Sunday, December 4, 2016

Sungai Patarikan



Sungai Patarikan. Namanya tak pernah masuk dalam catatan sejarah. Bagi kami penduduk kampung Petarikan, ia penuh dengan sejarah.Pernah menjadi antara sumber mencari rezeki utama penduduk kampung. Juga laluan perhubungan ketika tidak ada satu jalanpun yang tembus ke kampung kami.

Selepas subuh bapaku dan beberapa orang kampung akan turun ke sungai. Selalunya untuk membintur ketam, menjala udang galah atau memukat. Harga ketam sekati cuma berapa ringgit waktu itu. Hujung minggu dan waktu cuti sekolah, aku sering dibawa oleh bapa ke sungai. Bahkan sering juga tidur di sungai utk membintur kerana jarak untuk balik ke rumah bukanlah dekat. Penat nak mendayung perahu dan esok kembali semula ke sungai.

Pernah ketika cuti sekolah aku ikut pakcikku bekerja menebang pokok bakau untuk di jual. Kerja yang sangat memenatkan. Tebang, potong dan kopek kulitnya. Nak turunkan bakau2 ke sungai kena tunggu air pasang besar. Mengangkat dlm air lebih ringan. Tapi sering air pasang berlaku waktu malam. Maka malamlah kami mengangkat bakau2 tersebut. Paling tak best, getah bakau akan melekat di tangan berminggu2.

Dulu sungai itulah jalan utama ke Lawas, Brunei, Limbang dan Labuan.

Hasil dari tangkapan ketam itulah sumber utama rezeki bapaku membesarkan kami. Hasilnya tidak seberapa tapi kerjanya tidak semudah yang digambarkan. Sering kami kena hujan dan ribut di sungai. Jarak perahu bapa dan aku (bersama adikku) berjauhan. Kalau jadi apa2 memang kena pandai2 selamatkan nyawa sendiri. Selalu mak bekalkan kami nasi seperiuk kecil, garam, lada paak dan paling special lauk masin. Kadangkala sebelah petang singgah di kawasan bakau berlumpur untuk mencari lokan dan tangkuyong buat lauk tambahan. Paling ku takut ular bakau yang kadang jatuh ke dalam perahu.

Bukan hanya di sungai, bahkan aku juga peneman utama beliau ke kebun getah yang terpaksa berperahu dan naik bukit turun bukit baru sampai ke kebun tersebut. Pernah aku tumpahkan setengah baldi susu getah kerana terjatuh. Maklum pokok2 getah di kawasan berbukit. Lagi best aku dan adikku pernah kena sengat tabuan. Esok ke sekolah dengan tangan dan badan bengkak di sana sini. Malam nya bapaku dan orang kampung pergi semula utk memusnahkan sarang tabuan tanah yang menyerang kami.

Sebelas tahun aku melalui kehidupan anak kampung sebelum mula merantau mencari ilmu ketika usia baru memasuki 12  tahun. Tiap kali cuti hujung tahun yang merupakan satu2nya masa aku boleh balik ke kampung, aku akan kembali ke sungai itu utk melakukan rutin orang kampung.

Sungai, bukit, sawah padi, ketam, kayu bakau dan segala kesukaran hidup mengajar aku menghargai kejayaan. Memahamkan aku bahawa tiada benda percuma dalam hidup. Hanya yang kuat usaha akan berjaya atau sekurang-kurangnya mampu meneruskan kehidupan. Pengalaman hidup waktu kecil cukup menjadi motivasi diri menjana kejayaan dimanapun aku berada. Seingatku tak pernahpun zaman sekolah menengah aku hadir program motivasi. Bahkan teknik menjawap peperiksaan seingatku tak pernah aku sertai. Cukup pengalaman masa kecil mengajar aku bahawa untuk berjaya mesti berani mencuba dan berhadapan dgn risiko. Menjadikan aku sangat berdikari.

Berbeza anak2 masa kini. Mereka lahir dalam keadaan hampir semua keperluan telah ada. Tak perlu usaha banyak semua telah tersedia. Generasi yang inginkan semuanya datang secara percuma. Kalau boleh sijil dan ijazahpun dapat tanpa perlu usaha yang terlalu memenatkan. Apatah lagi makanan, pakaian, handphone, laptop dan aksesori diri tersedia dan sempurna secara percuma. Mereka terlupa yang langit tidak menurunkan hujan emas dan rumput bumi tidak berbungakan ringgit malaysia tanpa usaha.

Mungkin semua ini salah kita juga sebagai ibubapa. Memanjakan anak hingga menyangka kad ATM bapanya memiliki magik yang bila2 masa mengeluarkan RM dengan hanya menekan 6 angka. Lupa nak tunjukkan pada anak bahawa RM yang ada didalamnya bukan percuma, terhasil dari penat si ayah yang keluar pagi dan balik senja. Menyembunyikan penderitaan bapa utk menyara keluarga dari pengetahuan anak2 bukan lagi sifat mulia dalam zaman yang anak2nya sudah tidak kenal namanya derita dan usaha untuk berjaya.

Sungai Patrikan, walau dengarnya kini kau berpenghuni buaya. Namun jasamu sangat berharga. Walau rezekinya tidak seberapa. Ilmu kehidupan yang kau bekalkan amat berguna hingga aku mampu menjadi antara muridmu yang paling berjaya. Terima kasih.

(Moga Allah SWT merahmati ruh mak dan ahli keluarga yang dikebumikan di tanah perkuburan yang dulunya cuma boleh dikunjungi melalui sungai itu).

0 comments: