Tuesday, February 15, 2011

MAK! BAPA!...AKU NAK KAHWIN....(2)




TAPI PAK, ANAKMU INI SUDAH LAYAK BERKAHWIN…

Setelah meyakini bahawa anda sudah layak berkahwin, yakin bahawa had minum berjaya dipenuhi dan rumahtangga yang bakal terbina amat penting dalam perjalanan dakwah anda… mulakanlah langkah. Langkah pertama yakinkan keluarga kedua-dua belah pihak. Si lelaki waktu ini memainkan peranan penting. Sebagai bakal ketua keluarga, dia kena tunjukkan skill kepemimpinannya waktu itu. Ia kena berani memujuk kedua ibubapanya dan ibubapa bakal isterinya. Kalau perlu orang tengah, cari orang tengah yang benar-benar mahir berkomunikasi dengan orang tua.


Pernah ada pelajar datang dan menceritakan kepadaku yang ibubapanya keras kepala, tak mahu berbincang langsung soal perkahwinan dengan orang tengah yang ia ‘lantik’. Kataku kepadanya dengan nada bergurau: “cuba dapatkan khidmat Dr. Yusuf Qaradawi”. Ya, dulu waktu anda ingin meyakinkan pasangan anda bahawa anda lelaki terakhir yang terbaik untuknya anda usaha habis-habisan, takkan waktu di medan sebenar anda sudah mengalah? Mana pergi keperwiraan dan kelakian sejati anda? Hehe. Itu yang aku buat waktu melamar isteriku. Bakal Ibubapa mertua tak mahu guna orang tengah, mereka nak berbincang dengan aku sendiri. Baru je tamat final exam terus aku balik Malaysia untuk bertemu dan berbincang, first time jumpa, selama ni dengar suara sahaja di telepon. ‘Ketakkk juga kepala lutut” maklumlah orang yang aku nak berbincang ni agak tegas orangnya, polis bermisai. Tapi, dah nak sangat kahwin, kenalah aku beranikan diri dan kuatkan hati. Panjang perbincangan kami. Apapun, moga Allah merahmati roh al-Marhum bapa mertuaku atas keyakinannya kepadaku yang waktu itu aku serba kekurangan dan cuma ada duit untuk membeli tiket pulang dari JB ke Lawas Sarawak. Begitu juga ibu mertuaku, moga Allah terus memberikan kesihatan kepadanya.

YAKINKAN KELUARGAMU DULU..

Memang seorang lelaki tak perlu wali untuk berkahwin. Tapi restu ibubapa amat penting dalam mendirikan rumahtangga. Wanita pula amat perlu restu bapanya kerana ia walinya. Perkahwinan juga bukan sekadar mempertautkan dua hati bahkan dua keluarga. Andainya dari awal lagi ada ‘api kecil’ dalam ikatan, mungkin ia akan merebak dan membakar hangus perhubungan.

Tapi bagaimana caranya meyakinkan keluarga? Anda mesti meyakinkan mereka bahawa anda telah matang walau masih muda. . Mampu memimpin diri dan dewasa dalam menentukan arah hidup. Cuba penuhi keperluan asas ibubapa. Kalau tak mampu semuanya biarlah sebahagian daripadanya. Bagi ibubapa yang miskin macam ibubapaku dulu, cuba hulurkan sebahagian dari pendapatan anda kepada mereka. Ada anak-anak yang sanggup memberikan sedikit dari wang biasiswa/pinjaman kepada kedua ibubapanya. Walaupun mungkin nilainya kecil tapi sebenarnya besar di sisi ibubapa. Itu tanda anaknya sangat bertanggungjawab dan boleh diharap. Sesetengah ibubapa kadangkala tak memerlukan wang itu, tapi andai mereka menerimanya itu satu penghormatan buat mereka. Hadiah dari seorang anak yang selama ini ia besarkan dengan kasih sayang. Bagi mereka, anaknya sudah matang, pandai menghargai orang dan bukan lagi jadi beban keluarga. Tapi bagi si anak yang tak pernah cukup wang biasiswa/pinjaman bahkan terpaksa di topup setiap bulan, kemudian menyatakan hasrat untuk berkahwin kepada ibubapanya..memanglah permintaan itu tidak logik bagi mereka. “Diri engkaupun terpaksa kami tanggung, engkau nak tambah beban kami dengan menanggung bini engkau pula?” Tak mustahil itu jawapan mereka.

Matangkan diri anda di hadapan mereka. Penampilan dan ketrampilan, sikap, cara bercakap, cara mengurus diri perlu nampak matang apabila berada di rumah ketika bersama keluarga. Jangan usia saja bertambah, nama sahaja masuk universiti, tapi bila balik bercuti di rumah, ibu berleter kepada kita macam kita ini masih budak kecil. Memang pun mungkin perangai kita macam budak kecil.

Mungkin sesetengah pembaca beruntung sebab ibubapanya kaya. Berbeza dengan aku. Kami orang susah. Sebagai anak lelaki dan anak sulung tanggungjawab aku sangat besar pada keluarga. Jarang sangat aku minta duit dari ibubapaku ketika sekolah menengah apatah lagi ketika di universiti. Bahkan sebahagian biasiswaku aku hantar balik ke kampung. Ketika di Universiti, aku akan balik kekampung setiap dua tahun sekali. Aku akan bekerja, dan waktu itu dengan kelulusan SPM aku sudah boleh jadi guru sandaran. Semua wang gaji aku serahkan pada bapaku, untuk membuat rumah. Zaman dulu dengan duit beberapa ribu ringgit sahaja kami boleh menyiapkan rumah yang agak selesa di kampung. Bahan mentah seperti kayu semuanya tersedia di hutan, cuma upah tukang sahaja untuk memotongnya. AL-hamdulillah di hari perkahwinanku rumah itu siap sepenuhnya walaupun tidaklah sempurna. Itu juga berkat sumbangan dari adik beradikku yang lain yang telah bekerja. Aku berkahwin selepas 2 minggu keputusan peperiksaan tahun akhir diumumkan dan seminggu selepas itu aku dan isteri meneruskan pengajian semula. Bahkan semua adik beradikku berkahwin ketika usia muda. Lebih muda dari usiaku ketika berkahwin.

Anda juga perlu meyakinkan ibubapa bahawa anda sudah faham tujuan dan keperluan berumahtangga. Nampak kematangan pada cara berfikir dan mampu berdikari dalam mengurus diri dan hidup. Pastinya ini memerlukan masa yang panjang. Bukan sehari dua bahkan bertahun-tahun lamanya. Ibubapa akan melihat bukan hanya cara kita berfikir dan mengurus diri, bahkan siapa kawan-kawan di sekeliling kita. Alhamdulillah aku beruntung sebab di sekeliling ramai kawan-kawan yang hebat. Mereka juga jauh lebih matang daripada aku. Itulah keberkatan tarbiah yang kami perolehi. Apabila balik ke kampung aku cuba mendekati masyarakat. Sudah boleh naik mimbar, menjadi imam dan mengajar di masjid. Bahkan bila aku balik, bapaku menyerahkan tugasnya sebagai imam kepadaku.

Anda juga perlu melakukan demikian. Mungkin anda bukan seorang ustaz dan tak ada peluang naik mimbar dan menjadi imam, tapi anda perlu juga ke masjid sebagai seorang muslim. Masjid menghimpunkan orang-orang tua dan dewasa. Bergaul dengan mereka perlu untuk menampakkan bahawa anda orang dewasa walau masih muda. Anda juga perlu berkomuniti, terlibat dalam mengerakkan belia dan komuniti anda. Semua ini akan lebih menyerlahkan kematangan anda di hadapan masyarakat.

Tapi kalau balik bercuti anda habiskan dengan berkurung di rumah, dihadapan komputer, PS2/3/4 dan TV, bahkan makananpun tunggu mak hidangkan, apatah lagi anda seorang perempuan!. Lucu kalau ada orang berkata anda telah matang!. Anda memang belum matang dan tak layak berfikir untuk berkahwinpun!.

Bersambung….

0 comments: