Saturday, January 30, 2010

MENANAM BENIH TARBIAH


Mentarbiah tidak semudah yang dijangkakan....

Walaupun telah khatam pelbagai kitab dakwah dan lengkap modul akademiknya, tapi murabbi sebenarnya cuma memiliki teori yang praktikalnya tidak semestinya sama. Umpama seorang petani, diberikan beberapa biji benih. Ia menanamnya di atas sebidang tanah, menyiramnya dengan baja fikrah dan ruhiah. Pelbagai serangga cuba datang mengusik dan memusnahkannya...serangga nafsu, cinta dunia, lupa mati dan lain-lainnya akan menunggu-nunggu masa untuk memakan pohon baru berdaun muda. Tangkas mana pun silat si murabbi dan kuat manapun racun serangga yang digunakan, pasti akan ada pepohon baru yang tumpas.


Apabila pepohon itu sudah besar...ada pula diantaranya sekadar mampu berbunga tetapi tidak mampu berbuah. Ada yang langsung tidak berbunga. Pokok mandul. Nampak cantik, besar dan gagah..tapi tidak mampu menghasilkan sesuatu yang sangat diharapkan iaitu benih baru penyambung specis. Kalau mampu ditebang pohonnya untuk dijadikan perahu atau titi menyeberang parit, memadailah juga. Paling kurang dedaunnya boleh dianyam menjadi atap, syukurlah juga. Tapi ada yang dari akar sampai ke pucuk langsung tidak mampu dimanfaatkan.

Tarbiah mengharapkan lahirnya sebatang pokok yang mampu melahirkan buah yang lebat dan meghasilkan ratusan atau ribuan biji benih baru untuk meneruskan kesinambungan perjuangan.

Satu cabaran lebih besar apabila sang petani terpaksa meninggalkan tanah dan tanamannya...sementara atau selamanya. Pasti tanah dan tanaman terpaksa diamanahkan kepada orang lain. Waktu itu, sang petani baru perlu tahu keperluan tanaman yang sudah mula membesar. Kesilapannya akan menyebabkan pohon yang sudah membesar itu bantut atau mungkin juga mati terus. Hakikatnya banyak pokok yang layu dalam tempoh perpindahan tugas. Mungkin baja yang diguna berbeza atau kuantiti siraman juga berbeza. Jangan hairan, perbezaan kadangkala mendatangkan kebaikan apatah lagi apabila petani kedua lebih mahir mengurus tanaman dari petani pertama yang menyemai benih...

Kadangkala tidak dapat dinafikan sang petani juga ada kelemahan menyebabkan benih yang baik tidak mampu tumbuh dengan subur, begitu juga sang murabbi. Mudahan keikhlasannya bertanam dianugerahi pahala walau hasilnya tidak seperti yang dijangkakan...

وَالْبَلَدُ الطَّيِّبُ يَخْرُجُ نَبَاتُهُ بِإِذْنِ رَبِّهِ وَالَّذِي خَبُثَ لاَ يَخْرُجُ إِلاَّ نَكِدًا كَذَلِكَ نُصَرِّفُ الآيَاتِ لِقَوْمٍ يَشْكُرُونَ» [سورة الأعراف:58

Dan tanah yang baik, tanaman-tanamannya tumbuh subur dengan seizin Allah; dan tanah yang tidak subur, tanaman-tanamannya hanya tumbuh merana. Demikianlah Kami mengulangi tanda-tanda kebesaran (Kami) bagi orang-orang yang bersyukur.

ثُمَّ أَوْرَثْنَا الْكِتَابَ الَّذِينَ اصْطَفَيْنَا مِنْ عِبَادِنَا فَمِنْهُمْ ظَالِمٌ لِنَفْسِهِ وَمِنْهُمْ مُقْتَصِدٌ وَمِنْهُمْ سَابِقٌ بِالْخَيْرَاتِ بِإِذْنِ اللَّهِ ذَلِكَ هُوَ الْفَضْلُ الْكَبِيرُ

“Kemudian Kami jadikan Al-Quran itu diwarisi oleh orang-orang yang Kami pilih dari kalangan hamba-hamba Kami; maka di antara mereka ada yang berlaku zalim kepada dirinya sendiri (dengan tidak mengindahkan ajaran Al-Quran) dan di antaranya ada yang bersikap sederhana dan di antaranya pula ada yang mendahului (orang lain) dalam berbuat kebaikan dengan izin Allah. Yang demikian itu ialah limpah kurnia yang besar (dari Allah semata-mata).” (Surah Al-Fatir: ayat 32)

0 comments: