Sunday, April 11, 2010

CINTAILAH ILMU

Hampir dua minggu seramai 5 orang pelajar perubatan yang sedang bercuti mendatangi pejabatku. Mereka datang untuk belajar buku yang ada kaitan dengan fiqh perubatan dan fikrah Islamiah. Sebelah pagi mereka belajar bersama sahabatku yang juga ustaz di UMS. Ia mengajar mereka tafsir dan . Setiap hari mereka habiskan masa selama 4 jam untuk belajar agama. Suatu yang mustahil mampu mereka lakukan ketika waktu perkuliahan universiti berjalan.


Mereka sengaja melambatkan jadual bercuti di kampung untuk tujuan tersebut. Mereka ini adalah pencari ilmu yang mengikuti kaedah yang diletakkan oleh Imam Malik: sesungguhnya ilmu itu didatangi dan bukannya mendatangi.

Belajar atas rasa kemahuan sendiri bagi memenuhi tuntutan agama pasti hasilnya berbeza dengan orang yang belajar kerana terpaksa atau atas tuntutan lulus periksa semata-mata. Seperti orang yang memilih menu sendiri, seleranya pasti berbeza daripada makanan yang ditapaukan oleh orang lain dan menunya bukan pilihan sendiri.

Mencari ilmu adalah satu perjuangan dan kelazatan. Lihat sahaja pengembaraan yang dilakukan oleh imam-imam yang agung seperti Syafie, Bukhari dan lain-lainnya. al-Bukhari sanggup mengembara berbulan- bulan hanya kerana sepotong hadith. Akhirnya hasil usaha pencariannya mampu dimanfaatkan oleh jutaan manusia sepanjang zaman.

Tapi tidak ramai pelajar sebegitu. Tidak ramai generasi muda seperti mereka. Bahkan ramai pelajar yang menghabiskan masa muda dengan kerja yang sia-sia. Buku kuliah yang menentukan nasibnya ketika exam pun kadangkala tidak habis dibaca. Kuliah yang diwajibkan kehadiran pun sering kali terlupa. Generasi sebegini agak ramai bilangannya walau bergelar mahasiswa. Lantaran itu kalau luluspun di tahun akhir, sekadar membawa PNGK nyawa-nyawa ikan dan kurang kepakaran.

Paling menyedihkan gejala 'malas' ini juga sering menimpa golongan muda dalam saf dakwah. Mereka mudah berpada dengan satu dua kitab dan selebihnya adalah semangat membara. Sayangnya ia cuma melahirkan bunyi guruh yang tidak menurunkan hujan. Sepatutnya merekalah yang perlu menunjukkan contoh teratas dalam mengejar kecemerlangan ilmu. Bahkan ilmulah keperluan dakwah yang paling utama. Allah ketika mmenjadikan Adam khalifah di atas mukabumi, membekalkannya dengan ilmu sebagai keperluan pertama menunaikan tanggungjawab tersebut. Imam Hassan al-Banna telah meletakkan rukun faham dan 20 usul faham yang menjadi prasyarat menjadi seorang pendakwah. Lantaran itu tarbiah perlu melahirkan pemuda yang minat ilmu, banyak membaca dan mencarinya sepanjang masa.

Apapun aku berbangga dengan orang muda seperti mereka. Mereka orang cerdik kerana itu belajar bidang perubatan. Mungkinkah kerana mereka cerdik menyebabkan mereka 'rajin' ataukah kerana mereka 'rajin' menyebabkan mereka cerdik? Aku lebih setuju dengan andaian kedua kerana sikaplah menentukan tindakan. Ramai orang gagal dalam hidupnya bukan kerana tiada kemampuan tapi kerana sikap dan keperibadian buruk. Lantaran itu Allah SWT perintahkan kita mengubah sikap dan sifat dalaman baru Allah akan merubah nasib luaran kita.

Apa-apapun abi ucapkan terima kasih kerana belanja makan di sesi terakhir pembelajaran. InsyaAllah habis cuti nanti kita teruskan dengan perbincangan buku-buku lain pula. Amal sedikit tapi berterusan lebih dicintai Allah dari amal yang banyak tapi terputus-putus. Selamat bercuti.

Flight MAS KLIA2KK

3 comments:

  • putra-alkahfi says:
    April 11, 2010 at 9:25 PM

    salam. masa alam di universiti lah, waktu paling berharga untuk menuntut ilmu. mengutip ilmu di universiti umpama mengutip mutiara di lautan, kerana di situ terdapat jutaan cendiakawan....

    samapikan salam saya pada musafir ilmu tu ya ustaz.

  • thegabenor says:
    April 13, 2010 at 6:23 AM

    SALAM. Sikap 'pelajar' masa kini barangkali. Jujurnya saya suka berkawan dengan pelajar perubatan. Memang mereka pencari ilmu dan merendah diri. Sesekali mereka bertandang ke bilik semata-mata meminta suatu pendapat dan saya gembira mereka juga selalu membantu. Awal pagi selepas subuh usai mentadabur alam, saya balik ke kolej kediaman, hanya pelajar perubatan yang paling awal menunggu bas. Saya gembira kerana mereka saudara seagama saya. Dan saya sedih hanya saya pelajar bukan perubatan yang berjalan menghirup udara segar...

  • Umar Safri says:
    April 17, 2010 at 6:30 PM

    Assalamualaikum w.b.t.

    Y.Bhg. Ust...

    Ana amat tertarik dan setuju dgn gesaan di dlm artikel di atas. Cuma ada bbrpa persoalan yg masih tersimpul di dlm diri ana yg sedikit jahil ini:

    1. Apa pandangan sekiranya kita menjadikan ilmu itu kekasih kita? Apb kita mengangkat ilmu sebagai kekasih maknanya, ia perlu kpd pembuktian kecintaan. Buktinya mungkin pada kegigihan kita menuntutnya, mengamalkannya dan menyebarkannya utk manfaat insan lain.

    2. Imam Syafi`i mengibaratkan ilmu itu spt cahaya dan tidak akan masuk ke dalam hati yang kotor. Apa pandangan jika kita menganggap ilmu itu memiliki emosi. Maknanya ilmu tsbt akan marah (akibatnya kita akan lupa/sukar faham ilmu tersebut) sekiranya kita tidak menghormati serta mengamalkannya.

    3. Ibnu Sina berpendapat asas kpd pendidikan adl Al-Quran & Hadis. Kena hafal (semua/sebahagian) kedua2 ini dulu baru menuntut ilmu2 yg lain spt perubatan, geologi, kejuruteraan dll. Apa pandangan jika kita kaitkan hal tsbt kpd sistem pddkan hari ini.

    Sekian, terima kasih.

    Nota: Betulkan ana jika tersilap.