Tuesday, December 2, 2008

EID AL-ADHA: PENGORBANAN (2005) -kalau malas nak buat khutbah raya tahun ni...baca je lah yg ni kat mimbar tu..




KHUTBAH 1 : AIDIL ADHA

الله أكبر× 7 كالي ، الله أكبر كبيرا والحمد لله كثيرا وسبحان الله بكرة وأصيلا. لا إله إلا الله ولا نعبد إلا إياه مخلصين له الدين ولو كره الكافرون، لا إله إلا الله والله أكبر، الله أكبر ولله الحمد. الحمد لله رب العالمين الذي وفق المؤمنين إلى طاعته وتجلى عليهم بدينه. وأشهد أن لا إله إلا الله وحده لا شريك له، إليه يصعد الكلم الطيب والعمل الصالح يرفعه، وأشهد أن محمدا عبده ورسوله وصفيه وحبيبه دعانا إلى العمل والجد وحذرنا من الكسل والعجز. اللهم صل وسلم على سيدنا محمد وعلى آله وأصحابه وأتباعه إلى يوم المعاد، أما بعد:

Muslimin dan Muslimat yang dirahmati Allah,

Imam Abu Daud, Ahmad dan al-Nasaie meriwayatkan dari Anas bin Malik bahawa Anas pernah berkata: “Tatkala Rasulullah SAW tiba di Madinah ketika Hijrah, Orang-orang Madinah merayakan 2 hari raya. Rasulullah SAW bertanya kepada orang-orang Ansar: ‘Untuk apakah 2 hari tersebut”?. Mereka menjawab: “Pada kedua-dua hari tersebut kami menghabiskan masa dengan bermain” Lalu Rasulullah SAW bersabda:

(إن الله قد ابدلكم بهما خيرا منهما: يوم الأضحى ويوم الفطر)[1]

(Sesungguhnya Allah telah mengantikan untuk kamu (umat Islam) 2 hari yang jauh lebih baik dari 2 hari terdahulu iaitu Eid al-Adha dan Eid al-Fitri).


Telah ditentukan oleh Allah SWT bahawa kedua-dua hari raya orang Islam disambut selepas sesuatu kefardhuan dan ibadah agung. Eid al-Fitri disambut setelah selesai berpuasa. Begitu juga Eid al-Adha disambut setelah selesai umat Islam wuquf di Arafah pada tanggal 9 zulhijjah. Inilah tabiat agama ini, yang inginkan umatnya merasai nikmat sebenar raya setelah mampu menyelesaikan tugas dan amanah,…atau dalam ertikata lain merasai kemenangan setelah penat berjuang.


الله أكبر الله أكبر الله أكبر ولله الحمد


Muslimin dan Muslimat yang dirahmati Allah,

Eidul Adha yang kita sambut setiap tahun juga mengingatkan kita peristiwa pengorbanan agung Nabi Ibrahim a.s. yang sanggup mengorbankan anaknya Ismail a.s. Pengorbanan besar bagi membuktikan cinta suci baginda kepada Allah swt. Firman Allah swt:



" Wahai Tuhanku! Kurniakanlah kepadaku anak yang terhitung dari orang-orang yang soleh!" Lalu Kami berikan kepadanya b

erita yang meng

embirakan, bahawa ia akan beroleh seorang anak yang penyabar. Maka ketika anaknya itu sampai (ke peringkat umur yang membolehkan dia) berusaha bersama-sama dengannya, Nabi Ibrahim berkata: "Wahai anak kesayanganku! Sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku akan menyembelihmu; maka fikirkanlah apa pendapatmu?". Anaknya menjawab: "Wahai ayah, jalankanlah apa yang diperintahkan kepadamu; Insya Allah, ayah akan mendapati daku dari orang-orang yang sabar".Setelah keduanya berserah bulat-bulat (menjunjung perintah Allah itu), dan Nabi Ibrahim merebahkan anaknya dengan meletakkan iringan mukanya di atas tompok tanah, (Kami sifatkan Ibrahim - dengan kesungguhan azamnya itu telah menjalankan perintah Kami), Serta Kami menyerunya: "Wahai Ibrahim! "Engkau telah menyempurnakan maksud mimpi yang engkau lihat itu". Demikianlah sebenarnya Kami membalas orang-orang yang berusaha mengerjakan kebaikan. Sesungguhnya perintah ini adalah satu ujian yang nyata; Dan Kami tebus anaknya itu dengan seekor binatang sembelihan yang besar;) Surah al-Saafaat: 100-107.


Nabi Ibrahim diperintahkan supaya menyembelih atau mengorbankan anak tercinta. Seorang anak yang diimpikan sekian lama, Cuma mampu diperolehi ketika usia telah tua. Tiba-tiba datang ujian yang maha esa, anak yang baru meningkat remaja diarahkan supaya disembelih sebagai bukti cinta dan taat setia. Arahan yang membawa konflik jiwa di hati Ibrahim, antara cinta anak dan cinta tuhan. Mana yang perlu didahulukan? kerana cinta memerlukan pengorbanan atau terpaksa mengorbankan cinta yang kurang pentingnya demi mendahulukan cinta agung yang hakiki, yang tanpanya kehidupan akan gerhana dan kebahagiaan kan tergendala.


Akhirnya Nabi Ibrahim dengan redha sanggup berkorban dan Ismail sanggup dikorbankan demi memenuhi cinta Ilahi. Kisah cinta yang luarannya nampak abstrak, tapi dalamannya terlalu indah untuk digambarkan. Hanya dengan meletakkan cinta kepada Allah ditahap tertinggi dan melebihi kecintaan kepada yang lainnya akan melayakkan seseorang muslim itu menjadi hamba Allah yang sejati dan layak memperolehi redhanya dan memasuki syurganya.


Muslimin dan muslimat yang dirahmati Allah,

Semua bentuk perjuangan untuk mencapai matlamat suci memerlukan pengorbanan. Hendak dapat ilmu dan kecemerlangan perlu berusaha dan berkorban, untuk kaya juga perlu berusaha dan berkorban, untuk mengecapi kehidupan bahagia juga memerlukan usaha dan pengorbanan dan nak masuk syurga juga perlu usaha dan pengorbanan. Walaupun bentuk pengorbanannya berbeza namun konsepnya tetap sama. Kerana….tiada kebahagiaan yang datang percuma. Semuanya memerlukan bayaran. Angan-angan kosong tidak membawa manusia ke mana-mana. Justeru Kerana kesanggupan berkorban inilah generasi awal Islam mampu membina tamadun dan mewarnai pentas dunia berkurun lamanya. Kegemilangan tersebut mereka capai bukan hanya kerana kesanggupan mereka berkorban masa, tenaga dan harta….malah lebih dari itu, mereka sanggup berkorban darah dan nyawa demi cinta mereka kepada Allah. Hanya generasi begini yang mampu memartabatkan maruah diri, keluarga, negara dan agamanya. Khalid bin al-Walid ketika mensifatkan tentera-tentera yang menyertainya dalam peperangan menentang Parsi menyebut:

(قد أتيتكم بأقوام هم أحرص على الموت منكم على الحياة)[2]

(Aku datang kepada kamu dengan satu kaum yang mana mereka ini akan berusaha untuk mati (tidak takut mati), berbanding dengan kamu yang berusaha untuk hidup).


Akhirnya kesanggupan berkorban tahap tinggi yang dimiliki oleh tentera Khalid berbaloi apabila mereka berjaya membuka Iraq dan melepaskannya dari kekuasaan Parsi. Inilah sifat Islam seperti yang diceritakan oleh Walid al-A’zhamie:

هو الإسلام تضحية يريد

(Itulah Islam yang memerlukan pengorbanan umatnya).[3]


Namun di hari umat Islam menjadi kedekut… kedekut mengorbankan apa yang mereka miliki dari harta, tenaga malah masa….mereka bukan menjadi bertambah mulia dan kaya, bahkan menjadi bangsa hina… terjajah watan, harta dan suara… bangsa yang menjadi seumpama hamba di tanah air sendiri. Selagi umat Islam berterusan begini mereka tidak akan sampai kemana-mana kerana harga bagi sebuah kemuliaan dan tamadun itu ialah dengan pengorbanan dan mengorbankan setiap sesuatu yang dicintai kerana Allah.


الله أكبر الله أكبر الله أكبر ولله الحمد


Muslimin dan Muslimat yang dirahmati Allah,

Mimbar pada hari ini menyeru supaya semua umat Islam sama-sama mengembeling tenaga menjadikan kampung dan sekitarnya bertambah maju dan gemilang. Indah dipandang mata, tenang jiwa menjadi penghuninya. bersih persekitarannya, elok peribadi warganya. Kampung yang mampu melahirkan anak-anak yang baik dan cerdik…cerdik dalam mengurus kehidupan di alam fana’ dan cerdik dalam menilai untung nasib di alam baqa’ . Berguna kepada makhluk dan Khaliq. Mampu berbakti kepada diri, keluarga, masyarakat , bangsa negara dan agama.. Semua itu mustahil akan tercapai kalau kita hanya ‘goyang kaki’ di rumah dan tidak sanggup mengorbankan sedikit dari umur dan tenaga yang Allah telah kurniakan kepada kita. Talhah bin Ubaidillah seorang sahabat yang dijanjikan oleh Allah dengan syurga menyebut:

(إن أقل العيب على المرء أن يجلس في داره)[4]

(Sesungguhnya sekurang-kurang keaiban kepada seorang insan itu apabila ia duduk bersenang lenang di rumahnya).


Kita sebenarnya memiliki aset manusia yang baik-baik di kampung ini. Manusia terpilih yang dipilih sendiri oleh Allah untuk menganuti agamanya dan memperjuangkannya. Tetapi semua itu tidak mendatangkan sebarang manfaat kalau hidayah yang kita kecapi sekadar berligar pada diri dan keluarga dan kita tidak menyeru orang lain untuk menerimanya. Kita bangga menjadi seorang muslim, bangga dengan ibadah kita, dengan jubah dan serban kita, dengan kopiah dan janggut kita. bangga dengan harta dan pekerjaan kita, hingga kita terlupa bahawa di sekeliling kita masih ramai manusia yang jauh dari hidayah dan bergelumang dengan dosa….orang begini harus berhati-hati kerana ditakuti kewujudannya sekadar memberatkan perut bumi. Abdullah bin Masud r.a tatkala melihat ahli zuhud di zamannya yang keluar meninggalkan bandar kufah untuk bertapa dan beribadah kononnya untuk mensucikan diri berkata:

لو أن الناس فعلوا مثل ما فعلتم فمن كان يقاتل العدو؟

(Andainya semua manusia melakukan apa yang kamu lakukan, maka siapa yang akan menentang musuh? )


Ya!!! siapa yang akan mempertahankan negara, mendaulatkan agama…siapa yang akan mendidik anak-anak, membina generasi penerus perjuangan andai kita sekadar memberi hampas dan saki baki umur kita.

الله أكبر الله أكبر الله أكبر ولله الحمد


Muslimin dan Muslimat yang dirahmati Allah,

Mimbar juga ingin mengingatkan bahawa tidak semua pengorbanan akan diterima oleh Allah. Dalam kisah anak-anak Nabi Adam, iaitu Qabil dan Habil, Allah hanya menerima ibadah qorban salah seorang dari mereka. Ini berkait rapat dengan niat dan sejauh mana pengorbanan tersebut bertepatan dengan kehendak Allah.


(Dan bacakanlah (wahai Muhammad) kepada mereka kisah (mengenai) dua orang anak Adam (Habil dan Qabil) yang berlaku dengan sebenarnya, iaitu ketika mereka berdua mempersembahkan satu persembahan korban (untuk mendampingkan diri kepada Allah). Lalu diterima korban salah seorang di antaranya (Habil), dan tidak diterima (korban) dari yang lain (Qabil). Berkata (Qabil):" Sesungguhnya aku akan membunuhmu!". (Habil) menjawab: "Hanyasanya Allah menerima (korban) dari orang-orang yang bertaqwa ) al-Maaidah :27


Memang sesuatu yang menyedihkan kalau pengorbanan yang dicurahkan, tidak mampu mencapai sasarannya. Begitulah juga perasaan ibubapa dan masyarakat, apabila pemuda harapan bangsa dan pemudi tiang negara yang berada di institusi pendidikan rendah, menengah dan pengajian tinggii pulang ‘lenggang kangkung’ dan gagal membawa sebarang kejayaan. Rugi sahaja usia muda yang dilalui, perit jerih dan titik peluh ibubapa tidak dihargai. pengorbanan mereka yang sentiasa berdoa, mengharap dan menanti, akhirnya tidak mampu menyuburkan padi, malah lalang pula menjadi ganti. Diharap anaknya mampu memimpin negara tapi akhirnya menjadi penyakit kepada negara, bangsa dan agama ….kerana mungkin niat si pemuda dan sipemudi seperti Qabil, pengorbanannya kotor bukan kerana cinta ilahi tapi kerana nafsu dan kejahilan diri. Lantas, pengorbanan bertahun-tahun sia-sia tidak bermakna. Kepenatan dibayar dengan kegagalan. Cinta mengundang kebencian. Lebih menyedihkan kalau kegagalan itu bukan cuma di dunia tapi di akhirat turut ‘mengecapi’ azab sengsara. Na’uzu billah.

الله أكبر الله أكبر الله أكبر ولله الحمد


Muslimin dan Muslimat yang dirahmati Allah,

Dihari baik bulan baik ini…marilah kita sama-sama menanam azam dan menambah usaha untuk manjadikan diri kita lebih bertakwa kepada Allah swt. Tanpa takwa semua ibadah korban dan pengorbanan kita tidak bermakna dan tidak diterima oleh Allah swt. Itulah rahsia penerimaan ibadah qurban Habil, kerana ketakwaannya kepada Allah. Firman Allah swt:

(Daging dan darah binatang korban atau hadiah itu tidak sekali-kali akan sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepadaNya ialah amal yang ikhlas yang berdasarkan taqwa dari kamu). Surah al-Hajj:

بارك الله......


KHUTBAH 2

الله أكبر× 5 كالي ،لا إله إلا الله والله أكبر، الله أكبر ولله الحمد.

الحمد لله رب العالمين الذي احيينا في هذا الشهر المبارك، أشهد أن لا إله إلا الله وحده لا شريك له وأشهد أن محمدا عبده ورسوله، اللهم صل وسلم على حبيبنا محمد وعلى آله وصحبه أجمين. أما بعد:

Allah swt berfirman ketika mensyariatkan ibadah korban:

(Sesungguhnya Kami telah mengurniakan kepadamu (wahai Muhammad) kebaikan yang banyak (di dunia dan di akhirat). Oleh itu, kerjakanlah sembahyang kerana Tuhanmu semata-mata, dan sembelihlah korban (sebagai bersyukur). Sesungguhnya orang yang bencikan engkau, Dia lah yang terputus (dari mendapat sebarang perkara yang diingininya). Surah al-Kauthar.


Islam mensyariatkan Ibadah Korban bertujuan untuk memperkukuhkan ikatan umat Islam dan membantu golongan yang kurang berkemampuan di hari yang mulia. Ia merupakan simbol persaudaraan, perpaduan dan kesatuan. Justeru itu daging korban perlu di bahagi 3: 1/3 untuk diri dan keluarga, 1/3 untuk jiran dan kawan-kawan dan 1/3 untuk fuqara dan masakin.


Disunatkan juga kepada orang yang berkorban, menyembelih sendiri binatang korbannya. Bagi yang tidak mampu melakukan sendiri, maka disunatkan ia melihat upacara penyembelihan binatan korbannya. Rasulullah saw berkata kepada puterinya Fatimah:

(قومي إلى أضحيتك فاشهديها فإنه بأول قطرة من دمها يغفر لك ما سلف من ذنويك) رواه البيهقي

(bangun dan saksikan penyembelihan binatang korbanmu, sesungguhnya pada titisan pertama darahnya, akan diampunkan semua dosa-dosamu yang terdahulu).


Marilah kita sama-sama memperbanyakkan salawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW. Kerana Allah berfirman:

إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ يَاأَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا(56) سورة الأحزاب

(Sesungguhnya Allah dan malaikatNya berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad s.a.w); wahai orang-orang yang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya).

اللهم صل على محمد وعلى آله وصحبه أجمعين.

اللهم اغفر المسلمين والمسلمات والمؤمنين والمؤمنات الأحياء منهم الأموات.

اللهم أصلح لنا ديننا الذي هو عصمة أمرنا وأصلح لنا دنيانا التى فيها معاشنا وأصلح لنا آخرتنا التى إليها معادنا واجعل الحياة زيادة لنا في كل خير واجعل الموت راحة لنا من كل شر.

اللهم انصر الإسلام والمسلمين وانصر المجاهدين في فلسطين وفي العراق وفي كل مكان يا رب العالمين.

اللهم آتنا في الدنيا حسنة وفي الآخرة حسنة وقنا عذاب النار

عبادالله إن الله يأمر بالعدل والإحسان وإيتاء ذي القربى وينهى عن الفحشاء والمنكر والبغي، يعظكم لعلكم تذكرون. فاذكروا الله العظيم يذكركم واسئلوا من فضله يعطكم ولذكر الله أكبر والله يعلم ما نصنعون.

الله أكبر الله أكبر الله أكبر ولله الحمد




[1] Sanadnya menepati syarat Imam Muslim: lihat Ibn Taimiyyah. Iqtida’ al-Sirat al-Mustakim Mukhalafah ashab al-Jahim. Beirut: Dar al-Ma’rifah. Hal 174.

[2] Tarikh al-Tabari. (3/344)

[3] al-Rasyid, Muhd Ahmad.(1975). Al-Muntalaq. Beirut: Muassasah al-Risalah. Hal.228.

[4] Tabaqat Ibn Saad. (3/221).


0 comments: