Friday, August 28, 2009

TELAGA MAGHFIRAH SEPANJANG RAMADHAN



Syukur kita panjatkan ke hadrat ilahi kerana memberi kita kesempatan untuk menghirup wangian ramadhan, anugerah ilahi penuh nilai dan makna dalam kehidupan Insan yang inginkan keredhaan tuhannya.

Ramadhan yang sedang kita lalui merupakan bulan maghfirah, bulan keampunan. Telaganya menjanjikan kita air suci untuk membersihkan daki-daki dosa dan noda yang melekat pada diri kita hasil dari kesilapan masa lampau. Allah menjadikan bulan Ramadhan bulan untuk hambanya memadam catatan kesilapan masa lampau dan membina gambaran hidup baru selapas keluar dari bulan mulia ini, pun kalauplah sihamba tidak dipertemukan dengan ramadhan tahun berikutnya, sentuhan ramadhan tahun ini diharap mampu memberi diskaun istimewa terhadap dosa-dosanya yang telah lalu. Itulah antara lain intipati dan rahmat ilahi yang terselindung disebalik tabir ramadhan. Sabda rasulullah saw:

(من صام رمضان إيمانا واحتسابا غفر له ما تقدم من ذنبه)

ٍSesiapa yang berpuasa dalam bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan pengharapan, akan diampunkan dosa-dosanya yang telah lalu).

Sabda Baginda saw lagi:

من قام رمضان ايمانا واحتسابا غفر له ما تقدم من ذنبه

(Sesiapa yang bangun pada malam-malam ramdhan untuk beribadah, dengan penuh keimanan dan pengharapan, akan diampunkan bagi nya dosa-dosanya yang telah lalu).

Justeru itulah Rasulullah saw menasihati isterinya Aisyah r.a supa memperbanyakkan doa memohon keampunan Ilahi:

اللهم إني أسئلك رضاك والجنة وأعوذبك من سختك والنار، اللهم إنك عفو كريم تحب العفو فاعفو عني

(Ya Allah aku memohon kepadamu redha dan syurgamu, dan aku berlindung dengan mu dari kemurkaan dan nerakamu, Ya Allah, sesungguhnya engkau maha pengampun lagi maha mulia, suka kepada keampunan maka ampunkanlah aku).

Pengharapan terhadap keampunan ilahi sepanjang bulan ramadhan Cuma akan dirasai oleh insan yang sedar kedudukan dirinya. Insan yang tahu bahawa dosanya melebihi timbangan pahalanya. Sedar bahawa amalan kebaikannya belum mencukupi untuk melepaskan dirinya dari siksaan Allah di akhirat. Insan begini sahaja yang akan memasuki gerbang ramadhan dan hidup di dalamnya dengan penuh pengharapan keampunan ilahi. Insan begini akan mempergunakan setiap hembusan nafasnya untuk melafazkan rasa penyesalan dan taubat atas masa silam yang silap, masa lampau yang melampau, dan kebodohan diri kerana terlalu mengikutkan tuntutan nafsu. Insan begini akan mempergunakan setiap saat dalam putaran waktu ramadhan untuk beramal. Justeru kerana ia sedar, umur kurniaan Allah kepadanya semakin pendek, kesempatan yang diberikan juga mungkin sudah tidak lama. Janji penyudah mungkin juga telah hampir waktunya. Inilah perasaan yang sepatutnya dirasai oleh setiap mukmin apabila memasuki bulan ramadhan.

Adapun orang yang terlalu yakin diri di hadapan ilahi bahawa dia telah suci dari dosa, kebaikannya sudah mampu untuk membayar harga syurga atau beranggapan bahawa dosa lalu biarlah berlalu, tanpa perlu disesali….insan begini akan melalui titian ramadhan sama seperti ia melalui hari-hari biasa di luar bulan ramadhan. Ia tidak teringin mengutip apa-apa anugerah yang Allah swt turunkan sepanjang bulan mulia ini. Sidang pendengar, inilah gambaran 2 golongan yang menghuni perkampungan ramadhan setiap tahun. Imam Hassan al-Basri berkata: “Allah telah menjadikan bulan Ramadhan sebagai pengukur makhluk-makhluknya. Mereka berlumba-lumba melakukan ketaatan untuk memperolehi keredhaan Allah. Satu kaum akan mendahului yang lain, lalu mereka menang. Satu kaum lagi akan tercicir dan menyesal. Amat menghairankan apabila melihat masih ada yang mampu ketawa dan bermain-main di hari orang –orang yang baik beroleh kemenangan dan ahli batil beroleh kerugian”.

Inilah, ramadhan inilah masa yang paling sesuai untuk kita menghitung diri, menghitung dosa, menghitung pahala, menghitung kesalahan, menghitung kebaikan, mengukur jarak kita dengan redha dan murka Allah. Setelah 11 bulan yang lalu kita lalui dengan penuh cerita suka dan duka dan iman yang kepanasannya turun naik, kini, ramadhan ini, yang kita diwajibkan berpuasa, disunatkan berterawih, bulan turun al-Quran, bulan yang didalamnya lailatul Qadar yang nilainya lebih baik dari seribu bulan…inilah bulan yang paling sesuai untuk kita memuhasabah diri. Sabda Rasulullah saw dalam sebuah hadith yang diriwayatkan olej Ibn al-Mubarak:

المؤمن عبد بين مخافتين، من ذنب قد مضى لا يدرى ما يصنع الله فيه، ومن عمر قد بقى لا يدري ماذا يصيب فيه من الهلكات.

(Seorang Mukmin itu akan menjadi hamba kepada 2 keadaan menakutkan. Dari dosa yang telah lalu yang ia tidak tahu apakah yang akan Allah perlakukan terhadap dosa-dosa tersebut. Dan takut akan umur yang masih berbaki yang ia tidak tahu apakah yang akan menimpanya dari pelbagai kebinasaan.

Sebagai seorang yang inginkan kemuliaan dalam bulan yang mulia ini. Sewajarnyalah kita lebih sensitif dengan dosa-dosa lalu. Takut memikirkan siksaan yang bakal kita terima hasil dari pembalasan Allah terhadap dosa-dosa tersebut. Dari Abdullah bin Masud, Rasulullah saw bersabda:

إن المؤمن ليرى ذنوبه كأنه جالس في أصل جبل يخشى أن ينقلب عليه، وإن الفاجر ليرى ذنوبه كذباب مر على أنفه فقال به هكذا) كتب الزهد:19

(Sesungguhnya seorang Mukmin itu apabila melihat dosanya, merasakan seolah-olah ia duduk di kaki bukit dan ia takut kalau-kalau bukit itu runtuh mengenai dirinya. Adapun orang fajir/ jahat apabila ia melihat dosanya ia melihatnya seakan seekor lalat yang lalu di hadapan hidungnya, dan akan lari sekadar berkata: Hush….)

Ingatlah sidang pendengar, kecil manapun kejahatan yang kita lakukan, ia pasti akan diperlihatkan oleh Allah swt. Firman Allah:

ومن يعمل مثقال ذرة شرا يره

(dan sesiapa yang melakukan seberat zarrahpun kejahatan, pasti akan diperlihatkan oleh Allah)

Bilal bin Saad, seorang Salafussoleh berkata:

(لا تنظر إلى صغر الخطيئة ولكن انظر من عصيت)

(Jangan kau pandang pada kecilnya kesalahan tetapi pandanglah kepada siapa kau melakukan kesalahan). Sidang pendengar yang budiman, kalaupun kesalahan itu tampak kecil, tetapi pastinya diketahui oleh Allah swt yang maha agung. Justeru itu jangan kita jadi sesetengah orang yang suka menklasifikasikan kesalahannya dan berkata: alaaah, yang ini dosa kecil je…bila-bila tuhan ampunlah…Memang Allah maha pengampun tetapi Cuma kepada hambanya yang sedar kelemahan diri dan bertaubat.

Keiban seseorang bukan kerana kesalahan dan kesilapannya, kerana itu sudah tabiat manusia yang difirman oleh Allah:

(خلق الإنسان ضعيفا) (Telah dicipta manusia itu dalam keadan lemah)

malah saidina Umar menegaskan خلق الإنسان ليخطئ (dicipta manusia itu untuk melakukan kesalahan). Tapi sidang pendengar, keaiban seseorang itu ialah apabila ia melakukan kesalahan ia tidak cuba menyedarinya, pun kalau ia menyedarinya ia memandang enteng, tidak menyesal dan tidak cuba bertaubat kepada Allah swt.

Mudah-mudahan air mata kita lebih banyak mengalir dalam bulan ramadhan tahun ini. Ketika solat terawih, ketika sujud, ketika berhadapan dengan al-Quran, ketika qiamullail dalam kegelapan malam ramadhan. Air mata taubat tersebut, mudah-mudahan bertukar menjadi ubat terhadap penyakit hati kita. Mudah-mudahan Aidil Fitri yang kita sambut nanti betul-betul mengembalikan diri kita kepada fitrah asalnya suci dan bersih dari segala dosa. Allahhumu Amin.


0 comments: