Wednesday, December 10, 2008

DIA BAIK BA.....



Baru ni seorang gadis apabila saya tanya tentang boy friend dia menjawab: Dia tu baik ba ustat..…saya yakin dia mampu membahagiakan saya.

Saya teringat sabda Rasulullah SAW:

(إِذَا أَتَاكُمْ مَنْ تَرْضَوْنَ خُلُقَهُ وَدِينَهُ فَزَوِّجُوهُ إِلَّا تَفْعَلُوا تَكُنْ فِتْنَةٌ فِي الْأَرْضِ وَفَسَادٌ عَرِيضٌ)
(Sekiranya datang kepada kamu lelaki yang kamu redhai akhlak dan agamanya, kahwinilah. Jika kamu tidak melakukan yang demikian, nescaya akan berlaku fitnah di atas muka bumi dan kerosakan yang besar).

Memilih calon suami dan calon isteri yang baik memang satu kewajipan. Ini kerana rumahtangga perlu berkekalan sampai ke penghujung hayat…bahkan sampai ke syurga.

Cuma, apakah asas ‘BAIK’ dan indikator yang diguna pakai untuk mengukur kebaikan?.

Seekor anjing menilai kebaikan berdasarkan standard dan levelnya. Baginya bangkai ditepi jalanpun masih baik dan sesuai untuk dimakan. Kucing juga beranggapan tulang ikan yang ditinggalkan oleh tuannya dianggap baik dan ia sanggup memakannya dengan penuh selera….

Ada juga manusia begitu. Pasangan yang ditemui ditepi jalan, di majlis-majlis sosial dan di panggung wayang sebagai baik…Malah ‘orangan terpakai’ juga dianggap baik…(kecuali yang benar-benar telah bertaubat).

Ada orang menilai kebaikan berdasarkan penampilan luaran. Pada janggut, jubah dan perwatakan zuhud dan ‘cool’nya. Memang penampilan luaran juga kadangkala terhasil dari perwatakan dalaman. Seorang wanita yang sanggup memakai tudung labuh pastinya memiliki kefahaman dan naluri keagamaan yang kuat. Lantaran itu ia sanggup memakainya di tengah-tengah budaya manusia yang lebih gemar meminimumkan pakaian. Tapi cukupkah itu sebagai indikator? Ya memang cukup kalau rumahtangga sekadar untuk menjadi rumah tempat berlindung dari fitnah dunia dan kesengsaraannya.

Tapi bagi pendakwah, pastinya ukuran kebaikan terlalu tinggi maknanya. Memilih pasangan yang baik adalah satu amanah Allah kerana kelak rumahtangganya bakal menjadi ‘kilang’ melahirkan generasi pejuang yang mantap tarbiyyah. Menjadi ‘markas’ yang mengerakkan dakwah di persekitarannya. Menjadi ‘masjid’ yang dipenuhi dengan ibadah dan menenangkan jiwanya. Malah menjadi ‘kem motivasi’ yang akan terus-terusan merangsang jiwa dan anggotanya untuk bergerak dan berjuang memartabatkan kalimah Allah di atas mukabumi.

Bagi pendakwah, baik itu bukan sekadar seagama…bahkan sefikrah, semanhaj, satu tujuan dan satu jalan.

Baginya maksud ‘beragama dan berakhlak’ dalam hadith tadi diukur berdasarkan kefahaman dan halatujunya dalam dakwah. Ini kerana martabat tertinggi rumahtangga ialah qudwah, tarbiyyah dan dakwah.

Tapi di kalangan satria dan srikandi dakwah pun ramai yang memilih pasangan seumpama anjing dan kucing…

Apapun bahananya tetap ada apabila silap memilih asas. Umpama orang kaya-kaya di bukit antarabangsa. Rumah itu pastinya dianggap hebat, mewah dan kukuh kerana dibina di kawasan elit. Tapi tersilap menilai asasnya…akhirnya berlaku krisis. Mungkin krisis semulajadi, tapi pastinya wujud kesilapan dalam ‘menilainya’ dari awal…salam takziah untuk mereka dan untuk mereka yang rumahtangganya juga berhadapan dengan tsunami dan tanah runtuh…

0 comments: