Monday, February 13, 2012

KISAH MANIS


Syukur ramai anak-anak buah usrahku yang telah dan akan melangsungkan perkahwinan tahun ini. Kebahagiaan mereka kebahagiaanku juga. Mudahan dakwah yang menjadi asas pemilihan akan mewarnai semua aktiviti dan halatuju rumahtangga mereka. Rumahtangga itulah yang diharapkan kelak mampu menjadi benteng mempertahankan Islam dan melahirkan zuriat pejuang seramai mungkin.

Antara pesanku pada mereka; banyakkankah kisah-kisah manis di saat semuanya masih terasa manis. Bulan-bulan awal perkahwinan semuanya manis. Untuk memaksimumkan kemanisan ‘awal’ rumahtangga, ramai pasangan sanggup habiskan ribuan ringgit untuk melancong dan berbulan madu. Saya tidaklah kata tak boleh, ikutlah kemampuan masing-masing. Namun bagi pasangan yang diikat oleh kecintaan mereka kepada dakwah dan perjuangan, selesai sahaja ikrar pernikahan, itulah saatnya mereka mula mengkotakan janji mereka kepada Allah. Janji mereka kepada ummah. Janji mereka kepada tarbiah dan para murabbinya. Saat usai ikrar pernikahan, mereka mula membina kisah-kisah manis perjuangan dalam rumhtangga yang baru dibina. Mereka tidak perlu ke pergunungan himalaya atau negara winter sonata atau umrah di Tanah Haram. Cukup bangun bersama ditengah malam, tahajjud meninsafi kurniaan tuhan. Berpegangan tangan menuju masjid di kala solat subuh menjelang. Merancang dan melaksana ziarah dakwah fardiah bersama khususnya ahli keluarga terdekat. Pergi usrah bersama. Memulakan usrah keluarga bersama, bersilibuskan tarbiatul aulad dengan bernaqibkan suami. Iktikaf sama-sama dimasjid. Itupun sudah cukup membina kenangan manis dipermulaan perjalanan rumahtangga mereka.

Untuk apa semua kisah-kisah manis ini? Rumahtangga tidak akan sentiasa belayar dilautan tenang. Ada masanya akan ditiup angin kencang kalaupun bukan ribut taufan. Waktu itu kalian perlu tempat berteduh yang nyaman. Saat cemburu memenuhi dada dan amarah naik ke kepala. Saat penyakit jemu melanda dek lamanya perjalanan dan segala yang 'umpp' dulu mula mengendur dan mengecut, kisah-kisah manis itu mampu menghangatkan kasih, mengeletek hati dan merimbas hiba. Itulah bezanya manusia dengan haiwan, Allah kurniakan kita memori dan kenangan. Orang beriman gemarkan kenangan dan kisah-kisah manis dan mudah memadam dan memaafkan kisah-kisah duka. Imam Syafie berkata:

الحر من راعى وداد لحظة
(Kebebasan itu ialah orang yang memelihara kasih walau sesaat)

Rumahtangga, permulaan perjalanannya manis dan indah, namun perjalanan seterusnya mudah dipaliti lumpur dan habuk. Perlu ‘maintenance’ yang bertambah kosnya dari hari ke hari. Umpama kereta yang anda pakai!. Tanpa kasih sayang yang berintikan iman, ramai pasangan terkandas di pertengahan jalan.

Lihatlah Rasulullah SAW dan kehidupannya berumahtangga. Kasihnya pada Khadijah tak pernah luput walau isterinya itu telah lama tiada. Seringkali ia memuji kebaikannya ketika hidup dan kisah-kisah manis antara mereka berdua hingga menimbulkan rasa cemburu isteri-isteri baginda. Hingga Aishah r.a berkata suatu hari: “Sesungguhnya Allah telah menggantikannya untukmu seseorang yang lebih baik darinya!” (HR al-Bukhari & Muslim). Baginda SAW berkata: “Demi Allah, Allah tidak pernah mengantikannya dengan sesuatu yang lebih baik darinya”. Itulah ‘power’nya kenangan yang terhasil dari kisah-kisah manis dalam kehidupan berumahtangga.  

Kemanisan itu tidak hanya terhasil dari kisah-kisah bahagia dan gembira. Bagi orang beriman, kesulitan dalam membina rumahtangga dan  kepayahan dalam dakwah dan perjuangan adalah kisah manis. Bahkan lebih manis dari melancong mengelilingi dunia. Kisah-kisah itulah bagi mereka album berharga yang sentiasa mengalirkan pahala. Mudahan menjadi syafaat mereka di hari bertemu yang Maha Kuasa yang mentakdirkan pertemuan jodoh mereka. Mudahan dengannya juga mereka layak memasuki tempat ‘honeymoon’ yang keindahan dan kenikmatannya tidak pernah tercapai oleh akal manusia…negara Jannatul Firdaus  dan kekal di sana selama-lamanya.

Ya Allah, layakkanlah aku dan seluruh ahli keluargaku untuk mengecapi nikmat Jannatul Firdaus.

1 comments:

  • Fayzah Aziz says:
    February 17, 2012 at 1:28 AM

    subhanallah...semoga keluarga kamek selalu bertahan dengan segala kenangan manis dan juga pahit dan bertahan kerna niat yang ingin bertahan kerna Allah swt. Amin