Thursday, May 27, 2010

Pindah..

Setelah 2 hari bertungkus lumus, hasrat untuk berpindah pejabat menjadi kenyataan. Dulu mengimpikan untuk berpidah tempat kerja, tapi ada pula halangannya. Mungkin belum rezeki. Akhirnya aku buat keputusan pindah pejabat dari tingkat 1 ke tingkat 3. Ramai kawan-kawan bertanya: “Kenapa pindah?” Jawapanku ringkas: “Bosan”. Tapi hakikatnya berpindah amat memenatkan. Mana lagi terpaksa memungguh kitab-kitabku yang sebahagian besarnya ku tempatkan di pejabat. Tapi bila dah bosan, aku sanggup lakukan.


Melakukan perkara yang sama menimbulkan kebosanan. Bila sudah bosan, cantik pun nampak hodoh, lazat bertukar pahit dan luas menjadi sempit. Itulah kelemahan manusia. Mungkin itu juga keistimewaan mereka. Pernah seorang sahabat bernama Hanzalah al-Usaiyyidi datang bertemu Rasulullah SAW dan mengadu tentang keadaan dirinya: Wahai Rasulullah, Hanzalah telah menjadi munafiq. Rasulullah bertanya: Kenapa yang demikian itu?. Hanzalah menjawab: Ketika kami berada di sisimu kau ingatkan kami tentang neraka dan syurga hingga selah-olah kami melihat keduanya berada di hadapan mata kami. Bila kami kembali kerumah, kami dilalaikan oleh anak-anak, isteri dan kebun-kebun kami. Lalu kami melupakan kebanyakkan apa yang kau sebutkan. Rasulullah SAW menjawab: Demi diriku yang ada di tangannya, kalau kamu mampu berterusan dalam keadaan kamu (ketika di sisiku), nescaya para Malaikat akan berjabat tangan dengan kamu di atas tempat tidur dan laluan-laluan kamu, tetapi hanzalah (selagi mana ia manusia) ada masa rehat ada masa ibadah (disebut baginda tiga kali). (HR Muslim: No. 4937)



Manusia perlukan kelainan. Perlukan hiburan. Perlu tukar angin. Selagi dibenarkan oleh syara’. Andai dibiar berterusan, hati manusia akan lesu dan kepenatan. Bosan menyebabkan ia hilang kualiti diri dan kerja.

Amal dakwah juga kalau melakukan perkara yang sama tanpa ada inovasi baru akan menjemukan. Lantaran itu sesekali aku adakan perbincangan ilmiah dengan anak-anak buahku di restoran yang agak sunyi. Sambil berbincang menjamu minda, mulut dapat berperanan menjamu selera. Itu lah manusia. Hanya Malaikat yang mampu bertahan melakukan sesuatu tanpa rasa bosan.

Mungkin kerana itu kerajaan berikan kita 2 hari seminggu untuk bercuti. Bagi pensyarah setiap 5 tahun sekali mereka boleh mohon cuti sabatikal untuk melakukan penyelidikan dan sebagainya.

Pendek kata setiap manusia tak sama. Ada yang mampu bertahan lama dengan perkara yang sama, ada yang tidak. Aku dalam kategori ke dua.

Ada orang pernah bertanya kepadaku: Saya dah solat semenjak kecil dan 5 kali sehari, kadang terfikir rasa bosan, apa hukumnya? Kataku: Bosan tak bosan, solat tetap wajib dilaksanakan. Bahkan melaksanakannya dalam apa keadaan, tanda cinta kita kepada Allah. Itu tanda kita mendahulukannya melebihi segala-galanya termasuk emosi dan kepentingan diri.

Ada pula yang berkata: “Saya dah kahwin 30 tahun. Isteri yang sama. Masakan yang sama. Hidup yang sama setiap hari. Kadang timbul rasa bosan”. Kataku: Walaupun bosan, tapi kita masih sempurna melaksanakan tanggungjawab dan memberikan hak yang sepatutnya pada isteri. Itulah kemuncak cinta kepadanya.

Tapi kalau bosan pulak selepas ini…aku nak pindah ke mana? ermmm…selagi tak masuk bilik ukuran 7 x 7 x 3…selagi tu penyakit bosan pasti datang. He he


0 comments: