Thursday, December 4, 2008

SAYANG ITU SATU AMANAH

Seorang sahabatku pernah memberikan aku sekeping kad kecil yang tertulis kata-kata tersebut dengan tulisan tangannya 9 tahun yang lepas…


Dengan segala kekurangan dan kelemahan diri, aku cuba berusaha untuk menjadi tempat berpaut ramai orang sekelilingku. Kekadang mereka anggap aku bapa, abang, kawan, murabbi dan guru…dan ada gak yang ehemm ehem...he he. Saat paling bahagia apabila melihat mereka bahagia. Bila mereka menangis, hati ku juga turut sebak…


Kadangkala menyayangi orang lebih berbentuk berkongsi kesedihan dan penderitaan seseorang,. Apatah lagi tabiat manusia yang suka berpaut pada orang bila dalam kesusahan dan kesedihan. Bila bahagia ramai orang terlupa diri, kawan dan tuhan. Itu tafsiran aku sendiri…tak semestinya betul.


Aku sekadar ingin membahagiakan orang keliling ku sekadar termampu. Mudahan di situ ada catatan kebaikan di sisi tuhanku. Kadangkala tak semua yang menerima kebaikan memahami itu kebaikan. Ada yang tersasul, tersasar dan salah anggap. Teguran dan kemarahan kadangkala dianggap kebencian. Nasihat dianggap perli. Muka masam dianggap mengkeji….kerana tabiat manusia suka dipuja dan dipuji….


Al-Quran sendiri mengunakan dua uslub dalam mendidik manusia. Kadangkala dalam bentuk ‘basyir’ (khabar gembira) dan kadangkala menggunakan pendekatan ‘nazir’ (ancaman dan peringatan). Apabila Allah memberi peringatan dan ancaman kepada orang beriman bukan tandanya Allah benci…bahkan ia lahir dari limpahan kasih sayang Allah pada hambanya agar tidak mengulangi kesilapan yang sama, mampu perbaiki diri dan berjaya di dunia dan akhirat.


كِتَابٌ فُصِّلَتْ آيَاتُهُ قُرْآنًا عَرَبِيًّا لِقَوْمٍ يَعْلَمُونَ * بَشِيرًا وَنَذِيرًا فَأَعْرَضَ أَكْثَرُهُمْ فَهُمْ لَا يَسْمَعُونَ *

(Sebuah Kitab yang dijelaskan ayat-ayatnya satu persatu; iaitu Al-Quran yang diturunkan dalam bahasa Arab bagi faedah orang-orang yang mengambil tahu dan memahami kandungannya.Ia membawa berita yang mengembirakan dan membawa amaran; dalam pada itu kebanyakan mereka berpaling ingkar, maka dengan sebab itu mereka tidak menerima dan tidak mematuhinya). Surah Fussilat (3-4)


Menyayangi mereka bagiku satu amanah. Bila kasih mereka tiba, bagi aku itu amanah baru yang perlu dipikul. Membahagiakan mereka dan melihat mereka bahagia adalah tanggungjawab walau akhirnya diri sendiri kecewa dan derita. Lantaran itulah kemuliaan Muhammad SAW yang sanggup derita dan sengsara demi melihat umatnya sejahtera.


Sekurang-kurangnya jangan ada yang akhirnya menuding jari kepada kita…bahawa kita tidak pernah memberi ruang dan peluang. Ini kerana expert macam mana pun seorang insan, ia tak mampu meramal masa depan. Perancangan itu pemudah kerja, tapi bukan penentu jaya. Penentuan kejayaan dan kebahagiaan adalah milik mutlak Ilahi.


Sebagai manusia, kita takkan jumpa manusia yang sempurna dalam memberi dan menunaikan tanggungjawabnya. Namun kesanggupan seseorang untuk memberi yang terbaik sudah layak untuk dihargai walau akhirnya tidak cukup baik. Justeru itu apabila kita menerima kasih dan sayang dari seseorang dalam apa bentuk sekalipun (selagi diizinkan syarak) wajar dihargai. Jangan kerana sedikit silapnya ia dibenci dan dijauhi. Itu menampakkan sangat kita terlalu berkepentingan dalam membina ukhuwwah dan hubungan.


Apapun tafsirannya…menyayangi dan disayangi itu satu amanah….didiklah diri untuk menjadi pemberi sebelum menjadi penerima. Pemberian yang paling besar nilainya ialah kesanggupan kita mengorbankan masa, harta dan nyawa untuk membantu agama Allah. Mudahan di akhirat kita layak menjadi penerima nikmat hakiki…nikmat syurgawi.


Hayati sabda Nabi SAW:

مَنْ نَفَّسَ عَنْ مُؤْمِنٍ كُرْبَةً مِنْ كُرَبِ الدُّنْيَا نَفَّسَ اللَّهُ عَنْهُ كُرْبَةً مِنْ كُرَبِ يَوْمِ الْقِيَامَةِ وَمَنْ يَسَّرَ عَلَى مُعْسِرٍ يَسَّرَ اللَّهُ عَلَيْهِ فِي الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ وَمَنْ سَتَرَ مُسْلِمًا سَتَرَهُ اللَّهُ فِي الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ وَاللَّهُ فِي عَوْنِ الْعَبْدِ مَا كَانَ الْعَبْدُ فِي عَوْنِ أَخِيهِ

Barang siapa yang melepaskan satu kesusahan seorang mukmin, pasti Allah akan melepaskan darinya satu kesusahan pada hari kiamat. Barang siapa yang menjadikan mudah urusan orang lain, pasti Allah akan memudahkannya di dunia dan di akhirat. Barang siapa yang menutup aib seorang muslim, pasti Allah akan menutupi aibnya di dunia dan di akhirat”.(HR.Muslim No 2699)





3 comments:

  • Anonymous says:
    December 5, 2008 at 10:26 AM

    salam ustadz.bagi ana ustadz berjaya memegang 'amanah' itu. sekarang ni even kami masih berpaut pada dahan, kami anak halaqah ustadz sewajarnya mula menanam anak2 benih Islam dalam diri umat Islam yang lain....moga kasih sayang yang di anggap amanah itu terus mekar dan dihargai dgn sama2 mendoakan agar suma kita berjaya dalam menegakkan kalimah Allah di muka bumi serta tergolong ahli syurga..

  • irshadian says:
    December 6, 2008 at 12:11 AM

    meletakkan sayang pada tempatnya selaras dengan niat, mungkin penting juga menekankan sikap berdikari, qadiran 'ala nafsi..asif ya ustaz

  • irshadian says:
    December 6, 2008 at 12:12 AM

    hairul, jangan dipuji, pujian itu ujian ba