Thursday, August 28, 2008

RAMADHAN DAN ALQURAN

RAMADHAN DAN ALQURAN

Sarip Adul-PPIB_UMS


Tetamu ramadhan yang dimuliakan

Ramadhan merupakan bulan dimana diturunkan al-Quran yang menjadi pedoman dan perlembagaan hidup umat Islam. Allah swt berfirman:

}شهر رمضان الذي أنزل فِيهِ القرءان هدى للناس وبينات من الهدى والفرقان فمن شهد منكم الشهر فليصمه ومن كان مريضا أو على سفر فعدة من أيام أخر يريد الله بكم اليسر ولا يريد بكم العسر ولتكملوا العدة ولتكبروا الله على ما هداكم ولعلكم تشكرون{. البقرة 185

(bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah) (al-Baqarah:185).


Tetamu ramadhan,

Al-Quran dan bulan Ramadhan merupakan dua unsur yang tidak boleh dipisahkan. Tanpa al-Quran tidak sempurna ibadah dalam bulan Ramadhan. Apa tidaknya, sepanjang bulan Ramadhan kita akan diperdengarkan dengan bacaan al-Quran melalui solat terawih. Lebih meriah lagi apabila imam-imam di beberapa Masjid di negeri kita, membaca 1 juzuk al-Quran setiap malam ketika mengimamkan solat Terawih dan cuba mengkhatamkan al-Quran di penghujung Ramadhan. Ini merupakan sesuatu yang baik seperti yang disebut oleh Imam al-Nawawi dalam kitabnya al-Azkar (cetakan Dar al-Syarqi al-Arabi:170): seelok-eloknya hendaklah dikhatamkan keseluruhan al-Quran dalam solat Tarawih sepanjang bulan ramadhan dengan menghabiskan 1 juzuk semalam. Walaubagaimanapun para Imam hendaklah memastikan yang bacaan mereka tidak terlalu panjang seperti membaca melebihi 1 juzuk semalam).

Atau sekurang-kurangnya diadakan majlis tadarrus al-Quran di setiap Masjid, surau bahkan sesetengah jabatan cuba menjadikan majlis Tadarrus al-Quran sebagai program pengisian rohani ketika waktu rehat tengahari sepanjang bulan mulia ini. Usaha-usaha begini perlu digalakkan dan setiap kita umat Islam patut memberi sokongan.


Tetamu ramadhan,

Puasa yang kita lakukan disiang hari, ditambah dengan membaca al-Quran pada malamnya mampu menjadi pendinding kita dari api neraka dan syafaat kita untuk memasuki syurga. Rasulullah saw bersabda:

(الصيام والقرآن يشفعان للعبد، يقول الصيام: رب إني منعته الطعام والشراب في النهار، فشفعني فيه، ويقول القرآن: رب إني منعته النوم بالليل فشفعني فيه فيشفعان)

(Puasa dan al-Quran menjadi syafaat kepada hamba (dihari akhirat), akan berkata puasa: wahai tuhanku, aku telah menghalangnya dari makan dan minum di siang hari, maka jadikanlah aku syafaat padanya. Dan al-Quran pula akan berkata: Wahai tuhanku, sesungguhnya aku telah menghalang ia dari tidur pada malam hari, maka jadikanlah aku syafaat padanya. Maka kedua-duanya pun memberi syafaat).

Begitu juga Tetamu ramadhan, walaupun pada pandangan mata kasar kita ama sahaja antara orang yang rajin membaca al-Quran dengan orang yang malas membacanya di kalangan umat Islam. Namun di sisi Allah swt, tetap ada perbezaan yang besar antara mereka di mana ‘membaca al-Quran’ menjadi ukuran. Imam Bukhari meriwayatkan dari Abu Musa al-Asyari bahawa Rasulullah saw bersabda:

(مثل المؤمن الذي يقرأ القرآن مثل الأترجة ريحها، ريحها طيب، وطعمها طيب، ومثل المؤمن الذي لا يقرأ القرآن مثل التمرة لا ريح لها وطعمها حلو. ومثل المنافق الذي لا يقرأ القرآن كمثل الحنظلة ليس لها ريح وطعمها مر). رواه البخاري.

(Umpama orang mukmin yang rajin membaca al-Quran seumpama limau manis, baunya wangi dan rasanya sedap. Adapun perumpamaan orang mukmin yang tidak rajin membaca al-Quran umpama buah kurma, tidak memiliki bau dan rasanya manis. Adapun orang munafiq yang tidak membaca al-Quran seumpama buah peria, tidak ada bau dan rasanya juga pahit).

Begitulah perbezaan di sisi Allah bagi yang rajin membaca al-Quran berbanding orang mukmin lain yang tidak rajin membacanya. Namun perlu diingatkan bahawa al-Quran bukan sekadar kitab untuk dibaca, tetapi ajaran yang terkandung di dalamnya perlu dijadikan amalan dan dustur kehidupan. Rasulullah saw bersabda:

(القرآن شافع مشفع وماحل مصدق، ومن جعله أمامه قاده إلى الجنة ومن جعله خلف ظهره ساقه إلى النار)

(Al-Quran adalah rakan yang mampu memberi syafaat dan lawan yang sentiasa membenarkan. Sesiapa yang meletakkannya di hadapannya, ia akan memimpinnya memasuki syurga dan sesiapa yang meletakkannya dibelakang, ia akan menolak orang itu ke neraka) (HR Ibn Hibban dan al-Baihaqi).

Lantaran itu janganlah tergolong dikalangan orang yang memencilkan al-Quran dari kehidupan. Iaitu orang yang tidak mahu mendengar bacaan al-quran apatah lagi membacanya, atau membacanya tetapi tidak mahu mengamalkannya, tidak mengikut arahan halal dan haramnya, begitu juga mereka yang membacanya tanpa cuba memahami dan tadabbur pengertiannya. Allah berfirman dalam surah al-Furqaan :30

﴿ وَقَالَ الرَّسُولُ يَا رَبِّ إِنَّ قَوْمِي اتَّخَذُوا هَذَا الْقُرْآنَ مَهْجُورًا ﴾ الفرقان: 30

(Dan berkatalah Rasul: "Wahai Tuhanku sesungguhnya kaumku telah menjadikan Al-Quran ini satu perlembagaan yang ditinggalkan, tidak dipakai".)

Inilah hakikatnya umat Islam hari ini, kurang beralaskan al-Quran dalam membina kehidupan mereka. Bermula dari kehidupan peribadi hinggalah dalam masalah keluarga dan rumahtangga. Lantaran itulah fenomena kebejatan sosial, keruntuhan institusi keluarga dan pelbagai masalah lain menimpa umat Islam, lantaran mereka mejauhkan diri dari dasar hidup yang sebenarnya iaitu al-Quran yang telah diturunkan pada bulan ramadhan yang mulia ini.

Tetamu ramadhan,

Dalam kita membaca al-Quran, perlu sekali kita menjaga tatatertibnya, pastikan kita berwudhu sebelum memegang mashaf dan ketika membacanya, bacalah dengan suara yang merdu. Imam al-Hakim meriwayatkan bahawa Rasulullah saw bersabda:

(زينوا القرآن بأصواتكم فإن الصوت الحسن يزيد القرآن حسنا)

(Hiasilah al-Quran dengan kemerduan suara kamu, kerana kemerduan suara ketika membacanya akan menambah keelokan al-Quran).

Imam Bukhari meriwayatkan bahawa suatu hari Rasulullah saw melintas di rumah Abu Musa al Asyari dan terdengar suara Abu Musa membaca al-Quran dengan suara yang merdu lagi penuh khusuk. Lalu baginda duduk ditepi rumahnya untuk mendengar bacaannya. Apabila menemuinya keesokan paginya, baginda berkata kepadanya:

(يا أبا موسى لقد أوتيت مزمارا من مزامير آل داود)

(Wahai Abu Musa sesungguhnya Allah telah mengurniakanmu serunai dari salah satu serunai keluarga daud).

Justeru itu Tetamu ramadhan, amat perlu setiap kita belajar dan cuba memperbaiki bacaan al-Quran, kerana akan menambah seri lagi ibadah kita. Apatah lagi kalau kita mampu memahami pengertiannya, ini memerlukan kita mempelajari Bahasa Arab, yang menjadi bahasa al-Quran.

Begitu juga ketika kita membaca al-Quran pastikan kita cuba memahami dan tadabbur makna ayat yg kita baca. Antara cara mentadabbur al-Quran ialah kita disunatkan mengulang-ulang ayat-ayat tertentu yang mendalam maksudnya. Al-Hakim dan al-Nasaie meriwayatkan dari Abu Zar r.a berkata: (Suatu Malam Rasulullah saw qiamullail dan membaca satu ayat secara berulang-ulang sampai pagi) ayat itu ialah (إن تعذبهم فإنهم عبادك) (al-Maidah: 118) (jika engkau menyeksa mereka (maka tiada yang mampu menghalang), kerana mereka adalah hambamu). Begitu juga diriwayatkan oleh tamim al-Dari bahawa baginda mengulang-ulang ayat 21: surah al-Jathiah:

أَمْ حَسِبَ الَّذِينَ اجْتَرَحُوا السَّيِّئَاتِ أَنْ نَجْعَلَهُمْ كَالَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ

(Patutkah orang-orang yang melakukan kejahatan menyangka bahawa Kami akan menjadikan mereka seperti orang-orang yang beriman dan beramal soleh).

Tetamu ramadhan,

Lebih berseri lagi kalau sepanjang bulan ramadhan ini kita makmurkan rumah kita dengan dendangan al-Quran sepanjang ramadhan. Samada dengan membaca secara bersendirian atau bertadarrus bersama isteri dan anak-anak. Mungkin inilah masa yang sesuai untuk kita melihat kemampuan bacaan anak-anak dan memperbetulkan tajwid mereka, yang jarang mampu kita lakukan di luar bulan ramadhan. Begitu juga dengan membuka rancangan-rancangan yang berbentuk keagamaan dan bacaan al-Quran yang banyak disiarkan sepanjang bulan ramadhan oleh stesyen radio dan tv di negara kita. Imam Muslim meriwayatkan dari Abu Musa r.a, bahawa Nabi saw bersabda:

(مثل البيت الذي يذكرالله فيه والبيت الذي لا يذكر الله فيه مثل الحي والميت)

(perumpamaan bagi rumah yang dibacakan padanya ayat-ayat Allah dengan rumah yang tidak dibacakan padanya ayat-ayat Allah seumpama orang hidup dengan orang mati).

Justeru itu amat perlu kita hidupkan keharmonian rumahtangga, yang demikian itu dengan kita memperdengarkan bacaan al-Quran setiap hari. Maka bulan ramadhan inilah masa yang peling sesuai untuk kita bermula. Mudah-mudahan rumah kita lebih terasa bahang iman dan ditiupi angin ketenangan, hanya suasana begini mampu menyediakan ruang yang sesuai untuk anak kita membesar menjadi putera puteri yang soleh dan solehah.

5 comments:

  • WaN says:
    September 3, 2008 at 12:53 AM

    salam sir..
    saya sukala ngan blog sir nie...
    pnh dgn informasi dan ilmu..

  • Abu Syifa' says:
    September 4, 2008 at 6:00 PM

    Mudahan ada manfaatnya...kalau ada kesilapan fakta harap tegur saya. Kebanyakannya artikel saya tak sempat edit

  • WaN says:
    September 5, 2008 at 3:59 AM

    dalam artikel sir da katakn,ketika membaca al-Quran haruslah menghayati dan cuba memahami.bagaimana pula org sprt sy yg tidak memahami bhs arab?

  • Riuz says:
    September 12, 2008 at 10:37 PM

    ustaz
    x bagitau pun ada blog ek
    bagus la

  • Abu Syifa' says:
    November 11, 2008 at 6:15 AM

    kalau tak memahami b arab boleh merujuk terjemahannya. Lebih baik kalau ada kesempatan membaca kitab2 tafsir..