Monday, December 15, 2008

RESIPI KEKAL DALAM DAKWAH????

(Tulisan ini ku dedikasikan khusus buat abang Pantai Merdeka yang pernah ajar aku naik Vespa, Abu Muslim yang pernah jadi guru Ilmu Maqasid dan guru cintaku, Abang Kubur Panjang dan Abang Iparnya…dan Abu Nidal yang mungkin aku seorang sahaja yang tahu…Salam sayang untuk kalian dan terima kasih kerana mengajar aku untuk menjadi aku)


Tadi sempat bertemu dengan seorang akh yang baru memuliakan karier kerja dan dakwahnya di tanah air setelah ditarbiyyah bertahun-tahun lamanya di luar negeri. Bertemu dengan ikhwah begini satu anugerah ilahi kerana mampu mengambil sedikit semangat berkobar-kobar yang ia bawa balik…masih fresh, masih original…

Akupun sebenarnya tak pernah kenal akh ini, tapi di atas jalan ini aku dipertemukan dengan pelbagai jenis bangsa yang langsung tak pernah bersua sebelum ini walaupun dalam mimpi…tapi disaat minit pertama bersua, hati sudah bertaut rapat, bicara terus rancak,…seakan-akan dikandung bersama di alam rahim. Apa tidaknya…kami membaca buku yang sama, diberi hadam manhaj yang sama dan mengimpikan impian yang sama. Tajuk perbincangan seperti telah lama dirancang dan ditentatifkan. Itulah mungkin yang dinamakan 'dating ukhuwwah di dalam restoran dakwah'…jangan salah faham maksudnya.

Akh muda itu bertanya: Bagaimana nak terus kekal berada di atas landasan dakwah ini? Soalan yang mudah tapi berat jawapannya. Ini kerana, aku bukanlah orang yang paling cemerlang dalam melaksanakan tugas dan posisi yang diberikan kepadaku di atas jalan ini. Sebenarnya aku tak layak menjawabnya. Abang-abang yang pernah mentarbiah akupun tahu siapa aku… sering juga buat mereka pening kepala. Kekadang terfikir aku betapa sabarnya mereka mendidik aku. Dan kekadang aku merasakan betapa ‘tersilapnya’ mereka memilih aku. Apapun, kerana abang-abang ku itulah yang jadikan aku seperti sekarang. Walau tak sebaik mana…tapi masih boleh dikategorikan sebagai ‘orang’.

Cuma sebagai pensyarah...aku dah terbiasa memberi jawapan walau kekadang jawapannya terpaksa ditangguhkan dahulu kerana kurang bahan rujukan.

Dulupun aku ingin bertanya soalan yang sama ketika mula-mula balik ke Malaysia. Tapi sayang aku tak tahu nak ajukan soalan itu kepada siapa. Ini kerana, semua yang ku harap mampu memberi jawapan ramai yang telah kecundang…sesetengahnya bukan sekadar bau badan, bayang-bayangnya pun sudah hilang. Mujurlah aku tak dididik untuk ikut semua budaya ‘orang’.

Aku berkata kepada akh yang bertanya. Prinsip aku senang saja. Bila aku terima ‘perjuangan’ ini. Aku telah suntik ia dalam darahku, ku jadikan batu asas rumahtanggaku dan aku tak nampak lagi jalan ke syurga kecuali dengan melaluinya. Ia bagiku radar yang sering menunjukkan aku jalan pulang ketika aku tersesat dalam rimba kehidupan. Kerana itu aku amat ‘taassub’ dengannya…’taassub’ yang tidaklah menyebabkan aku menidakkan jalan orang lain…Aku hormati semua orang yang buat kerja atas kefahaman dan jalan yang ia yakini kerana tak ada faedahnya disediakan jalan dan kenderaan…tapi tak mahu berjalan…

Aku kata lagi pada akh yang bertanya: buat je kerja yang mampu kita buat sesuai dengan kefahaman dan kemampuan kita. Jangan banyak sangat menoleh kebelakang atau mengomen kerja orang. Jalankan tugas pada bahagian yang diamanahkan pada kita, biar Allah tentukan seterusnya. Terlalu memikir muqaddimah dan khatimah dalam kerja-kerja dakwah membuat orang mengambil masa yang cukup panjang untuk berfikir…berfikir terlalu lama kadangkala membuang banyak masa sedang orang lain sudah sampai ke-mana-mana. Sekurang-kurangnya: bawalah satu halaqah…kalau tak mampu himpunkan orang hebat-hebat, bawalah 'budak tadika 'dan ajarkan ia buku Asas-Asas Islam karangan Maududi. Kalau lebih kemampuan gerakkanlah cuaca dan udara dimanapun kamu berada. Adapun menunggu hari dimana kita diisytiharkan telah ‘sempurna’ dalam tarbiah dan baru boleh mula bekerja…takut tak sempat usia. Sedang yang Allah kira adalah amal dan kerja, bukannya natijah dan jaya…apatah lagi angan-angan dan azam kosong.

Ada orang menunggu hari sempurna. Berpuluh tahun berusrah, berdaurah, bermukhayyam dan berehlah untuk memahami fiqh al-Dakwah. Tapi nak bawa halaqah keluarga dan anak-anakpun tak sempat nak mula lagi…pelik bagi aku. Kalau dalam perahu orang begini memberatkan muatan. Setelah diajar berdayung bertahun-tahun masih duduk sebagai penumpang. Kalau terpaksa, tolak saja orang begini ke dasar lautan kerana dari badannya kurus, kini telah tua dan gemuk...masih tak pandai berdayung? wujud orang begini hanya memberatkan muatan. Kecualilah…dakwah ini menjadi rumah kebajikan atau organisasi yang berbangga dengan ramainya bilangan. Rasanya kitab Muntalaq bahagian akhir...tak ajar kita begitu..

Aku berkata: Allah telah kurniakan aku kemampuan berpidato dan berbicara. Dari budak tadika hinggalah pembesar negeri. Dari kelompok kecil, hinggalah puluhan ribu pendengar atau mungkin juga jutaan penonton. Tapi aku tak nampak perubahan mereka walaupun mungkin mereka telah berubah. Yang aku selalu aku nampak dan perolehi hasill...selepas program begitu, kocekku sedikit berisi dan cukup membayar minyak kereta dan makanan anak-anakku yang sering ku bawa setiap kali ada program.

Tapi mereka yang mendengar celoteh, muhassabah dan perkongsian fikrah dalam kelompok kecil, setiap minggu… Walaupun kadangkala aku nampak keterpaksaan mereka dan mereka tahu aku juga terpaksa…bukan sebulan bahkan bertahun…aku nampak muka mereka makin berseri, jiwa mereka makin terisi, cakap mereka semakin berkualiti dan semangat makin segar…mereka ini jauh lebih berharga, harapan agama dan negara… walaupun setiap kali program, kocekku sering bocor…Maklumlah Allah cuma jualkan syurganya untuk orang yang sanggup belinya dengan nyawa dan harta. (Lihat Surah al-Taubah: 115)…Tapi ramai ‘pejuang’ sekarang masa pun dah tak ada…kesian, mereka sangat miskin walau pendapatan mencecah puluhan ribu/montly…Benarlah kata sesetengah pejuang silam…dakwah itu sebenarnya tarbiyyah dan aku belum temui wasilah terbaik dalam tarbiah selain usrah…dan atasnyalah aku dibesarkan. Atasnya juga aku ingin besarkan anak-anakku dan anak-anak orang yang merasakan aku bapanya. Lagipun tak sama anak yang dibesarkan dalam rahim ibu dan tabung uji…

Buatlah kerja sesuai dengan kefahaman dan kemampuan kita, kalau asasnya betul pasti akan datang orang lain yang lebih hebat menyempurnakannya. Tiada gelaran yang lebih hebat dari gelaran ‘pendakwah’…walau nama kita tak sempat untuk dimuatkan dalam katalog orang hebat-hebat.

Satu lagi aku berpesan…hormati dan sayangilah rakan sefikrah walaupun ia naik kereta yang jenamanya berlainan dari kereta kita. Kalau dengan kucing dirumah pun kita boleh bertolak ansur dan bermesra, takkan dengan mereka tak boleh?. Bekerjasamalah dengan setiap muslim yang memiliki semangat perjuangan untuk memenangkan agama Allah dan mengimpikan syurga. InsyaAllah bumi manapun kita berada, pasti tuhan sediakan ruang untuk kita berjuang dan bahagia. (Kalau dah tak tahu nak buat apa...datanglah ke Sabah. Kita ada hampir 14,000 orang yg masuk Islam antara 2000-2007...maybe boleh ajar mereka macam mana nak berwudhu'..)

Dakwah ini tidak semudah mensilibuskannya dalam catatan tarbiah. Bahkan dengan amal dan kerja baru kita tahu mempraktikkannya. Bahkan baru teruji benar silapnya. Ini kerana manusia bukan robot yang tetap remotenya….

Satu lagi, belajarlah ikhlas dalam perjuangan walaupun yang dibuat itu cuma kecil. Bawalah anak-anak buah pada agamanya, bukan untuk menambah penyokong diri dan membuat club baru…jangan kita rasa kita saja yang hebat walau mungkin kita memang hebat. Ini kerana Allah akan hargai amal kebaikan yang dilakukan oleh saudara kita walaupun nilainya kecil tapi ikhlas. Tak semua orang macam kita, bahkan yang kita tarbiyyahpun tak semuanya jadi macam kita…mungkin lebih baik, mungkin juga lebih buruk…mungkin lebih cergas, mungkin lebih lembab… ertinya jangan mudah terpesona dengan kerja diri sendiri. Anak-anak yang dibin dan dibintikan dengan nama kita, mewarisi genetik dan DNA kita pun tak semua jadi macam kita, inikan pula anak orang…

Kesudahannya …buatlah kerja semampu yang mungkin. Kalau tak sepanjang masapun, tapi time rajin buatlah…kecualilah anda seorang yang memang pemalas dan tak bertenaga sepanjang masa, eloklah minum tongkat Ali banyak-banyak atau telan saja tongkatnya… memang dakwah ini takkan menang kalau kita cuma beri baki masa kita (al-Muntalaq)…tapi kalau tak mampu juga, berilah baki masa tu..jangan pulun semuanya untuk mengejar dunia. Kerana kita tidak ditarbiah bersilibuskan usrah Hamman dan Firaun.

Bekerjalah…jangan takut tersilap, try and error!! kalau tersilap, trylah perbetulkan. Guru terbaik adalah pengalaman dan pengalaman cuma diperolehi melalui amalan dan percubaan. Allah pun dah janjikan dengan amalan yang disertai dengan niat yang ikhlas…Allah janji berikan pahala. Jadi bekerjalah dimanapun berada…kita ramai atau bersendirian.

Panjangnya aku tulis…sedangkan jawapan ku tadi tidaklah sepanjang ini. Bahasanya pun tidaklah sesedap ini…ha ha… tapi bila balik baru aku terfikir…bahawa beginilah sepatutnya jawapanku. Kalau akh itu membaca…anggap ini jawapan terbaikku dan yang kita bincang tadi cuma sinopsisnya. Kerana tadi, aku tak larat bercakap panjang-panjang. Setiap hari, berjam-jam, selama 5 minggu tanpa henti, aku memberi kuliah kepada kelas khas yang majoritinya lebih tua usianya dari aku. Sekarang baru rehat sedikit…

Apapun, aku ucapkan jutaan terima kasih pada abang-abang ku di KIK, Mesir dan beberapa masaikh arabku di Jordan yang memperkenalkan aku pada produk dakwah ini. Wajah kalian sering bermain difantasiku ketika doa rabithah ku ucapkan... yang lain aku tak mampu bayar, kerana untuk pengetahuan kalian sehingga kini aku belum bergelar jutawan…kalian pun tak sempat didik aku jadi begitu.

4 comments:

  • Anonymous says:
    December 16, 2008 at 2:17 AM

    JazakAllah khair akhi atas tunjuk ajar dan bimbingan,
    ana cukup menghargainya...
    Walau berjumpa cuma seketika..

  • Anonymous says:
    December 16, 2008 at 5:12 PM

    Ya Syeikh,

    Janganlah dilupakan kami. Walau kami ini orang di bawahmu dan bersikap sedikit nakal/menyusahkan..., tapi kami tetap mengisi pengalamanmu. Pengalaman itukan guru yang terbaik... hehe. Take care.

  • Anonymous says:
    December 29, 2008 at 10:32 AM

    Assalamualaikum..
    Betul2x..klu dah tak tau nak dakwah camne datnglah Sabah.. Buat satu artikel besar.. MARI DATANG SABAH PARA DA'IE..
    DOakan saya tetap dalam jalan ini..

  • hidayah seekers says:
    February 2, 2009 at 5:28 AM

    assalamualaikum..
    tiap kali jka ada tulisan atau bahasa arab yg ustad guna,dmohon letaklah dlm kurungan maksudnya sekali ya..sbbnya hamba tak paham..hehe..semoga jiwaku terisi slpas mbaca coretan ustad..pro-palestin