Tuesday, December 13, 2011

KENAPA?


“Dulu waktu mula-mula nak kahwin kenapa pilih dia, apa istimewanya dia?”. Itulah pertanyaan yang sering aku ajukan bila ada pasangan yang mengadu masalah mereka pada aku. Jawapannya pasti pelbagai. Pilihan dan citarasa manusia tak sama….

“Dulu saya ingat dia caring, tapi bila dah kahwin lain pula tabiatnya…”. “Dulu dia nampak penyabar, tapi bila dah kahwin dia rupanya panas baran”. “Dulu dia cute, sweet….”, “dulu dia nampak bertanggungjawab….”. “Dulu saya pilih dia sebab ekonominya kukuh, bolehlah saya dan keluarga tumpang berteduh…”. He..he..macam-macam cara manusia menilai dan meletakkan kriteria pilihan hidup.

Tapi dalam banyak-banyak tu jawapan yang paling aku suka dari wanita ini…”Dulu, saya memilih dia kerana agama, dakwah dan perjuangan, saya yakin dia mampu tarbiah saya lebih tinggi..”. Cepat aku menyoal: “ Habis tu, semua itu sudah tidak ada sekarang?”. Jawabnya: “Ada… tapi rumahtangga bukan hanya dakwah, perlu juga rumah, keselesaan hidup, jaminan masa depan dan lain-lain lagi…”. Pantas aku bertanya: “So, kira silap la ni? Kiranya dulu tak pilih betul-betul?…yang berjuang dan kaya atau berkemampuan seumpama Usman bin Affan?”. “Ermmm, saya tak lah mengharap sesempurna itu….”. “Habis tu?” tanya ku. “Entahlah ustaz…” jawabnya dengan nada yang tak puas hati. Akhirnya aku berkata: “Mungkin saudari pun tidak sehebat Ruqayyah dan Umm Kalthum yang kedua-duanya puteri Muhammad SAW…”.

Mana ada rumahtangga yang perfect? Anda juga tidak sempurna dan tak layak mengharapkan kesempurnaan pada pasangan anda. Bahkan dalam kehidupan ini, kadangkala kita terpaksa memilih antara dua keadaan. Kita dapat satu dan kehilangan satu yang lain. Mahu memperolehi semuanya cuma ada di dalam syurga. Semua kita tahu. Tapi sekurang-kurangnya anda telah dapat pilihan asasi , utama dan dharuri yang ada pada pasangan anda dan mungkin tiada pada orang lain. Agama dan perjuangannya. Bukan dulu anda yakin bahawa itu semua akan memastikan anda benar-benar dihargai sebagai wanita solehah dan mampu menunjuk jalan anda ke syurga?. Selagi asbab itu wujud, anda sepatutnya terus rasa beruntung!. Bahkan yang sepatutnya dikhuatiri ialah kalian telah kehilangan ‘asas’ utama yang kalian pacakkan tiang keluarga di atasnya iaitu agama dan dakwah . Kalau semua itu hilang, tunggu sahaja rumahtangga itu roboh dan kalau bertahanpun pastinya tidak akan sampai ke pintu syurga.

Ingatlah, masa yang panjang akan memakan naluri cinta dan kemesraan berumahtangga. Was-was syaitan akan mula memakan keyakinan kita umpama anai-anai memakan kayu. Kita perlu sentiasa meletakkan kawalan yang kebal dari serangan-serangan tersebut. Iaitu dengan memohon pertolongan dari iman, sabar dan redha. Anggaplah semua itu ujian kalaupun bukan kurniaan.

Kembalilah ke tapak asal anda berkeluarga andainya tersesat rasa dan jiwa. Itulah ‘mithaqan ghaliza’ yang sebenarnya bagi orang yang hidupnya bertunjangkan agama dan perjuangan. Namun andainya ada yang lain lebih bernilai dari semua itu, mungkin kita layak untuk mengambil pilihan seperti pilihan yang diberikan oleh Allah dan RasulNya kepada isteri-isteri Rasulullah SAW: (Surah al-Ahzab: 28-29)

أَيُّهَا النَّبِيُّ قُل لِّأَزْوَاجِكَ إِن كُنتُنَّ تُرِدْنَ الْحَيَاةَ الدُّنْيَا وَزِينَتَهَا فَتَعَالَيْنَ أُمَتِّعْكُنَّ وَأُسَرِّحْكُنَّ سَرَاحًا جَمِيلا.وَإِن كُنتُنَّ تُرِدْنَ اللَّهَ وَرَسُولَهُ وَالدَّارَ الآخِرَةَ فَإِنَّ اللَّهَ أَعَدَّ لِلْمُحْسِنَاتِ مِنكُنَّ أَجْرًا عَظِيمًا.

28. Wahai Nabi, Katakanlah kepada isteri-isterimu: "Sekiranya kamu semua mahukan kehidupan dunia (yang mewah) dan perhiasannya (yang indah), maka marilah supaya Aku berikan kepada kamu pemberian Mut'ah (sagu hati), dan Aku lepaskan kamu Dengan cara Yang sebaik-baiknya.
29. "Dan sekiranya kamu semua mahukan (keredaan) Allah dan RasulNya serta (Nikmat kemewahan) di negeri akhirat maka Sesungguhnya Allah menyediakan bagi orang-orang Yang berbuat baik di antara kamu: pahala Yang besar".

Jom, jadikan akhirat, agama, risalah dan dakwah menjadi topik utama dalam sembang keluarga dan bual biara kita bersama pasangan. Adapun duniawi ini kita nikmati seadanya dan tidak menjadi agenda hidup seperti mereka yang tak faham erti hidup sebenarnya.

(Cerita di atas adalah rekaan sahaja, tiada kena-mengena dengan yang hidup atau telah mati. Sekadar imiginasi penulis)

1 comments:

  • PCL says:
    January 19, 2012 at 5:45 PM

    Assalamualaikum, sy suka baca dan satu penghargaan buat anda.