Thursday, February 2, 2012

RESEPI ASOLAH

Cepat-cepat aku memandu menuju sebuah restoran yang sudah agak lama tidak ku ziarahi. Dulu masakan di situ sangat sedap menurut rasa lidahku. Kedai itu tidak banyak berubah. Nama kedai tetap sama, menu yang tertampal juga sama bahkan tokey dan pekerjanya juga sama. Akupun memesan menu yang biasanya menjadi kegemaranku. Tomyam kelapa muda dengan ayam dan nasi putih. Nama tomyamnya pun sudah istimewa belum lagi rasanya.

Setelah menunggu agak lama, tomyam yang ku pesanpun sampai. Selepas bismillah aku mulakan dengan menghirup kuah tomyam….baru masuk sedikit ke mulut…cisss..aku bertanya dalam hati? Tomyam apa ni? Sangat tak sedap dan sangat berbeza dari beberapa bulan sebelumnya. Memang tak sedap…. Patutlah aku lihat kedai itu mula lengang, tidak seperti dahulu. Ku kira-kira tak sampai separuhpun meja di kedai itu yang diduduki pelanggan. Kalau dulu terpaksa tunggu giliran untuk dapatkan tempat duduk,. Oleh kerana takut membazir akupun cuba habiskan tomyam tersebut dengan memaksa mulut menelannya. Tapi hatiku terus membentak walau tanpa sebarang bicara.

Sepanjang perjalanan pulang aku berfikir, apa yang telah jadi pada kedai itu?
Nama kedai tidak berubah, menu tidak berubah, nama menu tidak berubah!. Tukang masak ku lihat juga orang yang sama!. Pelayannya juga sama!. Tapi kenapa tomyam kelapa mudanya tidak sesedap dulu. Pelangganpun semakin berkurangan!.

Satu kesimpulan yang aku buat, mungkin tukang masak sudah menukar resepinya atau resepinya tidak berubah tetapi ia memasaknya sambil lewa. Akhirnya masakannya sudah tidak sama seperti biasa. Kalau berubah untuk lebih sedap tak apalah juga, ini sebaliknya.

Begitulah juga sebenarnya dalam dakwah dan perjuangan. Setiap gerakan ada objektif, manhaj, wasilah dan kefahamannya tersendiri. Itu membezakannya dari nama-nama lain di lapangan. Semua itu selalunya sudah wujud semenjak gerakan itu ditubuhkan. Ahli dan kepimpinan biasanya akan dididik untuk memahami dan bergerak atas landasan manhaj dan kefahaman tersebut. Metod tersebut selalunya bertulis dan diperturunkan dari generasi ke generasi agar kefahaman mereka sama walaupun zaman berubah. Agar mereka boleh membezakan antara yang thawabit dan mutaghaierat. Agar yang thawabit kekal thawabit dan ianya menjadi lambang asolah (tulen) nya dakwah mereka. Imam Hassan al-Banna pernah menyebut: kita ingin jelaskan objektif kita kepada seluruh manusia. Kita mahu bentangkan pendekatan kita di hadapan seluruh manusia. Kita ingin kemukakan dakwah kita kepada semua. Kita mahu kemukakan dakwah ini tanpa berselindung dan berlapik. Dakwah ini lebih cerah secerah cahaya mentari, seterang sinar fajar, sejelas siang hari (Dakwatuna). Objektif, manhaj dan wasilah yang Imam al-Banna bicarakan dan menjadi asas perjuangannya adalah merupakan pusaka agung peninggalan Rasulullah SAW bersama sahabat-sahabatnya. Ia merupakan resipi dakwah tulen hasil dari wahyu ilahi yang sentiasa memandu Rasulullah SAW setiap masa. Ia bukan resepi perjuangan yang terhasih dari ‘try and error’.

Mana-mana perjuangan yang tidak jelas objektif, manhaj, wasilah dan kefahaman dakwahnya pasti akan berkubur. Kalaupun ia terus berjalan pasti akan mengakibatkan kemalangan. Umpama orang memandu sambil mengantuk atau lagi bahaya kalau mabuk!.

Selalu anak muda bertanya kepadaku, bagaimana nak kenal asas, objektif, manhaj, wasilah dan kefahaman sesebuah gerakan Islam. Jawabku baca buku tulisan pimpinan mereka atau lihat saja undang-undang tubuh mereka. Ada yang bertanya balik: masalahnya banyak yang tak bertulis dan tak berbuku. Jawabku; mungkin perjuangan mereka sirr, esklusif atau terpulang kepada setiap generasi mentafsir sendiri kemahuan dan pendekatan mereka.

Justeru itu, permulaan kewajipan para daie selepas memahami Islam ialah memahami usul dakwahnya. Ini melibatkan semua fiqh al-Dakwah. Bertitik tolak dari kefahaman tersebut membolehkan ia mengukur bahtera mana yang akan membawanya belayar, halatuju dan laluan apa yang akan digunakan. Agar ia tidak membazirkan potensi yang ada pada dirinya dan usia yang bakal dihabiskan untuk satu arah yang tak pasti atau pasti tapi laluannya memustahilkan ia sampai.

Bagi pendukung dakwah, mengekalkan ketulenan dakwah adalah satu amanah. Amanah kerana ia ditugaskan menjadi penyambung ikatan dakwah dari orang sebelumnya yang yang menjadi pengasas dakwah ini. Mengubah resepinya hingga lari dari resepi asolahnya atau tidak bersungguh-sungguh dalam melaksanakannya adalah satu pengkhianatan terhadap amanah tersebut dan tidak mustahil halatuju akan berubah dan impian generasi pertama akan tinggal mimpi sahaja. Waktu itu sudah tidak banyak lagi peranan nama yang ditulis pada menunya kerana setelah merasainya, orang pasti sedar bahaya ia sudah tidak ‘ori’ dan ‘tidak sedap’. Kaedah menyebut:

العبرة بالمسميات والمضامين، لا بالأسماء والعناوين

(Sesuatu perkara itu dikira berdasarkan ciri-ciri dan isi kandungnya, bukan pada namanya dan tajuknya).

Persoalannya siapakah yang akan tahu dakwah itu masih tulen atau tidak? Ia samalah seperti masakan tomyam air kelapa ayam yang saya makan…kerana saya sudah biasa memakannya saya tahu yang rasanya sudah berubah. Tapi saya yakin kalau tukang masak mahir yang pertama sekali mencipta resepinya merasai hasil tangan tukang masak itu, sudah pasti ia lebih marah dari saya, sebab sangat tidak bertepatan dengan resepi asal, bahkan tidak sedap sama sekali bila dimakan.

Saya sedih juga bila melihat pelanggannya semakin berkurangan. Terfikir juga saya, apa yang perlu dilakukan oleh kedai itu untuk maju semula…mungkinkah dengan membuat renovation besar-besaran? Mungkin juga dengan menukar nama dan papan tanda kedai? Mungkin juga dengan mempelbagaikan iklan di media-media tempatan? Mungkin juga dengan memanggil artis-artis terkenal untuk menjadi ikon? Mungkin semua itu boleh meningkatkan sedikit jualan. Tapi, saya yakin kalau resepi asal yang menyebabkan kedai itu dulu dipenuhi pelanggan tidak dikembalikan atau ada resepi yang mungkin lebih baik dari resepi asal tidak diketengahkan, tidak mustahil segala usaha marketing dan pengiklanan akan gagal.

Jom anak-anak, kita belajar resepi asolah.






0 comments: