Wednesday, January 6, 2010

SENTUHAN PERTAMA



Kata seorang Akh padaku: “Akhi kerja menyambung tugas mengusrahkan ikhwah yang memang sudah pernah berusrah memang kerja yang mudah. Kita Cuma perlu menyambung silibusnya, memastikan komitmennya dan memantapkan tarbiahnya. Yang susahnya memulakan sesuatu dari angka ‘kosong’”. Bila aku fikir-fikirkan banyak kebenaran yang tersirat dalam kata-katanya.


Cuma sedikit pengalaman yang agak menyedihkan apabila anak didik yang pernah kita bawa diserahkan pada orang lain akhirnya bukan menjadi mantap, bahkan mundur ke belakang. Pasti kesalahan pertama pada orang yang di serahkan amanah tidak mampu memberi keperluan penerusan seperti yang dikehendaki. Mungkin inilah alasan sesetengah murabbi tidak mahu menyerahkan anak didiknya dan akhirnya mewujudkan rangkaian sendiri. Rasanya sikap demikian kurang tepat dalam budaya amal jamaie.

Setiap mutarabbi berhak belajar dari pelbagai guru. Walau silibusnya sama tapi pengalaman individu tetap berbeza. Pengalaman dakwah individu alias murabbi adalah antara ilmu yang perlu dikutip oleh mutarabbi. Pernah mantan anak buah berkata…ustaz! murabbi baru saya ni slow sangatlah dan kurang kreatif..saya berkata bahawa itu satu ilmu. Ilmu apa tanyanya. Jawabku: terlalu slow dan kurang kreatif itu kurang digemari dalam tarbiah, makanya nanti kalau kamu berada diposisi yang sama jangan lakukannya. Sama juga orang yang terlalu laju tidak akan mampu dikejar oleh semua mutarabbi. Cuma bagaimana mengukur terlalu slow dan terlalu laju? Mutarabbi perlu memahami fiqh al-Dakwah, sebab itu kena bersabar walau apapun keadaannya.

Sebenarnya yang ingin saya bicarakan bukannya penerusan tarbiah anak buah murabbi lain…susah macam mana pun tetap jauh lebih senang dari menjadi pemula. Pemula tarbiah terpaksa mencari dari runtuhan Islam, individu-individu yang berpotensi untuk di didik, diberi kefahaman dan kesedaran. Sebahagian besar mereka ini bukanlah kosong kefahaman dan kosong akhlak, ada antara mereka yang memiliki semua itu. Apa yang mereka perlukan ialah ‘pemula=starter’ yang mampu menyusun fikrah yang berkecamuk, menambah kekurangan, menerangkan jalan dan memimpin tangan untuk mula melangkah. Sentuhan pertama secara rasmi (official) dalam tarbiah melalui program tersusun amat dinanti-nanti oleh orang seperti ini walaupun mereka tidak menyedarinya. Daie yang memiliki kekuatan pastinya tidak hanya ingin menjadi orang kedua dalam tarbiah mutarabbi, bahkan ia sepatutnya menjadi ‘starter’ yang mampu memberi suntikan pertama dalam melahirkan daie-daie hebat di masa hadapan.

Orang begini pastinya tidak berpada dengan hanya menghadiri usrah rasmi sebagai ahli dan pengikut selama bertahun-tahun. Atau sekadar menyambung program yang diamanahkan padanya. Orang begini inginkan di bumi manapun ia berada, sentuhan pertama fikrahnya akan mampu bertunas, membesar dan menumbuhkan pepohon yang menghasilkan buah yang ranum walau akhirnya ia sendiri tidak mampu melihat hasilnya. Sudut manapun di bumi ini ia berada, apapun kerja dan jawatannya…otaknya akan berfikir ligat untuk mencari ruang menyebarkan fikrah Islam dan menghasilkan pengikut yang mampu bergerak sendiri.

Institusi seperti IPT dan sekolah yang menghimpunkan manusia cerdik dan ‘mudah faham’ sepatutnya menjadi focus menyemai benih dan sentuhan pertama. Namun pastinya lebih hebat apabila ada daie yang mampu memberi sentuhan pertama pada orang biasa seperti nelayan, budak kilang, petani dan lain-lainnya. Mereka ini pastinya contoh terbaik dalam menyatakan betapa fikrah Islam ini sesuai untuk semua peringkat manusia.
Nama-nama seperti Hassan al-Banna, al-Maududi, UD, UZ dan lain-lain yang pernah aku baca kisah hidup mereka dan mendengar cerita mereka dari senior adalah orang-orang yang hebat memberikan sentuhan pertama. Mereka menjadi ‘starter dan penyebab’ ramai manusia dapat anugerah hidayah dan suluh pertama perjuangan sebelum orang lain datang untuk memantapkannya. Mudahan Allah SWT merahmati mereka dan orang seumpama mereka.

Selagi kita belum mampu menjadi ‘starter’ dan memberi sentuhan pertama dalam tarbiah dan dakwah…kita belum menemui nilai sebenar kemanisan berada dalam perjuangan. Itu sekadar pandangan, mungkin benar atau tidak? Terserah kepada penilaian masing-masing. Sabda Rasulullah SAW kepada Saidina Ali ketika mengutusnya ke Khaibar (Fathul Bari 7/70):
لأن يهدي الله بك رجلاً واحداً خير لك من حمر
(Bahawa Allah memberi hidayah pada seorang lelaki disebabkan engkau, demikian itu lebih baik dari unta yang berharga)

5 comments:

  • Anonymous says:
    January 6, 2010 at 11:27 PM

    UD? UZ? Saya tak dapat tangkap abbreviation yang ustaz guna..

  • Abu Syifa' says:
    January 7, 2010 at 7:00 PM

    tanya orang lama dr KIK dan Perlis, mereka pasti tahu...

  • Anonymous says:
    January 7, 2010 at 11:42 PM

    Salam ziarah Sheikh..

    Muga terus memberikan sentuhan pertama yang menyengat!

    Kalau sentuhan pertama ada yang kurang menjadi.. agak apa sebabnya ye.. walhal banyak juga yang menjadi.. salah murobbi?

    Mohon izin copy..

    Wassalam
    A.S

  • Abu Syifa' says:
    January 8, 2010 at 12:13 AM

    Persilahkan 'copy'

    Syukran sudi ziarah.
    Semua faham, amal dakwah & tarbiah tujuannya nak tegakkan hujah di sisi Allah yg kita telah cuba laksana amanah ikut kemampuan. Jaya atau tidak, persoalan kedua dan bergantung juga pada kekuatan murabbi, kemampuan mutarabbi dlm menerima tarbiah dan paling penting 'hidayah Allah'. Sentuhan Rasulullah sendiri tidak berjaya mengislamkan bapa saudaranya yg ia kasihi. Itu adalah tabiat dakwah di kalangan 'manusia'..
    Moga Allah membuang sifat mudah kecewa dalam hati kita dan mempertingkatkan iman kita kepadaNYA.

  • Penduga Arus says:
    January 10, 2010 at 5:02 AM

    Salam ziarah Ustaz,

    Pertama kali bersua muka dgn ustaz, seingat saya masa saya form 3, sebuah program d UMS.

    Salam perjuangan.