Wednesday, August 6, 2008

ILMU SUMBER KEKUATAN

Saudara budiman yang dirahmati Allah,
Tatkala mana Iradah Allah swt berkehendak untuk menjadikan di atas mukabumi ini khalifah, bagi memimpin dunia dan memakmurkan bumi. Allah swt telah menciptakan makhluk baru bernama Adam, manusia pertama dan bapa kepada semua manusia. Walau bagaimanapun kemampuan manusia untuk menjadi pemimpin dan memakmurkan bumi di persoalkan oleh para Malaikat. Lantaran ciri-ciri yang bakal ia miliki berbeza dari makhluk lain yang terlebih dahulu diciptakan oleh Allah swt, dikalangan para Malaikat dan Iblis.
(Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat; "Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi". Mereka bertanya (tentang hikmat ketetapan Tuhan itu dengan berkata): "Adakah Engkau (Ya Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), padahal kami sentiasa bertasbih dengan memujiMu dan mensucikanMu?". Tuhan berfirman: "Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahuinya").

Lalu Allah swt mengajarkan kepada Adam as ilmu tentang nama-nama benda dan kegunaannya, lantaran hanya dengan ilmu mereka mampu memimpin dan memakmurkan alam ini sesuai dengan kehendak Allah untuk menjadikan mereka khilafah di atas mukabumi.


(Dan Ia telah mengajarkan Nabi Adam, akan segala nama benda-benda dan gunanya, kemudian ditunjukkannya kepada malaikat lalu Ia berfirman: "Terangkanlah kepadaKu nama benda-benda ini semuanya jika kamu golongan yang benar").

Saudara budiman,
Inilah kekuatan ilmu (The Power of Knowledge), yang kerananya manusia lebih istimewa dari makhluk Allah yang lain. Dengan ilmu manusia layak mentadbir bumi ini. Satu tugas besar yang tidak diserahkan kepada Malaikat, dan tidak diserahkan kepada iblis, syaitan dan jin. Lantaran kerana kelebihan ilmu itulah, Allah swt memerintahkan para malaikat dan Iblis sujud kepada Adam sebagai tanda penghormatan. Adapun Malaikat, ia menunaikan perintah tuhannya sebagai tanda penghormatan terhadap Adam yang telah diberikan oleh Allah ilmu pengetahuan yang banyak berbanding mereka. Tetapi tidak bagi iblis, lantaran kesombongan dan sifat angkuhnya, serta rasa bangga diri lantaran dicipta dari api yang baginya lebih mulia dari sumber kejadian manusia iaitu tanah, ia enggan sujud, enggan menerima hakikat bahawa manusia diberikan kelebihan berbanding dirinya, enggan tunduk kepada kemulian ilmu dan kesudahannya ia kufur kepada Allah dan menjadi penghuni neraka selama-lamanya.
(Dan (ingatlah) ketika kami berfirman kepada malaikat: "Tunduklah (beri hormat) kepada Nabi Adam". Lalu mereka sekaliannya tunduk memberi hormat melainkan Iblis; ia enggan dan takbur, dan menjadilah ia dari golongan yang kafir.)

Saudara budiman yang dirahmati Allah,
Inilah rahsia kekuatan manusia, iaitu ilmu pengetahuan. Memiliki ilmu pengetahuan yang secukupnya adalah pra syarat seorang insan mampu memimpin dunia, mampu menundukkan musuh dan mampu memakmurkan alam dan membina tamadun. Inilah kekuatan yang hampir dilupakan oleh sebilangan umat Islam.

Lantaran itu tanda bagi orang yang bakal memiliki kejayaan di hari mendatang dalam perjalanan usianya ialah mereka yang minat menguasai ilmu pengetahuan. Minat untuk menjadi yang tercemerlang. Minat untuk menjadi insan terpilih buat umat terpilih. Minat untuk menjadi kebanggaan keluarga, bangsa dan agama. Pemuda pemudi beginilah yang bakal menjadi sumber kekuatan dan pengembali tamadun Islam di dunia. Rasulullah saw bersabda:
(لكل شيء فترة، فمن كانت فترته إلى العلم فقد نجا) أداب الدنيا والدين: 43
(Setiap sesuatu itu ada kecenderungan dan minatnya, sesiapa yang cenderung dan minat terhadap ilmu, merekalah orang yang berjaya).

Saudara budiman,
Tatkala wahyu pertama diturunkan sebagai tanda perlantikan Muhammad sebagai rasul akhir zaman, dan umatnya sebagai manusia pilihan. Allah swt sudah memperingatkan semula Muhammad dan umatnya, rahsia kekuatan manusia yang diwarisi dari manusia pertama yang menjejak kaki ke bumi iaitu Adam, bahawa andainya mereka ingin menjadi kuasa dunia, syarat pertama yang perlu dimiliki ialah ilmu. Lantaran itu dengan iradah Allah, turunlah ayat pertama berbunyi:
(Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk), Ia menciptakan manusia dari sebuku darah beku; Bacalah, dan Tuhanmu Yang Maha Pemurah, - Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan, - Ia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya).

Inilah rahsia kejayaan Rasulullah saw dan para sahabatnya mengusai dunia, kerana mereka memiliki ilmu pengetahuan. Lantaran kerana ilmu inilah, alam tunduk kepada generasi awal Islam umpama tunduknya Malaikat kepada Adam. Tetapi, tatkala mana umat Islam mula leka dengan kemewahan, tatkala ilmu mereka berpindah dan dicuri oleh eropah melalui penaklukan mereka ke atas Andalusia dan negara-negara Islam yang lain. Umat Islam menjadi lemah dan tiba giliran mereka pula terpaksa tunduk kepada kuasa Eropah. Itulah sunnatullah, janji Allah bagi sesiapa yang memiliki kekuatan ilmu.

Lantaran itu Saudara budiman yang dirahmati Allah,
Khususnya kepada Ibubapa dan anak-anak kita yang masih merayakan kejayaan mereka dalam peperiksaan SPM dan STPM yang lalu. Mimbar mengucapkan tahniah kepada mereka semua. Namun dalam masa yang sama memperingatkan…..agar tidak tenggelam dalam keseronokan, lemas dalam ucapan tahniah dan pujian, kerana perjalanan mencari dan mengali ilmu Allah masih jauh. Malah akan lebih mencabar. Di hadapan anda tersedia menara gading ilmu yang mungkin dari luar nampak indah tapi tidak mudah untuk di daki. Kesempatan usia dan kekuatan yang ada gunakanlah sebaik mungkin untuk mengisi akal, jiwa dan roh dengan mutiara ilmu.

Saudara budiman, Kita memerlukan tenaga mereka ini untuk menjadi pakar, profesional dan tenaga mahir untuk membangun negara dan mengembalikan kegemilangan ummah. Ambillah peluang yang ada untuk mencari kekuatan dan kemahiran dalam pelbagai bidang keilmuan. Pilihlah bidang yang penghujungnya mampu menjadi modal untuk memperkayakan bangsa, negara dan agama. Selagi mana ia bermanfaat kepada makhluk, selagi itulah ia dikategorikan sebagai ilmu agama walau ia diistilahkan sebagai kejuruteraan, perubatan, geologi, pertanian atau sains, walau ia tidak dinamakan sebagai syariah atau usuluddin. Ilmu- ilmu ini termasuk dalam kategori ilmu yang diperintahkan kita mengkaji dan menelitinya dalam firman Allah SWT:

أَلَمْ تَرَ أَنَّ اللَّهَ أَنزَلَ مِنَ السَّمَاء مَاء فَأَخْرَجْنَا بِهِ ثَمَرَاتٍ مُّخْتَلِفًا أَلْوَانُهَا وَمِنَ الْجِبَالِ جُدَدٌ بِيضٌ وَحُمْرٌ مُّخْتَلِفٌ أَلْوَانُهَا وَغَرَابِيبُ سُودٌ ﴿27﴾ وَمِنَ النَّاسِ وَالدَّوَابِّ وَالْأَنْعَامِ مُخْتَلِفٌ أَلْوَانُهُ كَذَلِكَ إِنَّمَا يَخْشَى اللَّهَ مِنْ عِبَادِهِ الْعُلَمَاء إِنَّ اللَّهَ عَزِيزٌ غَفُورٌ ﴿28﴾ سورة فاطر

(Tidakkah kamu melihat bahwasanya Allah menurunkan hujan dari langit lalu Kami hasilkan dengan hujan itu buah-buahan yang beraneka macam jenisnya. Dan di antara gunung-gunung itu ada garis-garis putih dan merah yang beraneka macam warnanya dan ada (pula) yang hitam pekat. Dan demikian (pula) di antara manusia, binatang-binatang melata dan binatang-binatang ternak ada yang bermacam-macam warnanya (dan jenisnya). Sesungguhnya yang takut kepada Allah di antara hamba-hamba-Nya, hanyalah ulama (orang berpengetahuan). Sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Pengampun)

Kepada yang kurang berjaya dalam peperiksaan SPM dan STPM yang lalu, bukan bererti dunia pendidikan telah berakhir, atau medan ilmu telah kiamat. Tidak sama sekali. Kerajaan telah menyediakan ruang yang cukup banyak untuk mereka ini meneruskan jihad ilmu dalam bentuk kemahiran dan menyediakan fasiliti yang amat mencukupi. Teruskan perjuangan kalian untuk mengumpul modal ilmu bagi membentuk modal insan yang berkualiti. Ini sahaja yang melayakkan kalian untuk di susun menjadi bata-bata bagi membangunkan bangunan negara Malaysia menjadi menara megah dan maju.
Bagi mereka yang sudah bekerja, selesainya kita dari alam pendidikan formal bukan bererti budaya mencari ilmu sudah berakhir kerana kewajipan menuntut ilmu itu bermula dari alam buaian hingga ke liang lahad. Justeru itu penuhilah majlis-majlis ilmu yang disajikan dengan pelbagai cabang agama di Masjid Negeri dan masjid-masjid yang lain bagi memantapkan lagi pengetahuan dan dalam masa yang sama mendengar sambil beribadah. Ini kerana orang yang tidak memiliki kekuatan ilmu agak sukar untuk memperjuangankan nasib diri, keluarga, apatah lagi negara dan agama suci ini. Bahkan perjuangan orang beginilah yang sering menimbulkan fitnah, kerosakan, exstrimist dan beberapa istilah lain yang dilontarkan kepada Islam dan umatnya. Umar bin Abdul Aziz berkata:
الذي يعمل من غير علم، يفسد أكثر مما يصلح

(Orang yang buat kerja tanpa ilmu, lebih banyak merosakkan keadaan dari memperbaikinya).

Saudara budiman,
Imam Mawardi dalam kitabnya adab al-Dunya wa al-Deen (ms:36), menaqalkan nasihat Khalifah Abdul Malik bin Marwan kepada putera-puterinyanya, katanya:
(يا بني، تعلموا العلم فإن كنتم سادة فقتم، وإن كنتم وسطا سدتم، وإن كنتم سوقة عشتم)
( Wahai anak-anakku, tuntutlah ilmu bersungguh-sungguh, kerana andainya kamu menjadi pemimpin, ilmu akan menjadikan kamu berada di atas pemimpi-pemimpin yang lain. Andainya kamu golongan pertengahan, ilmu akan mangangkat kamu menjadi seorang pemimpin dan andainya kamu rakyat, ilmu akan menjadikan kehidupan kamu mudah dan senang).

(وَمَا كَانَ الْمُؤْمِنُونَ لِيَنفِرُواْ كَآفَّةً فَلَوْلاَ نَفَرَ مِن كُلِّ فِرْقَةٍ مِّنْهُمْ طَآئِفَةٌ لِّيَتَفَقَّهُواْ فِي الدِّينِ وَلِيُنذِرُواْ قَوْمَهُمْ إِذَا رَجَعُواْ إِلَيْهِمْ لَعَلَّهُمْ يَحْذَرُونَ) سورة التوبة:122
(Tidak sepatutnya bagi mu'minin itu pergi semuanya (ke medan perang). Mengapa tidak pergi dari tiap-tiap golongan di antara mereka beberapa orang untuk memperdalam pengetahuan mereka tentang agama dan untuk memberi peringatan kepada kaumnya apabila mereka telah kembali kepadanya, supaya mereka itu dapat menjaga dirinya).

(Dari Mimbar Masjid UMS)

0 comments: