Friday, November 28, 2008

SAHABAT: URWAH BIN MAS'UD

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah.

Ibnu Hajar al-Asqalani menyebut dalam kitabnya (الإصابة في تمييز الصحابة) bahawa setelah Rasulullah SAW pulang dari berdakwah dengan penduduk Taif tahun ke 9 ke rasulan baginda. Ia telah diekori oleh Urwah bin Masud al-Thaqafi, Lalu ia mengistiharkan pengislamannya kepada Rasulullah SAW. Selesai sahaja memeluk agama Islam meminta izin kepada Rasulullah SAW supaya membenarkannya kembali ke Bani Thaqif di Thaif menyeru mereka kepada Islam. Bani Thaqif inilah yang telah melontar Rasulullah SAW dengan batu hingga baginda cedera. Mendengar permohonan Urwah, Rasulullah SAW keberatan membenarkannya dan berkata kepadanya:أني أخاف أن يقتلوك aku takut mereka akan membunuhmu. Urfah dengan tegas berkata: يا رسول الله لو وجدوني نائما ما أيقظوني Wahai Rasulullah, kalau mereka dapati aku tidur-tidur sahaja, memanglah mereka tak akan menganggu dan mengejutkan aku...” Akhirnya Rasulullah SAW membenarkan ia kembali kepada kaumnya. Sampai sahaja Urwah pada kaumnya di mana waktu itu waktu Isya’ ia telah pergi kepada kaumnya dan menyeru mereka kepada Islam namun mereka enggan, malah menghinanya dengan pelbagai hinaan. Ketika tiba waktu solat subuh ia azan dan ketika sampai pada shahadah, seorang lelaki dari kaumnya telah memanahnya hingga terbunuh. Apabila berita itu sampai kepada Rasulullah SAW, baginda berkata: مثل عروة مثل صاحب ياسين دعا قومه إلى الله فقتلوه
“Perumpamaan Urwah adalah seumpana lelaki dalam surah Yasiin yang telah menyeru kaumnya kepada Allah lalu mereka membunuhnya” .

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah:
Itulah Urwah bin Masud, yang baru sahaja mengucap 2 kalimah syahadah, belumpun sempat melaksanakan banyak kefadhuan agama, tapi keyakinannya terhadap kebenaran Islam mengerakkan beliau untuk mengajak kaumnya kepada kemurnian Islam walau ia tahu yang kaumnya akan menentangnya. Inilah perasaan umat Islam dahulu, amat bangga dengan Islam yang mereka anuti. Amat yakin dengan kebenarannya. Bagi mereka dirinya, keluarga, kaum dan manusia seluruhnya tidak memiliki sebarang nilai hidup tanpa Islam. Keyakinan mereka yang jitu terhadap Allah SWT dan Rasulnya serta kebenaran agama dan masa depannya menjadikan mereka umat yang hebat, sanggup mengorbankan apa sahaja termasuk nyawa demi agama tercinta. Lihat sahaja Abu bakar al-Siddiq r.a. Selesai sahaja masuk Islam terus menyeru kaum keluarga dan sahabat handainya hingga berjaya mengislamkan 11 orang sahabat yang lain antaranya Uthman bin Affan, Zubair bin Al-‘Awwam, Abdul Rahman bin ‘Auf, Saad bin Abi Waqas ,Thalhah bin ‘Ubaidillah, Bilal bin Rabah.
Dengan berbekalkan ucapan kalimah syahadah, berbekalkan keyakinan yang mantap terhadap Allah dan janji-janji Allah mereka mengorak langkah tanpa sempat berehat untuk memartabatkan agama Allah di atas muka bumi. Hasilnya Islam terus berkembang menjadi satu tamadun yang cukup gagah di atas mukabumi ribuan tahun lamanya. Menjadi guru kepada dunia dalam pelbagai bidang. Di saat Eropah berada dalam era gelap mereka, umat Islam menjadi mahaguru dalam bidang sains, teknologi, falsafah, perundangan dan pelbagai lapangan ilmu dan kemajuan. Mereka membuktikan kebenaran firman Allah SWT:
كُنتُمْ خَيْرَ أُمَّةٍ أُخْرِجَتْ لِلنَّاسِ تَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَتَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنكَرِ وَتُؤْمِنُونَ بِاللّهِ َ ﴿110﴾ آل عمران.
(Kamu adalah sebaik-baik ummat yang dikeluarkan untuk manusia, kamu menyeru orang berbuat kebaikan dan menegah dari melakukan kemungkaran dan kamu beriman kepada Allah).

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah:
Disaat orang seperti Urwah bin Masud sudah tidak wujud di kalangan Umat Islam hari ini. Kurang bangga dengan agama sendiri, malah lebih bangga dengan corak kehidupan barat dan budayanya. Kurang bangga dengan sistem hidup Islam malah lebih kagum dengan sistem hidup yang diimport dari timur dan barat...Umat Islam kehilangan kuasa, kehilangan ketuanan, terjajah minda dan tak kurang juga terjajah tanahair seperti di Palestin dan Iraq. Kita terpaksa mengemis simpati barat walau sekadar untuk mengurangkan harga minyak yang dikeluarkan oleh negara Islam sendiri. Episod malang ini telah bermula semenjak pembubaran Khilafah Islam terakhir pada 3 mac 1924 M lagi...negara Islam akhirnya terjajah. Dibahagi-bahagikan antara Inggeris, belanda, portugis, perancis, german dan rusia. Bila dimerdekakanpun, umat Islam belum merdeka sepenuhnya. Minda, sikap dan budaya hidup mereka masih mengekalkan budaya orang yang menjajah mereka. Mereka kehilangan jati diri dan rasa bangga dengan agama sendiri. Malah ada yang sanggup memperlekehkan agama sendiri.

Sidang Jumaat
Kita amat memerlukan di kalangan umat ini umpama Urwah bin Masud yang proaktif, inovatif dan produktif untuk mengerakkan ummah. Ini kerana kebangkitan ummah ini untuk membina semula tamadun bangsa dan negara tidak mungkin terlaksana oleh mesin, robot dan teknologi. Ini kerana tamadun yang ingin kita bina adalah tamadun manusia, maka manusia yang mesti mengerakkannya. Apatah lagi kalau Islam di jadikan landasannya maka ia perlu digerakkan oleh pemuda-pemudi yang benar-benar yakin dan komitmen dengan Islamnya. Namun selagi mana umat ini masih tidur lena dibuai mimpi indah, tak faham misi visi hidupnya, peranan kejadiannya. Musuh akan terus mentertawakan umat ini dan menjadikan kita bahan mainan yang remotenya dalam genggaman mereka. Benar kata Masud:
يا رسول الله لو وجدوني نائما ما أيقظوني Wahai Rasulullah, kalau mereka dapati aku tidur-tidur sahaja, memanglah mereka tak akan menganggu dan mengejutkan aku...”
Kerana takutkan umat Islam ini bangun dan bangkit, musuh terus-terusan menyuntik pil-pil tidur berupa hiburan, keseronokan dan pelbagai perkara yang menyeronokkan minda dan nafsu ke dalam diri dan negara-negara Islam. Akhirnya mereka sudah terlupa siapa mereka, apa tujuan mereka di ciptakan, kemana mereka akan kembali?? Pemuda-pemudi yang diharapkan membina ummah dan negara akhirnya sekadar mampu mengisi carta dan ranking paling hebat dalam penagihan dadah, penghuni penjara, buang anak, mengandung luar nikah, mundur dalam akademik, rasuah, pengidap HIV dan banyak lagi yang mampu kita baca melalui dada-dada akhbar.

Sidang Jumaat,
Lebih malang lagi apabila golongan cendikiawan Islam, ahli-ahli masjid, ahli-ahli ibadah, yang janggutnya panjang2, tak lekang kepalanya dengan kopiah dan songkok, tanggannya sentiasa memegang tasbih...telah memilih skim pencen awal sebelum tiba masanya. Apabila melihat kemungkaran dan malapetaka yang menimpa ummah, mereka Cuma berpeluk tubuh dan paling hebatpun ber istigfar sahaja. Bagi mereka, dengan amalan mereka begitu mereka yakin benar masuk syurga. Sedangkan mereka sepatutnya berperanan membina ummah, mentarbiah generasi baru dan mengerakkan persekitaran. Abdullah bin Masud pernah berkata kepada golongan zuhud di zamannya yg beruzlah untuk menumpukan ibadah diri pada Allah:
(لو أن الناس فعلوا مثل ما فعلتم فمن كان يقاتل العدو؟ وما أنا ببارح حتى ترجعوا)
“Kalau semua manusia melakukan perkara yang sama seperti yang kamu lakukan, maka siapakah yang akan memerangi musuh? Aku tidak akan menninggalkan tempat ini sehingga kamu kembali dan meninggalkan tempat ini”.

Dalam ribuan pelajar di universiti ini dengan kapasiti pensyarah muslim yang cukup ramai, kalau bergerak sehati sejiwa, tanpa mengira jam berapa dan kenaikan pangkat ke senior lecturer, PM atau P...pastinya akan lebih ramai anak-anak kita yang ketandusan ilmu dan tarbiah ini mampu digerak dan dicemerlangkan. ”Kerja lebih masa mengharap syurga” ini lah merupakan motto para sahabat dan tabiin mengerakkan ummah dan dunia hingga pernah 2/3 dunia ini duduk di bawah kekuasaan tamadun Islam. Mereka tahu benar nilai syurga itu mahal...dimana Allah telah syaratkan dua bentuk bayaran sahaja: iaitu pengorbanan harta dan nyawa sahaja ketika berfirman:
( إِنَّ اللَّهَ اشْتَرَى مِنَ الْمُؤْمِنِينَ أَنْفُسَهُمْ وَأَمْوَالَهُمْ بِأَنَّ لَهُمُ الْجَنَّةَ ) [التوبة: 111].
(Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang beriman itu nyawa mereka dan harta mereka dan bagi mereka itu adalah syurga).
Syurga itu perlu dibeli dengan harta dan nyawa, bagaimana halnya dengan orang yang tidak sanggup korban apa-apa walau sekadar masa? Layakkah mereka memasuki syurga?

Sidang jumaat,
Bangunlah kita dari tidur yang cukup lama, gerakkankanlah semua institusi yang ada di sekeliling kita. Cemerlangkanlah apapun yang kita sentuh samada berbentuk pengurusan, keilmuan, tanggungjawab, pelajaran, ibadah, hingga urusan keluarga dan pengurusan diri...pasti umat ini akan mampu digerakkan lebih laju dari sebelumnya. Akhirnya ummah ini akan bangun menjadi contoh kepada bangsa lain...ketika itu sinar baru akan menerangi alam ini dengan cahaya Islam yang kita yakini satu-satunya manhaj hidup yang paling benar. Mudah-mudahan kesudahannya kita tersenarai sebagai pejuang di bumi ini ketika hidup walau dalam senarai terakhir. Dan layak menjadi isi syurga di alam abadi.

Sidang jumaat,
Selepas berlakunya peristiwa dakwah Rasulullah SAW ke Taif, dalam bulan rejab ini, berlaku satu peristiwa besar yang akan kita sambut tidak beberapa lama lagi iaitu peristiwa Isra’ dan Mikraj Rasulullah saw dan pensyariatan ibadah solat sebanyak lima waktu.

0 comments: