Sunday, June 14, 2009

PERGINYA SEORANG MUJAHID: FATHI YAKAN




14/06/2009 (Ahad): Sedang sibuk berbengkel di Lembah Idaman malam tadi dalam jam 9.00 malam, datang satu sms dari sahabat lama di KL berbunyi: "Sheikh Fathi Yakan telah kembali ke rahmatullah. Semoga rohnya bersama orang2 yg beriman dan beramal soleh. AlFatihah". Dalam jam 6.00 pagi tadi datang sms yang sama berbunyi: " Innalillah wainna ilaihi rajiuun, Ustaz Fathi Yakan meninggal dunia sejam yang lepas di Hospital Toroblus, Beirut".

Moga Allah tempatkan Almarhum bersama dengan para nabi,siddiqin, syuhada' dan solehin. Allahumma Amin.


Nama Fathi Yakan adalah antara nama tokoh dakwah paling awal yang aku kenali. Melalui bukunya "Apa erti saya menganut Islam" aku mula memahami makna sebenar Islam yang telah aku anuti semenjak lahir. Dulu ketika tingkatan 1-3, aku banyak membaca buku-buku tentang hadith fadhail, maklumlah zaman tu aku rajin 'keluar' ikut Jamaah Tabligh. Buku "Apa erti saya menganut Islam" menjadi silibus usrah BADAR ketika aku berada di ting. 4, Kolej Islam Kelang. Walaupun ia lebih berbentuk ringkasan fikrah tentang Islam, tetapi mencukupi untuk memahami Islam secara umum. Bermula dari buku tersebut dan buku "Asas-Asas Islam" karangan Abul A'la al-Maududi, aku mula meminati pembacaan buku-buku fikrah. Ketika di sekolah menengah aku sudah mula menghimpunkan koleksi buku-buku fikrah. Koleksi buku-buku al-Marhum Ustaz Fathi Yakan dalam Bahasa Arab antara yang paling awal aku miliki ketika menuntut di Mesir. Bahkan sekali lagi aku membaca buku "Apa erti saya menganut Islam" dalam versi Bahasa Arab ketika berada di tahun 1, Universiti al-Azhar.

Al-Marhum Ustaz Fathi Yakan merupakan ketua kepada al-Jamaah al-Islamiah dari tahun 1962 hingga 1992 sebelum menubuhkan Jubhah al-Amal al-Islami.

Moga Allah SWT menganugerahkan kita thabat dan iltizam dengan dakwah hingga ke nafas yang terakhir.

0 comments: