah tidak ada meja makan malam yang menawarkan hidangan yang lazat untuk kita duduk bersama? Atau sekurang-kurangnya padang golf, padang bola atau meja ping-pong untuk bermain bersama, ketawa bersama dan ceria semula? Kenapa ukhuwwah ini cuma di meja usrah? atau di bilik mesyuarat? ketika daurah dan tamrin sahaja? ketika pilihanraya dan demonstrasi? Begitukah Nabi SAW mengajar kita? Mana perginya ruh ziarah menziarahi? Mana perginya majlis BBQ? Majlis kenduri kendara?. Pengamatanku, orang yang sibuk dalam dakwah ‘kadangkala’ paling kurang semangat ‘ziarah’. al-Maklumlah sibuk sangat dengan dakwah. Bahkan kurang betul buat kenduri kendara, sebab merasakan semua itu bid’ah. Hingga kadangkala kehadirannya tidak dirasai oleh masyarakat se kampung dan se taman.

Kadangkala perselisihan lebih dahulu dibawa ke ruang mahkamah dan perundangan sebelum dibincangkan dimeja makan dan rundingan. Padahal Islam mengajar kita al-Sulh dan berlapang dada.

Walaupun teori ukhuwwah itu kita pelajari dalam majlis formal lewat usrah dan daurah tapi tak perlulah diformalkan. Bahkan ukhuwwah sejati melimpasi batasan formal…Ukhuwwah sepatutnya melahirkan perasaan kekeluargaan. lantaran itu aku rasakan semua seniorku abang-abang dan kakak-kakakku, junior ku sebagai adik-adik dan anak-anakku. Bahkan sebahagian besar anak buah halaqah dan pelajar ums ku memanggilku ‘abi’…macam panggilan anak-anakku sendiri…untuk membuang benteng ukhuwwah yang sering melekat dalam diri orang melayu lewat pangkat dan gelaran.

Bila ada isu dan perselisihan, perlukah semua perkara mesti dihebohkan di dalam surat khabar, hingga musuh menjadikan ia isu untuk meremehkan pejuang dan Islamnya. Bukankah Islam mengajar kita supaya mengunci semua pintu keaiban dalam rumahtangga sendiri? Bila imej sudah tercalar, bukan mudah untuk membersihkannya semula…

Memang kadangkala apa yang kita rasa itu benar, pandangan kita juga benar, beserta dalil dan hujah yang mantap. Tapi kalahkah kita kalau mengalah seketika untuk menang selama-lamanya. Bukankah ‘al-nasru sabru al-Sa’ah’. Bukankah ‘mengalah itu tidak semestinya kalah?’. Atau tidak perlu mengalah…aku juga tidak akan mengadaikan prinsip hidup yang ku yakini, tapi ini tidak bererti aku menolak prinsip orang lain. Macam makan, dulu aku tak suka makan belacan walau seluruh ahli keluargaku suka makan belacan. Walau aku tak suka bau dan rupanya, tidak menyebabkan aku meninggalkan hidangan yang dimasak oeh arwah ibuku. Aku makan bersama mereka…Cuma aku tidak akan menyentuh makanan yang dicampur belacan. Aku tidak marah mereka makan belacan walaupun aku tak suka. Ini kerana mereka adalah keluargaku, aku diajar untuk menyayangi mereka. Bagiku, kalau tak mampu dapat sepenuhnya, aku tak mahu kehilangan seluruhnya. Bahkan dengan pelajar-pelajarku yang bukan Islam pun aku sering makan bersama….

Alangkah indahnya persaudaraan Abdul Rahman bin Auf dan Sa’ad bin al-Rabi’ ketika hijrah. Hebatnya Sa’ad apabila lebih dahulu menawarkan apa yang ada padanya untuk memperkukuhkan ukhuwwah dengan Abdul Rahman. Siapa yang akan mula dulu membuka ruang pintu hatinya untuk bersikap terbuka, mencari jalan persamaan dan penyelesaian, mengalah dalam mencari kebenaran? Siapa yang sanggup menghulur tangan dan merancang plan perdamaian? Selalunya orang yang pertama itu sangat istimewa…(alQuran pun tak menyamakan orang yg masuk Islam sebelum fathul Mekah dan selepas al-Fath).

Apapun aku cuba untuk terus husnu al-Zann dengan semua orang dan meneruskan kerja yang termampu. Aku yakin mereka semua kuat bekerja dan tinggi tahap keikhlasannya. Semua mereka mengharapkan kesudahan amal mereka diterima Allah dan menjadi syafaat memasukkan mereka ke dalam syurga. Lantaran itu bagiku, mereka ini jauh lebih berharga dari mereka yang hingga kini masih duduk berpeluk tubuh berehat tanpa buat apa-apa. Bahkan jauh lebih berharga dari mereka yang ditarbiah begitu lama dan tamat muqararnya tapi mengambil skim pencen muda sebelum tiba masanya. Bukankah ayam sabung itu dianggap gagah berbanding dengan ayam ‘karan’ yang tunggu masa untuk disembelih.

Aku yakin sampai masa pasti Allah pertemukan semua mukhlisin di satu jalan yang sama. Dah tua-tua begini dah tak banyak masa untuk melihat kebelakang…..

0 comments: