Sunday, August 23, 2009

ORANG ATAS



Akhir-akhir ini kita disibukkan dengan pelbagai kenyataan akhbar tentang pemimpin politik bertelingkah dan berbalah. Bahkan sepanjang hidup, jarang sangat aku mendengar pemimpin bermuafakat. Penyakit yang sama kadangkala menjalar ke dalam kepimpinan gerakan Islam, hingga menimbulkan huru-hara dan perpecahan. Maklumlah bila satu bas di bawa oleh dua atau lebih pemandu, pasti huru-hara jadinya. Bahkan dari aku mula kenal gerakkan Islam, ketidaksefahaman sesama pimpinan gerakan Islam juga menjadi perkara biasa. Kalau ada permuafakatanpun kadangkala atas kertas sahaja tetapi bila balik ke rumah masing-masing , lain pula ceritanya.


Agaknya itulah penyakit orang yang menduduki jawatan kepimpinan. Bila suara makin laku, tandatangan berharga dan ada pengikut yang mengikut secara rela atau terpaksa bertambah ramai…makin banyak penyakit yang menyerang ‘pemimpin’. Apatah lagi kalau orang tersebut memang dari awal lagi disahkan mengidap penyakit hubb al-Riyasah. Lagi senang ia dijangkiti oleh pelbagai penyakit yang sering merebak dalam tubuh orang yang bergelar pemimpin.
Penyakit seperti ananiah, ujub, takabbur, diktator dan sayangkan kedudukannya penyakit biasa yang akan menyerang seorang pemimpin. Lagi lama ia menduduki jawatan tersebut, lagi banyak penyakitnya. Akhirnya menjadi tempat tinggal semua penyakit tersebut seperti yang menimpa Firaun dan Namrud.

Dalam gerakan Islam, perkara begini perlu sekali dijauhi. Seorang pemimpin yang diamanahkan memimpin perjuangan Islam perlu sedar bahaya tersebut. Apatah lagi ia berada pada kedudukan qiyadah murabbiah. Penyakit itu akan merosakkan segala usaha dan perancangan. Lantaran itu apabila Abu Zarr memohon daripada Rasulullah SAW supaya dilantik ke mana-mana jawatan, Rasulullah SAW berkata: Wahai Abu Zarr, jawatan itu amanah Allah dan penyesalan pada hari kiamat.

Itulah mungkin rahsia kenapa Umar al-Khattab melucutkan jawatan Khalid bin a-Walid dari menjadi panglima tentera yang ditugaskan membuka kota Syam dan melantik Abu Ubaidah bin al-Jarrah. Sebagai satu tarbiah harakiyyah kepada Khalid dan generasi kepimpinan Islam selepas itu. Bukan kerana Khalid tidak baik, tapi Umar takut Khalid diserang penyakit hati yang sering menyerang orang yang bergelar pemimpin. Apatah lagi di kalangan pengikut sudah menampakkan ketaasuban terhadap Khalid yang sentiasa menang dalam peperangan yang ia ketuai.

Bagi pengikut dan orang biasa, muhasabah diri mungkin cukup menjadi jalan mengenali kelemahan diri. Bagi pemimpin, muhasabah diri tidak mencukupi. Apatah lagi bila sudah diserang virus ‘ananiah’, ia tidak akan nampak pada dirinya kecuali kehebatan. Muhasabah diri ketika itu memperkembangbiakkan virus yang sudah sedia beranak-pinak dalam hatinya. Pemimpin yang sudah berada di atas, cuma akan nampak orang di bawah dan kelemahan mereka. Matanya yang berada dikedudukan tertinggi dalam dirinya menyukarkan ia melihat dirinya sendiri. Bahkan ia merasakan dirinya tinggi dan hebat. Orang dibawah yang sentiasa mendogakkan kepala mendengar arahannya paling nampak kecacatan yang ada pada suara, tingkahlaku dan dirinya. Bahkan bukan seorang yang terpaksa mendogak dan memerhati, tapi seluruh angka pengikutnya. Waktu ini, muhasabah dari pengikut amat diperlukan untuk menunjukkan cacat cela pemimpin mereka. Inilah yang dilakukan oleh Umar bin al-Khattab r.a dipermulaan perlantikannya sebagai khalifah. Ia meminta rakyak memperbetulkan kelemahan dan kesilapannya walaupun hingga terpaksa menggunakan mata pedang.

Pemimpin yang langsung tak mahu menerima teguran pengikutnya, pemimpin itu bukan lahir dari madrasah Rasulullah SAW, bahkan keluaran masrasah Firauniyyah…kasar mungkin bahasanya

Mungkin sesetengah pemimpin tidak mahu menerima pandangan seseorang kerana ia beranggapan orang itu memusuhinya atau musuhnya. Sikap tersebut tidak sepatutnya berlaku pada pemimpin yang menjadikan redha Allah sebagai matlamatnya. Ini kerana kata-kata musuh kadang kala ada benarnya. Imam Ibn Qayyim, Imam al-Ghazali dan lain-lain menyebut bahawa antara cara mengenal kelemahan diri ialah dengan menilai kata-kata musuh (1). Ini kerana musuh sering melihat kebaikan musuhnya sebagai kejahatan dan memperbesarkan kejahatan musuhnya. Seperti kata penyair:
وعين الرضا عن كل عيب كليلة ... كما ان عين السخط تبدي المساويا
Dan mata yang redha, setiap kelemahan ia umpama malam # Sedang mata yang benci, mempamerkan semua kejahatan.

Tugas kepimpinan bukanlah menyeronokkan walau ramai yang telah jadi seronok setelah diserahkan amanah kepimpinan. Kadangkala tak bersedia untuk turun. Bahkan berharap ia menjawatnya sampai ke nafas yang terakhir. Hingga terlupa dengan nasib yang mungkin ia hadapi di alam akhirat. Tak ramai yang mampu bersikap seperti Khalid bin al-Walid. Penyakit begini tak mustahil menimpa pimpinan dalam gerakan Islam tanpa mengira level kepimpinannya. Bak kata Amar bin Yassir tatkala ia dipecat dari jawatannya, maka ia berasa amat sedih sekali, ia berkata: “ Sesungguhnya jawatan itu aku rasai seperti nyamannya bayi menyusu (meninggalkan jawatan pula) seperti pahitnya bercerai susu”.

Mungkin ada yang akan bertanya, kenapa pula aku bercerita pasal penyakit pemimpin? Nak masuk politik ke? Ha ha…tak terfikir langsung walaupun kursus Kepimpinan dalam Islam dan Sistem Politik Islam menjadi sebahagian subjek yang aku biasa mengajar. Aku Cuma rasa cuak mendengar banyak sangat cakap-cakap pemimpin yang kurang menyenangkan hatiku…mungkin menyenangkan hatinya dan orang lain. Aku tak berapa gemar mendengar orang ‘bergaduh’ dalam memperjuangkan bangsa yang sama, agama yang sama, rumah yang sama dan fikrah yang sama. Semua itu banyak membuang masa dan tenaga. Banyak lagi pendekatan yang boleh digunakan untuk mengetegahkan keyakinan dalam ruang ‘Ukhuwwah Islamiyyah’. Tidak semua kebenaran perlu diperjuangkan dengan ‘keris dan pistol’. Bahkan ia mampu diterima dengan ‘senyuman dan kemanisan’. Mungkin akan ada yang berkata: “kami dah pernah mengetegahkan kebenaran ini dengan cara lembut dan senyum, tapi tak berjaya…”. Mungkin betul!! Tapi mungkin senyumnya belum cukup ‘manis’ atau dah cukup manis, tapi mudah sangat kita kepenatan…lalu perlukah kalau dah penat kita bertukar jadi harimau yang garang dan menyeringai menampakkan taring sepanjang masa?

Aku tak juga ingin mengatakan, buang sahaja kebenaran yang anda yakini dan ikut mereka…itu tak betul, itu tandanya anda tak yakin yang anda pegang itu benar. Pegang dan perjuangkanlah, bahkan sebarkanlah. Aku juga akan buat benda yang sama pada sesuatu yang aku yakini kebenarannya bersumberkan al-Quran dan al-Sunnah. Cuma cara menghidangkannya yang perlu dinilai.

Islam tidak pernah membenarkan Ukhuwwah dikorbankan demi memperjuangkan kebenaran. Ukhuwwah dan kasih sayang mesti dijadikan teras selagi berinteraksi dengan manusia yang beragama Islam. Apatah lagi dalam rumah yang sama. Lantaran itu Imam Hassan al-Banna menjadikannya salah satu rukun bai’ah. Yang sepatutnya menjadi bai’ah mukmin dengan tuhannya apabila berhadapan dengan permasalahan yang melibatkan sesama mukmin.
Bagiku tiada nikmat yang lebih hebat, lebih dari mengenali Islam dan mengenali rakan-rakan sefikrah yang memperjuangkannya. Husn al-Dzann menjadi dasar sepanjang masa dalam bermuamalat dengan mereka. Baik ketika suka atau ‘benci’. Mereka umpama adik beradik yang dibesarkan bersamaku semenjak lahir. Walaupun ada kalanya bergaduh, tapi mereka tetap adik beradikku. Ibubapa kami sama dan diberi makanan yang sama, bahkan disuapkan dari pinggan yang sama. Tanpa mereka, aku tiada apa-apa.

Akhirnya, aku cuba melayan semua kata-kata kawanku samada cerita menarik, gossip atau berbentuk masalah dengan cara baik. Kalau menarik, itu aku anggap motivasi bagi diri sendiri. Kalau gossip dan masalah, aku anggap sahabatku bermasalah dan perlu seseorang mejadi teman bicara. Tapi mereka tetap saudaraku.

Itulah mungkin nikmatnya menjadi tentera biasa di tahap manapun aku berada. Menjadi orang bawahan sebenarnya satu anugerah dan kemuliaan dari Allah SWT, kerana berkedudukan itu satu bebanan, amanah dan penghinaan dari Allah SWT…kecuali mampu tunaikan haknya. Menghayati hadis Rasulullah SAW:

) إن الله يحب الأبرار الأتقياء الأخفياء الذين إذا غابوا لم يفتقدوا) رواه إبن ماجة، الرقم 3989: ضعيف

(Sesunguhnya Allah cinta kepada hambanya yang baik, bertakwa dan terselindung, apabila ia tiada, orang tidak terasa kehilangannya)

(1) Ibn Qayyim. Miftah Dar al-Sa’adah. Beirut: Dar al-Kutub al-Ilmiyyah. Jil.1 Hal. 141. Al-Ghazali. Ihya Ulumiddin. Beirut: Dar al-Makrifah. Jil. 3 Hal. 36.


3 comments:

  • Anonymous says:
    August 23, 2009 at 10:56 PM

    oowh I see...

  • drhatta says:
    September 1, 2009 at 2:20 AM

    satu penilaian yang bagus... senang jadi orang bawah je ustaz...

  • wanita tabah says:
    December 18, 2009 at 11:13 PM

    k.....ada masa baca blog saya lak.http://miasarahahmad.blogspot.com.my