Monday, June 21, 2010

HARI BAPA?


Ahad 20 Jun 2010 -Hotel Asia Lahad Datu:

Terkejut aku digerakkan oleh sms bertalu-talu pada handphone ku. Siapalah yang menghantar sms pagi-pagi ni?…Lepas solat subuh aku tertidur semula menunggu waktu kelas jam 9 pagi. Kelmarin (sabtu) hampir 8 jam aku mengajar, sempat rehat sekejap untuk solat asar dan maghrib. Hari ini aku akan berdiri mengajar selama 8 jam lagi untuk satu program Diploma di sini. Pelajar majoriti sudah bekerja dan memahamkan mereka kursus Muamalat bukanlah satu kerja yang mudah. Petang nanti habis kelas aku akan terus bergegas ke airport untuk balik ke Kota Kinabalu.


Bila ku buka handphone, terpampang…’Selamat Hari Bapa Abi’…sms dari anak-anakku dan anak-anak angkatku. Oh, rupanya hari ini hari bapa. Akupun tak pernah ingat bila hari bapa disambut. Kalau hari ibu memang aku dan anak-anak selalu raikan ummi mereka, tapi tidak hari bapa
.

Semenjak berusia 23 tahun aku sudah bergelar seorang bapa. Waktu anak pertamaku dalam kandungan aku dan isteri sering berbincang, nak guna perkataan apa nanti apabila ia telah lahir untuk memanggil kami. Ayah dan ibu?, Baba dan Mama? Daddy dan Mummy? Abah dan Emak? Abi dan Ummi?...akhirnya kami memilih yang terakhir. Lahir anak pertama bertambah lagi satu jawatanku..dulu suami kini seorang abi.

Menjadi abi waktu anak-anak masih kecil agak mudah. Selain mencari nafqah untuk membesarkan mereka, pendidikan asas keilmuan, akhlak dan keagamaan merupakan keutamaan. Ilmunya pun basic sahaja. Anak pertama menjadi ‘bahan’ untuk ‘try & error’ bagi kami. Kadangkala anak pertama mengomen juga, kenapa abi dulu-dulu agak garang berbanding dengan adik-adik yang lain?. Akupun tak ada jawapan. Tapi, pengalaman menjadikan aku abi yang lebih ‘terpelajar’. Rasanya semua bapa akan melalui pengalaman yang sama. Lagipun usiaku ketika anak lahir anak pertama baru 20an sedangkan ketika anak ke enamku lahir aku sudah di usia 30an. Emosi juga sudah berbeza. Dah sesak nafas kalau membebel banyak. Dah lali dengan perangai anak-anak yang nakal. Aku cuma akan marah besar kalau kesalahan itu besar.

Kini anak-anakku sudah meningkat remaja. Sudah beberapa orang bersekolah menengah dan tinggal di asrama. Cabaran menjadi bapa semakin sukar. Bukan sekadar sara hidup bertambah, cara berfikir anak-anak juga perlu ditambah. Anak-anak sudah perlu diajar tentang makna hidup, tentang perjuangan, tentang perancangan…kalau dulu di atas tangan abi dan ummi mereka belajar mengeja dan membaca, kami juga mengharapkan asas tarbiah fikriahnya terhasil dari usrah keluarga. Dulu, aku memahami semua itu di tangan abang-abang di sekolah. Kini, biarlah semua itu bermula dari rumahku. Ramai ibubapa yang ada fikrah tidak memahami tanggungjawab tersebut atau ‘faham’ tapi sukar melaksanakannya. Aku juga merasai kesulitan tersebut. Mereka bukan lagi baby kecil yang mengikuti apa sahaja yang kita arahkan. Mereka perlu ‘logik dan meyakinkan’ baru mereka melahirkan ketaatan. Tapi..itulah tanggungjawab asasi yang perlu kami tunaikan apabila anak-anak sudah menginjak usia remaja. Aku ingin anak-anak mewarisi fikrah, kefahaman dan perjuanganku. Itulah harta paling berharga yang Allah SWT anugerahkan padaku dan isteriku. Itu jugalah yang menjadikan kami ada 'nilai dan harga'.

Pastinya di hadapan sana cabaran lebih besar. Anakku sudah ada yang belajar di Pusat Pengajian Tinggi…sudah mula berhadapan dengan pelbagai tanggungjawab. Perlu diajar mengenai prioriti dalam hidup. Bahkan aku sudah mula berbicara dengan mereka soal cinta dan rumahtangga. Ini kerana, mereka juga akan menjadi seperti aku. Mungkin juga akan bergelar seorang suami dan isteri, abi dan ummi…ketika masih di alam universiti seperti aku.

Namun aku sedar, aku bukanlah yang terbaik walau telah berusaha menjadi yang terbaik buat anak-anakku. Lantaran itu, aku tak berkecil hati kalau mereka tak ucapkan ‘Selamat Hari Bapa’ sebab aku yakin benar, aku masih belum melaksanakan sepenuhnya tanggungjawabku sebagai seorang abi. Apapun kalau aku gagal menjadi abi terbaik, biarlah mereka anggap aku kawan terbaik dalam hidup mereka….

0 comments: