Friday, December 25, 2009

Alangkah indahnya kalau boleh bersatu...

Baru ni aku dapat undangan menyampaikan ceramah sempena sambutan Maal Hijrah peringkat Negeri Sarawak bertemakan 'Memantap Ukhuwwwah Memartabat Ummah". Program di adakan di Kota samarahan. Berbicara soal Ukhuwwah bukanlah sukar sangat asal saja rajin mentalaah kitab-kitab berbentuk raqaiq atau haraki. Bahkan dalam harakah Islamiyyah, Imam Hassan al-Banna menjadikannya salah satu rukun Bai'ah. Bahkah ia merupakan kekuatan kedua selepas kekuatan Iman yang perlu wujud dalam gerakan menegakkan semula Islam di atas muka bumi.

Orang haraki paling gemar berbicara soal ukhuwwwah dan kesatuan. Mewujudkan ukhuwwah di atas kertas dan berbicara melalui ceramah memang sangat mudah, merealisasikannya di alam waqie seperti zaman permulaan Hijrah sangat susah. Ini kerana ukhuwwah dan kesatuan sesama mereka yang berada dalam saf perjuangan masih lagi impian dan mimpi. Apatah lagi ummah secara umumnya. Perpecahan kerana politik, kuasa, ekonomi dan harta masih lagi jadi perkara biaasa.

Banyak kaedah yang telah diletakkan oleh Islam dalam memastikan ukhuwwah Islamiyyah sentiasa teguh, antaranya:

(i) sangka baik sesama Islam dan tidak mudah percaya dengan sesuatu berita kecuali menyelidiknya terlebih dahulu.
(ii) bekerjasama pada perkara yang disepakati (selagi tidak bertentangan dengan syarak) dan bertolak ansur pada perkara yang menjadi punca perselisihan (pada perkara furu').
(iii) memelihara keaiban umat Islam
(iv) berlapang dada dengan perbezaan dan banyak lagi...

Imam Qatadah menyebut (tafsir Ibn Karhir): Ukhuwwah itu adalah rahmat dan perpecahan itu adalah azab.

Dalam kontek perjuangan Islam, alangkah indahnya kalau ukhuwwah ini dapat dijaga dan bersatu. Ini tidaklah bererti mesti satu! Selagi manusia memiliki citarasa berbeza selagi itulah akan wujud kepelbagaian. Umpama adik beradik yang meminati warna dan lauk kegemaran yang berbeza tapi masih boleh tinggal serumah. Bahkan itulah keistimewaan mereka.

Andai kita ingin semua orang macam kita, sampai bila kita tidak mampu bersama. Menghormati pandangan dan cara orang lain selagi tidak terkeluar dari syarak adalah simbol kehebatan seorang lelaki.

Banyak masa yang telah dibuang dan akan dibuang selagi kita masih memikirkan kelainan dan perbezaan. Bahkan dalam kerja dakwah ia akan mengurangkan output sebab banyak emosi dihabiskan untuk menyelesaikan permasalahan dan pertikaian dalaman.

Akhirnya kebatilan akan mampu mendahului kita kerana mereka mampu bersatu...

Melihat senario perjuangan Islam...timbul di benak hati impian melihat mereka yang mengaku memperjuangakan perjuangan yang sama bersatu...ini tidak mugkin tercapai andainya masih ada lagi orang yang kerjanya mencari siapa salah dan siapa benar...

Impian untuk melihat kesatuan ini tidak mustahil terlaksana andainya kita bersikap menutup mulut dan banyak berdiam diri, khususnya apabila melibatkan kelemahan sahabat. Dalam masa yang sama diisi dengan kerja amali dan menghasilkan kejayaan di lapangan....bahkan lebih cepat menjadi realiti andainya kita lebih banyak memperkatakan kebaikan sahabat dan memberi pujian kepadanya. Seperti kaedah yang diletakkan oleh Rasulullah SAW dalam memelihara keutuhan berumahtangga: "Tidak akan berselisih seorang suami mukmin dan isteri mukminah andainya ia membenci satu akhlak dari akhlaknya ia reda dengan akhlak baik yang lain".

Terpulanglah pada kita untuk bermula atau membiarkan masa menjadi pengubatnya. Menyerahkan segala perkara pada perkiraan masa bukanlah lambang kebijaksanaan sedangkan Allah memberi ruang berusaha....pastinya si pemula lebih mulia seperti sabda Nabi SAW: "3 perkara sesiapa yang ada padanya, Allah akan menghisabnya pada hari qiamat dengan hisab yang mudah...maafkan orang yang menzalimimu, sambungkan hubungan dengan orang yang memutuskannya dan berilah pada orang yang enggan memberinya padamu".
Medan sebenar kita berlumba adalah medan amal ( Fastabiqu al-Khairaat) bukan medan cakap...andainya semua beramal untuk objektif yang sama dengan sedikit perbezaan. Pasti dihujung yang menunggu adalah titik pertemuan.
Tapi...entahlah...

0 comments: