Sunday, December 4, 2016

SEMPURNA KEMAHUAN

Saya berada di pentas konvo ketika pelajar ini berucap. Walau pun OKU tapi berupaya mencapai Ijazah Kelas Pertama. Hanya fizikalnya yang kurang upaya  menyebabkan proses pembelajaran sedikit rumit berbanding orang yang normal, tapi kemahuan, semangat dan usahanya jauh lebih sihat dari orang yang sihat.

Bahkan ada pelajar ku yang sempurna fizikalnya, sihat mentalnya tapi CACAT kemahuan, semangat dan usaha. Tarikh yang sepatutnya hantar tugasan baru bertanya tajuk apa yang sesuai ia tulis atau baru perasan tugasan itu perlu dibuat secara berkumpulan. Pernah semester lalu aku terpaksa menelefon pelajar bertanyakan bila ia akan hantar tugasan? Padahal waktu itu markah akhir sepatutnya diserahkan kepada pihak akademik. Selamba ia menjawab: " Maaf Dr. Saya  tak sedar yang kursus Dr.  ada tugasan. Kalau saya buat lagi dan hantar boleh tak?" Saya jawab; " Tak apalah sem depan kamu hantar". Memang saya 'call' pun bukan utk suruh dia hantar  tapi lebih nak meyakinkan diri bahawa ketiadaan markahnya bukan kerana kesilapan saya yang tanpa sengaja terhilang tugasan pelajar. Maklumlah mengajar kursus wajib universiti, bilangan pelajarnya wajib ramai. Ironinya hampir setiap semester ada sahaja pelajar yang 'lena panjang' hingga tak sedar dia berada di UNIVERSITI. 

Ironinya yang ramai cacat kemahuan, semangat dan usaha adalah yang nama dan agamanya hampir sama dengan nama dan agamaku. 

Cacat kategori begini kalau berterusan akan menjahanamkan masa depan agama, bangsa dan negara.

Aku sering berpesan pada anak-anak pelajarku: "Apapun bangsa dan agama kalian, dalam kelas abi semua memiliki hak yang sama utk lulus dan cemerlang". " Universiti bukan sekadar tempat menilai genius dan kekuatan IQ tapi tempat menilai nilai dan sikap". Apa guna melahirkan orang otak cerdik tapi perangai seperti hantu. Anugerah kecemerlangan bertimbun tapi sombong dengan Maha Pencipta. 

Tahniah kepada yang berkonvo dengan penuh kecemerlangan. Berbaloi keringat dan penat lelah kalian. Sampai ketelinga senyuman ibubapa kalian. Moga nilai kecemerlangan akan menjelma dalam semua sentuhan ajaib anda dimanapun berada. 

Bagi yang masih dalam lena yang panjang. Dunia belum kiamat. Masih ada ruang untuk berubah. Andai tidak berubah, kalianlah yang mengkiamatkan dunia kalian sendiri.

0 comments: