Wednesday, February 16, 2011

MAK! BAPA! ...AKU NAK KAHWIN... (3)


PERELOKKAN CGPA/PNGK ANDA

Apa kena mengena CGPA dengan aku nak kahwin? Begitu jawapan seorang pelajar yang datang berbincang denganku waktu ia beranggan-anggan nak kahwin. Bagiku itu penting, itu sebahagian dari cara meyakinkan diri dan keluarga bahawa anda layak berkahwin. Bagi pelajar, perkahwinan pasti akan mengubah banyak sudut hidupnya. Bebannya akan bertambah. Andai ia tidak pandai mengurus keadaan, pasti akan menganggu penumpuannya terhadap pelajaran. Bagi pelajar yang memang dari awal bermasalah dalam pelajaran, pasti perkahwinan menambah lagi masalahnya. Jadi kalau anda memang merancang untuk berumahtangga ketika masih belajar, pastikan dari tahun satu lagi anda cemerlang dalam pelajaran. Ini lebih senang untuk memujuk ibubapa anda nanti. Kalau tak pasti awal-awal lagi ia membebel: “ alahai, pointer tak sebaik mana ada hati nak kahwin. Urus diri sendiripun tak pandai, berangan-angan nak urus anak orang”.


Tidak dapat dinafikan ada pelajar yang semakin cemerlang akademiknya setelah berumahtangga. Memang rumahtangga akan dapat membantu memberi ketenangan dan mengajar pelajar erti fokus dalam setiap aktiviti. Waktu bujang biasanya mereka habiskan dengan banyak aktiviti buang masa. Bila kahwin, tanggungjawab sudah ada di hadapan mata. Dulu single, kini sudah ada isteri yang perlu ditanggung nafkahnya. Duit, masa dan masa depan perlu dikongsi bersama. Takkan nak lepak dan main-main belajar lagi?

Apapun, andalah yang mengukur keupayaan diri anda sebab anda juga yang akan menanggung sendiri apapun kesudahannya.



BERKAT ORANG TENGAH

Orang tengah, mungkin kuno bunyinya bagi belia masa kini. Bagi kami dalam sof tarbiah ia merupakan cara terbaik. Sesuai dengan adab sebagai seorang muslim dan adat istiadat Melayu. Bagi mereka yang terlibat dalam tarbiah, pasti murabbi merupakan orang pertama yang perlu diambil pandangannya. Mereka sekian lama mengajarkan anda erti hidup sebenarnya. Erti perjuangan dan pengorbanan. Mereka mengajarkan anda bagaimana menjadi muslim sejati, khalifah Allah di atas mukabumi dan sentiasa meletakkan semua urusan medium beribadah kepada Yang Maha Pencipta. Merekalah juga yang mengajar anda bahawa rumahtangga itu bukan sekadar tempat mencari ketenangan hidup bahkan ia sebahagian dari agenda besar Islam untuk mengembalikan keunggulan tamaddunnya. Sangat tak masuk akal kalau urusan perkahwinan sepenting ini anda sorokkan dari pengetahuannya. Bahkan dalam perbincangan dengan pihak keluarga, murabbi anda adalah orang yang paling tepat untuk diminta bantuannya.

Jangan bila sudah 'error' di kiri dan kanan, atas dan bawah baru anda menadah kasih di hadapannya. Waktu itu boleh dipertikaikan kesungguhan anda berkahwin untuk dakwah.

Memang antara kewajipan seorang murabbi ialah memberi bimbingan kepada anak buahnya mencari pasangan yang sesuai dengan fikrahnya. Memberi bantuan untuk menjayakannya. Jadi, kalau sudah terasa nak kahwin, berbincanglah dulu dengan murabbi anda. Kalau murabbi anda muda bujang seperti anda, pasti murabbi kepada murabbi anda dan ke atas akan bersedia membantu.


KAUNTER JABATAN AGAMA SEDIA MEMBANTU

Andainya setelah semua usaha memujuk keluarga gagal dilaksanakan khususnya di pihak wanita yang memerlukan wali untuk berkahwin, mintalah bantuan Jabatan Agama. Memang ada peruntukan wali hakim bagi wali yang ingkar atas alasan yang kurang munasabah. Saya sendiri kurang menggalakkan cara ini kecuali terpaksa. Ketika perkahwinan sudah jatuh hukum wajib. Iaitu kalau tak kahwin juga, maksiat akan terjadi atau berterusan melakukan maksiat. Nasihat ini selalu aku berikan kepada pasangan yang terlanjur dan wali tidak mahu memberi kebenaran bernikah, walau setelah mengetahui perbuatan mereka. Ini bagiku sebahagian dari cara penyelesaian berlandaskan undang-undang yang ada di negara ini.

Baca sebelumnya:
Mak! Bapa! Aku nak kahwin (1)
Mak! Bapa! AKu nak kahwin (2)

1 comments: