Friday, November 28, 2008

Rabbani VS Jamai'ey

Sering kali pendakwah muda bertanya kepada saya. Bila kita dakwah orang, perkenalkan Jamaah dulu ke Islam dulu? Atau ajak orang pada jamaah ke pada Islam...

Saya tidak ingin bicara soal jamaah, perbincangannya cukup panjang dan setiap orang ada pandangan masing-masing. Asalkan matlamat dan manhaj yang diguna pakai tak lari dari syarak, tak taasub dan bersungguh-sungguh bekerja untuk Islam berdasarkan kefahamannya...saya respect orang itu. Mudah-mudahan Allah terima amalnya.

Cuma untuk menjawab persoalan tadi, Allah SWT telah memberi kita panduan dalam masalah ini. Allah berfirman (Surah A’li Imran: 79)

مَا كَانَ لِبَشَرٍ أَنْ يُؤْتِيَهُ اللَّهُ الْكِتَابَ وَالْحُكْمَ وَالنُّبُوَّةَ ثُمَّ يَقُولَ لِلنَّاسِ كُونُوا عِبَادًا لِي مِنْ دُونِ اللَّهِ وَلَكِنْ كُونُوا رَبَّانِيِّينَ بِمَا كُنْتُمْ تُعَلِّمُونَ الْكِتَابَ وَبِمَا كُنْتُمْ تَدْرُسُونَ (79)

(Tidak mungkin bagi seorang manusia yang telah diberi kitab oleh Allah, serta hikmah dan kenabian, kemudian dia berkata kepada manusia, “jadilah kamu penyembahku, bukan penyembah Allah,” tetapi (dia berkata), ‘jadilah kamu rabbaniin kerana kamu mengajarkan kitab dan kerana kamu mempelajarinya).

Ayat ini menerangkan bahawa fokus dakwah hanya satu iaitu menjadikan mad’u memiliki sifat rabbani. Rabbani seperti yang ditafsirkan oleh Ibnu Abbas, Ibnu Razin, Hassan al-Basri dan lain-lain bermaksud; ahli ibadah dan ahli takwa (Tafsir Ibn Kathir: Jil. 2 Hal. 78) . Justeru itu dakwah bukan sekadar ceramah yang mengutarakan pelbagai isu Islam dan membiarkan mad’u menilai sendiri apa yang ia dengar dan terkapai-kapai mencari jalan praktiknya. Kemudian si Daie berlepas tangan dan tak buat apa-apa untuk follow up…tapi dakwah ialah beri kefahaman dan ajarkan cara perlaksanaan. Di sini lah peranan tarbiah dalam kerja dakwah. Bahkan tidak dinamakan seorang itu pendakwah, kecualilah ia seorang murabbi.

Kata Sayyed Qutb Rahimahullah:
“ (jadilah kamu rabbani) dinisbahkan kepada Rabb, yakni beribadah kepadanya dan menjadi hambanya, hanya kepadanya kamu menghadapkan segala-galanya untuk beribadah dan ia mengambil darinya sahaja manhaj kehidupan kamu sehingga kamu benar-benar tulus. Maka ketika itulah kamu dianggap rabbani….(jadilah kamu rabbani) dengan kefahaman kamu tentang al-Kitab dan kamu mempelajarinya. (Menjadi Rabbani) inilah intipati memahami al-Kitab dan mempelajarinya”. (Fi Zilal al-Quran: Jil. 1 Hal. 392)

Menyeru orang kepada Islam dan menjadikan mereka rabbani bukan kerja mudah…kita terpaksa berperang dengan 2 halangan besar yang ada dalam diri manusia. Pertama nafsu mad’u dan kedua: nafsu diri sendiri. Lantaran itu ramai daie putus asa kerana lambatnya perkembangan mad’u sedang tanpa ia sedari ‘putus asa’ nya itu juga adalah halangan kejayaan dakwah.

Ayat itu juga menyebut bahawa tidak sepatutnya orang-orang yang diberikan al-Kitab menyeru manusia supaya menyembah mereka kerana itu bertentangan dengan risalah dan amanah yang mereka bawa. Kalau para nabi pun ditegah dari menjadikan agenda lain selain dari merabbanikan manusia sebagai fokus dakwah, apatah lagi kita manusia biasa.

Menjamaahkan mad’u sangat mudah berbanding merabbanikan mereka. Asal saja isi borang keahlian, join program usrah, ikut program jamaah…jadilah ia ahli jamaah. Tapi adakah dengan itu mereka telah benar-benar rabbani? Dalam erti kata lain benar-benar berkualiti seperti yang dikehendaki oleh Allah SWT kepada pejuang-pejuang agama ini?

Buat apa berbangga dengan angka dan bilangan yang ramai, sedangkan kualiti dalam diri amat rendah dan penuh dengan penyakit. Islam tidak pernah menang dengan angka, tapi dengan kemantapan iman dalam dada pejuangnya. Lihat saja peristiwa perang Hunain. Umat Islam ditegur oleh Allah kerana berbangga dengan angka. Bukan sekadar teguran dengan wahyu bahkan dengan darah dan kekalahan. (Surah al-Taubah: 25). Begitu juga ketika perang Badar.

Justeru itu ’niat’ dalam dakwah sangat besar peranannya dalam menentukan halatuju dakwah dan kejayaannya. Menyeru orang supaya akhirnya intima’ dengan Islam dan menjadi Muslim yang seluruh dihidupnya digerakkan dengan ruh Islam dan untuk Islam sepatutnya menjadi satu-satunya fokus dalam kerja dakwah. Bahkan setiap hari niat itu perlu digilap sebelum ia melangkah keluar dari pintu rumah untuk berdakwah.

Adapun menyeru manusia agar intima’ dengan diri, grup dan kelompoknya...telah lari dari landasan sebenar dakwah nabi-nabi terdahulu. Grup dan kumpulan memanglah dharuri dalam dakwah. Tapi keperluannya sekadar ketika melaksanakan amal jamaie, sedang tidak semua kerja dakwah perlu beramal jamaie...(Teringat sesetengah ikhwah tak boleh buat kerja dakwah kerana bersendirian posting di pendalaman) (Kesian...simpati...tapi bukan kerana ia hidup susah, kerana ia tak reti maksud dakwah walau bertahun2 berusrah...setakat nak dakwah bil-qudwah, sebarkan kefahaman Islam dan didik mereka dlm program tarbiah...tak perlu ramai-ramai. Dulu waktu di KL ramai kawan-kawan aku, tapi ramai yang menganggur kerana ithar..dahulukan orang lain untuk buat kerja, sampai dia tak tahu nak buat apa sebab asyik orang jer yang buat).
Contohilah Urwah bin Mas'ud al-Thaqafi yang baru memeluk Islam dan terus memohon dari Rasulullah SAW supaya mengutusnya bersendirian kepada kaumnya untuk berdakwah. Dia tak minta pergi beramai-ramai pun...

Apakata kita sama-sama muhassabah diri dalam meneruskan perjuangan ini? Kesudahan yang menentukan kejayaan bukan kita tapi Allah Azza Wazalla.

0 comments: