Friday, October 3, 2014

Inilah masanya perpisahan antaraku denganmu.

قَالَ هَٰذَا فِرَاقُ بَيْنِي وَبَيْنِكَ ۚ سَأُنَبِّئُكَ بِتَأْوِيلِ مَا لَمْ تَسْتَطِعْ عَلَيْهِ صَبْرًا

Ia menjawab: "Inilah masanya perpisahan antaraku denganmu, aku akan terangkan kepadamu maksud (kejadian-kejadian yang dimusykilkan) yang engkau tidak dapat bersabar mengenainya. (AlKahfi 78)

Kisah antara Nabi Musa dan gurunya seorang lelaki soleh. Dialog dipenghujung pengembaraan Nabi Musa untuk menuntut ilmu. Akhirnya gurunya memutuskan untuk menamatkan ikatan antara guru dan tarbiah kerana mendapati Nabi Musa tidak memenuhi janjinya dengan lelaki soleh. Lelaki soleh mendapati Musa kurang sabar dalam menuntut ilmu.

Tarbiah ada objektif, visi dan misi perjuangan. Tidak semua mutarabbi mampu mencapai apa yang disasarkan. Ada yang cuma mampu bertahan di peringkat permulaan perjuangan dan tidak sabar untuk mengharungi perjalanan yang panjang. Ada pula yang mula memperlahankan langkah apabila mendapati kemahuan dan keinginannya tidak dapat dipenuhi dengan melalui jalan tersebut.

Tarbiah dalam gerak kerja dakwah ialah satu proses mencari orang-orang terpilih utk memikul dan memimpin dakwah. Hanya yang berpotensi akan dipacu hingga ke tahap tinggi. Mereka yang masih teragak-agak, ruang dakwah mereka tetap terbuka sebagai penyokong atau tukang sorak, tapi tidak layak berada di barisan hadapan yang memerlukan keikhlasan, kemahuan dan pengorbanan tahap tinggi. Meneruskan perjalanan bersama mereka menambah berat beban, melambat perjalanan, membazirkan masa dan tenaga. Bukan kerana mereka tidak soleh, tapi tahap kefahaman dan kemampuan mereka setakat itu sahaja.

Tarbiah juga ada proses penilaian dan audit. Mereka yang gagal atau dirasakan hilang kelayakan atau melambatkan lagi pergerakan, selalunya terpaksa ditinggalkan bagi membuka ruang kepada anasir-anasir lain yang lebih berpotensi. Tabiat biasa tarbiah dan dakwah. Biasanya setelah mengambilkira pelbagai sudut antaranya prioriti dakwah dan guna tenaga daie.

Ucapan 'Selamat tinggal' dalam tarbiah dan dakwah bukan perkara mustahil.



0 comments: